Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak bermaya..

Posted: 02 Jul 2013 10:13 AM PDT

Johor Bahru: Malaysia gagal mengulangi aksi cemerlang ketika menewaskan Afrika Selatan, Ahad lalu apabila tewas 1-2 kepada pasukan ranking keempat dunia, England pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia semalam.

Kekalahan pertama skuad negara selepas tiga perlawanan itu juga menyaksikan mereka gagal mempertahankan kedudukan teratas Kumpulan B dan menempah laluan sukar bertemu pasukan ranking pertama dunia, Jerman pada suku akhir esok.


Ketua jurulatih Paul Revington jelas kecewa dengan prestasi anak buahnya sambil menyatakan mereka gagal mengulangi standard permainan sebenar seperti ketika bertemu Afrika Selatan.

"Ini bukan tahap yang dimahukan. Contohnya bahagian pertahanan dan serangan mungkin keletihan selepas bertemu Afrika Selatan dan ia menjejaskan rentak permainan mereka," katanya.


England bermula garang apabila membuka jaringan pada minit ke-20 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Richard Smith.


Tersentak dengan gol itu, skuad negara kembali memperkemaskan corak permainan dan akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil yang menyudahkan tolakan Faizal Saari daripada gerakan pukulan sudut penalti.

Foto

PEMAIN England Oliver Willars (kanan) cuba mengawal asakan pemain Malaysia pada perlawanan semalam.

Skuad bimbingan Bobby Crutchley bagaimanapun kembali memberi tekanan selepas itu tapi tiga pukulan sudut penalti dihadiahkan kepada mereka gagal disempurnakan dengan baik.


Bersambung babak kedua, skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-50 tapi gagal disempurnakan anak buah Paul Revington.

England kembali di depan pada minit ke-58 menerusi jaringan padang Barry Middleton selepas berlaku situasi kelam kabut dalam kawasan D skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Jelajah Kellie's Castle

Posted: 02 Jul 2013 10:10 AM PDT

Batu Gajah: Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) memberi sokongan penuh terhadap penganjuran Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) 2013 dijadual berlangsung di kawasan pelancongan bersejarah Kellie's Castle pada 25 Ogos.

Yang Dipertua MDBG Datuk Jamry Sury berkata, pihaknya menyambut baik penganjuran program di daerah itu dan disifatkan mampu melonjakkan industri pelancongan serta menarik lebih ramai peminat aktiviti sukan berbasikal ke kawasan itu.


Beliau yakin program itu akan mendapat sambutan menggalakkan peminat sukan berkenaan berdasarkan pengalaman penganjuran aktiviti sama tahun lalu. "Pengalaman menganjurkan acara berbasikal jambori sempena Tahun Melawat Perak 2012 lalu menambah keyakinan kepada kami bekerjasama dengan Harian Metro untuk menjayakan program ini," katanya.

Beliau berkata, selain memastikan program berjalan lancar, pihaknya juga mahu peserta program diberikan layanan terbaik.


"Berikutan jumlah pembabitan peserta ramai, saya harap penganjuran program kali ini dapat memberi keseronokan dan keselesaan kepada semua.


"Justeru, kami mahu memastikan program ini menjadi aktiviti terbaik dan berlangsung dengan jayanya," katanya selepas mengadakan pertemuan serta mendengar sesi taklimat program Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) 2013 di pejabatnya, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pengarang Kumpulan Abdul Ghafar Ismail, Ketua Unit Perhubungan Awam Korporat MDBG Makhlis Othman serta jawatankuasa kejohanan.


Pada majlis itu Abdul Ghafar turut menyampaikan cenderamata kepada Jamry sebagai tanda penghargaan menyokong penganjuran program berbasikal itu.

Program ini menjelajah ke lima lokasi pelancongan menarik di beberapa negeri khusus untuk peminat sukan itu.


