Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sedia gempur Tok Gajah

Posted: 31 May 2013 09:20 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) tampak sudah bersedia menggempur habis-habisan kubu Pahang dalam pemburuan ke final apabila kedua-dua pasukan bertembung pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Keputusan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang berkecuali nyata disambut baik ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang menganggap kekuatan Johor DT dan Pahang tampak seimbang kerana tiada kelebihan dimiliki kedua-dua pasukan, sebaliknya percaturan taktikal mantap menjadi pertaruhan untuk layak ke final menentang Kelantan, 29 Jun ini.


Yang pasti benteng skuad Harimau Selatan kembali ampuh selepas kapten Kamarul Afiq Kamaruddin yang mengalami kecederaan sudah pulih sepenuhnya walaupun ketika tersenarai pada aksi di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, dia tampak masih belum cergas.

"Benteng kembali kukuh selepas Kamarul Afiq bebas daripada kecederaan dan saya yakin kombinasi pemain itu bersama Aidil Zafuan Abd Radzak berupaya menyekat setiap asakan lawan.


"Tanpa Mohd Farid Ramli yang digantung satu perlawanan, Irfan Abd Ghani mungkin diturunkan di posisi bek kiri dan saya yakin dia mampu menghalang R Surendran yang memiliki larian pantas dan bijak memperdaya barisan pertahanan.


"Peluang Johor DT dan Pahang seimbang kerana beraksi di padang berkecuali namun kita ada kelebihan hasil kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama dan kita akan turun habis-habisan untuk mencari gol lagi. Tiada corak bertahan sepanjang perlawanan itu," katanya.

Foto

NUNEZ (kanan) jadi taruhan Johor DT tempur benteng Tok Gajah.

Di sebalik buruan skuad Harimau Selatan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) untuk mengulangi kejayaan Johor ketika merangkul kejuaraan Piala FA musim 1998, perancangan taktikal ampuh dan formasi mantap menjadi penentu buat Fandi merealisasikan impian 15 tahun.


Sandaran memastikan langkah ke final tidak tersekat pastinya pada kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang sudah meledak tujuh gol sepanjang kempen Liga Super dan Piala FA bakal dijadikan taruhan terbaik Harimau Selatan sambil dibantu Leonel Nunez menggempur benteng skuad Tok Gajah.

"Elak tambahan masa, itu yang saya harapkan kerana kita tidak mahu perlawanan berlanjutan 30 minit lagi. Paling utama pemain harus fokus dan elak membuat kesilapan mudah," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Aib pertama negara

Posted: 31 May 2013 09:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia menerima aib apabila tewas 3-4 kepada pasukan berstatus kelab China Liaoning Province pada perlawanan persahabatan ketiga di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Meskipun sekadar perlawanan ujian, anak buah Paul Revington sepatutnya lebih serius dan memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol.


Malah Revington turut kecewa dengan persembahan anak buahnya kerana kekalahan itu sedikit-sebanyak menjejaskan rekod cemerlang skuad negara sejak di bawah kendaliannya.

"Tak banyak yang boleh saya katakan selain kecewa kerana pemain terlalu cuai.


"Kita bermula baik apabila mendahului 2-0 tapi mula hilang rentak dan setiap kali cuba bangkit, lawan beraksi lebih baik.


"Saya harap kekalahan ini memberi pengajaran kepada mereka dan bangkit pada perlawanan terakhir esok (hari ini)," katanya.

Skuad negara bermula baik apabila menjaringkan gol pertama seawal minit kelapan hasil pukulan penalti Faizal Saari.


Muhamad Amin Rahim menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Sun Zi Xin merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-28.

Ahmad Kazamirul Nasruddin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-30 tapi selang seminit kemudian Yue Huang merapatkan jurang sekali gus babak pertama menyaksikan Malaysia mendahului 3-2.


China berjaya menambah dua gol lagi hanya dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-56 dan minit ke-57 hasil sumbangan Long Sun dan Yang Dong.


Malaysia akan melengkapkan siri perlawanan persahabatan dengan China Liaoning hari ini. Dua perlawanan terdahulu menyaksikan skuad negara menang 2-1 dan 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Azlan sertai MFJ All Japan

Posted: 31 May 2013 09:16 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba SuperSports 600cc negara, Azlan Shah Kamaruzaman melalui musim paling sibuk dalam karier perlumbaannya pada tahun ini.

