Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ramdan takluk Slovakia

Posted: 12 May 2013 08:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Liew Daren yang dikatakan mampu menjadi pengganti kepada pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei kini perlu berhati-hati dengan kebangkitan pemain muda negara Misbun Ramdan Misbun yang membuktikan dia kini berada di kelas tersendiri apabila mula merangkul kejayaan ketika langsung tidak disandarkan harapan bergelar juara pada usianya yang masih muda.

Pemain berusia 22 tahun meneruskan rentak kemenangannya dan terus dahaga memburu gelaran juara selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal, mudah membelasah lawan untuk bergelar juara Terbuka Slovakia, semalam.


Kejuaraan kedua milik juara kebangsaan itu hadir dalam tempoh 25 minit menundukkan lawan dari Perancis Lucas Corvee, 21-11, 21-12.

Diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Ramdan memulakan langkah menguasai set pertama apabila mengamalkan corak menyerang untuk menguasai setiap inci gelanggang.


Menduduki ranking ke-60 dunia, Ramdan langsung tidak kekok untuk terus mengekalkan corak permainan pantas untuk menguasai set kedua, 21-12 seterusnya merangkul gelaran antarabangsa kedua.


Dia sebelum itu merangkul kejuaraan pertama kejohanan senior antarabangsa apabila menewaskan pilihan utama Pablo Abian dari Sepanyol di final Kejohanan Antarabangsa Terbuka Portugal, April lalu.

Foto

RAMDAN amal taktik menyerang.

Ramdan mula menunjukkan tanda-tanda akan menjuarai lebih banyak kejuaraan dan akan terus menyertai kejohanan berstatus Cabaran Antarabangsa bagi membiasakan diri dengan kejuaraan di peringkat rendah selain meningkatkan lagi keazaman seseorang pemain untuk memburu kejuaraan lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

'Santapan' Alonso

Posted: 12 May 2013 08:53 AM PDT

Barcelona: Fernando Alonso muncul juara Grand Prix Sepanyol di depan penyokong sendiri semalam sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan pemandu Sebastian Vettel.

Dengan kejayaan itu, Alonso yang juga juara dunia dua kali, kembali berada di landasan tepat untuk merebut takhta kejuaraan Formula Satu.


Pemandu Finland Kimi Raikkonen menyambar tempat kedua buat kali ketiga berturut-turut sementara rakan sepasukan Alonso, Felipe Massa, ketiga.

Ia kemenangan kedua Alonso di Barcelona selepas kali terakhir muncul juara pada 2006.


"Kemenangan ini sangat istimewa kerana ia berlaku di hadapan penyokong sendiri.


"Perlumbaan ini seperti terlalu lama kerana saya tidak sabar untuk menamatkan perlumbaan ini secepat mungkin," kata Alonso.

Pada perlumbaan malam tadi, hampir kebanyakan pelumba memilih untuk menggunakan strategi empat hentian pit berikutan masalah berterusan mengenai tahap ketahanan tayar Pirelli.


Hanya bermula di petak kelima, Alonso masih mampu memenangi perlumbaan buat kali kedua musim ini sekali gus menyaksikan Ferrari mampu memberi cabaran kepada juara bertahan Red Bull.

Alonso nyata lebih pantas berbanding Vettel sepanjang perlumbaan yang menyaksikan juara dunia tiga kali berturut-turut itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.


Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber yang masih gagal memperbaiki hubungannya dengan Vettel, di tangga kelima.


Dengan kemenangan semalam, Alonso menduduki tempat ketiga senarai pemandu dengan mengumpul 72 mata, ketinggalan 13 mata di belakang Raikkonen.


