Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Diejek penyokong'

Posted: 27 May 2013 09:08 AM PDT

Brasilia: Pemain paling berbakat Brazil, Neymar diejek penyokong lawan pada penampilan terakhir bersama Santos semalam, sehari selepas mengesahkan akan berhijrah ke Barcelona musim depan.

Neymar gagal membantu pasukannya ketika seri tanpa jaringan menentang Flamengo pada perlawanan pembukaan kejohanan liga Brazil di stadium baru Piala Dunia di ibu negara Brazil itu.


Penyerang berusia 21 tahun itu, yang dilihat sebagai prospek paling menyerlah dalam bolasepak, mengumumkan memilih Barca bukannya Real Madrid dan akan meninggalkan Santos untuk mengikat kontrak lima tahun dengan kelab Catalan itu.

Sebilangan besar daripada 63,500 penonton yang memenuhi Stadium Nasional Mane Garraincha di Brasilia adalah penyokong Flamengo yang mencemuh Neymar apabila dia mengawal bola dan bersorak apabila dia kehilangan bola.


Bintang Brazil dengan rambut ala Mohican itu menangis ketika lagu kebangsaan dinyanyikan sebelum perlawanan, yang terakhir buatnya dengan kelab itu.


"Satu penghormatan bermain buat pasukan sehebat Santos, saya gembira dapat melakukannya," katanya.

Foto

Neymar

"Setiap kanak-kanak mempunyai impian, sama ada sebagai pemain, doktor gigi atau wartawan. Impian saya menjadi atlet profesional dan berjaya meraihnya. Hari ini Barcelona memenuhi impian saya." Sesetengah penyokong Flamengo yang mengejek Neymar semalam mungkin akan bersorak buatnya di stadium sama pada 15 Jun ini apabila dia turun beraksi buat Brazil menentang Jepun pada perlawanan pembukaan Piala Konfederasi, kejohanan lapan negara raptai kepada Piala Dunia tahun depan.


Neymar tidak pasti bila akan berkunjung ke Barcelona namun berkata, dia teruja dengan prospek bermain di samping Lionel Messi, Xavi Hernandez, Andres Iniesta dan Dani Alves.

"Peminat Santos sering menyokong saya. Saya hanya boleh berterima kasih kepada mereka dan berkata semoga kita berjumpa lagi kerana satu hari saya akan kembali." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

KHS Factory optimis

Posted: 27 May 2013 08:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Mempertaruhkan pelumba kebangsaan, pasukan KHS Factory meletakkan sasaran mengungguli kategori terbuka lelaki dan wanita sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya pada 1 dan 2 Jun.

Tiga pelumba kebangsaan yang berkhidmat bersama Tentera Laut diraja Malaysia (TLDM) dalam acara lebuh raya menjadi taruhan buat KHS di samping beberapa pelumba muda yang bakal diketengahkan.


Pengurus pasukan Azril Padli, 26, berkata, matlamat utama pasukannya untuk cuba memberi saingan sengit dan berusaha selagi termampu kerana sedar saingan yang bakal diterima pastinya sengit terutama dengan kehadiran pelumba ternama lain.

Katanya, beberapa strategi akan cuba digunakan dalam usaha pelumba memburu kedudukan podium.


Menurutnya, mereka meletakkan sasaran kepada Mohd Nor Rizuan Zainal, Shahrul Nizam Che Hishamudin untuk kategori lelaki manakala Jacklyn Diana Andrew diharap mampu menguasai kategori wanita.


Sebagai pasukan baru bertapak, Azril berkata, beliau akan berusaha membangunkan sukan basikal bukit ini kerana aktiviti seperti itu mampu mengetengahkan lebih banyak bakat ke peringkat antarabangsa. "Saya harap pelumba KHS menampilkan aksi mantap dan kerjasama baik bersama ahli pasukan," katanya. Aksi bermula di Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terengganu (23-24 Ogos), Legoland Nusajaya (28-29 Oktober), Kellie Castle (26-27 Oktober) dan Selangor yang belum diputuskan tarikhnya. Saingan membabitkan Elit, Terbuka Metro (Jamboree) dan Demonstrasi/Pameran dengan sasaran menarik peserta tempatan dan Asia Tenggara. Acara Elit mempertandingkan tiga kategori membabitkan peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak sejauh tiga hingga tujuh kilometer dalam masa yang ditetapkan. Terbuka Metro (Jamboree) pula terbahagi kepada empat kategori, Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan Junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40 kilometer. Maklumat lanjut mengenai syarat pertandingan, kategori dan penginapan, layari laman http://mtbgp.hmetro.com.my atau hubungi Riadz Radzi (019-6434049).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Hee Marquee taja 6 piala

