Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Selamat tinggal Santos!

Posted: 25 May 2013 08:26 AM PDT

Rio de Janeiro: Bintang muda bola sepak Brazil Neymar kini hampir memilih satu daripada dua tawaran dipercayai daripada kelab Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid selepas Santos bersetuju melepaskannya semalam.

Pengurusan Santos berkata, mereka akhirnya mengalah selepas berjuang tiga tahun untuk mempertahankan pemain berusia 21 tahun itu yang dikatakan menjadi harapan Brazil untuk Piala Dunia tahun depan dan bersetuju untuk melepaskannya, memberikan pemain itu pilihan untuk menerima tawaran yang dikehendakinya meskipun keputusannya masih belum pasti.


"Berdepan tawaran dan kontrak pemain itu, jawatankuasa pengurusan kelab bersetuju menjual pemain itu," jelas Santos dalam satu kenyataan di laman web mereka.

"Pada pertemuan dengan wakil jawatankuasa pengurusan Santos, penyerang Neymar Jr diberitahu mengenai tawaran yang diterima pengurusan kelab dan akan mempertimbangkan perkara itu selama beberapa hari sebelum membuat keputusan.


"Saya gembira dengan minat yang ditunjukkan kedua-dua kelab, ia membuat saya bangga tetapi kini saya pulang ke rumah kerana ibu sudah menunggu," Neymar dipetik Gazeta Esportiva sewaktu dia meninggalkan Vila Belmiro bersama bapanya.


Gazeta melaporkan, Neymar akan turun bersama Santos dalam perlawanan pembukaan kejuaraan Brazil menentang Flamengo di Brasilia, hari ini.

Foto

NEYMAR mendukung anaknya, Davi Lucca sebelum beraksi bersama Santos.

Wakil dua kelab ternama Sepanyol itu berada di Brazil dan akhbar Folha de Sao Paulo melaporkan tawaran terkini Barcelona didakwa berjumlah AS$36.12 juta (RM109.5 juta).


Jika Neymar memilih untuk pergi ke Barcelona, dia akan bermain bersama pemain Argentina, Lionel Messi, pemenang Bola Emas sejak empat tahun lalu.

Neymar yang dianggap pengganti seorang lagi pemain legenda Santos, Pele adalah satu-satunya pemain yang tidak berpangkalan di Eropah di antara 23 finalis anugerah pemain terbaik tahunan FIFA 2012 dan menjadi sasaran beberapa kelab Eropah sejak tiga tahun lalu termasuk Chelsea pada 2010.


Neymar turut mencapai status selebriti, turut membintangi drama televisyen dan ramai yang mengagumi gaya rambut Mohican yang dimilikinya.


Dia menandatangani kontrak baru dengan Santos sehingga selepas Piala Dunia, November lalu tetapi sering menyuarakan minatnya untuk menyertai Barcelona. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Korea musnah hasrat Thailand

Posted: 25 May 2013 08:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Korea Selatan, pasukan kedua terbaik di belakang China sepanjang zaman, sekali lagi ke final selepas membenam cabaran Thailand 3-1 pada separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Perlawanan sengit itu bagaimanapun tidak diheret dalam tempoh yang panjang selepas semua empat perlawanan tamat dalam pertarungan dua set.

Beregu campuran Korea, Ko Sung Hyun-Kim Ha Na cemerlang mengekang cabaran Saralee Thoungthoungkam-Sudket Prapakamol 21-18, 21-19.

"Saya rasa kami beraksi dengan amat baik, cuma kesilapan mudah memberikan mata kepada pasangan Korea," kata Sudket.


Sementara Sung Hyun pula menganggap mata pertama yang disumbangnya bersama Ha Na itu boleh menjadi sebaliknya kerana Thailand beraksi tanpa tekanan,

"Bagi saya perlawanan pertama memang sengit. Thailand mengubah strategi berbanding pertemuan peringkat kumpulan," kata Sung Hyun.

Thailand yang sebelum ini merehatkan Boonsak Ponsana akhirnya menurunkan pemain berpengalaman itu pada perlawanan penting ini.

Perseorangan lelaki Korea Lee Dong Keun nyata bukan tandingan Boonsak apabila dia tewas 9-21, 12-21 dalam masa 34 minit, menjadikan kedudukan 1-1.