Selepas dua minggu perlumbaan berturut-turut bermula Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Indonesia diikuti Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Terengganu, pelumba berusia 29 tahun itu akan ke Jepun minggu ini untuk menjalani latihan persediaan menghadapi Kejuaraan Suzuka 8 Hour Endurance Road Race 2013.


Azlan bakal beraksi atas tiket wildcard dalam Kejuaraan MFJ All Japan di Litar Lumba Antarabangsa Autopolis, litar yang tidak asing bagi Azlan sepanjang empat tahun lalu dalam saingan ARRC.

Bagaimanapun, Azlan akan beraksi menggunakan jentera Superbike 1000cc dalam kategori JSB1000 (Japan Super Bike), bukan kelas 600cc yang sering disertainya. Keputusan ini menyaksikan Azlan menjadi pelumba Malaysia pertama beraksi dalam kelas perdana JSB1000cc All Japan.


Sebaik selesai perlumbaan di Autopolis, Azlan meneruskan latihan sebagai persediaan Kejuaraan Suzuka 8-Hour di Litar Suzuka dan kemudian kembali ke Malaysia bagi menghadapi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix di Muar, Johor pada 8 dan 9 Jun.


"Berlumba dengan jentera Honda CBR1000RR lebih sukar berbanding SuperSports 600cc. Jentera ini lebih berkuasa dan laju serta lebih susah untuk dikendalikan. Tambahan pula saya akan menggunakan tayar 'full slick' dan terpaksa berdepan ramai pelumba handalan Jepun.

"Walaupun tidak meletak sasaran tinggi, saya tetap berasa gementar," kata Azlan yang kini mendahului kedudukan keseluruhan kedua-dua perlumbaan ARRC dan Cub Prix.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Amanat Roslin

Posted: 31 May 2013 09:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berharap Misbun Ramdan Misbun bukan sekadar menyertai kejohanan bertaraf Siri Antarabangsa sepanjang tahun ini, bagi memastikan juara GP Kebangsaan tahun lalu itu mempamerkan peningkatan dan mempunyai kekuatan mental apabila menyertai kejohanan bertaraf lebih tinggi.

Roslin yang juga Presiden Kelab Nusa Mahsuri bagaimanapun mengaku jurulatih yang juga bapa pemain itu, Datuk Misbun Sidek tahu merancang perjalanan kerjaya anaknya.


"Sebagai bekas pemain, kejayaan dicatat Ramdan pada siri jelajah Eropah dalam tempoh sebulan lebih itu menjadi pengalaman berguna untuknya tapi kejohanan itu pertandingan kecil dan tidak boleh dijadikan pengukur untuk menyatakan dia sudah bersedia bersaing dengan pemain bertaraf dunia," kata Roslin, bimbang dengan tanggapan peminat badminton tanah air yang berasa Ramdan sudah berada pada satu tahap tinggi.

Menurutnya, tanggapan peminat yang menaruh harapan besar terhadap pemain itu, ketika Malaysia berada di tahap sukar untuk mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei, mungkin menyebabkan Ramdan berdepan tekanan.


Sejak April lalu, Ramdan diiringi Misbun menjelajah Eropah, menyertai enam kejohanan iaitu Terbuka Belanda, Portugal, Denmark, Slovenia, Greece dan Sepanyol. Dia muncul juara di Greece, Slovenia dan Portugal.


"Seperti yang saya katakan, kemenangan dicapai Ramdan itu pengalaman berguna tapi bukan bukti dia kini sudah setaraf pemain senior. Jika dilihat kejohanan dimenanginya, tiada pemain ternama namun apabila ada pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia seperti Hans-Kristian Vittinghus dan Viktor Axelsen (Denmark), dia tidak mampu meraih kejuaraan." Ramdan tewas dua kali kepada Axelsen dalam siri jelajah Eropah itu, iaitu di suku akhir Terbuka Belanda dan separuh akhir Terbuka Denmark, manakala di Terbuka Sepanyol, dia kalah kepada Vittinghus di separuh akhir.

"Peminat tidak tahu setinggi mana tahap kejohanan disertainya kerana ia sebenarnya lebih kepada pendedahan dan membiasakan diri dengan rentak kemenangan. Saya rasa dengan tiga kejuaraan ini, peminat pasti berang jika Ramdan tidak terpilih mewakili negara di Piala Thomas mahupun kejohanan lain kerana bagi saya dia memang belum mencapai tahap itu.