Vettel masih unggul memimpin saingan dengan mengumpul 89 mata, empat mata mengatasi Raikkonen. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Nadal mara final Terbuka Madrid

Posted: 12 May 2013 08:50 AM PDT

Madrid: Rafael Nadal memerlukan satu kemenangan saja lagi untuk melakar kejuaraan kelima sejak kembali daripada kecederaan selepas pemain nombor lima dunia dari Sepanyol itu membenam pemain senegara Pablo Andujar 6-0, 6-4 untuk menempah pertemuan final Terbuka Madrid menentang Stanislas Wawrinka.

Sekalipun lutut kirinya berbalut yang menyaksikannya berehat tujuh bulan hingga Februari lalu, Nadal mempamerkan persembahan mengagumkan ketika dia mudah memenangi set pertama di gelanggang tengah Manolo Santana dalam cuaca panas.


Andujar, pemain wildcard yang menduduki ranking ke-113 dunia, bersaing lebih hebat pada set kedua namun pemain pilihan tempatan Nadal mematahkan servis lawannya buat kali keempat pada permainan kesembilan sebelum melengkapkan kemenangan dan menghampiri kejuaraan ketiga pada acara Masters di ibu negara Sepanyol itu.

"Keputusan ini terlalu bagus," katanya.


"Lima bulan lalu saya tidak pernah mengimpikan sesuatu seperti ini berlaku dalam beberapa bulan kebelakangan," kata pemain berusia 26 tahun itu. "Ia satu lagi mimpi untuk kembali ke final di gelanggang sendiri di Madrid." Wawrinka, pilihan ke-15, mengejutkan pilihan keenam dari Republik Czech Tomas Berdych, naib juara tahun lalu selepas kalah kepada rakan senegara Wawrinka dari Switzerland, Roger Federer, pada separuh akhir kedua 3-6, 6-4, 4-6.


Ia adalah final ketujuh Nadal dalam tujuh kejohanan sejak dia kembali manakala Wawrinka hadir di Madrid segar daripada kejayaannya menundukkan David Ferrer pada final di Estoril hujung minggu lalu, kejuaraan pertama pemain berusia 28 tahun itu sejak 2011.

Dia tidak pernah menundukkan Nadal dalam lapan pertemuan dan kecundang kepada pemain Sepanyol itu pada suku akhir Masters Monte Carlo 2012 pada pertembungan terakhir mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Lingmerth atasi Woods, Garcia

Posted: 12 May 2013 08:50 AM PDT

Ponte Vedra Beach, Florida: Pemain rookie Sweden, David Lingmerth mengatasi Tiger Woods dan Sergio Garcia untuk mendahului dengan dua pukulan selepas pusingan ketiga Kejohanan Pemain-Pemain PGA yang terganggu kerana cuaca buruk, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu menolak masuk eagle dari jarak lapan kaki pada lubang ke-16 par-lima dan membenam birdie dari jarak 10 kaki pada lubang ke-17 par-tiga untuk mengumpul 12 bawah par sebelum permainan dihentikan kerana cuaca gelap.


Lingmerth melakar empat bawah par pada kejohanan utama kelima tidak rasmi itu, kebangkitan lewat menyaksikannya mengatasi pendahulu semalaman Garcia dan pemain nombor satu dunia Woods dengan dua pukulan, kedua-duanya bermain di lubang ke-15 apabila permainan dihentikan dan rakan senegara Henrik Stenson, yang melengkapkan 16 lubang.

Stenson, bekas juara kejohanan itu di samping Woods dan Garcia, seketika mendahului dua pukulan dengan birdie pada lubang kesembilan di TPC Sawgrass berikutan penangguhan hampir dua jam kerana ancaman ribut petir.


Namun pemain Sweden itu merudum dengan bogey lubang ke-11 par-lima dan lubang ke-15 par-empat.


Berkongsi tangga kelima sembilan bawah par adalah Jeff Maggert, 49, yang melengkapkan enam bawah par 66, Ryan Palmer (selepas 16 lubang) dan Casey Wittenberg (17), yang bertanding bersama Lingmerth pada jelajah taraf kedua Jelajah Web.com tahun lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Mahu gegar sirkit pertama

Posted: 12 May 2013 08:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengalaman luas tiga bekas pelumba kebangsaan menjadi taruhan SMS Bikeplus Avanti Malaysia untuk menggegar pada saingan sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya, 2 Jun ini.