Sung Hyun sekali lagi turun bergandingan dengan Lee Yong Dae dan gandingan nombor dua dunia itu tiada masalah mengatasi Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech 21-12, 21-11.

Menyedari risiko tewas andai perlawanan berlarutan ke perlawanan kelima, Sung Ji Hyun yang turun dalam perseorangan wanita tiada pilihan kecuali menewaskan serikandi Thailand, Ratchanok Inthanon.

Pertembungan pemain nombor lima dan enam dunia ini sengit namun strategi dan persediaan fizikal Ji Hyun akhirnya membantunya menang 21-17, 21-14 sekali gus membantu Korea melangkah ke final.

"Ratchanok kepenatan selepas terpaksa bermain dalam perlawanan sukar dengan Jepun di suku akhir tiga hari lalu. Untuk final, saya tidak mahu fikir banyak kecuali mempamerkan permainan terbaik, itupun jika perlawanan berlarutan ke perlawanan kelima," kata Ji Hyun.

Kali terakhir Korea ke final pada 2009 di Guangzhou, China dan mereka tewas 0-3 kepada kuasa badminton dunia itu.

Pencapaian terbaik terakhir mereka adalah pada 2003, menewaskan China 3-1 di Eindhoven, Belanda.

Korea pernah tiga kali menjuarai Piala Sudirman pada 1991, 1993 dan 2003 namun China lapan kali menjuarai kejohanan ini manakala Indonesia sekali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Affendi takluk litar Gong Badak

Posted: 25 May 2013 08:11 AM PDT

Kuala Terengganu: Mohd Affendi Rosli menebus kekecewaan tidak beraksi pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) apabila berjaya mengungguli perlumbaan CP130 Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Terengganu, hari ini.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 12 minit 34.752 saat menewaskan Mohd Zaqhwan Zaidi (GiVi Honda Yuzy Pachie) di tempat kedua dengan masa 12:35.303s sambil rakan sepasukan, Azlan Shah Kamaruzaman di tempat ketiga, 12:35.719s.

Minggu lalu, Affendi terpaksa menarik diri pada saat akhir daripada menyertai pusingan kedua ARRC di Indonesia, akibat kecederaan saraf tangan. Tempat Affendi digantikan rakan sepasukan, Norizman Ismail yang berjaya mencatat kemenangan berganda sekali gus mencipta sejarah sebagai pelumba Malaysia pertama berjaya mencatat kemenangan dalam saingan Underbone 115cc di Litar Sentul.

"Mungkin sudah rezeki saya untuk menang di sini kerana jika melihat kepada keadaan tangan saya, ia belum benar-benar pulih. Saya terpaksa melupakan kesakitan dan memberikan aksi terbaik sejak awal saingan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik.


"Jika difikirkan kecewa, memanglah saya agak kecewa kerana terlepas peluang beraksi di ARRC namun ini sudah adat perlumbaan. Apapun, kemenangan ini mengubat kekecewaan dan mungkin selepas ini, saya akan memberi lebih tumpuan untuk merebut gelaran juara Cub Prix ini berbanding di ARRC dan pada masa sama, mengurangkan sedikit aktiviti perlumbaan bagi membolehkan tangan saya pulih sepenuhnya terlebih dahulu," kata Affendi yang kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan mengumpul 44 mata.


Kejayaan menduduki tempat ketiga membantu Azlan naik ke tangga teratas keseluruhan dengan mengumpul 54 mata sambil Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) kedua, 51 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Reka hiasan dalaman

Posted: 25 May 2013 08:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Gimnas artistik negara, Tracie Ang memiliki lebih satu impian andai tidak bergelar atlet. Dirinya bercita-cita menjadi jurutera, pereka hiasan dalaman dan pegawai fisioterapi.

Soalan (S): Jika bukan atlet anda seorang...

Jawapan (J): Saya mempunyai lebih daripada satu cita-cita atau impian. Cita-cita ini bermula sejak kecil. Ia pelbagai, bermula daripada seorang jurutera hinggalah ke pereka hiasan dalaman.

S: Jika jurutera, apa yang menjadi minat anda?

J: Saya tidak pasti, mungkin jurutera kapal terbang.

S: Dalam pelbagai cita-cita itu, mana satu yang paling anda minati?

J: Saya lebih minat untuk menjadi pereka hiasan dalaman.

S: Kemungkinan cita-cita menjadi pereka hiasan dalaman akan direalisasikan kelak?