Berdasarkan format perlumbaan Olimpik rentas desa dan jambori, perlumbaan turut menawarkan hadiah lumayan mengikut beberapa kategori ditetapkan. Program yang mendapat kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) dan Tourism Malaysia itu yang kedua selepas kejayaan memberangsangkan di Putrajaya pada 2 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Pusingan kedua ditunda

Posted: 02 Jul 2013 10:09 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas kejayaan pusingan pertama siri KBS MAM Kapcai Endurance bagi musim 2013, penganjur mengumumkan pusingan kedua dijadual berlangsung di Litar Dato' Sagor, Perak, pada 6 dan 7 Julai ini terpaksa ditunda atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Keputusan menunda tarikh kejohanan terpaksa dibuat disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Tarikh baru untuk kejohanan di litar itu akan diumumkan kemudian.


Berikutan itu, Litar Kart PSM Kuala Terengganu kini menjadi tuan rumah pusingan kedua pada 23 dan 24 Ogos.

Pusingan pertama berlangsung di Litar MIMC, Ayer Keroh Melaka pada 22 dan 23 Jun lalu dengan penyertaan 62 pasukan yang menyertai empat kelas, Kelas 1, 2, 3 dan Terbuka.

Berbanding musim pertama, banyak perubahan positif pada pusingan pertama musim ini dengan kebanya kan pasukan bertanding pada pusingan pertama lebih bersedia terutama pemakaian sut perlumbaan lengkap.


Kejohanan anjuran Persatuan Motorsports Malaysia (MAM) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan itu bertujuan memberi peluang kepada pelumba amatur seluruh negara mencuba nasib ke peringkat lebih tinggi.

Empat pelumba teratas setiap kelas layak secara automatik ke pusingan akhir di Sepang, pada Januari 2014.


Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.mam.org.my atau e-mel kapcaiendurance@hotmail.com/kapcaiendurance@gmail.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Bahang Grand Final kian terasa

Posted: 02 Jul 2013 10:08 AM PDT

Ampang: Siapa bakal dinobat juara antara juara? Persoalan itu pasti bermain di fikiran 64 pasukan terbaik kategori Bawah 12 dan 16 Tahun yang akan bersaing di Grand Final Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 di Ampang Sports Planet, Ahad ini.

Selepas mengharungi 14 negeri dengan mencatat rekod penyertaan lebih 1,800 pasukan bertanding secara keseluruhan. Ahad ini menjadi kemuncak program anjuran Nestle Product Sdn Bhd itu dan juara bakal membawa pulang RM15,000, trofi, pingat serta barangan sukan Figos manakala naib juara RM10,000, pingat, barangan Figos dan tempat ketiga bersama masing-masing RM7,000.


Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Ng Ping Loong berkata, grand final pastinya sengit memandangkan semua 64 pasukan bertanding dianggap yang terbaik di seluruh negara.

"Kami harap pemain, pengurus dan penyokong dapat mempamerkan semangat kesukanan tinggi.


"Saya yakin grand final ini pastinya akan menjadi kenangan paling hebat buat semua yang terbabit. Inilah masanya pemain mempamerkan bakat dan melakukan yang terbaik untuk pasukan dan negara," katanya ketika majlis memperkenalkan trofi kejuaraan di pejabat Nestle, Wisma Surian, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Korea Selatan sengaja kalah

Posted: 02 Jul 2013 10:07 AM PDT

Johor Bahru: Ketua jurulatih Korea Selatan Shin Seok Kyo mengaku pasukannya memang beraksi untuk kalah ketika tewas 0-3 kepada Argentina di peringkat Kumpulan A semalam bagi membolehkan mereka beraksi di waktu malam pada peringkat suku akhir esok.

Seok Kyo berkata, tiada guna mengerah tenaga pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A semalam kerana ia tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada mereka.


"Kita akan bertemu lawan yang mempunyai kekuatan sama saja pada peringkat suku akhir iaitu sama ada England, Pakistan, Afrika Selatan atau Malaysia.

"Saya memang mahu pasukan berada di kelompok bawah kerana kemungkinan ia membolehkan kami dapat beraksi pada waktu malam bertemu pasukan teratas kumpulan," katanya.


Seok Kyo berkata apa yang penting baginya pada peringkat suku akhir nanti ia akan menentukan sama ada mereka berjaya melangkah lebih jauh sekali gus memburu tiket Piala Dunia 2014 di Belanda.


"Saya yakin setiap pemain akan mempamerkan aksi sebenar pada suku akhir nanti.

"Apapun saya tetap berpuas hati dengan tiga perlawanan yang kami lalui pada peringkat kumpulan," katanya.