Antara pelumba yang menggalas cabaran pasukan itu untuk mencapai sasaran 10 kedudukan terbaik dalam perlumbaan yang dijangka berlangsung sengit itu adalah Shahrom Abdullah, Syakir Ismail dan Anwar Salehan.


Menurut wakilnya Nik Mohd Fariz Mohd Shariff, mereka sememangnya menantikan sirkit itu yang bakal mengukur tahap kemampuan pasukan terutamanya dengan kehadiran beberapa pelumba handalan sama ada yang masih mewakili negara atau sebaliknya.

"Selalunya dalam perlumbaan membabitkan beberapa sirkit, perlumbaan pertama adalah sengit selain kehadiran pelumba luar negara yang tidak dapat dijangka tahap kemampuan mereka. Namun ia bukan alasan untuk kami mengalah, kami sudah bersedia berbekalkan pengalaman dan latihan sejak beberapa tahun ini," katanya.


Menurutnya paling penting adalah perancangan yang teliti dan kerjasama antara ahli pasukan semasa perlumbaan berlangsung akan membuahkan kejayaan yang diimpikan.


Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan lima sirkit menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM220,000 selain cabutan bertuah yang turut menjadi daya tarikan.

Mensasarkan kira-kira 3,500 peserta, saingan di Putrajaya akan membabitkan tiga kategori utama perlumbaan iaitu elit, Terbuka Metro (Jamboree) selain demonstrasi dan pameran membabitkan beberapa aktiviti menarik untuk seisi keluarga dengan tarikh akhir penyertaan adalah Rabu ini.


Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Nor Azam Aziz (019-3245808) dan AJK Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

350 atlet, pegawai wakili Pahang

Posted: 12 May 2013 08:49 AM PDT

Kuantan: Seramai 350 atlet dan pegawai melengkapkan kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP) Datuk Nik Nasaruddin Mohd Zawawi berkata, semua atlet Pahang berazam mempamerkan kehebatan masing-masing bagi memburu pingat emas.


Menurutnya, MSP tidak mahu meletakkan sasaran tinggi memandangkan SUKMA XVI berbeza jika dibandingkan dengan SUKMA Pahang tahun lalu, namun pihaknya berjanji untuk mencatat keputusan terbaik.

"Setakat ini, kira-kira 300 atlet menjalani latihan intensif bersama persatuan sukan masing-masing dan semuanya berjalan lancar dalam memburu pingat emas buat kontinjen Pahang.


"Kita akan mengadakan kem bina semangat kira-kira dua minggu sebelum bertandang ke Kuala Lumpur sebagai suntikan moral buat semua atlet yang mengambil bahagian," katanya, semalam.


Pada SUKMA kali ini, Pahang akan menyertai 17 daripada 20 acara dipertandingkan termasuk tiga acara baru iaitu woodball, Muay Thai dan bolasepak pantai.

Nik Nasaruddin berkata, setakat ini tiga persatuan terbabit mengesahkan mereka mempunyai pasukan yang mampu meraih kejayaan.


Baru-baru ini, Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong mengesahkan woodball dan Muay Thai serta bolasepak pantai dipertandingkan buat kali pertama pada SUKMA kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Kontinjen UMS janji bawa pulang pingat

Posted: 12 May 2013 08:48 AM PDT

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghantar 12 atlet untuk bersaing pada Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2013 berlangsung di Universiti Malaya (UM) hujung bulan ini.

Mereka ialah Pang Tsun Kuo, Nitas Camillus, Hafifie Febryan, Eldy Sham Irlon, Louis Muslin, Mohd Azlan Abu Bakar, Keneedy Japari, Max Anzie Jetol, Emmy Ahkim, Felnidiah Lok Lassim, Merry Gabali dan Asong Joseph.


