Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Taksub anak patung Jepun

Posted: 29 Jun 2013 12:26 PM PDT

London: Ramai gadis berkeinginan dilihat seperti anak patung kegemaran mereka. Katie Lawrence dari Camberwell, London tidak ketingalan.

Gadis berusia 20 tahun itu menjalani kehidupan seharian seperti anak patung manusia, menghabiskan tiga jam sehari mendapatkan penampilan sempurna seperti anak patung.

Dia sentiasa berpakaian skirt kembang dan menggunakan mekap krayon serta mengaku amat taksub dilihat seperti anak patung.

Pelajar seni itu sanggup menghabiskan berjam-jam mengkaji budaya Jepun dan permainan video untuk mendapat ilham bagi penampilan dirinya.

Foto

KATIE menggunakan mekap krayon untuk dilihat seperti anak patung.


Bercakap mengenai hobi peliknya, Katie berkata: "Apabila berjalan dengan penampilan seperti ini, orang akan menoleh dua kali ke arah saya. Ada yang meminta bergambar bersama.


"Saya sukakan mata besar seperti anak patung dalam filem animasi. Saya menghabiskan masa panjang melekatkan kanta bulat dan dua set bulu mata palsu untuk kelihatan seperti anak patung.

"Satu hari nanti saya mahu menjalani pembedahan untuk mendapatkan telinga seperti anak patung Jepun."

Katie mempunyai lima pakaian berharga RM400 setiap satu. Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pendapatannya sebagai peragawati sambilan dihabiskan untuk mekap.

"Saya menghabiskan lebih £200 (RM1,000) sebulan untuk mekap. Bagi saya, ia bukan membazir, sebaliknya amat penting.

"Saya boleh duduk bersolek tiga jam. Saya tidak kisah kerana tanpa mekap, saya bukan diri saya sebenar," katanya.

Ketagihannya bermekap bermula sejak dia berusia 11 tahun selepas ibunya, Jill Lawrence, 54, memperkenalkannya kepada gincu.

"Walaupun saya dibuli di sekolah kerana tidak bergaul dengan orang lain dan disisih kerana mempunyai perangai pelik, saya tidak kecewa.

"Berpakaian seperti ini membuatkan saya gembira dan tidak akan mengubah penampilan kerana orang lain.

"Walaupun ke kedai, saya pasti berpakaian seperti ini. Ia sebahagian diri saya," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Padah potong anu suami

Posted: 29 Jun 2013 12:19 PM PDT

California: Seorang wanita California yang dituduh memotong kemaluan suaminya sebelum mencampak ke dalam tong sampah dihukum penjara seumur hidup.

Catherine Kieu, 50, didapati bersalah terhadap tuduhan mendera dan menyebabkan kecederaan teruk dalam serangan 11 Julai 2011 dihukum penjara seumur hidup tetapi layak mendapat parol selepas tujuh tahun.


Mangsa yang dikenali sebagai Glen sepanjang perbicaraan berkata di perkarangan mahkamah: "Saya berharap ini kali terakhir saya melihatnya. Saya berasa lega dan hari ini amat sedih bagi saya." Dalam kejadian itu, mangsa dimasukkan ke hospital tetapi usaha menyambung semula kemaluannya gagal.

Catherine bertindak melakukan kekejaman itu sebagai membalas dendam selepas suaminya menuntut cerai.


Serangan berkenaan dilakukan dua bulan selepas Glen memfailkan tuntutan itu di mahkamah.


Mangsa yang berusia 60 tahun memberitahu mahkamah ketika perbicaraan, kemaluannya tidak boleh disambung semula menyebabkan dia merasakan dirinya sudah mati. - TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

China ancam serangan balas

Posted: 29 Jun 2013 12:18 PM PDT

Beijing: Media China semalam memberi amaran satu 'serangan balas' ke atas Filipina mungkin tidak boleh dielak jika Manila terus melakukan provokasi ke atas Beijing di Laut China Selatan.