Sementara itu, Jerman mengekalkan reputasi mereka selaku pasukan nombor satu dunia selepas menewaskan Jepun 3-1 pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A semalam.

Namun di sebalik meraih kemenangan itu, ketua jurulatih Markus weise menganggap tiada bezanya tiga keputusan yang diraih anak buahnya itu kerana apa yang lebih penting baginya perlawanan suku akhir yang akan bermula esok.


"Sehingga sekarang saya cuba untuk menerima format pertandingan seperti ini," katanya merujuk kepada sistem yang tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pasukan pada saingan peringkat kumpulan kerana semua pasukan tetap akan beraksi di suku akhir.


Weise berkata , apa yang penting baginya saingan separuh akhir dalam merebut tiga tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda.


"Kami tidak kisah bertemu mana-mana pasukan pada saingan suku akhir, kami tidak boleh buat pilihan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

'Bayaran setaraf pengorbanan'

Posted: 02 Jul 2013 10:06 AM PDT

Kuala Lumpur: Bayaran setimpal antara faktor harus diambil kira Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) andai badan induk tanah air itu mahu memperkenalkan pengadil profesional sepenuh masa.

Mungkin untuk membayar gaji satu perlawanan kepada pengadil hingga 6,000 euro (RM24,713) seperti diterima pengadil Sepanyol bagi mengadili sesuatu perlawanan ataupun pengadil Inggeris 1,170 euro (RM4,820) terlalu tinggi bagi FAM, namun bagi kualiti yang bakal diberikan pengadil profesional, wajar gaji diterima juga setimpal.


Ketika ini elaun perlawanan diterima pengadil bertaraf amatur bagi satu perlawanan Liga Super sekitar RM300 hingga RM400, tidak termasuk elaun makan, pengangkutan dan hotel penginapan.

Jumlah ini jika dilihat terlalu rendah kalau dibandingkan dengan apa yang diterima pengadil di negara yang mempunyai liga bertaraf dunia itu.


Terdapat 120 pengadil di Malaysia dengan kebanyakannya bertaraf amatur yang bertugas secara sambilan. Ada di antara mereka bekerja sebagai guru, polis serta agensi kerajaan dan swasta yang lain.


Jika mahu bertugas sebagai profesional sepenuh masa, mereka perlu meninggalkan pekerjaan sepenuh masa mereka dan bagi bekas pengadil berpengalaman, Nik Ahmad Yaakob ia sukar dilakukan jika gaji diterima pengadil profesional tidak memuaskan.

"Kalau nak menjadi pengadil profesional, seseorang itu perlu meninggalkan pekerjaan sedia ada. Persoalan sekarang adakah bayaran yang mereka terima itu setimpal untuk menjadi pengadil profesional kerana tiada yang berani berhenti kerja jika masa depan mereka sebagai pengadil profesional tidak terjamin," katanya ketika dihubungi Arena Metro.


Cadangan memperkenalkan pengadil profesional dalam Liga Malaysia itu disuarakan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam usaha memperbaiki mutu pengadilan bola sepak tanah air yang kebelakangan ini menjadi kritikan pelbagai pihak.

Menurut Hamidin, perkara itu akan dibincangkan dengan teliti bersama Jawatankuasa Pengadil selepas ini bagi melihat mekanisme terbaik untuk melaksanakan skim itu.


Setakat ini hanya England, Perancis, Itali, Mexico dan Brazil menggunakan pengadil profesional.


Nik Ahmad, 57, yang memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa apabila bertugas sebagai pengadil Piala Dunia Remaja di Malaysia (1997) serta pengadil koordinator Piala Dunia Korea Selatan/Jepun 2002 berkata, pengadil profesional pula perlulah memberikan tugas berkualiti setimpal dengan bayaran gaji yang diterima kelak.


Yang penting, katanya, FAM perlu menetapkan garis panduan kualiti diperlukan bagi seseorang pengadil profesional.


"FAM perlu tetapkan standard untuk menjadi pengadil profesional. Mereka perlu mengambil kira kualiti daripada segi personaliti, pengetahuan, kemahiran membaca permainan dan pergerakan pemain serta pemikiran yang baik. Untuk melahirkan pengadil profesional perlukan masa kerana peningkatan seseorang pengadil banyak bergantung kepada pengalaman mereka peroleh dalam mengadili sesuatu perlawanan.


