Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


RM70,000 lesap kejar aset RM50j

Posted: 22 May 2013 03:48 PM PDT

Shah Alam: Gelap mata kerana ingin memiliki aset bernilai lebih RM50 juta, seorang lelaki berputih mata apabila terpaksa menanggung kerugian sehingga RM70,000 selepas melakukan transaksi wang 20 kali kepada beberapa wanita yang hanya dikenali melalui perbualan telefon bermula Ogos 2011 sehingga Februari tahun lalu.

Bagaikan dipukau, duda yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 47, melakukan transaksi pertama sebanyak RM3,000 kononnya bagi menampung kos perubatan seorang wanita misteri bernama Nur Heliza Helmi iaitu sepupu kepada seorang wanita lain dikenali Saodah di Hospital Singapura dan ia kemudian berlarutan kepada bantuan kewangan kepada Saodah.


Din berkata, Saodah sering mengadu mengenai masalah kewangan yang dihadapi menyebabkan dia yang bersimpati melakukan transaksi minimum RM5,000 kepada Saodah sebelum menyedari ditipu apabila wanita itu enggan berjumpa dengannya selain gagal membayar semula pinjaman itu.

Bagaimanapun, wanita itu memberi tawaran untuk memberi aset miliknya berharga RM50 juta sebagai membayar hutang dan membalas budi baik lelaki itu.


Beliau berkata, dia bersetuju dengan cadangan wanita itu tetapi pada masa sama terpaksa mengeluarkan wang lagi kononnya untuk kos pengurusan mahkamah bagi pemindahan hak milik aset itu.


Dia yang juga bapa kepada tujuh anak berusia antara tujuh hingga 20 tahun itu turut menggadaikan aset peribadinya seperti tanah, van dan motosikal bagi mendapat wang tunai untuk membayar kos pindah nama pemilik aset itu di mahkamah.

Foto

DIN menunjukkan laporan polis yang dibuat.

"Saya mula mengenali Saodah selepas mendapat satu mesej dalam laman sosial Facebook melalui adik saya yang menyatakan kawannya memerlukan bantuan kewangan akibat kanser serta memerlukan rawatan segera. Atas dasar simpati itu saya bersetuju membantu.


"Kami tidak pernah berjumpa kecuali mengadakan perbincangan melalui telefon. Akibat kesempitan wang, saya menuntut Saodah untuk membayar semula wangnya bagaimanapun dia menawarkan penyerahan aset hartanya sehingga saya bertindak menjual semua aset peribadi bagi menampung kos pengurusan mahkamah," katanya ketika ditemui di Balai Berita NSTP Bukit Jelutong di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Lelaki minta wang perlindungan dicekup

Posted: 22 May 2013 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Mereka dipaksa membayar RM500 setiap bulan sejak setahun lalu kononnya bagi bayaran kawalan keselamatan kepada puluhan peniaga di Bandar Tun Razak, di sini, daripada diganggu kumpulan penjenayah.

Sekiranya enggan, lelaki berusia lewat 20-an itu yang dibantu beberapa konconya akan memecahkan kedai dan mengganggu perniagaan mereka.


Tidak tahan diperlakukan demikian, seorang daripada puluhan peniaga itu tampil membuat laporan polis sebelum dia dan pihak berkuasa bekerjasama bagi mengatur perancangan memerangkap lelaki terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, kelmarin, lelaki terbabit ditahan pihak berkuasa ketika datang mengambil wang perlindungan itu bersendirian.


Menurut sumber, suspek tidak mengetahui dia sebenarnya diperangkap peniaga terbabit yang sudah bekerjasama dengan pihak berkuasa. Beliau berkata, sebelum itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi, di sini, mendakwa dia dan peniaga lain di sekitar kawasan berkenaan dipaksa membayar wang perlindungan oleh seorang lelaki.


"Dalam laporan itu, mangsa mendakwa dipaksa membuat bayaran berkenaan sejak setahun lalu dan jika enggan, perniagaan mereka akan diganggu termasuk kedai dipecahkan selain kemungkinan dicederakan," katanya.

Menurutnya, mangsa dengan kerjasama pihak berkuasa kemudian menyusun strategi bagi memerangkap lelaki terbabit.


"Kelmarin, ketika mangsa datang mengambil wang berkenaan, beberapa anggota polis berpakaian preman bersedia di sekitar kedai milik mangsa.

"Ketika suspek keluar dari kedai mangsa selepas mendapatkan wang berkenaan, dia segera ditahan," katanya.


Katanya, suspek kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Meninggal dalam lokap lepas mengadu sakit dada

Posted: 22 May 2013 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang ditahan dalam lokap Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, meninggal dunia malam kelmarin selepas mengadu sakit dada.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan reman bersama tiga lagi rakannya bagi membantu siasatan berhubung kes tembak dua lelaki yang cedera di Jalan Budiman, Bandar Tun Razak, 11 Mei lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek mengalami sesak nafas selepas mengadu sakit dada kira-kira jam 9 malam.

"Lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan sebuah ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba," katanya dalam sidang media di IPKKL, semalam.


