Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Dusun durian dadah

Posted: 20 May 2013 12:39 PM PDT

Georgetown: Kegiatan satu sindiket menjadikan rumah dalam dusun durian sebagai lokasi memproses dadah akhirnya terbongkar apabila polis menyerbu rumah berkenaan di kawasan Batu Itam, Balik Pulau, di sini, Selasa lalu.

Difahamkan, sindiket itu cuba mengaburi mata orang ramai dan pihak berkuasa kononnya mereka mengusahakan dusun durian, namun mereka menjalankan aktiviti dengan membina makmal mini memproses dadah syabu.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis merampas pelbagai peralatan dan dadah nilainya dianggarkan mencecah RM1.2 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, serbuan berkenaan dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam dengan siasatan mendapati sindiket berkenaan baru lima bulan menjalankan aktiviti itu.

Foto

ABDUL Rahim (tengah) menunjukkan peralatan menghasilkan syabu yang dirampas.


"Siasatan awal mendapati kumpulan sindiket terbabit baru lima bulan menjalankan aktiviti itu dan mereka baru mencuba menghasilkan syabu.


"Kita percaya syabu dihasilkan itu untuk pasaran tempatan untuk diedarkan di negeri ini dan juga kawasan utara," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Menurutnya, polis menyita tiga kereta milik suspek, dua motosikal dan wang tunai dalam akaun RM186,000.

"Semua suspek berusia 26 hingga 48 tahun itu kini ditahan reman hingga esok (hari ini) bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati," katanya.

Dalam serbuan itu, polis merampas 6.2 kilogram serbuk disyaki dadah jenis ecstasy, enam liter minyak Meth, 39 gram dadah disyaki syabu serta beberapa peralatan digunakan untuk memproses dadah berkenaan serta bahan kimia lain.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat aktiviti mencurigakan dan bau yang tidak disenangi di kawasan mereka supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Amuk ugut bunuh ipar

Posted: 20 May 2013 12:36 PM PDT

Kuala Lumpur: Hanya kerana dituduh merosakkan kasut abang iparnya, seorang wanita bukan sahaja dibelasah, malah diacukan pistol dan diugut bunuh lelaki terbabit yang mengamuk di rumah mereka di Wangsa Maju, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, lelaki berusia 30-an itu yang ingin keluar terkejut apabila melihat kasutnya rosak seperti dipotong dengan peralatan tajam.


Menurut sumber, lelaki berkenaan yang juga pengawal peribadi memanggil mangsa berusia 20-an dan bertanya sama ada adik iparnya itu merosakkan kasutnya.

"Terkejut dengan tuduhan itu, mangsa menafikannya dan memberitahu tidak tahu-menahu kejadian itu.


"Namun lelaki itu tidak berpuas hati dan menuduh mangsa sengaja mencari masalah menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka selama beberapa minit," katanya.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang naik berang kemudian memukul mangsa.

"Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengambil pistol sebelum mengacu dan mengugut menembak mangsa.


"Terkejut dengan situasi itu, mangsa yang menggigil ketakutan merayu supaya dilepaskan dan berulang kali menyatakan tidak merosakkan kasut lelaki itu," katanya.

Menurutnya, mujur ahli keluarga lain yang terdengar kekecohan itu meleraikan pergaduhan terbabit sebelum lelaki terbabit beredar.


Mangsa yang lebam di badan membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

5 GRO warga asing ditahan

Posted: 20 May 2013 12:35 PM PDT

Shah Alam: Lima pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Setia Alam, di sini, malam kelmarin.

Operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu dilakukan sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Shah Alam Deputi Superintendan Muhammad Idzam Jaafar.


Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, 32 individu termasuk GRO, pelanggan dan pekerja premis berkenaan ditahan sebelum dibawa ke IPD Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, lima daripada mereka warga asing yang disyaki bekerja sebagai GRO manakala seorang lagi lelaki berusia 52 tahun turut diberkas selepas mengaku penjaga pusat hiburan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Malang 'Perisik' ditipu hidup-hidup

Posted: 20 May 2013 12:27 PM PDT

Banting: Mereka dijanjikan jawatan perisik atau 'spy' dengan gaji antara RM3,000 hingga RM6,000, namun semuanya hanya kelentong, sedangkan lelaki yang membuat janji dengan menyamar pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu kini lesap selepas mengutip 'wang pemerosesan' sebanyak RM59,100.

Itulah nasib menimpa 69 individu yang bercita-cita menjadi perisik KDN dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan membayar wang pemerosesan sebanyak RM250 hingga RM3,000 setiap seorang kepada suspek pada April lalu. Selain itu, suspek terbabit yang berusia 30-an turut mengutip RM16,000 daripada 1,600 orang dari sekitar Kuala Langat, kononnya untuk menjadi pemantau khas ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), baru-baru ini. Seorang daripada 69 mangsa yang memohon jawatan perisik itu, Mohd Faizul Dilla Mohamed, 28, berkata, dia sama sekali tidak menyangka menjadi mangsa penipuan suspek kerana lelaki itu yang juga suami kepada kakak angkatnya sudah dikenalinya sejak 12 tahun lalu.


