Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Drebar menjerit minta diselamat

Posted: 26 May 2013 11:36 AM PDT

Baling: "Saya tidak mampu berbuat apa-apa melainkan menjerit meminta pertolongan daripada orang ramai apabila tersepit di tempat duduk pemandu dengan kepala menjunam ke bawah selepas lori terhumban ke dalam anak sungai."

Begitu kata Muhammad Rahmat Kamarudin, 33, apabila lori dipandunya terhumban ke dalam anak sungai selepas melanggar besi penghadang jambatan di Kilometer 33.4 Jalan Sungai Petani-Baling, berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Tawar, jam 4.30 petang kelmarin.


Mangsa berasal dari Kampung Bukit Gajah, Simpang Pelangi, Bentong, Pahang, dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Petani membawa aiskrim untuk dihantar ke Jerteh, Terengganu.

Muhammad berkata, sebaik tiba di jambatan itu, dia tergaman dan tidak dapat mengawal lori berkenaan lalu melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam anak sungai.


"Jambatan kecil dan sempit sehingga tidak mampu mengawal lori yang sarat muatan lalu melanggar penghadang sebelum terjunam.


"Akibatnya, saya tersepit di pintu dan stereng lori menyebabkan tidak dapat keluar menyelamatkan diri meskipun ketika itu kepala semakin mencecah sungai," katanya.

Foto

BOMBA berusaha mengeluarkan Muhammad yang tersepit di tempat duduk pemandu selepas lori dipandu terjunam ke dalam sungai.

Menurutnya, dia tidak pernah melalui jalan itu untuk ke Terengganu, tetapi bernasib baik kerana penduduk yang tinggal berdekatan datang membantu sebelum mendapat pertolongan daripada polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM).


"Kalau tidak tak tahulah apa yang akan terjadi kerana lori itu makin menjunam ke dalam sungai dan saya akan lemas sekiranya lewat mendapat pertolongan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian dan mangsa dihantar ke Hospital Baling kerana mengalami kecederaan di kaki, kepala dan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Masalah air di Selangor, Lembah Klang pulih

Posted: 26 May 2013 11:28 AM PDT

Kuala Lumpur: Masalah bekalan air di seluruh kawasan Lembah Klang dan Selangor sudah pulih seperti biasa, tetapi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tetap memantau keadaan.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS Priscilla Alfred berkata, situasi bekalan air yang terjejas sejak kebelakangan ini semakin terkawal dan stabil.


"Bekalan di semua kawasan terjejas termasuk Sabak Bernam dan Hulu Langat sudah pulih sejak hari ini (semalam). Namun SYABAS masih memantau keadaan dan kami bersedia menghantar bekalan air tambahan dalam 24 jam jika masalah air berulang," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, masalah air yang berlaku sebelum ini berpunca daripada peningkatan permintaan bekalan air terawat melebihi kapasiti bekalan.


Pada 24 Mei lalu, SYABAS mengeluarkan kenyataan media memaklumkan jumlah permintaan air yang terus meningkat di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mencapai kadar 3.5 peratus setahun dan peningkatan juga berlaku mendadak akibat cuaca panas.


Rekod sepanjang 2012 sehingga 22 Mei lalu menunjukkan permintaan air semasa adalah sentiasa di tahap tinggi berbanding kapasiti yang boleh diagih dengan rizab bekalan air yang sangat sedikit.

Akibat permintaan air berada di tahap puncak, tekanan air menjadi rendah dan sebahagian kawasan berkemungkinan tidak mendapat bekalan air terutama di kawasan lebih tinggi atau penghujung sistem agihan air.


Bagi bantuan air ketika kecemasan, SYABAS membuat perolehan tambahan 24 lori tangki dan 225 tangki statik. SYABAS juga akan meningkat jumlah ini kepada 66 lori tangki dan 750 tangki statik menjelang Ogos nanti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

'Jaga anak baik-baik'

Posted: 26 May 2013 11:20 AM PDT

Melaka: "Selain sudah memberikan nama untuk bayi yang dikandung, beliau (arwah) berpesan kepada saya supaya menjaga anak-anak kami dengan baik sehingga dewasa dan memperoleh kejayaan," kata Aieda Sdzuliana Samsudin, 31, isteri Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Pinang, Batang Tiga, yang maut selepas terbabit kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama, di sini, awal pagi semalam.

Lebih memilukan detik hitam itu berlaku ketika mangsa, Mohamad Haslin Zakariah, 36, pertama kali menyertai konvoi bersama rakan-rakannya dengan menaiki motosikal Scrambler yang baru dibelinya lebih seminggu lalu. Difahamkan, dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, motosikal ditunggang kontraktor berkenaan bagaimanapun bergesel sebuah kenderaan lain menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.


Mangsa yang parah di badan dikejarkan ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia jam 1.35 pagi.

Menurut Aieda yang hamil enam bulan, ketika kejadian dia berada di kampung halamannya di Sungai Rambai, Jasin. "Saya dan anak perempuan yang berusia tiga tahun pulang ke kampung jam 9.30 malam. Ketika dalam perjalanan, saya menghubungi arwah meminta menyimpan lauk kenduri kahwin yang lupa dibawa dalam peti sejuk.


