Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Along mohon maaf

Posted: 23 May 2013 11:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang ceti haram atau along meminta maaf atas gangguan dilakukan pihaknya kepada keluarga peminjam selepas kesukaran dialami keluarga terbabit disiarkan di akhbar.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Seri Micheal Chong berkata, selepas pihaknya membuat sidang media mengenai masalah seorang lelaki mahu dikenali sebagai Liew yang diganggu along berikutan anaknya gagal menjelaskan hutang along, dia didatangi along terbabit, kelmarin.


Menurutnya, along itu mendakwa dia dan konco-konconya tidak berniat mengganggu Liew serta keluarga, tetapi anak Liew yang menyuruh mereka meminta wang daripada lelaki itu.

"Sejurus kisah Liew disiarkan, pengurus sebuah syarikat pinjaman wang berlesen itu menghubungi saya dan meminta maaf sambil menerangkan situasi pihaknya.


"Mereka datang berjumpa saya (kelmarin) dan memberitahu mereka terpaksa menunggu di hadapan rumah Liew kerana mendapat maklumat anaknya berada di situ," katanya pada sidang media di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA, semalam. Menurutnya, along terbabit mendakwa mereka melakukan perbuatan berkenaan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengutip hutang daripada peminjam. "Mereka memberitahu saya mereka diarahkan majikan untuk mengutip hutang anaknya selepas dia (anak) cuba mengelak daripada membayar beberapa kali. "Malah, mereka mengaku bersalah dan memohon maaf kepada Liew kerana mengugut keluarganya," katanya. Kelmarin, Harian Metro melaporkan seorang lelaki membiarkan keluarganya menanggung derita apabila diugut along selepas pinjamannya meningkat RM110,000 termasuk faedah dan kos lain. Dalam kejadian 19 Mei lalu, anak Liew yang sudah menghilangkan diri sejak empat tahun lalu pulang dan memberitahu dia sudah membuat pinjaman along dan mengadu tidak mampu membayar balik hutangnya kepada along berkenaan.

Foto

ALONG terbabit (kiri) berjabat tangan dengan Liew (kanan) sambil diperhatikan Chong.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

'Boo' enggan naik teksi tak guna meter

Posted: 23 May 2013 11:38 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya terkejut apabila mereka melayan saya dengan kasar di depan KLCC. Malah, mereka mengherdik dan melemparkan perkataan 'boo' apabila saya mendapatkan teksi lain," kata penumpang yang hanya mahu dikenali Wan yang mengalami situasi dimalukan pemandu teksi.

Menurutnya, dalam kejadian di depan sebuah pintu masuk KLCC jam 3.30 petang kelmarin, dia dipaksa membayar RM50 untuk tambang dari KLCC menuju Bangsar. Bayaran itu dikenakan pemandu teksi atas alasan kesesakan lalu lintas dan tidak mahu menggunakan meter.


"Saya menaiki teksi dari Bangsar ke KLCC dengan bayaran RM15. Ketika itu, pemandu berkenaan juga tidak mahu menggunakan meter, tetapi saya tidak kisah kerana mempunyai temu janji.

"Namun, apabila pemandu teksi lain mahu kenakan RM50 hanya dari KLCC ke Bangsar, ia tidak munasabah dan terlalu mahal," katanya.


Wan, berusia 30-an berkata, dia bertanya kepada dua pemandu teksi lain di situ ketika mahu pulang ke Bangsar, tetapi jawapan sama diberikan mereka kerana enggan menggunakan meter.


"Ketika kejadian, saya tidak nampak muka mereka sebagai ancaman, tetapi apabila saya bertanya soalan sama ada menggunakan meter, mereka kelihatan marah. Ada pemandu teksi warna biru ajak saya naik keretanya, tetapi saya enggan kerana tahu ada bayaran tambahan dikenakan," katanya.

Sejurus permintaan menggunakan meter ditolak tiga pemandu teksi, Wan berjalan menuju satu perhentian teksi di tepi Jalan Ampang untuk mendapatkan teksi lain. Namun, katanya dia sekali lagi terkejut apabila menyaksikan perangai pemandu teksi bercakap lucah terhadap pelancong asing.


"Saya ternampak ada pelancong wanita asing termasuk seorang remaja dari satu keluarga Arab berpakaian seksi berada di situ. Beberapa pemandu teksi yang berada di situ tidak segan silu bercakap lucah dalam bahasa Malaysia walaupun pelancong itu tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi mereka," katanya.

Bimbang dipukul kumpulan teksi terbabit, katanya, dia menyeberang jalan dan mendapat teksi lain yang menggunakan meter.


"Sejak saya bertanya meter, kumpulan teksi terbabit sudah memerhatikan gerak-geri saya. Sehingga saya naik teksi lain, mereka melemparkan perkataan 'boo' dan cuba memalukan saya depan khalayak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Mati ubah laluan mengejut

Posted: 23 May 2013 11:35 AM PDT

Kuantan: Seorang lelaki warga emas terbunuh selepas motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta ketika mengubah laluan secara mengejut di Kilometer 81, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, dekat Bentong, pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, mangsa, Chan Ah Kow, 72, yang tinggal di Taman Seraya, dekat Triang, Bera, maut di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berseorangan menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ibu negara dari Lanchang, Temerloh.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sebaik tiba di tempat kejadian mangsa mengubah laluan secara mengejut dari kiri ke kanan jalan tanpa menyedari sebuah kereta datang dari belakang.