Ketua pasukan Emmy Ahkim berkata, semua atlet giat menjalani latihan persiapan memastikan matlamat dan sasaran ditetapkan dalam kejohanan itu tercapai.

"Walaupun kami sibuk dengan pelajaran, kami masih dapat meluangkan waktu berlatih untuk menghadapi temasya MASUM itu.


"Saya sendiri beraksi acara lari berpagar 400 meter dengan sasaran memperbaiki catatan masa 64.21 saat untuk mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada MASUM 2012 di Johor tahun lalu," katanya di sini.


Nitas Camillus, pemegang rekod acara 10,000m jalan kaki lelaki dengan masa 58.48s, turut berhasrat memperbaharui rekod itu.

UMS meletakkan sandaran kepada dua atlet tahun pertama Sains Sukan yang menjadi kebanggaan Sabah iaitu Merry Gabali, pingat gangsa lompat kijang dengan lompatan 11.70 meter.


Seorang lagi atlet UMS, Max Anzie Jetol yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang tahun lalu, memperoleh pingat gangsa acara merejam lembing dengan jarak 52.94m, turut bersama kontinjen.

Sehubungan itu, kontinjen UMS berjanji memastikan mereka membawa pulang pingat kelak, selain mencatat rekod cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Fandi lega, JDT menang

Posted: 12 May 2013 08:48 AM PDT

Johor Bahru: Tiga mata yang diraih ketika dipalit masalah kecederaan beberapa tonggak utama Johor Darul Takzim (DT) nyata melegakan pengendali Fandi Ahmad apabila skuad bimbingannya mengotakan janji mencipta kemenangan 3-1 ke atas PKNS FC pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, kelmarin.

Tanpa kelibat Aidil Zafuan Abd Radzak yang dibelenggu kecederaan dan merehatkan Muslim Ahmad dalam kesebelasan utama, Fandi mempertaruhkan Ahmad Tharmimi Saiban bergandingan bersama kapten Kamarul Afiq Kamaruddin bagi mengukuhkan benteng pertahanan nyata membuahkan hasil.


Kekentalan benteng itu menjadi penyumbang kepada kemenangan berharga Harimau Selatan apabila berjaya mengelak daripada kekalahan `hatrik' untuk menghidup peluang mengejar pendahulu liga Lions XII selepas mengumpul 34 mata ketika Johor DT ketinggalan enam mata dan lima mata dengan ATM yang berada di tangga kedua.

"Masih ada peluang untuk mengejar Lions XII dan ATM malah saya yakin kemenangan ke atas PKNS FC beri semangat baru buat pemain untuk meneruskan momentum kemenangan dan tidak mustahil kami mampu memintas kedua-dua pasukan itu.


"Apapun ada enam perlawanan lagi yang perlu diharungi dan kemenangan ini mencetus kebangkitan Johor DT dan pujian saya berikan kepada pemain yang bertungkus lumus meraih tiga mata.


"Namun masih ada kelonggaran yang perlu diatasi terutama pada babak kedua apabila pemain agak leka selepas selesa dengan jaringan 2-0 pada babak pertama. Mujur pemain bingkas bangkit pada 15 minit terakhir untuk memastikan kemenangan berada digenggaman," katanya.

Perubahan taktikal dengan corak menyerang yang diterapkan Fandi nyata membuahkan hasil apabila serangan bertali arus menyebabkan barisan pertahanan PKNS FC tidak dapat bertahan sehingga terpaksa menjaringkan gol sendiri pada minit ke-29 hasil kesilapan P Gunalan.