"Ketika itu, arwah menguruskan kedai runcit kami di Kampung Pinang dan memberitahu mahu menutup kedai lebih awal," katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat HM di sini, semalam.


Menurutnya, pada jam 2.30 pagi semalam, luluh hatinya apabila dimaklumkan ahli keluarga mengenai kemalangan menimpa suami yang tidak sempat menyambut kelahiran cahaya mata ketiga mereka. "Arwah sudah memberi nama untuk bayi kami ini iaitu Mohamad Asyraf jika lelaki dan Ayra Hafni jika perempuan. Dia juga pernah meminta saya supaya meneruskan perniagaan kedai runcit dan membesarkan semua anak kami. "Selain itu, arwah yang memangku jawatan Ketua Pemuda selama hampir 15 tahun sejak kebelakangan ini dilihat begitu gembira kerana memperoleh projek pembinaan rumah dan membeli motosikal baru," katanya. Kata Aida, dia reda dengan ketentuan Ilahi.

Rakan mangsa Rezam Jalil, 37, pula berkata, konvoi itu disertai 15 penunggang motosikal dan arwah berada paling depan.


"Saya ketika itu berada paling belakang dan terkejut apabila mendapati arwah sudah terjatuh dari motosikalnya akibat bergesel dengan kenderaan lain yang dilihat tiada di tempat kejadian.

"Arwah yang baru menyertai konvoi tidak menunjukkan perubahan pelik namun pernah menyatakan hasrat untuk menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) bermotosikal di Tangga Batu," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Superintendan Ahmad Adnan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Warga emas maut dirempuh

Posted: 26 May 2013 11:19 AM PDT

Petaling Jaya: Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 8.4 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) menghala Bandar Sunway di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, mangsa, Hassan Mohd Jani, 66, maut di tempat kejadian akibat tercampak ke Jalan Klang Lama yang terletak di bawah lebuh raya berkenaan.


Cucu mangsa, Megat Mohd Sharil, 20, yang ditemui di Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, sudah menjadi rutin harian datuknya itu pergi ke sebuah lombong di Kelana Jaya untuk menangkap ikan.

"Setiap hari datuk ke sana jam 1 pagi untuk menangkap ikan sebelum menjual hasil tangkapannya di Pasar Pudu atau sekitar Kampung Medan dan pulang ke rumah.


"Namun pagi ini kami sekeluarga dikejutkan dengan berita ini selepas dimaklumkan anggota polis," katanya.


Siasatan awal polis mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu itu yang gagal mengawal keretanya hingga merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Akrab hingga mati

Posted: 26 May 2013 11:16 AM PDT

Jitra: "Hubungan mereka amat rapat dan tidak pernah berenggang, tetapi tak sangka ditakdirkan meninggal dunia bersama."

Begitu kata Saifulnizam Kamaludin, 27, abang kepada Muhammad Alhafiz, 16, yang meninggal dunia bersama rakannya, Hazirun Mahalil, 15, apabila motosikal yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Padang Panjang, Jalan Bukit Wang, dekat sini, petang kelmarin.


Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangi terbabas sebelum merempuh sebuah motosikal lain yang ditunggangi pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, Wan Mohammad Kazim Sheikh Osman, 54, patah tangan dan bahu, manakala isterinya, Zaharah Salleh, 49, cedera di kaki dan muka serta masih dirawat di Hospital Jitra (HJ), dekat sini.


Difahamkan, dua remaja itu belajar di Sekolah Menengah Darulaman, Alor Setar dengan Muhammad Alhafiz di tingkatan empat, manakala Hazirun pula bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.


Hubungan dua remaja itu sangat rapat sehingga waktu pergi dan pulang dari sekolah turut bersama, malah Hazirun kerap datang ke rumah Muhammad Alhafiz untuk meluangkan masa.

Lebih menyedihkan apabila mayat kedua-duanya ditemui bersebelahan walaupun jarak antara motosikal mereka dari lokasi kejadian kira-kira 20 meter.


Saifulnizam berkata, ketika kejadian, dia baru pulang kerja dan menerima panggilan daripada rakan adiknya yang memaklumkan kedua-dua mangsa dibawa ke HJ, tetapi ketika itu dia tidak dimaklumkan keadaan sebenar.

Katanya, setibanya di hospital, dia terkejut apabila dimaklumkan adik dan rakannya meninggal dunia akibat kemalangan itu.


"Saya bagaikan tak percaya kerana kali terakhir bertemu dengan Muhammad Hafiz, malam semalam (Jumaat) dan kami berbual seperti biasa.


"Malah, saya turut menunjukkan tilam barunya dan rasa terkilan kerana arwah tidak sempat menggunakannya.


"Tilam itu akan digunakan untuk mengkafankan jenazahnya pagi esok (semalam) bagi menunaikan hasratnya mahu menggunakan tilam baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

No comments:

Post a Comment