Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Rugi RM1j produk dipalsukan

Posted: 02 Jul 2013 11:54 AM PDT

Petaling Jaya: Produk kesihatan dan makanan tambahan jenama Raffelinna dikesan menjadi sasaran sindiket pemalsuan sebelum dilambakkan di pasaran bersama produk tulen berikutan permintaan yang tinggi.

Berbeza dengan produk tulen, pengambilan produk pelangsingan tiruan itu bukan saja tidak berkesan, malah berdepan risiko mendapat kesan sampingan seperti kepanasan melampau dan kegatalan pada badan.


Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia Profesor Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, produk itu antara sasaran sindiket tertentu untuk dipalsukan berikutan jenamanya yang semakin diyakini orang ramai khususnya melalui pemasaran atas talian.

"Dua produk Raffelinna iaitu produk pelangsingan 'Fellina Beauty' dan produk kesihatan 'Fellina Vitamin C' dipalsukan sejak dipasarkan Ogos lalu sekali gus mengakibatkan syarikat berkenaan kerugian hampir RM1 juta.


"Sindiket bijak mengelirukan pengguna dengan menggunakan pembungkusan dan tulisan seolah-olah ia produk tulen," katanya dalam sidang media peniruan produk dan hak cipta Syarikat Raffelinna Sdn Bhd (RMSB) di sini, semalam.


Sementara itu, Pengurus Pentadbiran RMSB Nur Fadzillah Mohd Ali mendakwa pihaknya kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memalsukan produk mereka serta menyebabkan operasi pengeluaran diberhentikan selama dua bulan.

Foto

DR Saharuddin (kiri) bersama Nur Fadzillah (tengah) dan Eksekutif Kanan Pemasaran RMSB, Nurfadzillah Ghazali menunjuk laporan polis dan perbezaan produk tiruan dan tulen.

"Kami menerima pelbagai aduan daripada pengguna sejak Februari lalu termasuk pengadu mengalami masalah gatal dan panas pada badan selepas menggunakan produk pelangsingan tiruan.


"Laporan polis segera dibuat di Balai Polis Baling, sementara siasatan dilakukan terus dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan mendapati produk tiruan banyak dijual di pasaran dengan harga yang jauh lebih murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

'Ejen DBKL' kaut RM45,000

Posted: 02 Jul 2013 11:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Lima belas peniaga kerugian kira-kira RM45,000 selepas ditipu dalam urus niaga membeli rumah kos rendah daripada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ejen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mangsa masing-masing membayar RM2,700 hingga RM3,000 seorang sebagai wang pendahuluan dan dijanjikan rumah akan diperoleh selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, namun terbukti janji itu hanya palsu manakala wanita terbabit kini gagal dikesan.


Seorang mangsa tampil membuat laporan polis yang hanya dikenali sebagai Siti, 36, berkata, suspek berusia 30-an berjumpa dengannya dan beberapa mangsa lain September tahun lalu.

"Dia berkata Pengarah DBKL dan seorang lelaki bergelar Datuk ingin membantu golongan peniaga untuk mendapatkan rumah pangsa kos rendah dan kunci rumah akan diserahkan selepas pilihan raya umum," katanya.


"Dia menetapkan bayaran pendahuluan antara RM2,700 hingga RM3,000 setiap orang dan selepas terpedaya dengan tawaran menarik itu, saya turut memujuk beberapa rakan untuk membayar wang kepada wanita itu," katanya.


Menurutnya, mereka turut dibawa ke sebuah rumah pangsa kos rendah untuk ditunjukkan pelan rumah dan selepas bersetuju wanita itu meminta mereka membayar kira-kira RM45,000.

Katanya, selepas membuat bayaran wanita itu berjumpa dengan mereka kembali untuk menandatangani beberapa borang yang membuatkan mereka lebih yakin.


Malangnya, katanya, selepas pilihan raya Mei lalu, mereka berjumpa wanita itu dan dia memberi alasan kunci akan diserahkan pada bulan ini, namun apabila dihubungi kelmarin, dia gagal dikesan.

