Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kaki guru tertusuk batang besi

Posted: 22 May 2013 09:20 AM PDT

Briarwood: Seorang guru cedera selepas tertusuk besi kaki meja ketika melindungi muridnya apabila puting beliung yang membawa angin selaju 320 kilometer sejam (kmsj) menerbangkan sisa runtuhan di Oklahoma, kelmarin.

Suzanne Haley yang melindungi murid di Sekolah Rendah Briarwood mengalami kecederaan serius apabila kaki kanannya tertusuk besi berkenaan.


Guru darjah satu itu berlindung bersama muridnya di bawah meja ketika puting beliung berkenaan melanda kawasan sekolah itu.

Dia dihantar ke hospital dengan sebuah trak.


Bercerita mengenai peristiwa itu, Suzanne berkata: "Dinding kelas runtuh dan menghempap kami yang ketika itu berlindung di bawah meja.


"Mulanya saya fikir sesuatu yang besar dan berat menghempap kaki saya menyebabkan saya tersepit. "Saya tidak boleh bergerak. Tiada siapa yang dapat bergerak. Tetapi akhirnya kami mampu berguling dan keluar. Saya meminta anak saya melihat apa yang menghempap kaki saya dan mengangkatnya. Tetapi selepas melihatnya, dia menjerit." Guru itu berkata, dia terpaksa mengawal perasaan untuk menenangkan muridnya.

"Saya berjaya melakukannya. Saya sungguh terkejut. Saya tidak boleh cemas di depan anak saya dan murid lain. Saya perlu bertenang demi mereka," katanya.


Suzanne mulanya bimbang bayaran rawatan perubatan kerana perlindungan insurans yang dibelinya tidak meliputi kecederaan seperti itu.

Tetapi selepas menonton wawancara yang disiarkan televisyen, syarikat insuransnnya memaklumkan kepada guru yang berani itu bahawa mereka akan menanggung kos rawatan berkenaan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/23

Wanita basuh pinggan, kemas rumah ketika tidur

Posted: 22 May 2013 09:17 AM PDT

Cambridgeshire: Seorang wanita mengalami keadaan ganjil - membasuh dan mengemas rumah ketika tidur.

Claire Bartlett, 50, membasuh pinggan mangkuk, menyapu dan menggilap tingkap ketika nyenyak tidur.

Kejadian ganjil itu bermula pada Claire Oktober lalu.

Bagaimanapun, kerana kerja yang dilakukan itu baik, dia mahupun suami, Crispin, 63, tidak berusaha untuk mencari rawatan bagi mengatasi masalah berkenaan.


"Saya berpendapat ia menjadi impian semua isteri dan setiap suami. Saya tidak merasa penat selepas itu. Lebih menyeronokkan kerana apabila terjaga, semuanya sudah beres.


"Ia berlaku kira-kira tiga kali seminggu. Keluarga saya berpendapat ia agak kelakar. Malah saya mula membiarkan pinggan tidak berbasuh dengan harapan saya akan membasuhnya ketika tidur." katanya ketika ditemui media.

Claire dari Newport, Wales Selatan mempunyai dua anak dan mereka turut mula berjalan dalam tidur secara tiba-tiba enam tahun lalu.

Pakar tidur Dr Nicholas Oscroft dari Hospital Papworth di Cambridgeshire berkata: "Apabila masalah ini berlaku, mereka biasanya separuh sedar, tetapi bukan dalam keadaan kesedaran yang normal."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Guru jadi penyelamat

Posted: 22 May 2013 08:34 AM PDT

Moore (Oklahoma): Suara pengetua kedengaran menerusi intercom di Sekolah Rendah Plaza Towers: "Ribut besar semakin hampir dan murid perlu pergi ke kafetaria dan menunggu ibu bapa masing-masing untuk mengambil anda."

Tetapi sebelum murid sekolah itu dapat ke sana, loceng kecemasan puting beliung berbunyi.


Rancangan itu berubah serta-merta.

"Semua guru mula menjerit di kelas masing-masing, 'Pergi ke dewan! Kami tidak mahu kamu mati atau cedera.' Kami serta-merta lari," kata pelajar darjah enam Phaedra Dunn. Sekurang-kurangnya tujuh murid itu maut dalam bencana berkenaan yang melanda Isnin lalu sementara yang lain terpaksa merangkak keluar dari runtuhan dalam keadaan berdarah, luka dan ketakutan.


Puting beliung yang memusnahkan pinggiran Oklahoma yang mempunyai 56,000 penduduk turut membadai Sekolah Rendah Briarwood.


Bagaimanapun, semua pelajar sekolah itu terselamat.