Katanya, berikutan itu, pemandu kereta terbabit berusia 30 tahun tidak sempat mengelak sebelum melanggar motosikal mangsa.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong (HB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang juruteknik terbunuh selepas motosikalnya merempuh belakang sebuah kereta Nissan Teana di Jalan Teluk Chempedak-Teluk Sisek, di sini, malam kelmarin.


Menurutnya, mangsa, Ainol Shamsul Azrin Jamaludin, 23, dari Taman Bahagia Permai, dekat Temerloh, yang parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

Afiq beri syarat mohon maaf

Posted: 23 May 2013 11:35 AM PDT

Kuala Lumpur: Konflik keluarga membabitkan pelakon meningkat naik, Afiq Muiz, 21, dengan ibunya, Hasliza Mohamad, 48, dilihat menuju positif apabila pelakon itu bersedia memohon maaf daripada ibunya.

Namun, Afiq yang popular menerusi drama bersiri di TV3, Mimpi Cinderella dan Bangkitnya Seorang Perempuan itu meletakkan syarat supaya ibunya menarik balik semua kenyataan yang dikeluarkannya terutama apabila mendakwa Afiq sebagai anak derhaka.


"Saya mahu umi (panggilannya kepada ibu) menarik balik semua kenyataan negatif yang pernah dilemparkan kepada saya. Selepas itu, baru saya pulang ke pangkuannya dan meminta maaf.

"Dengan segala masalah yang berlaku ini, ia memberi kesan buruk kepada kerjaya seni saya. Kini, saya sudah tidak mendapat tawaran berlakon kerana reputasi saya terjejas.


"Tidak terkecuali, bayaran untuk lakonan yang saya jayakan pun disekat. Justeru, saya berharap Umi tampil membersihkan semula nama baik saya yang sudah tercemar ini," katanya dalam sidang media di kediaman neneknya, Nur Zaiton Abdul Majid, 70, di Lembah Keramat, di sini, semalam.


Afiq dikatakan kecewa dengan kenyataan Hasliza dalam sebuah portal yang menggelarnya anak derhaka dan mendakwa sikapnya berubah selepas menjalinkan hubungan dengan pelakon, Eina Azman, 18.

Dalam sidang media sama, Afiq turut menjelaskan dia terpaksa menetap di rumah neneknya selepas sumber pendapatannya terjejas akibat konflik itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

'Sukar maafkan mereka'

Posted: 23 May 2013 11:32 AM PDT

Batu Pahat: "Akhirnya terbalas segala kepedihan yang kami sekeluarga tanggung selama ini. Mereka (tertuduh) telah merampas kebahagiaan hidup kami dengan membunuh Sosilawati (Datuk Sosilawati Lawiya)," kata ibu jutawan kosmetik itu, Yatmah Abdul Rahman, 83, semalam.

Yatmah ditemui di rumahnya di Seri Medan di sini selepas empat tertuduh kes pembunuhan Sosilawati iaitu bekas peguam N Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang lelaki terbabit, R Matan, T Thilaiyalagan dan R Kathavarayan dijatuhi hukuman gantung sampai mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor semalam.


"Tiada apa lagi yang dapat saya katakan, saya sebagai ibu yang melahirkannya (Sosilawati) sudah tentu sedih setiap kali teringatkan nasib yang menimpa arwah.

"Bagaimanapun, hari ini (semalam) saya sangat bersyukur dengan keadilan ini kerana hukuman ini setimpal dengan kesalahan yang mereka (tertuduh) lakukan," katanya.


Yatmah juga mengalirkan air mata ketika menonton keputusan kes pembunuhan Sosilawati menerusi Berita Terkini TV3 tengah hari semalam sambil ditemani anak ketujuhnya, Rosnani, 48.


Menurutnya, walaupun bersyukur dengan keputusan yang diputuskan mahkamah itu, dia masih sukar untuk memaafkan semua tertuduh yang bertindak terlalu kejam.

Sementara itu, Rosnani berkata, keadaan ibunya sama seperti dulu kerana wanita itu lebih banyak termenung dan menangis setiap kali teringatkan arwah Sosilawati.


"Mak (ibu) seperti biasa tetapi setiap kali dia teringatkan kak Wati, ibu akan termenung selain ada kalanya merenung gambar arwah.

"Perkara ini merisaukan kami sekeluarga kerana bimbang kesihatannya terganggu," katanya.


Menurut Rosnani, dia sekeluarga bersyukur dengan keputusan mahkamah dan berharap ia mampu mengakhiri segala penderitaan keluarganya.


"Kami sekeluarga bercadang untuk mengadakan kenduri kesyukuran dalam masa terdekat," katanya.


Semalam, Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya, dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Sosilawati serta tiga individu lain di Ladang Gadong, Banting, Selangor pada 30 Ogos 2010.


Hakim Datuk Akthar Tahir memutuskan keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


Pathmanabhan, 44, serta tiga pekerja ladang iaitu Thilaiyalagan, 22, Matan, 23, dan Kathavarayan, 33, dibicarakan atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, juga pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/24

No comments:

Post a Comment