Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kenapa perlu bising-bising?'

Posted: 24 May 2013 10:29 AM PDT

Kuala Lumpur: Koo Kien Keat menganggap apa yang berlaku sejak Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan Piala Sudirman seharusnya diselesaikan secara dalaman berbanding pendedahan terperinci kepada media oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai, kelmarin.

"Teguran itu memang penting tapi cara menegur juga penting kerana pendedahan seperti perjudian kepada media tidak sepatutnya berlaku. Pengurusan seharusnya menegur pemain. Tidak malukah seorang ayah (BAM) menceritakan keburukan anak kepada orang lain dan keburukan itu tentunya berpunca daripada kegagalan ayah itu sendiri," kata Kien Keat di Stadium Juara, Bukit Kiara selepas latihan pagi semalam.


Sambil mengaku kekalahannya antara punca pasukan negara gagal ke suku akhir, Kien Keat yang bergandingan dengan Tan Boon Heong berkata, dia sendiri mencari punca kegagalannya.

"Tiada siapa yang mahu kalah, saya juga mahu menang tapi perkara sebaliknya terjadi. Saya amat kecewa kerana sering menjadi bahan bualan apabila tewas hinggakan orang menganggap kami sering meminta jurulatih baru," kata Kien Keat.


"Sebenarnya apa yang ditulis media selama ini, mengatakan saya mahukan jurulatih tertentu tidak benar kerana kami tidak pernah memohon kepada BAM. Ini keputusan BAM, mereka yang menentukan siapa jurulatih kami.


"Tapi tidak mengapa, saya sudah lali dikritik, cuma selepas ini saya bimbang jika Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang baru naik menjadi mangsa seperti saya.

Foto

Koo Kien Keat

"Sebagai pemain, saya juga manusia, ada sikap malas dan ingin berseronok tapi saya harap ada jurulatih yang mampu membimbing saya, menegur (mengawal) dan menunjukkan saya jalan betul.


"Kami mahu kembali ke puncak kejayaan tapi tidak nampak. Untuk menunjukkan jalannya sudah tentu jurulatih." Sementara itu, Kien Keat menganggap perubahan drastik kepemimpinan dan kejurulatihan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) yang dibarisi bekas pemain tersohor negara itu tindakan tepat.

"Memang lain dan apa yang PBSI lakukan itu betul. Mereka kini dibarisi semua orang yang tahu dan pakar dalam sukan badminton dan saya gembira bagi pihak mereka." Kien Keat-Boon Heong tidak menang kejohanan besar sejak menjuarai Siri Super Terbuka Switzerland 2009.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

'Terus sokong kami'

Posted: 24 May 2013 10:19 AM PDT

Kota Bharu: Tonggak penting pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri menuntut penyokong supaya terus yakin dengan kemampuan The Red Warrios (TRW) untuk membenam Terengganu pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Kekalahan mengaibkan kepada musuh ketat Johor Darul Takzim (JDT), 0-2 pada aksi Liga Super, Rabu lalu mengecewakan penyokong dan mereka mengecam percaturan ketua jurulatih Bojan Hodak. Nwaneri berkata, kekalahan itu bukan noktah perjuangan dan meminta penyokong supaya terus memberi sokongan kepada pasukan. Katanya, penyokong tidak seharusnya menuding jari kepada jurulatih atau pemain sebaliknya perlu menerima hakikat sama ada menang atau kalah dalam setiap perlawanan. "Kami turut kecewa namun tidak akan berhenti di situ dan berharap penyokong akan terus bersama kami terutama ketika berdepan Terengganu.


"Kami akui ada kelemahan dan ia bukan salah jurulatih saja kerana kami turut bertanggungjawab," katanya.

Pemain berusia 31 tahun dari Nigeria itu tetap optimis sasaran mempertahankan Piala FA mampu dicapai ketika peluang menguasai Liga Super semakin tipis namun tetap berjuang untuk berada dalam kelompok empat terbaik. "Kini kami lebih fokus untuk saingan Piala FA namun itu tidak bermakna kami akan tercicir dalam Liga Super, malah kami akan mengejar kedudukan sekurang-kurangnya empat terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Penyu lanjut rehat Owona

Posted: 24 May 2013 10:18 AM PDT

Kuala Terengganu: Hasrat Terengganu untuk menurunkan 'ayam tambatan' yang juga penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jean Emmanuel Effa Owona dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA bertemu Kelantan, malam ini tidak kesampaian apabila pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Ketiadaan penyerang import dari Cameroon itu sudah pasti memberi tamparan hebat buat skuad Penyu yang berazam mengulangi kejayaan menundukkan Kelantan, 2-1 di final Piala FA, dua musim lalu.