Posted: 27 May 2013 08:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas menjalinkan kerjasama dalam pelbagai acara anjuran Harian Metro (HM) sejak enam tahun lalu, syarikat Hee Marquee Tent Rental Sdn Bhd (Hee Marquee) turut terpanggil menaja enam piala untuk saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013.

Pengarah Projek Safizan Yakin berkata, tajaan piala bernilai RM7,000 itu disumbang untuk lima sirkit kejohanan bermula di Putrajaya pada 1 hingga 2 Jun.


"Penajaan ini sebagai tanda sokongan syarikat kepada acara sukan berbasikal di negara ini. Kejohanan ini pastinya dapat mengumpulkan ramai pelumba basikal handalan yang bakal mempamerkan aksi terbaik melalui beberapa cabaran termasuk laluan mendaki, menuruni bukit serta laluan sempit," katanya selepas hadir menyampaikan hadiah tajaan di Balai Berita semalam.

Hadiah tajaan disampaikan kepada Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro yang juga Pengerusi Kejohanan Abdul Ghafar Ismail. Turut hadir, Pengarah Projek Abdul Kadir Hamza dan Setiausaha Hee Marquee Tent Rental Sdn Bhd Rashidah Hamzah. Menurutnya, berbasikal boleh dijadikan hobi dan amalan gaya hidup sihat kerana ia memberi manfaat besar kepada kesihatan mental dan fizikal.


Sementara itu, kehangatan saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 terus mendapat sambutan peserta dari seluruh negara sebelum memulakan cabaran di pertama di Putrajaya hujung minggu ini.


Kejohanan julung kali dianjurkan akhbar nombor satu itu turut mendapat kerjasama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) selain mendapat pengiktirafan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Peluang buka gerai

Posted: 27 May 2013 08:32 AM PDT

Bersempena Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2013, penganjur memberi peluang kepada orang ramai membuka gerai yang dikhaskan untuk menjalankan perniagaan barangan basikal dan pakaian.

Kuota berkenaan terbuka kepada 10 peniaga terawal di setiap lokasi sepanjang kejohanan berlangsung. Mereka yang berminat boleh menghubungi Norsham Daud di talian 013-3731402.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Keselamatan diutamakan

Posted: 27 May 2013 08:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Kualiti penganjuran menjadi fokus utama memastikan kelancaran penganjuran sirkit pertama Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013 di Putrajaya pada 1 dan 2 Jun.

Justeru tugas itu bakal digalas Kelab Pacuan Empat Roda Raja Rimba yang dibantu 20 marsyal dan 10 kenderaan pacuan empat roda bagi memastikan keselamatan peserta terjamin.


Presiden Sham Mat Shah berkata, beliau bangga dapat menjalinkan kerjasama bersama Harian Metro menjayakan kejohanan ini dan hanya mereka yang berpengalaman akan dipertanggungjawabkan mengendalikan pertandingan ini.

"Kami sudah sedia memastikan kelancaran pertandingan ini. Peserta jangan bimbang kerana marsyal yang dipilih daripada kalangan mereka berpengalaman untuk membantu peserta yang berdepan masalah.


"Kami akan menempatkan setiap marsyal di tempat berbahaya contohnya di tempat mencabar, jalan licin, selekoh tajam dan jalan berbatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

'Bukan alasan'

Posted: 27 May 2013 08:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Biarpun tuan rumah mengeluarkan lima acara, namun itu bukan alasan buat skuad olahraga Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia untuk tidak menyerlah pada kejohanan serantau itu.