"Wanita berkenaan turut dikatakan sudah melarikan diri ke negara jiran dan kami membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya di Balai Polis Jalan Tun Razak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Diana Danielle selamat lahir bayi lelaki

Posted: 02 Jul 2013 11:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Aktor Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle Danny Beeson kini sah bergelar bapa dan ibu selepas aktres itu selamat melahirkan bayi lelaki pada jam 4.17 petang waktu tempatan di Sydney, Australia, semalam.

Mengesahkan perkara ini kepada Harian Metro, penerbit filem David Teo yang juga Pengarah Urusan Metrowealth Interational Group (MIG) berkata, Diana selamat melahirkan bayi seberat 4.4 kilogram secara normal.


"Sebaik saja menerima berita ini, saya memuat naik gambar bayi mereka di akaun Instagram saya, @davidteo99 petang tadi (semalam)," katanya ketika dihubungi, semalam.

David berkata, Farid sudah memaklumkan Diana sepatutnya bersalin pada 15 Julai ini, tetapi proses kelahiran berlaku lebih awal.


"Apapun proses kelahiran berjalan dengan baik. Bayi selamat, ibu pun selamat dan sihat," katanya.


Terdahulu Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 32, memuat naik gambar bayi berkenaan jam 6.30 petang Selasa melalui laman sosial Instagram miliknya dengan kenyataan: welcome to the world my son (selamat datang ke dunia anak lelaki ku).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

DVD tong sampah

Posted: 02 Jul 2013 11:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Taktik seorang pengusaha kedai menjadikan tong sampah sebagai tempat menyimpan cakera video digital (DVD) cetak rompak terbongkar ketika dia diserbu sepasukan anggota Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengarahnya Omar Mohd Bahari berkata, pihaknya yang bertindak atas maklumat awam melakukan risikan selama dua minggu sebelum menyerbu kedai terbabit di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di sini, jam 6.50 petang.


"Kami turut menahan seorang lelaki warga India yang juga pekerja kedai DVD terbabit berusia 34 tahun ketika dia leka menyusun DVD.

"Hasil pemeriksaan, anggota penguat kuasa menemui ribuan DVD cetak rompak pelbagai tajuk filem Tamil dan Hindustan disembunyikan dalam tong sampah di belakang kedai.


"Dianggarkan 3,000 hingga 4,000 DVD tanpa Sijil Perakuan B bernilai RM30,000 hingga RM40,000 ditemui dalam tong sampah itu dan semuanya dirampas dan dibawa ke pejabat KDN untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

A Aida nafi caj RM250

Posted: 02 Jul 2013 11:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Produser drama, A Aida tampil membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dikatakan mengenakan bayaran RM250 untuk mana-mana pelakon membintangi drama terbitan produksinya, A Aida Production.

A Aida atau nama sebenar, Zaidah Awang, 43, berkata, dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas mendapat panggilan daripada seorang individu yang berhasrat berlakon di bawah produksinya, tetapi mahu mengesahkan sama ada perlu membayar RM250 sebagai yuran.


"Saya sendiri terkejut dengan perkara ini dan terfikir ia mungkin dilakukan agensi. Saya tidak mahu orang lain terpedaya untuk berlakon perlu membayar jumlah tertentu," katanya ketika ditemui di ibu pejabat polis Brickfields di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk yuran pada pelakon sebelum ini. Malah, dia tidak menolak kemungkinan wujud orang tengah mengambil kesempatan mengaut untung.


"Mungkin orang tengah ini bertindak sedemikian selepas mengetahui saya banyak penggambaran drama baru. Setahu saya, agensi pelakon mengambil 20 peratus daripada bayaran diterima pelakon, tetapi itu adalah prinsip mereka," katanya.


Katanya, dia tidak mahu pelakon baru terpedaya dengan taktik agensi yang meminta bayaran yuran dan percaya perkara ini sudah berlaku sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

No comments:

Post a Comment