Amaran itu dibuat ketika menteri kedua-dua negara berkenaan menghadiri mesyuarat Asean di Brunei bermula hari ini.


China dan Filipina tersepit sejak puluhan tahun lalu dalam perebutan wilayah di Laut China Selatan. Ketegangan semakin meningkat selepas Filipina mengerahkan pasukan dan bekalan baru tentera minggu lalu ke kawasan terumbu karang yang menjadi pertelingkahan, mendorong Beijing mengecam 'penjajahan haram' Manila.

Edisi luar negara People's Daily, akhbar rasmi Parti Komunis China dalam ulasan muka depannya berkata, Filipina melakukan 'tujuh dosa' di Laut China Selatan.


Ia termasuk 'pendudukan secara haram' di Kepulauan Spratly, mempelawa syarikat asing melabur dalam kegiatan minyak dan gas di kawasan perairan yang menjadi pertikaian dan mempromosi dasar 'mengantarabangsakan' kawasan perairan itu.


Filipina menggesa Amerika Syarikat bertindak sebagai penaung sementara Asean bersubahat, kata ulasan itu. Kenyataan akhbar itu tidak melambangkan dasar rasmi tetapi ia menggambarkan pendapat kerajaan.

People's Daily berkata, Filipina menyedari kelemahannya mengambil langkah melakukan pelbagai helah.


Beijing yang menuntut hak ketuanan terhadap keseluruhan Laut China Selatan juga berdepan dengan tuntutan bertindih dengan Vietnam. Selain itu, Brunei, Taiwan dan Malaysia juga menuntut hak ketuanan terhadap sebahagian perairan itu.

Khamis lalu, Menteri Luar China Wang Yi memberi amaran negara yang menuntut hak ke atas Laut China Selatan dan meminta bantuan daripada pihak ketiga akan mendapati usaha mereka sia-sia, malah ia hanya mewujudkan laluan ke arah konfrontasi.


Minggu lalu, China berikrar melindungi kedaulatannya terhadap Beting Thomas Kedua dikenali di China sebagai Terumbu Karang Ren'ai. Filipina menuduh China menceroboh kawasan itu selepas tiga kapal China, termasuk sebuah kapal perang berlabuh lima kilometer dari kapal usang yang Manila karamkan pada 1999 sebagai tanda kawasan itu wilayahnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Keluarga Mandela bertelagah soal kubur

Posted: 29 Jun 2013 12:17 PM PDT

Mthatha: Ketika Mandela dilapor tenat di hospital, anggota keluarganya bertelagah sesama sendiri kerana mahu menentukan di mana ikon antiaparteid itu perlu dikebumikan.

Anak perempuan sulung Mandela, Makaziwe dan 15 anggota keluarga lain mengemukakan permohonan di mahkamah semalam mendesak cucu Mandela, Mandla supaya mengembalikan tiga mayat anak Mandela yang lain ke kubur asal mereka di Qunu, sebuah kampung pedalaman di timur Afrika Selatan.


Mandla mengaku mengebumikan semula tiga mayat berkenaan di tanah perkuburan di Kampung Mvezo, 20 kilometer dari Qunu, tempat dia merancang membina tempat keramat untuk Mandela, sebuah hotel dan stadium bola sepak.

Pemimpin antiaparteid itu membina rumah persaraannya di Qunu dan menetap di situ sehingga beliau dimasukkan ke hospital berulang kali bermula akhir tahun lalu. Beliau menghadiri pengebumian anaknya di tanah perkuburan keluarga di Qunu pada 2005 dan beliau sendiri dijangka akan dikebumikan di situ.


Bagaimanapun, Mandla menggali mayat tiga anak Mandela dan memindahkannya ke Mvezo, kampung kelahiran datuknya dan tempat Mandla menjadi ketua kampung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Lebih separuh rakyat Indonesia tak gembira pencapaian Susilo

Posted: 29 Jun 2013 12:16 PM PDT

Jakarta: Lebih separuh rakyat Indonesia berkata mereka tidak gembira dengan pencapaian kerajaan pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Hasil kajian Pusat Penyelidikan Indonesia (IRC) menunjukkan 57 peratus responden berkata mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Susilo, hampir sembilan tahun selepas beliau dipilih menjadi presiden buat pertama kali.