Apapun, itulah hakikat perlu diterima apabila Vietnam tidak menyenaraikan acara 100 meter lari berpagar wanita, 110m lari berpagar lelaki, lompat bergalah lelaki dan wanita serta baling tukul besi lelaki pada kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean (ASG) 2013 di Hanoi, bulan depan. Lima acara terbabit dianggap lubuk emas skuad olahraga tapi ketiadaan acara itu memaksa kontinjen negara menumpukan kepada acara lain yang disenaraikan di kejohanan itu. Jurulatih acara lompatan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Zainal Abas berkata, ketiadaan lima acara itu sedikit-sebanyak menjejaskan peluang kontinjen Sekolah Malaysia meraih pingat emas acara itu. "Sudah menjadi lumrah, keputusan seperti itu akan berlaku kerana tuan rumah mempunyai kata putus. Bagi saya, apabila keputusan seperti itu dibuat, ia menjejaskan peluang skuad negara merangkul lima emas di Hanoi. "Apapun, saya tetap berfikiran positif kerana kita boleh memantapkan atlet negara untuk menyerlah dalam acara lain. Saya yakin dengan kemampuan atlet kita untuk menyinar dengan cara mereka tersendiri," katanya, semalam.


Kontinjen negara dijangka menghantar 35 peserta termasuk pemegang rekod acara lompat jauh dan lompat kijang ASG, Noor Shidatun Nadia Mohd Zuki serta Mohd Azli Ghazali yang menjadi atlet harapan masa depan acara lompat tinggi lelaki kerana memiliki rekod lompatan terbaik, 2.15m.

Sementara itu jurulatih acara lari berpagar lelaki, Ithnin Mahadi berkata, hanya atlet terbaik dan mempamer potensi sebenar akan dipilih menyertai skuad pelapis kebangsaan. "Pada MSSM (Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia) di Pahang, minggu lalu, atlet Sarawak, (Quek) Lee Yong, pemenang acara 200m berpagar lelaki berada dalam radar kami. Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 45 pingat emas temasya ASG di Kuala Lumpur pada 2010 manakala meraih 21 pingat emas pada 2011 (Singapura) dan 29 pingat emas di Surabaya tahun lalu.


Kejohanan ASG di Hanoi akan berlangsung dari 25 Jun hingga 2 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

LionsXII kukuh kedudukan

Posted: 27 May 2013 08:31 AM PDT

Kuala Lumpur: LionsXII menjaringkan tiga gol pada babak kedua untuk menewaskan PKNS FC 3-1 pada aksi Liga Super malam tadi sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga.

Dengan baki empat perlawanan, pasukan dari Singapura itu kini mengumpul 38 mata mengatasi pencabar terdekat Johor Darul Takzim (DT) dengan empat mata.


LionsXII yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Johor DT memberikan ancaman awal menerusi rembatan Faris Ramli namun berjaya ditanduk keluar pemain pertahanan pasukan pelawat P Gunalan di depan pintu gol pada minit ke-8.

Ketika PKNS yang dilihat bergelut untuk mencari rentak di atas padang tiruan Stadium Jalan Besar itu, pasukan tuan rumah terus melancarkan serangan kali ini menerusi rembatan leret pemain tengah Hafiz Abu Sujad yang sedikit tersasar.


LionsXII yang dibimbing bekas pemain kebangsaan V Sundramoorthy berpeluang mendahului perlawanan pada minit ke-24 tapi malangnya tandukan penyerang Fazrul Nawaz berjaya ditepis keluar penjaga gol Mohd Remezey Che Ros.


Namun kekebalan benteng skuad Semut Merah tidak bertahan lama pada babak kedua apabila gawang mereka dikejutkan dengan dua gol pantas pada minit ke-54 dan 59.

Tandukan kencang Hariss Harun selepas menerima bola sepakan sudut Shahril Ishak meleraikan penantian penyokong LionsXII manakala pemain gantian Nazrul Nazari menjadikan kedudukan 2-0 apabila bola sepakannya terkena kaki Gunalan dan terbias mengelirukan Remezey di gawang PKNS.


Peluang terbaik untuk PKNS yang dibimbing Abd Rahman Ibrahim merapatkan kedudukan tidak berhasil apabila Mohd Fauzan Dzulkifli dipersalahkan kerana mengasari penjaga gol LionsXII Izwan Mahbud ketika cuba melakukan tindakan susulan bola muntah percubaan Gunalan pada minit ke-69.

