Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Padah kontraktor nak jimat bil air

Posted: 28 May 2013 11:12 AM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan kontraktor sebuah projek pembinaan di Sri Keladi, Bukit Jalil, di sini 'menjimatkan' perbelanjaannya dengan melakukan penyambungan air haram memakan diri apabila tapak berkenaan diserbu, semalam.

Berikutan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menuntut ganti rugi RM98,179 daripada kontraktor kerana menggunakan bekalan air terawat secara tidak sah sejak dua tahun lalu.


Pengarah Eksekutif Bahagian Projek dan Air Tanpa Hasil SYABAS Yusof Badawi berkata, perbuatan tidak tanggungjawab itu berjaya dikesan menerusi pemeriksaan dan risikan pegawai penguat kuasa syarikat berkenaan. "Siasatan mendapati pihak kontraktor menggunakan paip getah sepanjang 50 meter yang disambungkan secara haram ke paip utama untuk mendapatkan bekalan air.

"Pemeriksaan juga mendapati tiada meter air ditemui di sekitar lokasi berkenaan dan hasil semakan menunjukkan tapak pembinaan ini tidak pernah mempunyai akaun dengan SYABAS," katanya.


Beliau berkata, bekalan itu dipercayai digunakan kontraktor untuk kerja pembinaan seperti membancuh simen dan mencuci kenderaan yang keluar masuk tapak itu.


"Sehubungan itu, SYABAS sudah mengeluarkan notis Pemberitahuan Kesalahan dan Tindakan Penguatkuasaan kepada kontraktor untuk menuntut ganti rugi manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi tindakan pendakwaan," katanya.

Foto

PEKERJA SYABAS memotong paip haram.

Katanya, pihak yang didapati bersalah mengambil air terawat secara haram boleh dikenakan penalti mengikut Seksyen 123 (3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Bersalin atas jalan

Posted: 28 May 2013 11:09 AM PDT

Serdang: Menyayat hati apabila seorang wanita terpaksa melahirkan bayi lelakinya di atas jalan di lorong belakang sebuah bank di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, berseorangan.

Ketika kejadian dia terasa hendak bersalin dan bertindak nekad melahirkan anaknya di belakang premis terbabit, kelmarin.


Bagaimanapun wanita berusia 23 tahun itu tidak bernasib baik apabila kandungannya songsang menyebabkan dia mengalami kesukaran hendak bersalin dan terpaksa bertarung nyawa hampir sejam untuk melahirkan kandungannya tanpa bantuan sesiapa.

Lebih menyedihkan, bayi lelakinya juga gagal diselamatkan apabila kakinya yang terkeluar terlebih dahulu menyebabkan bayi itu kelemasan sebelum meninggal dunia sebaik ibunya selamat bersalin.


Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, wanita terbabit yang masih belum berkahwin menaiki motosikal berseorangan jam 10.40 malam kelmarin sebelum tiba-tiba dia rasa sakit hendak bersalin.


"Panik dengan situasi itu, mangsa memberhentikan motosikalnya di lorong belakang sebuah bank dan bertindak berani cuba melahirkan anaknya.

"Mangsa yang tidak tahu kandungannya songsang bagaimanapun mengalami kesukaran untuk bersalin, namun selepas berhempas pulas akhirnya dia berjaya melahirkan bayinya itu.


"Bayinya gagal diselamatkan akibat lemas," katanya.

Sumber berkata, mangsa yang berlumuran darah dan tidak bermaya hanya tersandar di tepi dinding premis terbabit sebelum kebetulan seorang lelaki yang melalui kawasan itu menyedari kejadian terbabit.


"Lelaki itu yang menyangka mangsa ingin membuang bayi terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum unit peronda polis (MPV) tiba di tempat kejadian mendapati wanita terbabit sebenarnya baru lepas bersalin.


"Polis kemudian membawa mangsa dan bayi yang sudah tidak bernyawa itu ke Hospital Serdang," katanya.


Sumber itu berkata, ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan kejadian itu juga terkejut dengan berita diterima mereka kerana tidak mengetahui anak mereka mengandung.


"Difahamkan wanita terbabit sebelum ini tidak pernah berkawan dengan lelaki kerana dia sering membawa pulang rakan perempuan dipercayai 'teman wanitanya' kerana sikapnya yang seperti lelaki," katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Deputi Superintendan Lam Chien Fei ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Penyamun suruh diam

Posted: 28 May 2013 11:09 AM PDT

Sabak Bernam: "Shhh...diam! (sambil menunjukkan isyarat jari di mulut)," itu arahan penyamun kepada seorang kanak-kanak berusia lapan tahun selepas menyedari kanak-kanak itu terjaga ketika cuba melarikan diri dalam kejadian pecah rumah di Sungai Air Tawar di sini, Sabtu lalu.

Kejadian jam 5 pagi itu disedari tuan rumah yang juga bapa kanak-kanak itu selepas terdengar bunyi pelik di dalam rumahnya dan terkejut sejurus melihat kelibat seorang lelaki berdiri di hadapannya.


Sumber berkata, walaupun lelaki itu berada di hadapannya, mangsa yang berusia 41 tahun itu hanya mampu berdiam diri kerana khuatir lelaki terbabit mencederakannya. Katanya, susuk tubuh lelaki berkenaan seperti seorang perempuan sewaktu melarikan diri.

"Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian lebih RM50,000 apabila dua beg berisi barang kemas dan wang tunai RM1,600 dilarikan suspek yang berjaya meloloskan diri melalui pintu belakang rumah," katanya.


"Mangsa berada di ruang tamu ketika lelaki itu sedang melarikan diri sambil membawa dua beg," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Mohammad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

Guru silat parah ditetak

Posted: 28 May 2013 11:08 AM PDT

Alor Setar: Tindakan berani seorang guru silat dan anak lelakinya bergelut dengan sekumpulan penyamun yang memecah masuk sebuah stor barangan pertanian di hadapan rumah mereka mengundang padah apabila kedua-duanya parah seluruh badan akibat ditetak menggunakan parang, semalam.

Kejadian berlaku jam 6 pagi di Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, di sini, apabila dua beranak itu cuba melawan kumpulan tiga lelaki yang memasuki stor milik seorang peniaga yang menyewa tanah milik penduduk kampung berkenaan.


Difahamkan, Mohd Iqbal Abdul Rahman, 18, menunggang motosikal untuk ke tempat kerja di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Anak Bukit, di sini sebelum ternampak pintu stor itu erkenaan terbuka lalu menghubungi bapanya, Abdul Rahman Hashim, 51, untuk memaklumkan kejadian.

Mohd Iqbal berhenti di depan stor pertanian itu untuk melihat apa yang berlaku dan tiba-tiba diserang tiga lelaki bersenjatakan parang sebelum bapanya muncul bagi memberi bantuan, tetapi turut menerima nasib sama kerana berlaku pergelutan.


Saksi Jamaludin Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian dia sedang bersiap untuk membuka gerai makan di hadapan rumahnya yang hanya terletak 80 meter dari tempat kejadian.


Katanya, ketika itu dia terdengar bunyi riuh-rendah di tepi jalan, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka penduduk berhampiran bergurau sesama mereka.

"Pada masa sama, saya ternampak kereta Perodua Kancil dipandu laju dengan keadaan but belakangnya terbuka luas dan ketika itu saya mengesyaki sesuatu mencurigakan.


"Hati saya terdetik untuk melihat apa yang berlaku kerana keadaan ketika itu masih gelap. "Tidak lama kemudian, saya terdengar suara Mohd Iqbal meminta tolong dan memberitahu dia serta bapanya ditetak sekumpulan penjenayah.

"Saya membawanya yang berlumuran darah di muka, kepala dan tangan ke rumah mereka selain mencari bapanya yang sudah pulang lebih awal untuk mencuci darah di tangan," katanya.


Katanya, dia mendapati Abdul Rahman tidak bermaya, malah mangsa memberitahu pening dan hampir pitam akibat kehilangan banyak darah.


Menurutnya, mereka mengejutkan isteri mangsa Halijah Mohd Nor, 40-an untuk membawa mangsa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).


Keadaan dua beranak itu kini dilaporkan stabil dan masih dirawat di HSB.


Jiran mangsa Husin Mat, 53, berkata, kejadian itu kali pertama berlaku di kampung berkenaan kerana sebelum ini tidak pernah berlaku kegiatan jenayah.


Katanya, dia terkejut sebaik dimaklumkan Abdul Rahman yang juga anak saudaranya ditetak penyamun menyebabkan dia bergegas untuk melihat keadaannya, tetapi dua beranak itu sudah dihantar ke HSB akibat kecederaan serius.


"Saya rasa mungkin niat suspek hendak membunuh dua beranak apabila terus mengambil parang dan menetak mereka kerana bimbang dicam, tetapi syukurlah mereka selamat," katanya.


Sementara itu, pemilik stor Tan Boong Heong, 35, berkata, dia hanya menyedari kejadian pada jam 6.30 pagi selepas dihubungi penduduk kampung.


Katanya, dia kerugian RM10,000 apabila puluhan botol vitamin padi hilang dan ini kali pertama berlaku sejak 15 tahun membuka stor di situ.


"Saya tak sangka niat baik dua beranak itu mengundang padah hingga menyebabkan mereka ditetak penyamun yang tidak mempunyai perasaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

18 Jun bicara cerai Noniswara

Posted: 28 May 2013 11:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 18 Jun ini bagi perbicaraan cerai taklik pelakon Noniswara terhadap suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan cerai secara taklik yang difailkan Noniswara 9 Mei lalu.


Pelakon dari Pasir Mas, Kelantan itu memfailkan permohonan berkenaan mengikut Seksyen 50 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur susulan kegagalan menyerahkan saman permohonan cerai secara baik kepada suaminya walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, peguam syarie Datuk Amli Embong yang mewakili Noniswara memberitahu, mahkamah turut mengarahkan satu penyampaian gantian dibuat terhadap Rosman untuk ditampal di pejabatnya.


"Perbicaraan akan diteruskan walaupun defendan (Rosman) tidak hadir kerana sebelum ini kita sudah berusaha untuk serahkan saman di alamat terakhirnya sama ada di rumah mahupun pejabat, tetapi masih gagal," katanya.


Sementara itu, Noniswara atau nama sebenarnya Nonis Wara Baharudin, 44, berkata, suaminya pernah membalas SMS yang dihantarnya selepas dia menyamar menggunakan telefon bimbit milik orang lain.

"Bila saya guna telefon orang lain boleh pula dia jawab walaupun sebelum ini sudah banyak kali saya SMS dia, tetapi tidak dibalas," jelas pelakon itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/29

No comments:

Post a Comment