Pengurus Terengganu Marzuki Sulong berkata, ketiadaan Owona merisaukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang mengharapkan pemain itu cepat pulih untuk diturunkan.

Menurutnya, penting buat Terengganu mencari bekalan bagi menewaskan pasukan jiran itu sebelum bermain di laman sendiri dalam perlawanan timbal balik 28 Mei ini.


"Owona sudah berada di Kuala Terengganu sejak beberapa hari lalu, namun dia belum cergas serta pulih sepenuhnya untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.


"Sebelum ini kita jangkakan dia sempat pulih namun berdasarkan perkembangan terkini, pemain itu mungkin terpaksa disisihkan," katanya. Bagaimanapun, ketiadaan pemain tinggi lampai itu tidak akan menjejaskan peluang Terengganu kerana ada beberapa pemain seperti Mohd Ashari Shamsudin, Abdul Manaf Mamat, Mohd Khairul Ramadhan Zauwawi dan Farderin Kadir yang mampu menggalas tugas.

Owona patah tangan kanan akibat diterjah keras penjaga gol FELDA United, Mohd Helmi Eliza Alias pada pertemuan yang menyaksikan Terengganu menang 2-1, April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Yongbo rombak pasukan

Posted: 24 May 2013 10:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas dikejutkan saingan sengit Indonesia pada suku akhir lalu, ketua jurulatih China Li Yongbo bakal merombak barisan pemain yang akan diturunkan menghadapi Denmark di separuh akhir Piala Sudirman, hari ini.

Kehilangan dua mata penting, beregu campuran nombor satu dunia, Xu Chen-Ma Jin dan pasangan emas Olimpik London, Fu Haifeng-Cai Yun membuka mata ketua jurulatih itu peluang lawan merobek keutuhan Tembok Besar.


"Saya mungkin ubah barisan pemain yang diturunkan ketika berdepan Denmark," kata Yongbo.

Beliau menyedari acara berpasukan sentiasa memberikan cabaran berbeza di setiap peringkat dan tahap kesukarannya tidak dapat dijangka.


Ketika Denmark dijangka menurunkan barisan sama di separuh akhir, China mempunyai pilihan, namun agak terhad.


Perseorangan lelaki dan wanita boleh dianggap sah milik China, namun mereka perlu berhati-hati kerana mata pertama menerusi beregu campuran mungkin milik Denmark kerana Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen hanya ketinggalan 3-4 berbanding Xu Chen-Ma Jin dan mendahului rekod pertemuan dengan Zhang Nan-Zhao Yunlei, 6-5.

Yong Bo juga pasti pening memilih sama ada mahu menurunkan juara Seluruh England, Liu Xiaolong-Qiu Zihan atau pemain berpengalaman, Fu Haifeng-Cai Yun yang tidak cukup kejohanan antarabangsa sejak Olimpik London lalu.


Selain China-Denmark, perlawanan separuh akhir antara Korea dan Thailand juga menarik.

Kemenangan ke atas Jepun terutamanya menerusi beregu lelaki Maneepong Jongjit-Nitpitphon Puangpuapech tentunya memberikan mereka keyakinan untuk melakar satu lagi sejarah dengan diketuai juara remaja dunia, Ratchanok Inthanon sambil mengharapkan perseorangan lelaki, Tanongsak Saensomboonsuk bangkit dengan aksi lebih bertenaga.


Korea pula mengharapkan kekuatan beregu lelaki sama ada Lee Yong Dae-Ko Sung Hyun, Kim Ki Jung-Kim Sa Rang, beregu wanita Kim Ha Na-Jung Kyun Eun serta beregu campuran Sung Hyun-Ha Na untuk menghadiahkan mata kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Zaqhwan terpantas

Posted: 24 May 2013 09:40 AM PDT

Kuala Terengganu: Mohd Zaqhwan Zaidi memperaga aksi bertenaga apabila mencatat masa terpantas sesi ujian masa yang juga rekod baru litar bagi kategori CP130 pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Terengganu, semalam.

Pelumba GiVi Honda Yuzy Pachie itu merakam catatan terpantas 40.999 saat, 0.093s lebih pantas berbanding rekod 2012, 41.092s milik Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing).


Azlan Shah pula tetap mengekalkan momentum terbaik apabila merakamkan masa kedua terpantas, 41.209s sambil juara pusingan lalu di Melaka, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) ketiga, 41.254s.

