Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


12 tahun anak dalam sangkar

Posted: 29 May 2013 11:32 AM PDT

Beijing: Seorang ibu meluahkan perasaan sedihnya selepas terpaksa mengurung anaknya yang menghidap sakit mental di dalam sangkar buatan sendiri sejak lebih 10 tahun lalu.

Wang Muxiang, 74, mengurung anaknya, Wu Yuanhong selepas dia membunuh seorang budak lelaki berusia 13 tahun di kampungnya di China pada 2001.


Wu dibebaskan dari penjara setahun kemudian selepas pihak berkuasa memutuskan dia tidak bersalah kerana tidak siuman. Bagaimanapun Wang bimbang Wu akan membunuh lagi. Kerana itu dia mengurungnya dalam sebuah bilik kosong di kediaman mereka.

Gambar menyayat hati menunjukkan Wu, 42, duduk di atas selimut dalam sangkar kecil dengan kakinya diikat dengan rantai besar dan hanya berkemeja-T dan seluar dalam.


Dia diberi makan tiga kali sehari oleh ibunya. Untuk buang air, dia diberi mangkuk.


Selepas dibebaskan dari penjara, Wu dirantai tetapi melarikan diri berulang kali dan menakutkan jiran apabila berkeliaran di Kampung Lijiachong, berhampiran Ruichang di tenggara China.

Foto

WANG memberi makanan kepada anaknya.

Foto

WU dikurung dalam sangkar buatan ibunya.

Ibunya meminta tukang besi tempatan membuat sangkar tetapi mereka enggan kerana bimbang Wu menyerang mereka jika dia melarikan diri.


Akhirnya, Wang terpaksa membuatnya sendiri.

"Anak saya mungkin tidak siuman hingga membunuh orang. Tetapi dia tetap anak saya. Untuk menggunakan tangan saya sendiri bagi menempatkannya dalam sangkar adalah keputusan yang amat sukar, seperti ditikam dengan pisau.


"Setiap kali menghantar makanan, saya akan duduk di kandang itu dan menangis. Kini air mata saya sudah kering." Ramai pesakit mental di China tidak diberikan rawatan sewajarnya kerana kekurangan sumber dan pakar berkelayakan, khususnya di luar bandar. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Letak anak dalam penyejuk beku untuk hentikan tangisan

Posted: 29 May 2013 11:28 AM PDT

Washington: Dalam satu kes penderaan yang mengejutkan, seorang lelaki dihadapkan ke mahkamah semalam atas tuduhan meletakkan anaknya di dalam penyejuk beku dengan tujuan untuk menghentikan tangisannya.

Tyler James Deutsch, 25, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendera kanak-kanak, salah laku jenayah dan menghalang laporan mengenai keganasan rumah tangga. Mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) ke atasnya.


Pendakwa raya Pierce County, Mark Lindquist memberitahu mahkamah, Deutsch tertidur selepas meletakkan anaknya di dalam penyejuk beku itu Sabtu lalu. Dia terjaga sejam kemudian dan mengeluarkan bayi itu apabila ibu kanak-kanak berkenaan pulang.

Dia merampas telefon si ibu yang berusia 22 tahun itu ketika wanita berkenaan cuba menelefon untuk meminta bantuan dari kediaman di Roy, Washington.


Wanita itu kemudian membawa kanak-kanak itu dan meminta bantuan jiran untuk menelefon polis.


Suhu badan kanak-kanak itu jatuh 84 darjah Fahrenheit di dalam pembeku ais itu. Deutsch akan berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Laman sesawang berita perlu lesen

Posted: 29 May 2013 11:26 AM PDT

Singapura: Kerajaan Singapura akan mewajibkan semua laman sesawang berita dalam talian dilesenkan, satu langkah yang dikritik sebagai usaha penapisan di negara yang memang sudah mengawal ketat medianya.

Dalam kenyataan dikeluarkan semalam, Pihak Berkuasa Pembangunan Media (MDA) berkata, peraturan itu dikenakan terhadap laman sesawang membuat laporan berita mengenai Singapura dan mempunyai pengunjung bulanan sekurang-kurangnya 50,000 orang.


"Mereka juga dikehendaki memadamkan kandungan didapati melanggar standard MDA dalam tempoh 24 jam selepas diberitahu," kata agensi itu. Sementara itu bloger sosial dan politik tempatan, Lee Kin Mun berkata, langkah itu adalah penapisan kerajaan terhadap kebebasan media. "Cubaan mengawal Internet sama seperti menangkap agar-agar; semakin kuat anda menggenggam, semakin pantas ia bocor di antara jari anda," katanya. Dalam kenyataannya, MDA berkata, peraturan yang mula berkuat kuasa esok itu akan menjadikan laman sesawang berita "lebih konsisten kepada rangka kerja undang-undang dengan platform berita tradisional yang sudah dilesenkan." Kata MDA, peraturan itu juga mengenakan denda berbentuk kewangan, penggantungan atau pembatalan lesen terhadap mana-mana laman sesawang yang tidak mematuhi peraturan. Dalam kenyataan itu, MDA menyenaraikan 10 laman sesawang dengan sembilan daripadanya adalah milik kerajaan, manakala satu lagi adalah Yahoo Singapura. "Peraturan baru ini juga mungkin diperluaskan kepada laman sesawang persendirian atau berita asing yang membuat laporan berita mengenai Singapura," katanya. Untuk memperoleh lesen, sesebuah laman sesawang mesti mengemukakan bon bernilai S$50,000 (RM121,761), sama seperti keperluan yang dikenakan kepada penyiar televisyen di negara itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Treler bawa kereta mewah terbakar

