Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Benfica lebih hebat'

Posted: 14 May 2013 09:52 AM PDT

Amsterdam: Benfica mungkin lebih berbakat daripada Chelsea, tetapi masih dilabel sebagai pasukan bukan pilihan pada final Piala Europa awal pagi esok, menurut bekas ketua jurulatih England Sven-Goran Eriksson.

Pengendali dari Sweden itu mengetahui kemampuan Benfica selepas dua kali membimbing kelab yang pernah memenangi dua kejuaraan Eropah itu.


"Sudah pasti Chelsea pilihan kerana memiliki pasukan seimbang dan antara pemain termahal, tapi pada pendapat saya teknik permainan Benfica lebih baik.

"Teknik permainan Benfica lebih tajam. Mereka mengawal bola dengan baik dan sentiasa beraksi cemerlang," katanya kepada akhbar harian aBola.


Juara Eropah 1961 dan 1962 itu bergantung kepada jentera tengah berkualiti Eduardo Salvio, Nicolas Gaitan, Pablo Aimar, Ola John dan Nemanja Matic untuk membuat hantaran kepada jentera serangan diketuai Oscar Cardozo yang bergandingan dengan Rodrigo Lima.


Gandingan Cardozo dan Lima setakat ini sudah meledak 71 daripada keseluruhan 118 gol musim ini.

Foto

LIMA jadi taruhan robek gawang Chelsea.

Eriksson yang membimbing pasukan itu ketika juara Portugal itu tewas 0-1 kepada AC Milan pada final Piala Eropah 1990 di Vienna percaya Benfica akan melupakan segera kekalahan 1-2 kepada seteru utama, Porto, Sabtu lalu.


Kedua-dua pasukan itu tidak pernah tewas sebelum turun mengharungi perlawanan itu dan kemenangan Porto menyaksikan mereka berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan domestik.

"Final kejohanan Eropah sangat unik. Sebaik saja mereka bersiap sedia untuk pertembungan final, kekalahan kepada Porto pasti segera dilupakan." Eriksson begitu hampir menghadiahkan tiga kejuaraan untuk Benfica pada 1983 apabila memenangi dua kejuaraan domestik tapi tewas 1-2 secara agregat kepada Anderlecht pada final Piala UEFA yang berlangsung secara timbal balik.


Pengendali dari Sweden itu pernah menikmati kejuaraan Liga Portugal tiga kali sepanjang dua kali membimbing kelab itu.


Pemain tengah Argentina Enzo Perez turut percaya Benfica akan segera lupakan kekalahan kepada Porto.


"Pasukan memang kecewa tapi kami percaya kekecewaan itu akan ditebus apabila bertemu Chelsea. Kami hanya perlu percaya kepada diri sendiri," kata Perez.


Benfica mempunyai memori indah di Amsterdam apabila memenangi Piala Eropah buat kali terakhir ketika menewaskan Real Madrid pada 1962.


Sementara itu, pemain perancang Juan Mata mahu Chelsea menamatkan musim ini dengan memenangi Piala Europa dan mengesahkan kedudukan di tangga ketiga pada saingan Liga Perdana Inggeris jika mampu menewaskan Everton di tempat sendiri, Ahad ini.


"Musim ini hampir berakhir dan mungkin kami bakal menikmati penamat terbaik.


"Kami mahu memenangi takhta Eropah dan mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.


"Inilah kali kedua dalam tempoh dua musim di Chelsea, kami akan beraksi untuk merebut trofi Eropah. Sudah tentu amat hebat jika menang dua takhta Eropah berturut-turut," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Powerbar tingkat daya

Posted: 14 May 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyertaan 3,500 peserta yang dijangka menyertai Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 mendorong Powerbar tampil sebagai sebahagian daripada penaja.