Bagi Zaqhwan, catatan terbaik hari ini meningkatkan keyakinan untuk memburu podium pertamanya musim ini. "Saya tidak sangka dapat melakukan catatan di bawah 41 saat namun jentera saya berada dalam keadaan terbaik. Tidak banyak perubahan kami lakukan dan saya hanya berusaha memberikan aksi terbaik sebaik keluar ke litar.


"Pada sesi Superpole esok (hari ini), saya akan cuba sekali lagi mencipta masa terbaik kerana mahu memulakan perlumbaan akhir di petak pertama. Saya mahu mengejar kedudukan podium di sini bagi menebus kekecewaan sepanjang dua pusingan lalu. Selain itu, saya juga mahu merapatkan jurang kedudukan mata dengan pendahulu keseluruhan," katanya.


Sementara itu, dua pelumba MAZ Racing mendominasi sesi ujian masa kategori CP115 selepas Mohd Haeikal Akmal Zakaria terpantas dengan 42.059s sambil Fakhrusy Syakirin Rostam kedua, 42.144s. Mohd Shariffudin Shamsuddin (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga 42.149s.

"Saya dan Fakhrusy akan merancang strategi bersama untuk sesi Shoot-Out. Sasaran kami merebut petak pertama dan kedua bagi perlumbaan akhir.


"Jika berjaya, kami sekali lagi akan bekerjasama untuk menghadapi perlumbaan akhir. Walaupun penting untuk saya mengejar podium peribadi namun pada masa sama kedudukan pasukan juga perlu diambil kira," kata Mohd Haeikal.

Dalam kategori Wira, dua pelumba Warner Pumps-YSP mempamer aksi cemerlang apabila Mohd Hafiza Rofa merakamkan masa terpantas, 42.471s sambil rakan nya Mohd Shafiq Rasol ketiga, 43.143s. Khairul Idham Pawi (Hyperspeed YAM Hon da Racing) kedua, 42.896s.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Rauf raih perak lebuh raya elit

Posted: 24 May 2013 09:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Muhammad Rauf Nur Misbah sekali lagi muncul penyumbang pingat skuad berbasikal negara apabila muncul naib juara lebuh raya elit lelaki sejauh 145.4 kilometer pada Kejohanan Pra-Sukan Sea 2013 di Naypyitaw, Myanmar.

Rauf melepasi garisan penamat dengan catatan 3 jam 52 minit 32 saat, tewas kepada pelumba Thailand, Navuti Liphong dengan gangsa milik rakan senegara, Settawut Yordsuwan.


Terdahulu pasukan Malaysia meraih perak dalam acara berpasukan manakala Thailand, emas dengan 11:33.57s. Gangsa milik pasukan Brunei selepas merekodkan 12:01:47s.

Keputusan itu memberi amaran awal buat pelumba negara lebih berhati-hati menggunakan strategi pada temasya sebenar, hujung tahun ini.


"Sebenarnya saya memperjudikan nasib pada baki 25 kilometer perlumbaan. Tiga pelumba Thailand sentiasa cuba melemahkan semangat dengan melakukan pelbagai acahan pemecahan.


"Apabila perlumbaan tinggal 5 kilometer kaki saya hampir kejang. Bagaimanapun saya bijak menyembunyikan kesakitan. Saya percaya peluang menang pingat mungkin musnah jika tiga pelumba Thailand mengesan masalah saya," kata Rauf.

Sementara itu jurulatih skuad negara, Aminuddin Sulaiman mengaku tuah memainkan peranan besar dalam keputusan acara lepas beramai-ramai elit lelaki semalam.


"Kita kehilangan banyak masa apabila dua pelumba mengalami tayar bocor di bukit. Ia bertambah parah apabila pelumba Thailand bijak mengambil kesempatan," katanya.

Tamatnya kejohanan Pra Sukan Sea semalam, menyaksikan skuad negara membawa pulang satu emas dan tiga perak. Rauf, Anak kelahiran Selangor itu sebelum ini beraksi cemerlang menghadiahkan emas dalam acara ujian masa individu (ITT) manakala perak disumbang Mariana Mohamad (ITT) dan ujian masa berpasukan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Keputusan lebih tepat

Posted: 24 May 2013 09:39 AM PDT

Putrajaya: Penggunaan 'transponder chip time' di basikal peserta dalam acara Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia membolehkan keputusan diketahui dengan tepat dan cepat.

Kemudahan teknologi tinggi disediakan The Race Boy itu juga membenarkan penganjur dan pasukan teknikal memperoleh keputusan dengan tepat sekali gus mengelak sebarang pertikaian di kalangan pelumba.