Posted: 29 May 2013 11:26 AM PDT

Bangkok: Sebuah treler membawa enam kereta mewah terbakar di wilayah Nakhon Ratchasima semalam, menyebabkan kerugian dianggarkan RM10 juta.

Ketua Polis Klang Dong, Manote Kerdkwan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi di Lebuh Raya Mitraphap.


Katanya, pemandu treler itu mendakwa dia hanya menyedari kebakaran berkenaan apabila pengguna lebuh raya dari arah bertentangan memberikan isyarat kepadanya. "Pemandu itu berkata, dia memberhentikan treler dan cuba memadamkan api, tetapi dia gagal," katanya. Manote berkata, kebakaran itu turut memusnahkan tiub brek udara treler berkenaan, menyebabkan bahagian badannya terpisah dan menghalang dua laluan lebuh raya.

Katanya, akibat kejadian itu lebuh raya mengalami kesesakan teruk. "Antara kereta yang rosak ialah dua unit Lamborghini dan masing-masing sebuah BMW dan Bentley," katanya.


Pemandu terbabit kini ditahan untuk disoal siasat di Balai Polis Klang Dong. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Pembesar suara di masjid dikaji

Posted: 29 May 2013 11:25 AM PDT

Jakarta: Pengerusi Dewan Masjid Indonesia, Jusuf Kalla berkata, badan itu sedang mengkaji semula peraturan penggunaan pembesar suara di masjid negara itu.

Menurut bekas Naib Presiden Indonesia itu, pihak yang berkenaan kini di peringkat meneliti aspek teknikal sebelum membuat keputusan akhir mengenainya. "Apabila siap, kami akan mengeluarkan peraturan mengenai penyiaran doa dan selawat yang sering dikumandangkan sebelum azan Subuh.


"Kami akan menetapkan tempoh ia dikumandangkan kerana tidak sepatutnya terlalu lama," katanya. Sebelum ini, orang ramai termasuk di kalangan penganut Islam mengadu penggunaan pembesar suara keterlaluan di masjid negara itu, terutama di awal pagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Bali destinasi kegemaran

Posted: 29 May 2013 11:25 AM PDT

Bali: Kajian agensi pelancongan tempatan menunjukkan, sebahagian besar pengunjung Bali berkata, pulau itu masih menjadi destinasi kegemaran mereka di Asia Tenggara.

Daripada 1,000 responden yang ditemui agensi berkenaan, 41.1 peratus berkata, Bali adalah destinasi yang paling diutamakan berbanding pusat percutian lain. Berada di tempat kedua ialah Thailand (20.9 peratus), Singapura (15.4 peratus), Vietnam (7.2 peratus) dan Malaysia (5.7 peratus).


Mengenai kepuasan percutian, 53.5 peratus responden berkata, mereka "sangat berpuas hati" dengan apa yang dialami di Bali, manakala 39.5 peratus berpendapat, mereka "berpuas hati." Sebanyak 5.8 peratus mendapati Bali "agak memuaskan" berbanding hanya 1.2 peratus menganggap pulau percutian itu "tidak memuaskan." Kajian sama turut menunjukkan 59.5 peratus pengunjung kali pertama atau berulang mahu datang semula ke pulau itu untuk percutian akan datang. Lebih separuh daripada responden atau 61.7 peratus adalah pengunjung kali pertama Bali.

Ketua agensi itu, Kade Subhiksu berkata, keputusan berkenaan agak memberangsangkan kerana responden adalah pelancong asing, termasuk dari Australia, China, Korea Selatan, Britain dan Amerika Syarikat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Tiada unsur jenayah: Polis

Posted: 29 May 2013 11:24 AM PDT

Beijing: Insiden seorang bayi yang baru lahir terjatuh ke paip tandas di China disahkan berlaku akibat kemalangan dan ibunya tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Seorang pegawai kanan polis berkata, selepas siasatan dijalankan pihak berkuasa tidak menemui sebarang unsur jenayah di sebalik kejadian itu.


"Keputusan siasatan menunjukkan kejadian itu tidak disengajakan," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang wanita berusia 22 tahun bersalin di dalam tandas selepas merahsiakan kehamilannya akibat hubungan luar nikah. Bagaimanapun, bayi itu terjatuh ke dalam tandas dan tersangkut dalam paip.