Murid dan ibu bapa semalam menceritakan semula mengenai keberanian guru yang melindungi kanak-kanak, dalam beberapa kes menolak mereka masuk ke dalam almari dan bilik air kerana bimbang dan panik.


Selepas bunyi amaran puting beliung kedengaran, murid di Plaza Towers bergegas ke dewan. Namun, dewan itu, kelihatan tidak cukup selamat.

Murid darjah enam Antonio Clark berkata, seorang guru membawanya dan beberapa murid lain seramai mungkin memasuki tiga bilik air murid lelaki. Seorang lagi guru memeluk dua pelajar sambil memegang tangan Clark.


Dua puluh saat kemudian dia dengar bunyi amat kuat hingga menyakitkan telinga.


Kemudian bunyi itu berhenti secara tiba-tiba. Dengan mencangkung dan beg galas di kepalanya, Clark melihat ke atas. Siling dan bumbung bilik mandi itu tiada lagi.


Clark dan seorang rakan adalah yang pertama berdiri. Mereka merangkak mendaki runtuhan yang beberapa minit sebelum itu adalah bilik darjah mereka.


Guru dan murid lain bergelut untuk membebaskan diri daripada runtuhan batu dan kayu. Ada di antara mereka luka di kepala.


"Semua orang menangis. Saya juga menangis kerana tidak pasti sama ada keluarga saya selamat," kata Clark. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Dadah RM150 juta dalam kondo

Posted: 22 May 2013 08:25 AM PDT

Bangkok: Satu serbuan di sebuah kondominium di daerah Bung Kum semalam menyaksikan rampasan dadah terbesar di bandar raya ini, semalam.

Polis berjaya merampas kira-kira 4.5 juta pil methamphetamine dan 60 kilogram serbuk methamphetamine bernilai kira-kira 1.5 bilion baht (RM150 juta), kata Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Pengawalan Narkotik, (ONCB), Jeneral Pongsapat Pongcharoen. Bertindak hasil maklumat diterima, polis menyerbu unit 302 dan 320 Menara Peera Phokaew di Soi Phokaew dan menemui dadah berkenaan disembunyikan dalam almari pakaian.


Polis turut menahan tiga suspek dalam serbuan itu iaitu Suthichai Kama, 22, Sing Kaewpu, 20, dan seorang remaja berusia 16 tahun. Pongsapat berkata, suspek diupah untuk menjaga dadah berkenaan yang dikatakannya dibawa ke Bangkok dari Chiang Mai melalui rangkaian dadah Wa.

Polis turut melancarkan operasi menumpaskan kumpulan utama pengedaran dadah di Bangkok. Mereka menahan seorang suspek dan menyita aset bernilai lebih 50 juta baht (RM5 juta).


Polis menahan Thanyaporn Khanankhaeng, 36, isteri kepada ketua kumpulan utama dadah, Kosin Chuchai, 31, kata Pongsapat.


Turut dirampas ketika penahanan Thanyaporn di daerah Klong Sam Wa ialah 59 butir peluru, 76 botol cecair methamphetamine, kad pengenalan palsu Biro Pengawalan Narkotik dan kad media dengan identiti pengenalan Kosin. Polis juga menyita tiga kereta, tujuh juta baht (RM700,000) yang disimpan dalam 13 akaun bank, tiga kediaman di Bangkok dan sebuah garaj di Pathum Thani.

Polis masih memburu Kosin dan sekurang-kurangnya 10 lagi suspek yang terbabit dalam rangkaian dadahnya.


Polis menjangkakan akan menyita lebih banyak aset yang dianggarkan bernilai 100 juta baht (RM10 juta).

Kosin menjalankan perniagaan dadah melalui kumpulannya yang beroperasi di pasar Klong Toey, tetapi kemudian berpindah ke daerah Min Buri.


Polis mendapat tahu kumpulan itu mengupah orang lain untuk membuka akaun bank bagi menyimpan wang diperoleh daripada perniagaan dadah mereka. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Tak cukup tidur tingkat risiko serangan jantung, diabetes

Posted: 22 May 2013 08:24 AM PDT

Singapura: Menurut artikel dalam Annals, jurnal Akademi Perubatan Singapura, baru-baru ini, seorang daripada tiga individu di negara ini mendapat tidur yang sedikit hingga menjejaskan kesihatan.

Individu yang tidak dapat tidur secukupnya lebih terdedah kepada kegemukan dan diabetes serta masalah jantung.


Tidur yang tidak mencukupi juga meningkatkan kadar kemalangan kenderaan dan industri. Menurut Profesor Michael Chee dari pusat kognitif neurosains di Sekolah Sarjana Perubatan Universiti Nasional Singapura-Duke.

Chee yang menulis artikel itu memetik angka dari pelbagai kajian yang dilakukan di peringkat tempatan dan antarabangsa sejak sedekad lalu.