Pengarah The Race Boy Suhaimi Shaharudin berkata, teknologi canggih itu sudah banyak digunakan dalam pelbagai acara peringkat antarabangsa termasuk Piala Dunia Mountain Bike, Jelajah Malaysia, Le Tour de Langkawi dan Borneo Race.

Malah, alat ini bukan saja digunakan dalam perlumbaan basikal tetapi pertandingan triatlon, maraton, motosikal dan kereta.


"Setiap pelumba kategori elit yang menyertai perlumbaan ini akan dibekalkan 'transponder chip time' untuk merekodkan data termasuk nama, kedudukan, nombor perlumbaan, pusingan yang sudah dibuat, masa dan perbezaan masa.


"Cara ini lebih mudah dan menjimatkan masa serta kos kerana semua data terus dimuat naik dalam laman web, berbanding cara manual menggunakan 'stop watch' kerana memerlukan ramai krew dan mungkin timbul pertikaian," katanya selepas meninjau lokasi trek perlumbaan di Persint 15, di sini, semalam.

Suhaimi berkata, bagi pelumba pula, mereka akan puas hati kerana keputusan tepat dan boleh dipercayai, malah mereka juga dapat mengetahui masa yang dicatat bagi setiap pusing.


Katanya, ia sekali gus membolehkan mereka membuat perbandingan dengan pelumba lain dengan lebih mudah.

"Boleh dikatakan 100 peratus keputusan diperoleh kelak tepat."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Peluang mendaftar di Festival Belia

Posted: 24 May 2013 09:38 AM PDT

Putrajaya: Pengunjung Festival Belia Putrajaya 2013 yang berminat menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia boleh terus mendaftarkan penyertaan di gerai pameran yang terletak di Pavilion Youth Tourism Fair berhadapan bangunan Kementerian Kewangan, di Presint 2, di sini.

Pengurus Pemasaran Perniagaan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Hafiza Zainal Abidin berkata, mereka hanya perlu membeli akhbar Harian Metro, mengisi borang di akhbar itu dan menjelaskan yuran penyertaan.


Katanya, yuran penyertaan sejumlah RM50 dikenakan untuk kategori terbuka dan RM90, elit.

"Gerai ini akan dibuka sepanjang Festival Belia Putrajaya 2013 yang berakhir Ahad ini (esok). Mereka yang berminat menyertai perlumbaan sukan lasak ini boleh terus mendaftar di gerai pameran disediakan.


"Ini satu daripada langkah dan usaha kami untuk memudahkan orang ramai menyertai perlumbaan yang julung kali diadakan Harian Metro," katanya.


Sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013-Cuti-Cuti 1 Malaysia akan diadakan pada 1 dan 2 Jun ini bermula di Dataran Presint 15 hingga Taman Rimba Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Makin membara!

Posted: 24 May 2013 09:37 AM PDT

London: Permusuhan antara Bayern Munich dan Borussia Dortmund semakin membara apabila kedua-dua kelab Jerman itu bertembung buat kali pertama pada final Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Hubungan antara dua pasukan terbaik Jerman itu sentiasa tegang menjelang pertemuan di Stadium Wembley namun apa yang berlaku di luar padang menjadikan perebutan kejuaraan kelab terbaik Eropah itu lebih bernilai.


Paling ketara Dortmund yang tidak gembira dengan perpindahan Mario Goetze ke Bayern musim depan dan penjaring terbanyak Robert Lewandowski dijangka bakal menyusul.

Meskipun menamatkan kempen dengan rekod 25 mata mengatasi Dortmund dalam Bundesliga, Bayern mahu mengesahkan status sebagai kelab terbaik negara itu selepas kecewa menyaksikan Dortmund merangkul gelaran liga dua kali berturut-turut serta menerima pujian kerana mempamerkan gaya permainan menarik.


"Dortmund mengecewakan kami selama dua tahun. Ini peluang terbaik menebus kekecewaan itu," kata presiden Bayern Uli Hoeness selepas merangkul gelaran liga dengan baki enam perlawanan.


Goetze dianggap permata baru Jerman dan Bayern sanggup menebus kontrak 37 juta euro (RM145 juta) untuk memantapkan pasukan sekali gus memberikan kejutan besar buat pencabar utama domestik.

Jurulatih Dortmund Juergen Klopp berkata, beliau hampir mengalami serangan jantung apabila mendengar berita perpindahan pemain berusia 20 tahun itu dan beberapa pemainnya tidak boleh tidur lena selepas itu. Beliau menyamakan Bayern dengan penjahat James Bond.