Pengarah IRC Agus Sudibyo juga berkata, kajian berkenaan juga mendapati 72 peratus rakyat Indonesia tidak yakin Susilo boleh mengatasi masalah yang melanda negara itu.

Isu utama yang menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Indonesia ialah pengangguran (16.4 peratus) diikuti harga barangan asas (15.9 peratus) standard pelajaran yang rendah (11.5 peratus) dan perkhidmatan kesihatan yang buruk (10 peratus).


Paras tinggi rasa tidak puas hati terhadap Susilo itu menyusuli kajian awal dilakukan Institut Kaji Selidik Kebangsaan (LSN) yang turut menunjukkan penurunan populariti Susilo.


Dalam kajian LSN yang diumumkan Ahad lalu menunjukkan 30 peratus responden berkata, Indonesia berada dalam keadaan paling teruk pada penggal kedua pemerintahan Susilo berbanding pada penggal pertamanya. Hanya 19 peratus berkata keadaan negara itu kini lebih baik. - JG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

6 kepala dalam beg terapung di tasik

Posted: 29 Jun 2013 12:15 PM PDT

Beijing: Seorang pesara menemui enam kepala manusia apabila membuka beg pakaian yang ditemuinya terapung di sebuah tasik.

Pesara wanita berusia 58 tahun itu menemui beg itu ketika memungut sampah di sebuah taman di bandar Bengbu.


Polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mengejutkan itu mula menyangka mereka berdepan siasatan terhadap satu siri pembunuhan.

Bagaimanapun, selepas siasatan, kepala itu dipercayai dibuang institut perubatan berhampiran selepas mereka melakukan kajian. Institut berkenaan yang turut menjalankan siasatannya sendiri berkata, cara kepala itu dipotong menunjukkan ia dilakukan sepasukan penyelidik, bukan pembunuh.


Menurutnya, kepala itu disimpan baik dan menyuarakan minat menggunakannya untuk projek kajian akan datang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

8 tentera Thai maut

Posted: 29 Jun 2013 12:15 PM PDT

Bangkok: Lapan anggota tentera terbunuh dalam letupan bom di selatan Thai awal pagi semalam.

Jurucakap tentera berkata, empat orang lagi, dua anggota tentera dan dua orang awam cedera dalam kejadian yang berlaku di daerah Krongpinang, Yala.


Anggota tentera berkenaan dikatakan bertugas sepanjang malam di pangkalan mereka dan dalam perjalanan pulang ke berek menaiki trak tentera apabila bom dipasang di tepi jalan meletup.

"Letupan itu amat kuat dan memusnahkan trak itu sama sekali. Sepuluh anggota kami berada dalam trak itu. Lapan maut dan dua cedera," kata Kolonel Pramote Promin.


Menurutnya, dua penduduk kampung juga cedera.


Sengketa bersenjata di selatan Thai meragut lebih 5,500 nyawa sejak ia bermula lima tahun lalu. Wilayah berkenaan yang majoritinya keturunan Melayu dan beragama Islam berkata, mereka sekian lama ditindas pihak berkuasa Thai di negara yang didominasi penduduk beragama Buddha.

Anggota pasukan keselamatan dan mereka yang ada hubungan dengan kerajaan sering menjadi sasaran. Begitu juga penduduk beragama Islam dilihat bersekongkol dengan pihak berkuasa.


Kerajaan Thai mengadakan rundingan rasmi pertama dengan wakil sebuah daripada kumpulan pejuang pemisah, Barisan Revolusi Nasional (BRN), di Kuala Lumpur tahun ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Mati terkejut selepas tengok bil elektrik

Posted: 29 Jun 2013 12:13 PM PDT

Colombo: Seorang lelaki diserang sakit jantung selepas melihat bil elektrik yang mengejutkan.