Menurutnya, penampilan suspek amat meyakinkan seolah-olah seperti seorang pegawai kerajaan yang berpengalaman dalam perkhidmatan perisikan.

"Saya dan semua mangsa lain diberitahu, jika terpilih menjadi perisik, kami akan menjalani latihan intensif selama sembilan bulan di Hulu Kinta, Perak selain berpeluang menggunakan pistol jenis Glock dan Sig Sauer sewaktu bertugas. "Itu yang membuatkan kami tertarik dan tidak kisah untuk membayar wang pemerosesan, tambahan pula gaji ditawarkan agak lumayan," katanya yang ditemui selepas membuat laporan polis bersama 19 lagi mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, di sini, baru-baru ini.


Mohd Faizul Dilla berkata, segalanya bermula ketika dia bertemu suspek pada awal bulan lalu dan lelaki itu menawarkannya jawatan sebagai perisik di KDN dan MKN, selain memintanya mencari seramai mungkin individu di sekitar Kuala Langat yang berminat menyandang jawatan itu.


"Seminggu selepas pertemuan itu, saya berjaya mengumpul 32 orang yang berminat untuk berkhidmat sebagai perisik di KDN dan setiap seorang diminta membayar wang pemerosesan RM250.

"Untuk menjadi perisik di MKN pula, saya berjaya mengumpul 37 orang dan setiap mereka membayar RM300 seorang," katanya. Menurutnya, lapan daripada 69 individu turut membayar RM3,000 seorang kerana mereka tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bayaran itu membolehkan mereka memiliki sijil berkenaan.


"Selain itu saya berjaya mendapatkan kira-kira 1,600 orang yang berminat menjadi pemantau keselamatan sempena PRU-13 dan wang yang dikumpul mencecah RM16,000.

"Sehubungan itu, saya menyerahkan bayaran wang tunai RM59,100 kepada suspek ketika bersama beberapa rakan bertemunya di sebuah restoran di Banting pada 18 April lalu," katanya.


Mohd Faizul Dilla berkata, selepas menerima wang itu, suspek berjanji semua yang memohon akan dilantik sebagai perisik KDN atau MKN serta pemantau PRU-13 dalam tempoh terdekat.


Bagaimanapun, katanya, selepas lebih sebulan berlalu dan PRU-13 juga sudah berakhir suspek masih gagal mengotakan janjinya, malah mula menyepikan diri.


Menurutnya, apabila didesak suspek memberi alasan permohonan semua pemohon untuk menjadi perisik dan pemantau PRU-13 gagal kerana ada 'gangguan' daripada orang tertentu. "Bagaimanapun, dia (suspek) berjanji akan memulangkan semula wang itu. Pada mulanya, saya yakin dengan janjinya kerana sudah mengenalinya selama 12 tahun.


"Tapi, selepas beberapa hari saya mula sedar yang kami ditipu kerana dia bukan saja gagal menyerahkan wang berkenaan, malah panggilan telefon dan SMS juga tidak dibalas" katanya.


Mohd Faizul Dilla berkata, dia tambah tertekan kerana semua pemohon terbabit menyalahkannya dan meminta dia turut bertanggungjawab memulangkan semula wang yang dibayar.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Nordin Manan sewaktu dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada 20 mangsa terbabit.


"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu dan suspek kini masih diburu pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

Pemandu van pekerja ditahan polis

Posted: 20 May 2013 12:16 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang lagi lelaki dipercayai suspek yang turut terbabit dalam kematian tragis seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang ditemui di tempat letak bas pekerja, Lorong Batu Nilam 1E, Bukit Tinggi di Klang, 8 Mei lalu, ditahan Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit di kawasan perumahan berkenaan bagi membantu siasatan.


Katanya, suspek berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pemandu van pekerja itu ditahan hasil soal siasat yang dilakukan terhadap ahli keluarga, penduduk sekitar dan dua lelaki tempatan yang ditahan sejurus selepas kejadian dilaporkan berlaku.

"Setakat ini, polis masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia mengenai sampel DNA mangsa yang dijangka diperoleh semalam, namun belum menerimanya.


"Kami juga sudah membebaskan dua lelaki berusia 19 dan 24 tahun yang ditahan sebaik mayat mangsa ditemui dengan jaminan polis selepas soal siasat dan tempoh tahanan reman terhadap mereka selesai," katanya.


Mohamad berkata, mengenai desas-desus mengenai bapa tiri mangsa mempunyai kaitan dengan kejadian itu, beliau menafikan kenyataan itu dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya.

Katanya, beliau meminta orang ramai agar menghormati perasaan keluarga mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut.


Harian Metro 10 Mei lalu melaporkan mangsa Nur Amyliana Shuhada Mohd Noor, 11 tahun ditemui dalam keadaan terlentang dengan mulutnya berbuih di kawasan tempat meletak kereta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/21

No comments:

Post a Comment