"Justeru, saya harap Ramdan akan turut menyertai kejohanan berstatus GP Emas atau Siri Super jika layak. Ini penting bagi memastikan dia juga dibiasakan dengan perlawanan menentang lawan lebih jauh berkualiti, mungkin selepas beberapa kejohanan, dia kembali menyertai saingan bertaraf Siri Antarabangsa," kata Roslin.

Roslin yang pernah menjuarai Terbuka Belanda, Jepun, Switzerland dan Vietnam berharap peminat tidak memberi tekanan dengan mengharapkan Ramdan mencapai kejayaan besar dalam tempoh singkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Daren, Wei Feng tentu juara

Posted: 31 May 2013 09:15 AM PDT

Kuala Lumpur: Liew Daren menepati status selaku pilihan utama apabila melangkah ke final Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah, hari ini selepas menewaskan bekas rakan sepelatih, Tan Chun Seang dalam pertarungan tiga set.

Daren tewas set pertama 13-21 namun pengalaman pendedahan kejohanan Siri Super membolehkannya bangkit dengan kemenangan 21-14, 21-12.


Daren akan bertemu pilihan kedua, Chong Wei Feng yang mengatasi cabaran getir pemain pelapis, Iskandar Zulkarnain, 20-22, 21-14, 21-18.

Koo Kien Keat yang bergandingan dengan Vivian Hoo melangkah ke final Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah dan akan membuat perhitungan dengan pilihan kedua, Tan Aik Quan-Goh Liu Ying.


Kien Keat-Vivian mengatasi Tan Chee Tean-Chow Mei Kuan 21-9, 21-11 di separuh akhir semalam manakala Aik Quan-Liu Ying mengatasi gandingan bebas, Vountus Indra Mawan-Sannatasah Saniru 21-12, 21-10.


Perseorangan wanita pula menyaksikan pertembungan antara pilihan utama Sonia Cheah dan pilihan kedua, Tee Jing Yi.

Sonia mengatasi rakan sepelatih, Yang Li Lian 21-18, 21-7 manakala Jing Yi mengatasi Lim Chiew Sien 21-11, 21-12.


Sementara itu, final beregu wanita menyaksikan Lee Meng Yean-Lim Yin Loo dan Shevon Lai-Soong Fie Choo bertarung merebut gelaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

'FAM wajib adil'

Posted: 31 May 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya tidak membenarkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mengaut keuntungan daripada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini selepas membuat kesalahan besar membabitkan aspek keselamatan, Selasa lalu.

Pandangan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mencadangkan FAM mengehadkan hasil kutipan tiket kepada PBNP, selaras dengan jumlah kapasiti Stadium Darul Makmur, gelanggang asal perlawanan antara Pahang dan Johor Darul Takzim.


"PBNP didenda RM100,000, namun kini mereka diberikan stadium lebih besar sebagai tuan rumah dengan kebenaran mengutip hasil penjualan tiket. Ini sesuatu yang tidak masuk akal, kita perlu adil dalam perkara ini kerana mereka sudah melakukan kesalahan besar membabitkan keselamatan penonton, pemain dan semua terbabit," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Majlis Sukan Negara semalam.

FAM sebelum ini membuat keputusan Pahang kekal sebagai tuan rumah dengan badan induk bolasepak negara itu hanya mengambil alih aspek keselamatan dan tiket.


Badan induk bolasepak negara itu mengumumkan 80,000 tiket dicetak dengan harga RM15 ketika Stadium Darul Makmur hanya mempunyai kapasiti maksimum 35,000 penonton. "Ramai yang memberitahu saya FAM mempunyai cita-cita untuk membida Piala Dunia 2034, namun separuh akhir Piala FA pun tidak dapat dikendalikan," katanya yang juga bekas Timbalan Presiden FAM.


Mengulas insiden di Stadium Darulmakmur itu, Khairy melahirkan kekecewaannya terhadap PBNP dan komisioner perlawanan yang gagal menangani insiden dengan baik.

"Bukan saja malu tapi keselamatan penonton. Ada yang bawa kanak-kanak, saya tidak mahu tragedi Hillsborough dan Heysel berlaku di negara ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Badan induk sangkal dakwaan PBNJ

Posted: 31 May 2013 09:14 AM PDT

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), badan induk itu tidak adil atau berat sebelah berhubung agihan tiket perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

FAM menerusi satu kenyataan semalam menjelaskan mereka hanya bertanggungjawab dalam hal pengelolaan membabitkan teknikal dengan urusan bukan teknikal dipikul pasukan tuan rumah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).