Menurutnya bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat pendarahan dalaman. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Dalam perkembangan lain, Ku berkata, polis menyambung reman suspek kedua yang ditahan berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Bahagian Perkastaman/Cukai Dalam Negeri, Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya, 26 April lalu.

Beliau berkata, tempoh reman disambung hingga Isnin ini bagi membantu siasatan yang kemungkinan akan memakan masa yang panjang untuk diselesaikan.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, Shaharuddin mati ditembak dua lelaki bermotosikal dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya ketika kereta dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan, jam 8.15 pagi, 26 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Ketua samun upah gula-gula

Posted: 22 May 2013 10:46 AM PDT

Gombak: Polis menubuhkan pasukan khas untuk menjejak mereka selepas lebih 20 kedai disamun dan hasilnya amat mengejutkan kerana kumpulan penjenayah disyaki terbabit adalah remaja belasan tahun yang menerima upah cuma RM5 hingga RM10.

Mereka yang baru berusia 14 hingga 17 tahun dikatakan turut menerima habuan gula-gula selepas menyerahkan hasil samun kepada ketua mereka yang berusia 23 tahun.


Sumber polis berkata, empat remaja yang masih bersekolah itu bersama ketua mereka yang tinggal di sebuah taman perumahan di Batu Muda, di sini, dalam beberapa siri tangkapan sejak Isnin lalu hingga kelmarin.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit disyaki sudah melakukan lebih 20 kes samun dengan mensasarkan kedai 24 jam di sekitar daerah ini sejak dua bulan lalu.


"Kumpulan penjenayah cilik ini dipercayai mula bergiat aktif awal April lalu dan mengenali antara satu sama lain kerana tinggal di kawasan sama.


"Siasatan awal polis mendapati ketua kumpulan itu yang berusia 23 tahun bertanggungjawab sebagai perancang termasuk mengenal pasti kedai 24 jam yang menjadi sasaran," katanya. Sumber itu berkata, ketika samun dilakukan ketua kumpulan tidak menyertainya, sebaliknya hanya empat suspek remaja yang melakukannya.

"Mereka melakukan samun dengan bersenjatakan pisau untuk mengugut petugas kedai 24 jam yang dijadikan sasaran. Siasatan juga mendapati mereka menaiki dua motosikal milik ahli keluarga masing-masing," katanya. Menurutnya, dalam serbuan ke rumah ketua kumpulan terbabit, polis merampas semula pelbagai barangan samun yang nilainya dianggarkan RM20,000.


"Hasil soal siasat juga mendapati remaja terbabit hanya menerima upah sebanyak RM5 hingga RM10 selain diberi gula-gula sementara lebihan hasil samun untuk ketua," katanya.

Sumber itu berkata, kebanyakan barangan yang disamun termasuk pemetik api, pencuci rambut, wang tunai dan gula-gula.


"Suspek berusia 23 tahun juga mempunyai rekod jenayah dalam kegiatan samun," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, semua suspek kini direman selama enam hari.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Geng Botak diberkas dalam sekatan jalan raya

Posted: 22 May 2013 10:44 AM PDT

Ipoh: Seorang perogol bersiri yang juga ketua kumpulan perompak digelar 'Botak', berjaya diberkas polis selepas membawa tiga konconya untuk melakukan rompakan menggunakan pistol palsu awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, suspek berusia 38 tahun terbabit yang menubuhkan kumpulan penjenayah 'Geng Botak' diberkas polis dalam satu sekatan jalan raya berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Kangsar.


Tiga lagi anggota kumpulan itu berusia antara 16 hingga 34 tahun turut diberkas ketika menaiki sebuah kereta model Proton Wira dan dipercayai dalam perjalanan dari Ipoh melalui Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) ke Kuala Kangsar untuk merompak kedai serbaneka 24 jam.

Difahamkan sebelum ini, kumpulan itu dikesan terbabit dalam 20 kes samun premis perniagaan 24 jam di sekitar Perak, Selangor dan Kuala Lumpur sejak setahun lalu. Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, pihaknya mengesahkan berjaya memberkas ketua kumpulan itu yang amat dikehendaki polis sejak setahun lalu.


Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dilakukan pada kenderaan dinaiki suspek turut menemui dua pistol palsu berwarna hitam dan kelopak peluru palsu, dua unit walkie-talkie model Kenwood, sebuah komputer riba jenama Acer, satu gari jenama 'The Smits Handcuff co', 16 telefon bimbit pelbagai jenama, sebatang kunci pelbagai guna yang ditajamkan serta satu topeng mulut warna hitam.


"Siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan mensasarkan rompakan dan samun terhadap butik serta premis perniagaan khususnya yang beroperasi 24 jam sekitar daerah Ipoh, Manjung dan Perak Tengah di Perak serta di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Mereka bergerak menggunakan kereta yang disewa dengan seorang menunggu dalam kenderaan, seorang memegang walkie-talkie memantau keadaan manakala dua orang lagi melakukan rompakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

No comments:

Post a Comment