J: Tidak, ia sekadar impian saja kerana bebanan tugas saya sebagai atlet negara. Pastinya kekurangan masa.

S: Namun, anda tidak merancang untuk menyambung pengajian?

J: Baru saja tamat Pra Universiti di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan kini saya memohon untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti.

S: Apa pilihan subjek anda?

J: Komunikassi Massa.

S: Mungkin memilih menjadi wartawan kelak?

J: Bukan menjurus ke arah kewartawanan kerana saya tidak tahu menulis cerita atau bahan berita.

S: Oleh itu, apa pilihan anda?

J: Lebih ke arah bidang penyiaran atau pengiklanan.

S: Selain gimnastik, mungkin anda mempunyai kelebihan lain?

J: Jika memasak atau menjahit saya tidak tahu tetapi saya berbakat dalam melukis.

S: Ada meminati sukan lain selain gimnastik artistik?

J: Ada, saya meminati skuasy.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...

J: Saya dilabel peramah dan seorang yang tidak tahu malu (sambil ketawa)

S: Dalam sukan gimnastik artistik, siapa idola anda?

J: Nastia Liukin, gimnas yang mewakili Amerika Syarikat (AS). Saya meminatinya kerana gerakannya yang begitu menarik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Tomoi makin digemari

Posted: 25 May 2013 08:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) yang kini diadakan setiap tahun menerusi sistem giliran iaitu Kuala Lumpur dan negeri nyata memberi rahmat kepada sukan yang selama ini agak terpinggir atau mungkin popular tapi terpaksa bersaing dengan sukan lain yang lebih diterima penggiat sukan.

Justeru penyertaan woodball, muay thai dan bola sepak pantai pada edisi Kuala Lumpur yang bakal diadakan dari 28 Jun hingga 7 Julai membuka ruang seluas-luasnya kepada persatuan sukan terbabit untuk mempromosi sukan masing-masing bagi memastikan ia terus dipertandingkan pada edisi akan datang.


Muay thai misalnya sudah mula mendapat perhatian tetapi mampukah sukan itu berdiri sebaris dengan sukan mempertahankan diri lain, apatah lagi dengan persepsi ia satu sukan 'ganas' dan berbahaya? Realitinya kejohanan muay thai yang sebelum ini lebih tertumpu di bahagian utara dan pantai timur, kini semakin giat dipentaskan di Lembah Klang, bukti sukan yang berasal dari Thailand itu sudah mengumpul kelompok peminat tersendiri.

Penyertaan muay thai buat kali pertama ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 membuktikan sukan itu sudah diterima baik apatah lagi hampir semua negeri mengesahkan penyertaan.


"Ia satu landasan untuk mencari atlet berbakat dan mengetengahkan sukan ini, apatah lagi kita juga akan menghantar atlet buat kali pertama ke Sukan SEA tahun ini," kata Naib Presiden (Teknikal) Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Muhammad Bernard Radin.


Jelasnya sukan itu sudah lama dipertandingkan di Sukan Sea tapi masih belum mempunyai pertubuhan rasmi hinggalah PMM ditubuhkan pada 2010.

"Sukan ini sebenarnya sudah lama dikenali dan disertai rakyat negara ini. Dulu kita memanggilnya sebagai tomoi dan banyak dimainkan di negeri-negeri utara, Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya yang mengharapkan dengan penyertaan muay thai di SUKMA akan membawa sukan itu pergi lebih jauh.


"Begitupun kini, sukan ini sudah dikomersilkan dan diterima baik semua peringkat malah turut diterima sebagai satu aktiviti ko-kurikulum.

"Berdasarkan penyertaan, ia menunjukkan sukan ini menerima sambutan menggalakkan. Hanya Sabah yang belum menghantar wakil mereka dan tarikh turut penyertaan pada 1 Jun." Ditanya mengenai apa yang diharapkan daripada pertandingan itu, Bernard yang juga bergiat aktif dalam sukan itu mahukan lebih ramai peserta terbabit dengan sukan itu selain dari Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Peluang lonjak Woodball

Posted: 25 May 2013 08:04 AM PDT

Kuala Lumpur: Sukan woodball mungkin tidak sepopular golf, meskipun cara permainannya hampir sama.

Jika bintang golf seperti Tiger Woods, Rory McIlroy mahupun Na Yeon Choi menjadi sebutan, sukan ini pula kurang mendapat perhatian.


