Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Enam kali tetak

Posted: 31 May 2013 11:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang peniaga sayur warga Myanmar maut selepas diserang sekumpulan lelaki menggunakan parang ketika sedang menaiki motosikal bersama seorang rakannya dalam kejadian di pekarangan tempat letak kereta Pasar Borong Selayang Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nasir, 40-an, mati di tempat kejadian selepas cedera parah akibat ditetak di beberapa bahagian badan manakala rakannya mengalami cedera ringan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Othman Abu Bakar ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, mangsa sedang menaiki motosikal bersama rakannya dan dalam perjalanan untuk ke tempat kerjanya di pasar berkenaan apabila tiba-tiba diserang sekumpulan lelaki.

"Hasil pemeriksaan awal polis, terdapat enam kesan tetakan di seluruh badan mangsa termasuk di tangan kanannya yang hampir putus.


"Dipercayai ketika kejadian ramai orang awam berada di kawasan parkir itu, namun sebaik saja melihat kejadian, mereka terus lari menyelamatkan diri," katanya.


Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat manakala rakan mangsa turut dihantar di hospital sama untuk rawatan.

Foto

PENIAGA sayur warga Myanmar dibunuh di pekarangan Pasar Borong Selayang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. Beliau turut meminta saksi kejadian agar tampil menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Nekad rempuh pokok elak maut

Posted: 31 May 2013 11:33 AM PDT

Alor Gajah: Tindakan nekad seorang pemandu lori muatan ikan siakap merempuh deretan pokok menyelamatkannya dari maut selepas kenderaan dipandu mengalami masalah teknikal di Kilometer 205, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di susur masuk Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Air Keroh, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian itu, lori 11 tan dipandu Mohd Rizal Md Yusof, 40, bersama kelindan Amir Ismail, 43, dikatakan hilang kawalan sebelum merempuh tebing di tempat kejadian, jam 1.20 pagi.


Sumber berkata, mangsa dan rakannya dikatakan dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Pulau Pinang untuk menghantar bekalan ikan siakap segar.

"Kemalangan dipercayai berpunca apabila brek, gear serta stereng tidak berfungsi," katanya, di sini, semalam.


Sementara itu, Mohd Rizal mengakui tidak mempunyai pilihan selain meredah longkang kecil di kanan jalan sebelum merempuh tiga pokok di susur masuk R&R berkenaan.


"Kami bertolak dari Sedeli, Kota Tinggi, jam 9 malam dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh untuk melakukan pemeriksaan rambang pada lori sebelum meneruskan perjalanan dan berhenti sekali lagi di R&R Air Keroh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Siasat kes cinta Internet jumpa dadah

Posted: 31 May 2013 11:33 AM PDT

Kajang: Lain yang dicari lain ditemui. Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Bandar Sungai Long di sini, menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja.

Dalam serbuan kira-kira jam 9.30 malam kelmarin, JSJK menerima maklumat awam mengenai kegiatan satu sindiket penipuan cinta Internet membabitkan warga Afrika di rumah berkenaan.


Bagaimanapun, sebaik serbuan dibuat, polis menemui beberapa ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 876 gram yang dianggarkan bernilai RM2,000.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Azman Ayob berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kes itu selepas dimaklumkan JSJK sebelum mengesan suspek.


Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan rumah itu dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah berdasarkan penemuan pelbagai peralatan di dalam rumah berkenaan.


"Sehingga kini, polis masih memburu suspek yang terbabit melakukan jenayah itu dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Katanya, turut ditemui di dalam rumah berkenaan adalah dua pasport milik lelaki warga negara Nigeria dan Malawi disyaki melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.


Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Balai Polis Kajang atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Kasino mini pusat servis kenderaan

Posted: 31 May 2013 11:31 AM PDT

Maran: Di bahagian luar terpampang papan tanda Pusat Servis Kenderaan, tetapi hakikatnya sebuah premis di Jalan Chendor Baru 2, dekat sini, sebenarnya adalah kasino mini yang menyediakan pelbagai bentuk perjudian.

Kegiatan yang dipercayai bermula sejak tiga bulan lalu itu bagaimanapun berjaya dikesan polis selepas serbuan jam 5.30 petang kelmarin sekali gus merungkai persoalan sering diajukan orang ramai yang hairan melihat pintu depan premis itu tidak pernah dibuka dan pengunjung hanya masuk melalui tirai besar yang dijadikan penutup pintu utama.


Sumber polis berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan haram berkenaan.

"Polis membuat intipan setengah jam sebelum menyerbu. Dalam serbuan itu, lapan kaki judi berusia 20 hingga 25 tahun serta seorang penjaga premis itu ditahan.


"Polis turut merampas 24 komputer dipercayai digunakan dalam kegiatan perjudian serta wang tunai RM1,300. Siasatan awal mendapati premis terbabit mula beroperasi jam 9 pagi hingga lewat malam," katanya.


Sumber itu berkata, kesemua barang rampasan termasuk individu ditahan dibawa ke Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Seniwati Latifah Omar belum sedar lepas bedah ulser

Posted: 31 May 2013 11:31 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sudah lebih 30 jam, emak belum sedar lagi. Sebaik dibawa ke sini dan menjalani pembedahan, emak memang tidak sedar dan saya sendiri tidak pasti bilakah emak akan sedar kembali ," kata Affendi Rahmat, 55, mengenai keadaan terkini ibunya, seniwati Latifah Omar (gambar), 74, yang kini masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini.

Menurut Affendi, ibunya yang mengalami penyakit ulser usus mengadu sakit dan muntah pada pagi Khamis selepas Subuh, sebelum keluarga membawanya ke Pusat Perubatan Kampung Baru. Melihat keadaan agak kronik, Latifah dimasukkan ke dalam ambulans untuk menerima rawatan di HUKM pada pagi itu juga.


Setibanya di HUKM, Latifah ditempatkan di ICU seterusnya menjalani pembedahan pada malam itu hingga berakhir pada jam 1.45 pagi.

"Pembedahan mengambil masa empat jam dan saya difahamkan banyak juga bahagian usus mak terpaksa dibuang. Penyakit ulser usus mak sudah lama dan ia membengkak dan menjadi keras, sebab itulah apa yang dimakan akan dimuntah kembali," katanya.


Latifah Omar mula menceburi lakonan pada usia 16 tahun melalui filem Panggilan Pulau pada 1954 di samping Tan Sri P Ramlee. Bakat seni semula jadi dan seraut wajah keMelayuan asli ada padanya membolehkan Latifah terus menggilap nama sebagai primadona filem Melayu. Latifah yang sering digandingkan dengan Nordin Ahmad ketika aktif membintangi sebanyak 23 filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Jebat, Jalak Lenteng, Laila Majnun, Putus Sudah Kasih Sayang, Gurindam Jiwa, Che Mamat Parang Tumpul dan terakhir Hati Batu pada 1973. Menurut Affendi, tidak ramai rakan artis seangkatan ibunya malah pihak Seniman juga tidak diberitahu mengenai keadaan terkini ibunya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

No comments:

Post a Comment