"Kesalahan dilakukan pengadil sebahagian daripada proses pembelajaran dan kematangan mereka," katanya yang menyambut baik cadangan FAM itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Misi mustahil anak buah Kim Swee

Posted: 02 Jul 2013 10:05 AM PDT

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A tiba di Kazan, Russia semalam dengan membawa misi mustahil di Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) selepas skuad kendalian Ong Kim Swee itu kehilangan tiga pemain tonggak pada saat akhir.

Dua pemain tengah, Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa dan Adam Nor Azlin berusia 17 tahun terpaksa diketepikan kerana masalah pendaftaran manakala pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mengalami kecederaan sekali gus menyebabkan pengendali itu hanya memiliki 16 pemain bagi mengharungi saingan Kumpulan C temasya sukan itu.


"Saya dimaklumkan minggu lalu, nama Adam Nor terpaksa digugurkan daripada skuad dan semalam (kelmarin) masalah sama menimpa Ariff Farhan. Sama ada masalah ini timbul kerana umur pemain, visa atau masalah lain saya tidak tahu kerana pendaftaran diuruskan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi).

"Kini saya hanya miliki 16 pemain untuk mengharungi lima perlawanan dalam 11 hari apabila Amirzafran pula mengalami kecederaan dan tugas kami di kejohanan ini pasti lebih sukar. "Bukan mudah mencari pemain pengganti kerana Sukan Universiti Dunia ini tidak sama dengan kejohanan lain kerana kami boleh mendaftar hingga 50 pemain untuk dipanggil pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Kazan.


Sebelum ini, Kim Swee yang dihimpit masalah kecederaan pemain utama tidak dapat menggunakan khidmat pemain luar apabila daripada lapan pemain luar disenaraikan, hanya tiga yang mendapat pelepasan pasukan masing-masing iaitu K Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), K Prabhakaran (Sime Darby) dan Nazirul Naim Che Hashim (FC Ryukyu).


Dengan barisan pemain yang dianggap 'skuad kedua' yang dimilikinya kini, beliau berharap skuadnya mampu memberi tentangan sengit apabila turun menentang Itali pada perlawanan pertama Jumaat ini sebelum berdepan Great Britain (8 Julai) dan Algeria (10 Julai).

"Bagi saya, ini satu misi mustahil kerana saya kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan serta hanya mendapat tiga pemain luar daripada lapan pemain yang dipanggil. Jika semua lapan pemain yang saya senaraikan dapat bersama, saya yakin mempunyai skuad yang agak seimbang.


"Walaupun ini hanya Sukan Universiti Dunia, ia bukan kejohanan mudah apabila berdepan pasukan seperti Itali dan Great Britain yang mempunyai reputasi bola sepak bagus. Mereka juga mempunyai pemain lebih berusia sedangkan kami hanya menggunakan pemain bawah 22 tahun kecuali K Reuben.

"Saya harap pemain memanfaatkan pendedahan selama tiga bulan di Eropah menentang kelab di Slovakia, Republik Czech dan Austria sebelum ini untuk memberikan tentangan sengit," kata Kim Swee.


Ketika ditanya sejauh mana sasaran skuad Harimau Muda A di Universiade, pengendali itu berkata : "Buat masa ini saya mahu fokus kepada satu-satu perlawanan, mustahil untuk saya letakkan sasaran kerana kita bukan pasukan pilihan." Untuk rekod, skuad negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada temasya edisi 2011 di Shenzen, China selepas tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

KAFA batal perarakan kerana pemain penat

Posted: 02 Jul 2013 10:04 AM PDT

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) terpaksa membatalkan majlis perarakan meraikan kejayaan menjulang Piala FA yang sepatutnya berlangsung hari ini kerana pemain keletihan.

Majlis perarakan yang sepatutnya bermula dari Gerik dan melalui Jeli serta Tanah Merah sebelum tiba di Kota Bharu itu terpaksa ditangguh kepada satu tarikh lain yang akan ditetapkan KAFA. Tan Sri Annuar Musa menerusi kenyataan dalam laman Facebook miliknya berkata, pemain Kelantan keletihan selepas terbabit dalam perlawanan dengan Perak yang berlangsung semalam, malah gergasi Pantai Timur yang menjulang Piala FA dua tahun berturut-turut itu juga memerlukan rehat bagi berdepan LionsXII di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu ini.