Kejohanan anjuran Harian Metro menawarkan hadiah lumayan RM220,000 bakal menjadi rebutan dengan Powerbar menerusi Pengurus Pembangunan Perniagaan Nutrisi Prestasi Shahrulniza Othman berkata, mereka komited untuk turut sama membangunkan sukan berbasikal di Malaysia.


Katanya, basikal begitu sinomin dengan powerbar yang sering digunakan pelumba untuk membantu mereka menambah tenaga dan jenama itu semakin popular apabila menjadi sebahagian daripada penaja siri perlumbaan terkemuka dunia, Tour de France.

"Basikal bukit mempunyai pengikut yang ramai dan pendekatan kejohanan ini dengan memperkenalkan siri sirkit dengan peserta mengumpul mata dalam setiap sirkit akan menjadikan penganjuran lebih menarik," katanya yang menerangkan Power Bar mula bertapak di Malaysia pada 2002 dan semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat sukan.


Katanya, setiap peserta yang mendaftar menyertai Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 akan menerima powergel secara percuma manakala tiga peserta teratas pula dihadiahkan powerbar energy berharga RM119.


Shahrulniza berkata, syarikat itu turut membuka booth di lokasi pertandingan dan peserta yang berminat boleh mendapatkan barangan powerbar pada harga istimewa. Turut sama memeriahkan kejohanan itu, Powerbar akan mempertaruhkan pasukan Corbusier yang berpangkalan di Sarawak selain bekas pelumba kebangsaan Le Tour de Langkawi (LTdL), Hafiz Wong bakal menggegarkan sirkit pertama di Putrajaya, 2 Jun ini.

Saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 dianjur dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang turut mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).


Saingan di Putrajaya membabitkan tiga kategori perlumbaan utama iaitu elit, Terbuka Metro (Jamboree) selain demonstrasi dan pameran menghidangkan beberapa aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Hafiz sasar kelompok tiga terbaik

Posted: 14 May 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pelumba kebangsaan Hafiz Wong menetapkan sasaran menguasai kelompok tiga terbaik pada sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya, 2 Jun ini.

Bakal menyertai kategori Terbuka Metro (Jamboree), Hafiz mempertaruhkan pengalamannya sebagai pelumba kebangsaan untuk cuba menguasai sirkit pertama. Menduduki tempat ketiga Kejohanan Xterra yang berlangsung di lokasi sama, Hafiz berkata, dia perlu lebih waspada kerana trek kejohanan memiliki banyak selekoh tajam selain perlu bijak mengawal basikal ketika menuruni bukit.


"Saya pernah mencuba trek di Putrajaya, ia agak sukar dan lebih teknikal. Peserta yang baru terbabit dalam sukan basikal bukit perlu lebih berhati-hati.

"Bagaimanapun saya tidak akan mengalah dan cuba memberikan aksi terbaik sekali gus menaikkan nama penaja iaitu Powerbar dengan menduduki kelompok tiga teratas," katanya yang sedar akan menerima saingan sengit daripada peserta lain.


Hafiz juga tidak rasakan status dirinya sebagai bekas pelumba kebangsaan memudahkannya menguasai trek saingan.


"Saya bermula sebagai pelumba lebuh raya dan masih baru dengan basikal bukit.

"Banyak bezanya antara dua acara ini. Basikal bukit lebih teknikal dan mencabar.


"Pada saya, sesiapa saja boleh muncul juara asalkan mereka cepat menguasai laluan, teknik berbasikal dan memiliki stamina tinggi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Penganjur lanjut tarikh tutup

Posted: 14 May 2013 09:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Maklum balas positif yang diterima daripada peserta mendorong penganjur Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 melanjutkan tarikh tutup penyertaan.

Lanjutan tarikh tutup itu adalah kerana ingin memberikan lebih masa kepada peserta terutama dari Sabah dan Sarawak menguruskan perjalanan masing-masing.


Selepas menimbang beberapa perkara dan permintaan ramai peserta, penganjur turut bersetuju membuka kaunter pendaftaran di lokasi pertandingan iaitu pada 1 Jun ini.