Kerja keras Norshahrul Idlan Talaha yang mahu menamatkan kemarau jaringan sejak beberapa perlawanan lalu kembali menemui sentuhan m-42 namun Johor DT cemas seketika selepas Patrick Ronaldinho merapatkan jurang gol m-55 sebelum Nurul Azwan Roya menamatkan cabaran PKNS FC ketika aksi berbaki lima untuk ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

Skuad Seladang makin tertekan

Posted: 12 May 2013 08:48 AM PDT

Ipoh: Perak yang dihimpit masalah kecederaan pemain berdepan tugas paling getir apabila turun bertemu Terengganu di Ipoh, Jumaat ini semakin tertekan apabila tiga lagi tonggak iaitu Rafael Souza Novais, Paulo Rangel dan Mohd Farizal Marlias terpasa disisihkan kerana penggantungan.

Tidak cukup dengan ketiadaan tonggak seperti Shahrulnizam Mustapa, V Thirumurugan, S Chanturu dan M Sivakumar yang cedera, ketiadaan trio tonggak itu dijangka memberi kesan kepada kemampuan Seladang.


Ternyata pertemuan dengan Selangor, Jumaat lalu mempunyai kesan apabila trio itu menerima hukuman masing-masing di Shah Alam.

Rafael diarahkan keluar padang manakala Rangel dan Farizal mengutip kad kuning ketiga. Semua digantung satu perlawanan.


"Agak malang ini harus terjadi ketika kami perlu menurunkan barisan terkuat untuk pertemuan dengan Terengganu di Ipoh.


"Kini saya terpaksa guna setiap tenaga pemain utama yang ada serta melakukan rombakan untuk mengimbangi kekuatan pasukan untuk perlawanan ini,"kata jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah.

Dengan masih ada beberapa hari sebelum perlawanan, pastinya, Azraai kini berharap sekurangnya Chanturu dan Sivakumar mampu beraksi semula selepas berehat satu perlawanan kerana kecederaan.


Malah Azraai juga tentunya berharap pemain yang dipinjam dari ATM, R Surendren boleh beraksi semula selepas hanya sempat turun selama 19 minit ketika bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Lumut pada 27 April lalu.

Begitupun jurulatih itu tidak begitu bimbang kerana yakin mempunyai tenaga terutama pemain muda untuk mengisi kekosongan itu nanti.


Ini berdasarkan persembahan berkesan pemain muda yang diketengahkan dalam saingan Liga Super setakat ini.


"Saya gembira dengan apa yang dipersembahankan oleh pemain muda setakat ini. Mereka menunjukkan komitmen tinggi serta sentiasa bekerja keras untuk membantu meningkatkan persembahan pasukan.


"Ini petanda baik buat kami khususnya bagi menghadapi kempen Piala Malaysia nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

NS tekad tebus kekalahan

Posted: 12 May 2013 08:47 AM PDT

Seremban: Selepas gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas kepada Kelantan 0-3, Negeri Sembilan berazam untuk menebus kekecewaan itu dengan mencipta kemenangan dalam baki enam perlawanan Liga Super.

Skuad Hoben Jang Hoben masih belum berputus asa bagi memastikan kedudukan pasukan kekal dalam liga utama itu musim depan.


Justeru, mereka akan berusaha memastikan impian itu dapat diterjemahkan dalam aksi berikutnya kerana sedar prestasi buruk akan memungkinkan bukan saja bakal tergelincir ke Liga Perdana, malah tidak berpeluang bersaing dalam Piala Malaysia musim ini.

Jurulatih Divaldo Alves berharap anak buahnya terus berusaha memberikan persembahan terbaik dalam baki saingan bagi memastikan maruah pasukan dapat dipertahankan.


"Kita tidak mempunyai banyak pilihan selain meneruskan perjuangan dan berusaha memberikan persembahan terbaik dengan kemenangan.


"Sekalipun ia tugas berat dan mencabar, setiap pemain perlu hadapinya dengan komitmen tinggi demi mempertahankan maruah pasukan," katanya semalam.

Sementara itu Timbalan Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) Mohd Faidzul Mohd Noh berharap pengurusan pasukan itu dapat membuat sesuatu dalam memastikan skuad berkenaan kekal di liga utama musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12

No comments:

Post a Comment