Pengarah sukan Bayern Matthias Sammer membalas balik kritikan itu.

"Jangan fikir semua orang di dunia menyokong anda," kata Sammer. "Kami mempunyai kebebasan bersuara di Jerman. Beliau memberikan pandangan mengenai sesuatu perkara dan kami tidak bersetuju." Sammer yang memenangi gelaran liga sebagai pemain Dortmund pada 1997 dan kemudian membimbing pasukan itu merangkul gelaran Bundesliga 2002 bertelagah dengan Klopp di tepi padang ketika kedua-dua pasukan seri 1-1 dalam aksi Bundesliga awal bulan ini.


Isu Lewandowski juga antara yang menjadi tumpuan.


Penyerang Poland itu yang menjaringkan 10 gol dalam kempen Liga Juara-Juara musim ini enggan menandatangani kontrak baru bersama Dortmund dan dilapor sudah memaklumkan kepada pengurusan kelab untuk menyertai Bayern.


Dortmund tersepit antara mahu menjualnya ketika kontrak pemain itu berbaki setahun lagi atau melepaskannya secara percuma pada 2014.


Ketika Lewandowski dijangka bermain perlawanan terakhir untuk Dortmund, awal pagi esok, Goetze pula terlepas peluang akibat kecederaan hamstring dialami ketika beraksi selama 12 minit pada separuh akhir kedua menentang Real Madrid.


Bagaimanapun Dortmund membelasah Bayern, 5-2 pada perlawanan akhir Piala Jerman tahun lalu ketika Goetze hanya memanaskan bangku simpanan.


Kekalahan pada final Liga Juara-Juara menerusi sepakan penalti kepada Chelsea di gelanggang sendiri menguatkan lagi azam Bayern untuk memenangi kejuaraan musim ini. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Dortmund, Bayern

Posted: 24 May 2013 09:37 AM PDT

Dortmund: Jurgen Klopp menganggap prestasi Borussia Dortmund sewaktu beraksi di peringkat kumpulan amat mengejutkan sekali gus optimis mereka mampu mencapai kejayaan istimewa musim ini.

Namun, jika Borussia Dortmund menjuarai Liga Juara-Juara di Wembley, awal pagi esok, mereka pasti melakukannya dengan cara sukar.


Selepas diletakkan dalam kumpulan sama dengan pasukan yang pernah memenangi gelaran sebelum ini, Ajax Amsterdam, Manchester City dan Real Madrid yang kemudian disingkirkan menerusi empat gol Robert Lewandowski, kelab Schwarzgelben itu bukannya asing kepada 'drama' di pusingan kalah mati.

Biarpun selepas pasukannya mengaut faedah daripada gol lewat ketika menentang Shakhtar Donetsk dan Malaga, pada pertemuan pusingan kedua dan suku akhir, selain menangkis cubaan Real untuk bangkit di Santiago Bernabeu, Klopp tetap menganggap keputusan seri 1-1 pada perlawanan kedua sebagai detik Dortmund mungkin mencapai kejayaan luar biasa.


"Perasaan cukup hebat kami rasa apabila berjaya mara ke pusingan kedua kerana kami melakukannya dengan cara yang begitu istimewa," katanya. "Cara pasukan ini bermain di peringkat kumpulan amat mengejutkan dan perlawanan menentang City menyedarkan kami yang kami sebenarnya mampu bersaing dengan pasukan hebat di Eropah atau meraih sesuatu yang lebih baik," katanya.


Kini, penghalang Dortmund mengakul takhta kedua Eropah mereka adalah pasukan yang menduduki tangga kedua tahun lalu, Bayern Munich. Mereka mungkin menamatkan saingan Bundesliga dengan perbezaan 25 mata di belakang anak buah Jupp Heynckes dan tewas dalam dua daripada empat pertemuan membabitkan kedua-dua kelab itu musim ini tapi pendirian Klopp tidak berubah. Beliau tetap menegaskan, pendekatannya terhadap pertemuan yang mungkin dianggap paling besar buat Dortmund, sama seperti menghadapi perlawanan lain.

"Kami tidak pernah menyesuaikan diri untuk lawan kami, begitu juga dengan Bayern. Mengapa kami perlu lakukannya sekarang? Hanya kerana ia final? Rahsianya ialah menganggap perlawanan itu seperti biasa tapi melaksanakannya dengan cara berbeza dan itulah yang akan kami lakukan. Siapa tahu, ia mungkin menjadi penentu kemenangan kami." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

No comments:

Post a Comment