Pelawat semakin tertekan apabila Helmi Remeli dilayangkan kad merah kerana menarik Gabriel Quak yang berada di kedudukan terbaik untuk menghasilkan gol pada minit ke-75. Kelebihan itu digunakan sebaiknya LionsXII untuk menambah gol ketiga menerusi Khairul Nizam pada minit ke-90 untuk berada dalam kedudukan selesa biarpun PKNS berjaya meraih gol sagu hati hasil tandukan penyerang import Patrick Wleh Ronaldinho pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Johor DT perlu hati-hati

Posted: 27 May 2013 08:30 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) seharusnya tidak menganggap bekalan 1-0 yang dibawa ke Stadium Darul Makmr, berdepan Pahang pada saingan separuh akhir kedua Piala FA, malam ini sudah mencukupi.

Malah 'perang taktikal' bakal tercetus sama ada pengendali Johor DT Fandi Ahmad atau jurulatih Pahang Dollah Salleh memiliki sentuhan magis bagi membentuk barisan pemain yang mantap dan taktikal berkesan bagi memburu slot ke pentas final Piala FA penghujung, Jun ini.


Apapun skuad Harimau Selatan tampak terpaksa membuat rombakan selepas tonggak utama, Mohd Farid Ramli tidak akan beraksi berikutan digantung satu perlawanan manakala kedudukan kapten Kamarul Afiq Kamaruddin tampak samar untuk berada dalam kesebelasan utama kerana masih belum cergas akibat kecederaan.

"Sama ada Kamarul Afiq akan diturunkan atau tidak semuanya bergantung kepada kecergasan pemain itu. Jadual perlawanan padat menyebabkan pemain mudah mengalami kecederaan dan ada yang keletihan malah selepas aksi pertama separuh akhir tumpuan latihan lebih kepada pemulihan dan hanya sempat membuat taktikal dalam tempoh singkat.


"Jika Kamarul Afiq tidak dapat beraksi, saya akan mempertaruhkan Muslim Ahmad atau Ahmad Tharmimi Saiban bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak bagi membentuk pertahanan mantap kerana kita tahu Pahang akan bermain habis-habisan untuk memburu kemenangan di tempat sendiri.


"Kita tidak akan beraksi dengan corak bertahan sebaliknya akan beri tentangan sengit walaupun sedar agak sukar menewaskan Pahang apabila beraksi di gelanggang keramat mereka namun jika pemain Johor DT beri fokus dan mengikut arahan taktikal, kita mungkin menang," katanya.

Persoalan kini apakah Fandi akan mengekalkan formasi 4-3-3 atau menukar kepada corak 4-4-2 bagi menguatkan jentera tengah tatkala pada aksi pertama separuh akhir, posisi tengah skuad Harimau Selatan jelas hilang arah apabila skuad Tok Gajah rakus mengasak Johor DT.


Apapun Fandi harus memantapkan posisi bek kiri selepas ketiadaan Mohd Farid tatkala pemain sayap Tok Gajah, R Surendran boleh menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Selatan andai kelicikan dan larian pantas pemain itu tidak disekat.

"Dua pemain sayap Pahang, Surendran dan R Gopinathan berbahaya dan saya mungkin akan meletak sama ada Irfan Abd Ghani beraksi di posisi yang ditinggalkan Mohd Farid untuk mengawal pergerakan Surendran."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Tok Gajah idam tiket ke final

Posted: 27 May 2013 08:30 AM PDT

Kuantan: Sudah 13 tahun Pahang tidak pernah beraksi pada final Piala FA dan walaupun ketinggalan agregat 0-1 akibat kekalahan pada separuh akhir pertama di tangan Johor Darul Takzim (DT), Sabtu lalu, pemain Tok Gajah itu percaya ia bukanlah halangan yang terlalu sukar untuk diatasi bagi membolehkan mereka sekali lagi berada di final, musim ini.

Apatah lagi, kesempatan beraksi di bumi keramat Darul Makmur malam ini pasti mahu digunakan sebaik mungkin anak buah ketua jurulatih Dollah Salleh kerana bagi mereka, hati peminat tempatan perlu terus dijaga.