"Saya harap kelonggaran ini melegakan kebimbangan ramai peserta serta memberi peluang kepada lebih ramai pasukan mengambil bahagian pada sirkit pertama ini," kata Pengarah pertandingan Nor Azam Aziz.


Saingan sirkit pertama berlangsung di Putrajaya membabitkan tiga kategori utama perlumbaan iaitu elit, Terbuka Metro (Jamboree) selain demonstrasi dan pameran menghidangkan beberapa aktiviti menarik untuk seisi keluarga.


Penganjur mengadakan cabutan tiket bertuah dengan hadiah utama motosikal jenama Damak model D Force 160cc berharga RM5000.

Maklumat lanjut mengenai penyertaan secara online, syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Nor Azam Aziz (019-3245808) dan AJK Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

IPD Putrajaya kawal trafik

Posted: 14 May 2013 09:40 AM PDT

Putrajaya: Kira-kira 20 anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya ditugaskan membantu mengawal lalu lintas sepanjang penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2013 pada 1 dan 2 Jun ini.

Penguatkuasa Bahagian Trafik IPD Putrajaya Sarjan Mejar Shamsudin Halim berkata, semua anggota trafik terbabit dibahagikan di beberapa jalan utama yang dilalui peserta.


"Mereka akan membuat kawalan bagi memastikan peserta dapat menggunakan laluan utama tanpa sebarang masalah bukan saja kepada peserta tapi kepada pengguna lalu lintas lain. "Kita juga akan bekerjasama dengan anggota penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) yang difahamkan kira-kira 15 orang serta ditugaskan mengawal di kawasan taman," katanya. Shamsudin berkata, penutupan laluan utama digunakan untuk peserta berbasikal melalui kawasan itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada pengguna lalu lintas lain. "Saya yakin tiada masalah kepada orang awam kerana ada jalan alternatif lain boleh digunakan walaupun jalan utama ditutup untuk acara ini. Justeru, kita harap acara ini dapat berjalan lancar." Putrajaya menjadi lokasi pertama acara anjuran Harian Metro dengan kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) itu dan disasarkan 3,500 peserta akan menyertai acara yang bermula di Laman Presint Diplomatik, Presint 15 dan berakhir di Taman Rimba Alam.

Sirkit kedua hingga kelima akan diadakan di Terengganu, Johor, Perak dan Selangor. Perlumbaan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 itu menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan jamboree, lebih menarik ia turut menawar pelbagai cabutan bertuah. Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa ditetapkan. Selain itu, saingan Terbuka Metro (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Red Warriors tersungkur

Posted: 14 May 2013 09:40 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan gagal mengatasi rekod musim lalu apabila tewas 0-2 kepada Kitchee FC dari Hong Kong dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Perlawanan pusingan kedua kalah mati itu menyaksikan Kelantan gagal ke suku akhir sekali gus menamatkan perjuangan dalam saingan bola sepak Asia musim ini.


Bermula babak pertama, seawal minit keempat kubu Kelantan sudah diasak menerusi rembatan kapten Kitchee FC Chu Siu Hei namun tersasar.

Seminit berselang, pelawat semakin agresif menerusi hantaran lintang pemain import Jorge Tarres Paramo namun berjaya ditanduk keluar pemain pertahanan Kelantan Obinna Nwaneri.


Red Warriors yang tersentak dengan asakan bertali arus pelawat mula bangkit dan pada minit ke sembilan Nwaneri meluru ke bahagian depan untuk melakukan hantaran lintang namun usaha itu dinafikan kerana Indraputra berada dalam kedudukan ofsaid.


Anak didik Bojan Hodak tidak mudah berputus asa dan pada minit ke-11 menerusi lorongan Norfarhan Mohamad sebelum Petratos melepaskan rembatan kencang dari sudut kiri gawang namun sedikit tersasar.