Anggota bomba dan doktor di bandar Jinhua di wilayah Zhejiang bertungkus-lumus hampir sejam bagi memotong sedikit demi sedikit saluran selebar 10 sentimeter itu menggunakan playar dan gergaji bagi menyelamatkan bayi berkenaan. Media melaporkan, bayi itu tersangkut di situ bersama urinya. Insiden itu mengundang ratusan ribu komen di laman sosial Weibo dengan semua pengguna mendoakan kesejahteraan bayi seberat 2.3 kilogram itu.


Dari tempoh dia ditemui sehingga dikeluarkan, bayi terbabit berada di dalam saluran tandas berkenaan selama dua hingga tiga jam.

Bayi itu mengalami sedikit luka pada muka dan badannya.


Dia kemudian ditempatkan dalam inkubator di Hospital Pujiang.

Media melaporkan, jururawat di hospital itu menggelarnya sebagai "Bayi Nombor 59" sempena nombor pada inkubator berkenaan.


Sementara itu, Pengarah Hospital, Wu Xinhong berkata, bayi terbabit kini dalam keadaan sihat dan sedia untuk dibawa pulang. "Keadaannya baik tetapi tiada waris yang tampil untuk mengambilnya," katanya. Polis pula berkata, ibu bayi itu kini dalam keadaan kritikal kerana komplikasi akibat kelahiran itu, manakala pasangannya masih dicari. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Bunuh diri kerana gagal matematik

Posted: 29 May 2013 11:24 AM PDT

Jeddah: Seorang pelajar India di Dammam, Arab Saudi dilaporkan membunuh diri selepas gagal dalam peperiksaan, lapor media semalam.

Memetik seorang saksi, Mir Ameer Ansari dilaporkan gagal dalam peperiksaan satu daripada mata pelajaran yang didudukinya.


Kata saksi, Mir Ameer, 18, dikenali sebagai pelajar pintar di sekolahnya, tetapi tidak dapat menerima hakikat dia hanya memperoleh 17 markah daripada 100 dalam matematik.

"Kami mendoakan keluarga Mir Ameer tabah menghadapi insiden ini," katanya. Mayat Mie Ameer kini disimpan di Hospital Pusat Dammam dan polis masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian. Sementara itu, sumber polis berkata, keluarga pelajar itu berada di Hyderabad, India. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Rakyat Singapura panjang umur

Posted: 29 May 2013 11:23 AM PDT

Singapura: Singapura mencatat kadar jangkaan hayat keempat terbaik di dunia berdasarkan data dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), semalam.

Menurut maklumat agensi itu, kadar purata jangka hayat ketika lahir adalah 82 tahun pada 2011, menjadikan ia setaraf dengan Itali. Kadar jangkaan hayat wanita di Singapura ialah 85 tahun, manakala lelaki 80 tahun. Tiga tempat teratas adalah Jepun dengan jangka hayat bagi wanita ialah 86 tahun berbanding lelaki 82 tahun diikuti Switzerland dan San Marino. Ketiga-tiga negara itu mencatatkan kadar jangka hayat 83 tahun, jauh lebih tinggi berbanding kadar global iaitu 70 tahun.


Sementara itu, Sierra Leone berada di tempat terbawah dengan 47 tahun.

Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Prof Chia Kee Seng berkata, Singapura perlu memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup lebih meluas dengan mencegah penyakit kronik kerana ia boleh melembapkan kemajuan. Laporan WHO itu turut membandingkan kadar jangka hayat semasa berbanding data pada 1990 dan 2000. Pada 1990, Singapura berada di kedudukan ke-29 dengan purata kadar jangka hayat 75 tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

Anonymous UK dedah data ahli EDL

Posted: 29 May 2013 11:23 AM PDT

London: Aktivis menggelar diri mereka sebagai Anonymous UK semalam mendedahkan di Internet maklumat peribadi anggota Liga Pertahanan England (EDL) yang berfahaman kanan melampau serta anti-Islam.

Pendedahan itu dibuat berikutan pembunuhan seorang anggota tentera di Woolwich, London minggu lalu. Kumpulan pelampau EDL mengadakan protes dan bertempur dengan polis sejak Lee Rigby ditetak hingga mati di tepi jalan pada Rabu minggu lalu.


Suspek adalah warga Britain keturunan Nigeria, Michael Adebolajo dan Michael Adebowale.

Suspek mendakwa, mereka membunuh Rigby untuk membalas dendam atas kematian umat Islam di tangan tentera Britain di negara luar. Anonymous UK berkata, pembocoran data besar-besaran itu mengandungi nama, nombor telefon bimbit dan alamat anggota EDL serta penyumbang mereka.


Sesetengah sabitan jenayah anggota EDL itu turut didedahkan. Anonymous UK juga membayangkan, pihak yang bertanggungjawab di sebalik pendedahan itu adalah kumpulan penggodam antarabangsa yang turut dikenali kerana menyerang pelbagai sasaran, termasuk Agensi Perisikan Pusat (CIA). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

No comments:

Post a Comment