Walaupun sedar Johor DT bukan calang-calang pasukan tetapi dalam bolasepak, apa saja boleh berlaku dan Pahang pernah membuktikan hakikat itu apabila mereka menundukkan anak didik Fandi Ahmad 3-2 di Stadium Darul Makmur ketika saingan pusingan pertama Liga Super, beberapa bulan lalu dan itulah yang menjadi penguat semangat buat skuad Tok Gajah dalam mengharungi perlawanan penuh getir malam ini.

Penjaga gol muda Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid yang bakal diberi tugas selaku benteng terakhir yakin mereka mampu membuatkan Fandi dan anak buahnya berputih mata dan kelebihan satu gol Johor DT tidak akan sesekali membuatkan pemain Pahang berputus asa untuk memburu kejayaan.


"Kami masih memiliki 90 minit lagi dan tempoh itu akan digunakan sebaik mungkin untuk menyekat Johor DT daripada layak ke final. Kami akan berhabis-habisan kerana mahu ke perlawanan akhir.


"Kelebihan dimiliki lawan tidak sesekali memadam impian saya untuk membantu Pahang layak ke final. Saya bertekad menjaga gawang sebaik mungkin dan Johor DT perlu sedar rekod pertemuan di Stadium Darul Makmur memihak kepada kami.

"Kami mahu pemain Johor DT gerun dengan penyokong Pahang yang pasti memenuhi setiap inci tempat duduk di stadium," katanya.


Khairul Azhan juga bertekad tidak lagi mahu membiarkan penyerang Johor DT terutama Leonel Nunez serta Norshahrul Idlan Talaha sesuka hati merobek gawangnya dan secara peribadi, dia sudah tidak sabar untuk turun beraksi serta menafikan setiap percubaan jentera serangan Johor DT.

Sementara itu, pengurus Datuk Che Nasir Salleh berkata, pemain Pahang terutama penyerang perlu lebih waspada dan bijak mengambil setiap peluang terhidang bagi menjaringkan gol awal untuk mematikan langkah lawan.


Menurutnya, bukan mustahil gandingan Matias Conti dan Azamuddin Mohd Akil mampu membuatkan Johor DT berputih mata apatah lagi beberapa pemain lain dalam skuad Tok Gajah turut mampu menjaringkan gol.


"Kami perlu menjaringkan gol awal dan untuk itu, setiap pemain perlu bermain pada tahap terbaik selain mempamerkan semangat juang tinggi. Jika faktor itu dapat direalisasikan, kejayaan pasti memihak Pahang.


"Pada masa sama, barisan pertahanan perlu lebih mantap dan memastikan benteng kami tidak dibolosi penyerang lawan kerana sebarang kesilapan pasti membawa padah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

Penyu tuntut semangat penyokong

Posted: 27 May 2013 08:29 AM PDT

Kuala Terengganu: Terengganu memerlukan tonik tambahan daripada penyokong untuk membangkitkan semangat pemain supaya beraksi lebih baik dalam misi memburu tempat ke final Piala FA apabila bertemu Kelantan pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang ini.

Pemain pertahanan Terengganu Hasmizan Kamarodin yang bakal memakai lilitan kapten menggantikan Mohd Faizal Muhamad yang digantung satu perlawanan berkata, sorakan peminat amat ditagih untuk membakar semangat pemain.


Hasmizan yang juga pengusaha bot pelancongan di Kuala Besut berkata, sokongan peminat yang membanjiri stadium juga bakal memberi motivasi tinggi kepada pemain biarpun Terengganu kini ketinggalan dengan perbezaan tiga gol.

"Sokongan padu penyokong amat penting sebagai tonik kami untuk beraksi lebih baik. Selain itu mereka juga boleh menyuntik semangat seperti dilakukan peminat Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Sabtu lalu," katanya.


Mengenai pertemuan dengan Kelantan, pemain berusia 29 tahun itu tetap yakin pasukannya berpeluang melangkah ke final walaupun perlu menang 3-0.


"Atas kertas kita tampak sukar memburu jaringan besar tapi dalam bola sepak apa saja boleh berlaku. Jika Kelantan mampu melakar kejayaan di tempat mereka, kita juga boleh melakukannya di Kuala Terengganu apatah lagi bermain pada waktu petang." Ketua jurulatih Terengganu E Elavarasan percaya anak buahnya mampu memperagakan aksi lebih baik kerana kelebihan laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/27

No comments:

Post a Comment