Namun pada minit ke-15, 15,000 penyokong Kelantan tergamam apabila pemain pertahanan Kelantan Lek Kcira tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha untuk mengeluarkan bola hantaran lintang Pablo Gonzales Caonago.


Kitchee FC terus garang manakala Kelantan mula hilng punca dan pada minit ke-25, pemain sayap pelawat, Cheung Kin Fung dapat melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun ditangkap kemas penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Mereka akhirnya mengukuhkan kedudukan apabila berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Jorge Tarres Paramo yang bijak menampan masuk hantaran lintang Cheung Kij Fung.


Kemasukan penyerang berbisa Kelantan, Dickson Nwakaeme yang menggantikan Mohd Faiz Subri gagal meniup semangat rakan sepasukan untuk bangkit mencari jaringan.


Sedangkan pelawat terus menguasai perlawanan babak kedua, menutup terus ruang Kelantan mencari gol yang akhirnya tersingkir daripada saingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Selangor intai peluang ke suku akhir

Posted: 14 May 2013 09:38 AM PDT

Male, Maldives: Selangor mahu memastikan perjalanan sejauh 3,000 kilometer berakhir dengan kejayaan layak ke suku akhir Piala AFC menentang New Radiant SC di Male, Maldives hari ini.

Irfan Bakti Abu Salim menaruh keyakinan tinggi anak buahnya mampu menghadirkan kejutan walaupun kelab Maldives itu hadir sebagai 16 pasukan terbaik dengan reputasi tinggi meledak 20 gol dan hanya bolos empat kali dalam enam perlawanan Kumpulan F.


Pengendali Merah Kuning itu berkata, pusingan kedua kalah mati hanya berlangsung sekali dan beliau akan mengamalkan corak menyerang di Stadium Nasional Galolhu itu.

"Kami perlu berwaspada pada 10 minit pertama kerana lawan mengamalkan corak permainan pantas. Malah kemampuan mereka mencatatkan kemenangan besar pada peringkat kumpulan (menang Persibo Bojonegoro 7-0 di Indonesia) wajar dihormati.


"Saya hanya melihat permainan New Radiant SC menerusi rakaman video dan perlu memasang strategi tepat untuk mengekang kepantasan dua pemain sayap mereka," katanya.


Irfan tidak mempunyai masalah untuk menurunkan barisan terbaik dengan penyerang Liberia Francis Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah bakal mengetuai jentera penggempur manakala penjaga gol kebangsaan Norazlan Razali dijangka mengawal gawang Selangor.

Bagaimanapun Doe dan Amri perlu bekerja keras untuk menggegar gawang tuan rumah yang dikawal kapten Imran Mohamed serta dua tonggak import Sylla Mansa dan Kingsley Chukwudi Nkurumeh selain dibarisi tujuh pemain kebangsaan Maldives.


Sementara itu jurulatih New Radiant SC dari Bulgaria, Velizar Emilov Popov menghormati kehebatan Selangor.

"Anda boleh lihat tahap perbezaan liga dua negara ini dengan Malaysia jelas lebih baik. Namun ia tidak bermakna kami takut, saya dan pemain perlu fokus walaupun sudah mencapai sasaran pengurusan melangkah ke pusingan kedua Piala AFC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Hai-O, Nizaruddin sedia gempur NS

Posted: 14 May 2013 09:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun tanpa Marlon Alex James, barisan serangan ATM masih mampu menghasilkan gol untuk menewaskan FELDA United 1-0 di Stadium MPPJ Sabtu lalu.

Gol tunggal itu dijaringkan ketua pasukan Hairuddin Omar (Hai-O).


Pada perlawanan itu, James selaku penjaring terbanyak dengan 16 gol liga tidak dapat diturunkan kerana kecederaan lutut.

Jurulatih B Sathianathan berkata, James mungkin tidak akan disenaraikan menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.