"Pemain kita keletihan, kini di Ipoh. Esok (semalam) lawan Perak dan Sabtu lawan LionsXII.

Justeru perarakan 3hb (hari ini) terpaksa ditangguhkan. InsyaAllah kita atur cara lain, biar selesai Liga dulu," katanya.


Sementara itu, penolong pengurus Wan Badri Wan Omar ketika dihubungi berkata, pasukan tetap akan pulang bersama piala hari ini, namun tidak disertai majlis perarakan.


Katanya, majlis perarakan itu akan diadakan selepas pengurusan menetapkan tarikh lain bagi meraikan kejayaan menjulang Piala FA bersama penyokong di negeri ini.

"Kita akan pulang seperti biasa bersama piala dimenangi namun majlis perarakan terpaksa ditangguhkan," katanya.


Kelantan menewaskan Johor Darul Takzim (DT), 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA untuk mempertahankan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Selangor buru slot AFC

Posted: 02 Jul 2013 09:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketika perebutan kejuaraan Liga Super sudah berakhir malam tadi, Selangor terus bersemangat untuk memburu slot ke pentas Piala AFC dengan membelasah T-Team 4-1 di Stadium Shah Alam.

Tiga mata dikutip anak buah Irfan bakti Abu Salim itu cukup penting buat Selangor mengekalkan kedudukan di tempat kedua daripada dirampas pencabar terdekat Johor Darul Takzim (DT) yang turut merakam kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan di gelanggang lawan.


Selangor dan Johor DT yang berkongsi 39 mata hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan bakal membuat perhitungan terakhir di Johor Bahru, Sabtu ini bagi merebut tempat naib juara untuk layak ke Piala AFC apabila slot itu bakal diberikan kepada pasukan di tangga kedua selepas juara liga LionsXII tidak boleh beraksi kerana status pasukan dari luar.

Dalam perlawanan malam tadi pemain veteran Gergasi Merah, Mohd Amri Yahyah meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi jaringannya seawal minit ke-11.


Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pemain T-Team, Latiff Suhaimi meledak gol penyamaan pada minit ke-23 sekali gus menyaksikan keputusan 1-1 kekal sehingga berakhir separuh masa pertama.


Amri sekali lagi menceriakan penyokong Selangor dengan mendahului pasukan pelawat menerusi jaringan kedua pada minit ke-69.

Tonggak pertahanan Gergasi Merah, Nasriq Baharom terus menghukum kerapuhan benteng pertahanan pasukan Pantai Timur itu dengan meledak gol keempat pada minit ke-72 sebelum penyerang import, Francis Forkey Doe melengkapkan kemenangan bergaya Selangor pada minit ke-83.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

Jang terus kempunan

Posted: 02 Jul 2013 09:55 AM PDT

Seremban: Negeri Sembilan terus kempunan mendapatkan mata kemenangan apabila kecundang kepada Johor Darul Takzim (DT) 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Negeri Sembilan memberi tentangan sengit kepada Johor DT sebaik wisel perlawanan dimulakan dengan melakukan beberapa percubaan tepat ke pintu gol pelawat itu membuatkan pertahanan Harimau Selatan terpaksa bekerja keras mengekang asakan.


Dua percubaan tepat menerusi tandukan Shahurain Abu Samah pada minit ke-15 yang mensesiakan peluang apabila tandukannya tepat ke penjaga gol Johor DT, Muhd Al-Hafiz Hamzah, sekalipun dia tidak dicabar, manakala Mohd Fauzi Nan menerusi tendangan bebas pada minit ke-20, yang berjaya ditangkap kemas.

Bagaimanapun, usaha anak buah Fandi Ahmad untuk mendapatkan gol akhirnya berhasil apabila tendangan deras Jasazrin Jamaluddin dari jarak kira-kira 20 meter di sebelah kiri pintu gol pada minit ke-25, menggegar jaring tuan rumah dan kekal sehingga separuh masa pertama tamat.


Nurul Azwan menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-69.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/03

No comments:

Post a Comment