Satu kajian yang bakal diterbitkan dan dijalankan di sini mendapati individu yang tidur selama lima jam atau kurang mempunyai tahap kalsium atreri koronari yang tinggi yang meningkatkan risiko serangan jantung.


"Ia sudah diketahui di tempat lain, tetapi apabila anda melihatnya di kalangan masyarakat sendiri, ia membuatkan anda berfikir dua kali," katanya.

Orang dewasa memerlukan tujuh hingga tujuh jam setengah waktu tidur. Paling kurang pun enam jam walaupun tempoh itu masih menjejaskan keseluruhan prestasi, kata Chee, seorang pakar neurologi yang sudah menjalankan kajian mengenai bagaimana kekurangan tidur boleh menjejaskan otak. - Straits Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Kanak-kanak mati berpelukan dalam kebakaran

Posted: 22 May 2013 08:22 AM PDT

Muang: Mayat seorang kanak-kanak lelaki dan adik perempuannya yang berpelukan antara satu sama lain ditemui selepas kediaman mereka di Phitsanulok terbakar, malam kelmarin.

Pihak berkuasa berkata, kebakaran didapati berpunca daripada api lilin yang digunakan mereka kerana bekalan elektrik dipotong berikutan bil yang tidak dibayar.

Anggota bomba mengambil masa 30 minit untuk memadamkan api yang memusnahkan rumah papan setingkat itu.

Ibu mangsa, Chutikan Polnok, 39, turut mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan dua anaknya itu.


Chutikan memberitahu polis, anaknya yang pulang dari sekolah menyalakan lilin untuk membuat kerja sekolah, manakala dia pergi bekerja di restoran berhampiran. Tidak berapa lama kemudian, jirannya memanggilnya dan memberitahu bahawa rumahnya terbakar. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Bekalan elektrik di Selatan Thai terputus

Posted: 22 May 2013 08:21 AM PDT

Pattani: Bekalan elektrik yang terputus secara meluas di selatan Thailand malam semalam boleh menyebabkan sektor memproses makanan dan getah kerugian kira-kira 10 bilion baht (RM1 bilion) dan kerajaan perlu memastikan ia tidak akan berlaku lagi, kata Setiausaha Agung Persekutuan Industri Thai (FTI), Tanit Sorat, semalam.

Tanit berkata, pengeluaran makanan sejuk beku, getah dan perikanan semuanya terjejas kerana sektor itu memerlukan bekalan elektrik untuk mesin memproses beroperasi dan menyimpan hasil produk pengeluaran.


Anggaran awal jumlah kerugian di empat belas wilayah terbabit ialah kira-kira RM1 bilion.

Tiada angka terperinci berhubung dengan jumlah kos setakat ini tetapi dalam tempoh jangka panjang masalah akan menjejaskan pengeksportan sektor berkenaan kerana produknya tidak dapat kekal segar tanpa bekalan elektrik.


Kebanyakan kilang pembekuan terletak di Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Songkhla, Trang, Pattani dan Satun. Setiausaha Agung Persatuan ejen Pelancongan Thai, Charoen Wangananont berkata, terdapat insiden bekalan elektrik terputus di Phang Nga dan Phuket selama dua jam malam semalam. Kesannya adalah minimum, tetapi kerajaan perlu memastikan masalah itu tidak berlaku lagi kerana ia akan menjejaskan keyakinan pelancong. Pengurusan Lapangan Terbang Hat Yai dan Phuket mengesahkan lapangan terbang terbabit tidak terjejas dengan kejadian itu. Penjana tenaga elektrik sokongan segera berfungsi sebaik bekalan elektrik terputus. Sistem kecemasan itu dapat membekalkan tenaga elektrik selama 24 jam, tetapi bagi memastikan masalah tidak berulang, mereka meminta kapasiti bekalan tenaga elektrik ditingkatkan.


Pengerusi Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Somchart Pimtanapoonporn berkata, perniagaan di sektor pelancongan seperti hotel utama di Hat Yai tidak terjejas kerana mereka mempunyai mesin penjana tenaga elektrik. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Indonesia mahu naikkan harga minyak bulan depan

Posted: 22 May 2013 08:19 AM PDT

Jakarta: Menteri Kewangan baru Indonesia berkata, kerajaan mahu menaikkan harga bahan api bulan depan dan mencadangkan ganti rugi tambahan dalam belanjawan tahun ini bagi membantu melindungi golongan miskin akibat impak peningkatan harga bahan api itu.