Mangsa berada di pejabat Lembaga Elektrik Sri lanka di Colombo kerana membantah kenaikan bil elektriknya secara mendadak.

Dia yang dimaklumkan bahawa kenaikan itu berpunca daripada peningkatan kenaikan tarif sejak bulan lalu diserang sakit jantung lalu rebah dan mati, lapor akhbar Ceylon Today.

Akhbar berkenaan tidak menyebut jumlah bil mangsa kecuali berkata, ia selaras dengan peningkatan tarif baru sebanyak 50 peratus.


Lelaki terbabit, SP Samaradasa rebah di atas kerusi, lapor akhbar berkenaan di muka depannya dengan tajuk 'Tarif elektrik ragut mangsa pertama.'


"Punca kematian dikenal pasti sebagai serangan sakit jantung," menurut akhbar itu.

Samaradasa mati setibanya di hospital.

Sri Lanka menjadi antara negara paling mahal di Asia untuk elektrik dengan kos satu kilowatt sejam ditetapkan sebanyak 47 rupee (RM1.21).

Kira-kira dua pertiga tenaga elektrik diperoleh menerusi arang batu atau minyak sementara bakinya dari stesen tenaga hidro yang tidak boleh berfungsi ketika kemarau.

Pihak berkuasa elektrik negara itu berkata, ia akan mengalami kerugian RM2.25 juta tahun ini.

Bagaimanapun, dengan kenaikan tarif dari Mei lalu akan mengurangkan unjuran kerugian kepada RM675 juta. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

Sudah siap hadapi kekacauan

Posted: 29 Jun 2013 12:12 PM PDT

Kaherah: Rakyat Mesir bersiap sedia menghadapi suasana terburuk dijangka memakan masa berhari-hari atau berminggu-minggu apabila tunjuk perasaan besar-besaran untuk mengguling dan mempertahankan Presiden Mohammed Morsi yang diadakan hari ini berkemungkinan mengubah kawasan kediaman menjadi medan tempur.

Penduduk yang menghadapi masalah bekalan elektrik, kekurangan minyak dan peningkatan harga mula menyimpan barangan makanan sejak beberapa hari lalu kerana bimbang kekacauan berlarutan.

Pagar dan tembok didirikan berhampiran tempat kediaman dan bangunan penting sementara komuniti tempatan mengadakan rondaan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan pihak berkuasa keselamatan gagal mengawal keadaan.

Penentang Morsi berhasrat menjatuhkan kerajaannya dengan mengadakan tunjuk perasaan yang akan dihadiri berjuta-juta penentangnya di seluruh negara. Mereka mendakwa sudah mengumpulkan 15 juta tanda tangan, lebih dua juta daripada jumlah mengundi Morsi.


Aktivis Islam pula berkata, mereka akan mempertahankan Morsi yang buat pertama kali dipilih menjadi presiden secara demokratik, dengan darah dan nyawa jika perlu.


Ada di kalangan penyokong pemimpin itu memberi amaran akan merempuh dan menyerang penunjuk perasaan itu.

Jumaat lalu, puluhan ribu penyokong dan penentang Morsi berhimpun di Kaherah sementara di Iskandariah, pergaduhan meletus antara mereka, menyebabkan tiga orang, termasuk seorang warga Amerika Syarikat terbunuh.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya lima pejabat Ikhwanul Muslimin dibakar.
Kedua-dua pihak berusaha menunjukkan kekuatan masing-masing sebelum tunjuk perasaan lebih besar hari ini, ulang tahun pertama pelantikan Morsi.

Ulama kanan di institusi Al-Azhar, Sheikh Hassan al-Shafie menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan yang berlaku.

"Kita perlu berhati-hati agar apa yang berlaku tidak menjerumuskan negara ke kancah perang saudara yang tidak membezakan penyokong dengan penentang," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/30

No comments:

Post a Comment