"Kita tunggu laporan pegawai perubatan. Jika pulih dia akan diturunkan dan jika tidak, akan terus direhatkan," katanya.


"Saya membuat sedikit rombakan di barisan serangan dengan Hai-O sebagai peneraju dibantu Nizaruddin Yusof." Jika Nizaruddin diturunkan, ini kali pertama tiga bekas pemain kebangsaan berpadu tenaga menghadapi Negeri Sembilan yang mencari kemenangan pertama.

Selain Hai-O dan Nizaruddin, Shukur Adan akan berada di barisan tengah bagi mencorakkan permainan bagi merobek gawang Hoben Jang Hoben itu.


"Berdasar prestasi ditunjukkan ketika menentang FELDA United, trio ini dengan bantuan Rezal Zambry Yahya dan Irwan Fazli membantu pasukan meraih mata penuh."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Amiruddin CDM negara

Posted: 14 May 2013 09:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Wira Amiruddin Embi dipilih sebagai Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini.

Keputusan melantik Amiruddin sebagai CDM diputuskan pada mesyuarat Lembaga MOM ke-21 semalam sekali gus mengesahkan khabar angin sebelum ini selepas namanya dicadangkan Naib Presiden MOM Tan Sri Mohamad Noor Abdul Halim pada awal tahun ini.


Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja'afar yang mempengerusikan mesyuarat semalam berkata, pemilihan Amiruddin berdasarkan beberapa kriteria.

"Hanya namanya dicadangkan untuk dilantik sebagai Chef de Mission dan kami sebulat suara memilih Datuk Wira Amiruddin.


"Beliau juga memiliki latar belakang hebat iaitu sebagai bekas anggota keselamatan dan kini bergiat aktif dalam Kesatuan Ragbi Malaysia," katanya pada sidang media semalam.


Tunku Imran turut menafikan keputusan perlantikan CDM yang dilakukan semalam terlalu lewat.

"Saya tidak rasa ia terlalu lewat sebab kita masih mempunyai baki kira-kira enam bulan sebelum Sukan SEA bermula." Tunku Imran juga yakin penganjur dapat memperketatkan soal keselamatan berikutan pergolakan krisis perkauman membabitkan etnik Islam Rohingya serta penganut Buddha hingga mencetuskan situasi tegang serta pertumpahan darah.


"Saya yakin penganjur akan bekerja keras memastikan soal keselamatan menjadi keutamaan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

Kok Chi ubah pendirian

Posted: 14 May 2013 09:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Sieh Kok Chi kembali menetapkan pendirian untuk terus mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan Perhimpunan Agung Tahunan MOM 22 Jun ini.

Perkara itu dinyatakan sendiri Kok Chi selepas mesyuarat Lembaga MOM semalam sekali gus menafikan laporan sebelum ini yang menyatakan beliau enggan mempertahankan jawatan itu dan mahu bersara.


"Jika ada ahli gabungan mencalonkan nama saya untuk bertanding jawatan Setiausaha Kehormat, saya akan terima dan bertanding.

"Sebab saya fikir masih mampu untuk memberi sumbangan kepada MOM serta arena sukan tempatan. Apapun saya serahkan segala-galanya kepada ahli gabungan," katanya. Kenyataan terbaru Kok Chi itu sekali gus bakal mencetuskan isu lebih hangat kerana beliau sebelum ini dikatakan mahu bersara.


Ia menyebabkan Penolong Setiausaha T Kumar menyatakan hasrat untuk bertanding kerana menganggap kerusi Setiausaha Kehormat sudah dikosongkan Kok Chi.


Kumar sebelum ini menganggap kenyataan Kok Chi untuk bersara adalah ikhlas dan tiada sebab untuk tokoh berusia 74 itu mengubah pendiriannya.

Bagaimanapun, difahamkan Kok Chi menerima sokongan padu daripada persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah MOM untuk meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Kehormat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/15

No comments:

Post a Comment