Subsidi harga bahan api menjadi beban utama kewangan kerajaan, tetapi kerajaan berkata, ia akan membuat pemotongan jika Parlimen meluluskan bantuan kewangan selanjutnya untuk golongan miskin. Chatib Basri yang dilantik sebagai Menteri Kewangan minggu ini memberitahu Parlimen bahawa harga petrol oktana rendah perlu dinaikkan 44 peratus kepada 6,500 rupiah (RM2) seliter. Harga diesel patut dinaikkan kepada 1,000 rupiah hingga 5,500 rupiah (RM0.30 hingga RM1.70). Ganti rugi tambahan kepada golongan miskin berjumlah 11.6 trilion rupiah (RM3.5 bilion).


Menurutnya, kajian semula belanjawan 2013 termasuk peningkatan subsidi bahan api kepada 209.9 trilion rupiah (RM64.6 bilion) daripada 193.8 trilion rupiah (RM59.9 bilion) sebelum ini. Jumlah perbelanjaan berhubung dengan bekalan elektrik ialah 100 trilion rupiah (RM30.9 bilion) meningkat daripada 80.9 trilion rupiah (RM25 bilion). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

6 polis Mesir dibebas militan

Posted: 22 May 2013 08:18 AM PDT

Kaherah: Enam polis Mesir dan seorang pengawal sempadan yang diculik kumpulan disyaki militan di Semenanjung Sinai minggu lalu dibebaskan awal semalam.

Jurucakap tentera Kolonel Ahmed Mohammed Ali, dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi tentera berkata, pembebasan itu adalah hasil perisikan tentera dengan kerjasama ketua kabilah serta penduduk Sinai.


Pembebasan dilakukan awal pagi semalam di tengah padang pasir.

Presiden Mohammed Mursi kemudian menyambut ketujuh-tujuh mangsa di sebuah lapangan terbang tentera di pinggir Kaherah, tempat mereka diterbangkan dari Syria.


Mursi sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada tentera, agensi keselamatan dan penduduk Sinai kerana usaha mereka mendapatkan pembebasan mangsa.


Penculikan dan jangkaan tentera Mesir akan melancarkan operasi besar-besaran bagi membebaskan anggota keselamatan itu menjadi tumpuan utama politik Mesir sepanjang minggu lalu. Gesaan supaya kes itu ditangani secara kekerasan meningkat selepas rakaman video yang dimuat naik di YouTube minggu lalu menunjukkan mangsa yang ditutup mata merayu Mursi memenuhi tuntutan penculik dan membebaskan sejumlah tahanan dari Sinai, termasuk anggota militan.

Bagaimanapun, ia mencetuskan kebimbangan kemungkinan penduduk tempatan bertindak balas terhadap operasi keselamatan tentera kerajaan seperti yang berlaku sebelum ini.


Berdepan dengan kemarahan di kalangan penduduk awam dan anggota pasukan keselamatan mengenai penculikan itu, Mursi berkata, pihaknya menimbang semua bentuk tindakan dan kerajaan tidak akan berunding dengan penculik.

Bagaimanapun, beberapa pegawai berkata perunding mengadakan perbincangan dengan penculik untuk mendapatkan pembebasan mangsa.


Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada pembebasan itu adalah tanda bahawa tuntutan penculik akan dipenuhi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

Lebih ramai pejuang Hizbullah masuk Syria

Posted: 22 May 2013 08:17 AM PDT

Damsyik: Sekumpulan pejuang Hizbullah di Lubnan memasuki Syria kelmarin untuk membantu tentera Presiden Bashar al-Assad yang berusaha menawan kubu kuat penentang di Qusayr.

"Adalah jelas anggota Hizbullah mengetuai serangan di Qusayr," kata Pengarah Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Rami Abdel Rahman.


Tentera Bashar melancarkan serangan untuk menawan semula bandar di wilayah Homs, tengah Iran itu sejak tiga hari lalu.

Menurut Rami, pesawat tentera Syria meningkatkan operasi pengeboman menyebabkan sebahagian bandar itu musnah.


Satu sumber rapat Hizbullah berkata, kumpulan itu menghantar anggota elit baru ke Quasyr sementara rangkaian televisyen kumpulan berkenaan menyiarkan imej upacara pengebumian untuk lima pejuangnya yang didakwa terbunuh ketika melaksanakan 'tugas jihad.' Rami berkata, lebih 100 orang terbunuh di bandar berkenaan sejak pertempuran bermula Ahad lalu, termasuk 31 anggota Hizbullah, 70 penentang dan sembilan askar kerajaan.


Beliau menyifatkan tentangan daripada kumpulan penentang Bashar sebagai sengit tetapi menyuarakan kebimbangan mengenai nasib 25,000 orang awam yang terperangkap.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kira-kira 20,000 orang awam, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak kemungkinan terperangkap dalam pertempuran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/22

No comments:

Post a Comment