Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kilang papan musnah terbakar

Posted: 13 May 2013 10:15 AM PDT

Kajang: Sebuah kilang papan berkeluasan 30 meter persegi di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, dekat sini, musnah dalam kebakaran malam semalam.

Penolong Pengarah Operasi dan Penyelamat Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran terbabit kira-kira jam 7.16 malam.


Menurutnya, empat jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih, Bangi dan Hang Tuah bergegas ke tempat kejadian dan tiba beberapa minit kemudian.

"Keadaan kilang terbabit yang dipenuhi papan menyebabkan api merebak dengan cepat, namun kita berjaya mengawal sepenuhnya pada jam 9.17 malam.


"Dalam kejadian kebakaran itu tiada mangsa yang terkorban dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


Mohd Sani berkata, jumlah kerugian juga belum diketahui, namun kilang terbabit musnah teruk dalam kejadian itu.

Foto

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran yang memusnahkan kilang papan.

"Seramai 29 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran yang merebak dengan cepat itu.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran terjadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Lelaki Myanmar maut van langgar lori

Posted: 13 May 2013 10:10 AM PDT

Subang Jaya: Seorang pekerja kontraktor pendawaian maut manakala rakannya parah selepas van yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar belakang lori yang baru saja berhenti untuk meletakkan kon keselamatan di Kilometer (km) 38, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari arah Shah Alam menghala ke Subang Jaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa, Chan Ceu, 23, seorang warga Myanmar yang duduk di bahagian penumpang depan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, mangsa yang cedera adalah warga tempatan yang dikenali sebagai Hew Wang Chan, 36, yang kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Kami percaya van dipandu dengan laju hingga pemandunya gagal mengelak lori yang sedang menurunkan kon keselamatan untuk tujuan pembahagian jalan.


"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.


Menurut Yahaya, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

RM4,000 jika tidak...

Posted: 13 May 2013 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Singapura dipercayai mengugut seorang juruteknik untuk menyebarkan gambar bogel lelaki berkenaan yang dikenali melalui laman sosial Facebook sejak April lalu jika gagal memberikan wang tunai RM4,000.

Difahamkan, mangsa yang berusia 26 tahun itu mengenali wanita terbabit kerana mahu meluaskan rangkaian perniagaannya di laman sosial. Mangsa kemudian membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam MCA.


Ketua Bironya, Datuk Seri Micheal Chong berkata, mangsa mendakwa setiap kali mereka berhubung melalui Facebook, wanita itu akan meminta untuk berhubung melalui panggilan video Skype, tetapi mangsa menolak dengan baik. "Bagaimanapun, pada 9 Mei lalu, mangsa menerima panggilan video wanita berkenaan dan terkejut melihat wanita itu berada dalam keadaan separuh bogel.

"Dalam panggilan video itu, mangsa tidak dapat mengecam wajah wanita berkenaan kerana visualnya kurang jelas," katanya. Menurutnya, wanita itu bertindak mengugut untuk menyebarkan gambar bogel mangsa pada keesokan hari sedangkan mangsa mendakwa tidak berbogel ketika panggilan video itu dibuat. "Mangsa mendakwa menerima satu mesej di Facebook dari wanita berkenaan dan memeras wang tunai RM4,000 daripadanya. "Wanita itu mengugut jika mangsa tidak memasukkan wang itu, dia akan menyebarkan gambar bogel mangsa kepada keluarga, teman wanitanya dan lebih teruk lagi di Facebook," katanya.


Kata Chong, mangsa yang tidak hadir pada sidang media semalam kerana malu, kini hidup dalam kerisauan kerana bimbang gambar bogelnya akan disebarkan jika tidak memenuhi permintaan wanita itu. Sementara itu, Chong berkata, pihaknya menerima sebanyak 15 kes berkaitan memeras ugut wang melalui laman sosial. "Kebanyakan mangsa adalah remaja kerana merekalah paling banyak menggunakan media sosial. "Pengguna media sosial perlu berhati-hati semasa berhubung dengan kenalan baru sebelum berkongsi gambar dan maklumat diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Bergaduh angkara bunyi hon kereta

Posted: 13 May 2013 10:09 AM PDT

Gombak: Hanya kerana laluan masuk keretanya ke sebuah blok pangsapuri dihalang sebuah van, berlaku pergaduhan menyebabkan seorang lelaki cedera ketika cuba meleraikan pergaduhan itu, kelmarin.

Difahamkan, insiden terbabit berlaku ekoran tindakan seorang lelaki yang membunyikan hon beberapa kali menyebabkan pemilik van naik angin.


Sumber berkata, dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki berusia 35 tahun terbabit mahu pulang ke rumahnya di sebuah pangsapuri di Batu Caves, di sini, namun tidak dapat ke tempat letak kenderaan kerana laluan berkenaan dihalang sebuah van.

"Lelaki itu membunyikan hon beberapa kali dengan tujuan memanggil pemilik van mengalihkan kenderaanya.


"Namun, pemilik van berkenaan menghampiri kereta lelaki terbabit kerana dipercayai tidak puas hati dengan tindakan lelaki itu lalu memarahinya," katanya.


Menurut sumber, berlaku pertengkaran antara dua lelaki itu sebelum pemilik van terbabit mengambil parang dari dalam vannya.

"Malangnya, lelaki terbabit datang semula ke arah pemandu kereta itu dengan memegang sebilah parang dipercayai diambil dari dalam vannya.


"Seorang lelaki dipercayai rakan pemilik van yang cuba menghalang hayunan parang rakannya itu cedera di tangan kanan," katanya.

Beliau berkata, akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan di tangan kanannya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.


Berikutan kejadian itu, pemandu kereta berkenaan membuat laporan di Balai Polis Selayang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

Rakan 'pacak' pisau

Posted: 13 May 2013 10:01 AM PDT

Georgetown: Seorang lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital dalam keadaan sebilah pisau yang matanya berbentuk gergaji masih terpacak di dadanya selepas ditikam dalam kejadian di Lorong Muda, Weld Quay, di sini, kelmarin.

Kejadian itu berlaku selepas perselisihan faham antara mangsa dan seorang lelaki lain ketika mereka minum di sebuah kedai minuman keras, jam 7.30 malam.


Ketika kedua-dua lelaki asyik meneguk minuman memabukkan itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum mangsa, S Suresh, 35, ditikam dengan pisau berkenaan hingga terpacak di dadanya.

Dengan keadaan badannya yang masih berlumuran darah, mangsa menjerit meminta tolong dan dalam keadaan kelam-kabut itu, lelaki yang menyerangnya melarikan diri.


Menurut sumber, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP), tetapi usaha mencabut pisau itu agak sukar kerana matanya berbentuk gergaji.


"Difahamkan, doktor terpaksa melakukan pembedahan untuk mengeluarkan pisau berkenaan dan mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, tetapi kehilangan banyak darah," kata sumber itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengenali suspek dan kemungkinan mereka sebelum itu bertengkar.


"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan setakat ini, polis sedang mengesan suspek.

"Polis sudah mengambil keterangan awal daripada mangsa dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14

No comments:

Post a Comment