Justeru peluang dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal diadakan dari 28 Jun hingga 7 Julai ini menjadi kesempatan terbaik untuk memperkenalkan sukan itu kepada rakyat Malaysia.

Sukan yang diperkenalkan di Taiwan sejak 1990 itu kini semakin mendapat sambutan, mendorong untuk dipertandingkan di SUKMA meskipun atlet sukan ini sebenarnya sudah menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa.


Tuah nyata memihak Persatuan Woodball Malaysia (MWA) apabila tujuh negeri, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Pahang dan Terengganu menghantar wakil menyertai temasya sukan tahunan ini yang diadakan berselang di antara negeri dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah kali ini.


Presiden MWA Elaine Tan berharap penyertaan sukan itu di SUKMA akan membuka jalan memperkenalkan woodball di peringkat sekolah pula, selain berharap lebih banyak lapangan dibuka di seluruh negara.

Menurut laman web persatuan itu, hingga kini terdapat 14 lapangan woodball di seluruh negara dan majoritinya berada di Pahang.


"Kami harap lebih ramai menunjukkan minat terhadap sukan ini dan mahu memperkenalkannya menerusi program Satu Sekolah Satu Sukan," katanya ketika ditemui di Taman Woodball OUG, sempena lawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong ke venue SUKMA itu, Isnin lalu.

"Malah kerjasama dengan MSN, bakal memudahkan perkembangan sukan ini ke seluruh negara kelak." Yang pasti, bekas Presiden MWA Thomas Kok yang kini Naib Presiden Persekutuan Woodball Antarabangsa menegaskan, tidak seperti golf, sukan itu lebih ekonomikal dan tidak memerlukan peralatan yang banyak.


Menurutnya, sukan itu boleh dimainkan di mana saja, termasuk padang sekolah tetapi bermain di lapangan woodball khusus memberi cabaran tersendiri berikutan keadaan tanah yang beralun.


"Anda hanya perlukan sebatang pemukul dan sebiji bola dan kosnya tidak sampai RM500. Yang penting jika berminat, anda boleh mencubanya dan selepas itu baru fikir mengenai membeli peralatan pula," katanya.


Tentu sekali penyertaan woodball ke SUKMA menggembirakan Siow Chong Wah yang pernah mengungguli tangga nombor satu dunia tahun lalu. Atlet berusia 52 tahun itu sudah 16 tahun terbabit dalam sukan berkenaan.


"Saya bermula sebagai pemain golf tetapi sejak mencuba sukan ini, saya jadi tertarik. Saya harap dengan adanya woodball di SUKMA akan menarik minat ramai untuk menceburi sukan ini.


"Siapa tahu suatu hari nanti, sukan ini dapat dipertandingkan di Olimpik pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

Zidane sanjung prestasi Bale

Posted: 25 May 2013 08:01 AM PDT

Paris: Duta Real Madrid, Zinedine Zidane menganggap Gareth Bale antara tiga pemain terbaik dunia dan persembahan dipamer bintang muda Tottenham Hotspur itu lebih daripada mencukupi untuk menyertai skuad gergasi Sepanyol itu.

Selepas gagal merebut tiket Liga Juara-Juara musim depan, pengurusan Tottenham kini cemas dan tertanya-tanya sama ada Bale akan menandatangani kontrak baru atau berhijrah ke kelab lain.


Kenyataan Zidane pasti menambah kegusaran Spurs yang mungkin berdepan bidaan daripada Bernabeu.

Legenda Perancis itu menyanjung prestasi konsisten dipamer Bale sekali gus menyamakan kedudukan pemain Wales itu seiring dengan bintang Real, Cristiano Ronaldo dan Barcelona, Lionel Messi.


"Saya menyaksikan perlawanan Tottenham kerana Bale beraksi.


"Selain Ronaldo dan Messi, dia adalah pemain yang berjaya membuatkan saya kagum. Dia amat hebat.

"Apa yang paling saya kagumi mengenai Bale ialah tahap konsistennya. Bukan setakat satu atau dua perlawanan, dia konsisten melakukan jaringan hebat dan penting serta pantas.


"Sememangnya semua pemain berbakat layak untuk menyertai Real. Adakah Bale cukup hebat untuk ke Real? Ya, dia lebih daripada yang terbaik untuk bermain bersama Real," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/25

No comments:

Post a Comment