"Urusan seperti menetapkan harga tiket, jumlah jualan, pengagihan serta peruntukan tiket kepada pasukan pelawat (Johor DT) di bawah bidang kuasa PBNP," ulas kenyataan itu.

Kenyataan balas FAM dikeluarkan selepas PBNJ kelmarin menyifatkan badan induk itu memberikan keistimewaan terhadap Pahang apabila tiada peruntukan tiket diberikan kepada penyokong Harimau Selatan ketika Tok Gajah mendapat peruntukan 60,000 tiket dengan baki 20,000 dijual di Stadium Nasional.


Ia dilihat sebagai 'hadiah' kepada PBNP yang sudah melakukan beberapa kesalahan ketika aksi dijadual pada Selasa lalu gagal berlangsung.


"FAM mengelolakan perlawanan ini dengan bantuan PBNP sebagai pasukan tuan rumah. Sebagai tuan rumah, PBNP mempunyai hak ke atas semua aspek pengelolaan perlawanan termasuk memperuntukkan tiket kepada Johor DT sebagai pasukan pelawat.

"Peruntukan 60,000 tiket untuk PBNP dan 20,000 yang boleh dibeli Johor DT di Stadium Nasional adalah dengan persetujuan PBNP.


Menurut kenyataan FAM lagi, semasa keputusan dibuat, wakil PBNJ turut berada dalam mesyuarat.

"Keputusan agihan tiket ini selaras dengan Perkara 3.8.1 Peraturan Liga Malaysia 2013-2016 dan Perkara 5 Peraturan Keselamatan FAM."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Kawal emosi senjata utama

Posted: 31 May 2013 09:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Dollah Salleh mengingatkan pemain supaya mengawal emosi bagi memastikan misi memburu kemenangan ke atas Johor Darul Takzim (DT) pada aksi ulangan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini tidak terjejas.

Beliau sedar kemenangan amat penting bukan saja untuk menempah tiket ke final menentang Kelantan malah untuk memuaskan hati penyokong setia Tok Gajah selepas insiden pembatalan perlawanan itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu.


Namun pengendali itu tidak mahu pemain terlalu ghairah hingga tercetus insiden tidak diingini seperti yang berlaku dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua Sabtu lalu apabila dua pemain Terengganu Jean-Emmanuel Effa Owona dan Abdul Manaf Mamat dilayang kad merah ketika bertemu Kelantan.

"Saya risau juga dengan apa yang berlaku di Terengganu tapi setakat ini saya percaya pemain Pahang boleh kawal emosi. Saya percaya ia tidak akan berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.


Ketinggalan agregat 1-0 selepas tumpas pada aksi pertama di Larkin, misi Pahang untuk layak ke final buat kali pertama apabila muncul juara 2006 semakin sukar apabila mereka terpaksa bermain di gelanggang berkecuali pada aksi timbal balik ini selepas insiden kekecohan penyokong yang tidak mempunyai tiket merempuh masuk dan duduk di trek Stadium Darul Makmur.


Namun Dollah memberi amaran, barisan pemainnya lebih bersedia berdepan barisan bintang kendalian Fandi Ahmad dan berharap mereka tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengubah keputusan perlawanan itu.

"Ketinggalan 0-1 memang sukar dan kami harus hati-hati supaya lawan tak menjaringkan gol sebab kita ada sistem jaringan tempat lawan. Saya harapkan kemenangan selesa, jangan kelam kabut pada minit akhir.


"Walaupun bermain di gelanggang berkecuali, kami tidak sabar untuk mencapai kemenangan. Dengan semangat pemain dan penyokong, kita akan mencipta sesuatu," katanya yang bakal mengarahkan pemain pertahanan merantai jentera serangan Harimau Selatan yang dibarisi Leonel Nunez, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya.

Dengan latihan tidak sampai sejam semalam, Dollah sempat mengarahkan anak buahnya menjalani latihan sepakan penalti.


"Saja buat persediaan, takut kalau berlaku tapi kalau boleh perlawanan ini dihabiskan dalam tempoh 90 minit."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Jalaluddin tekad sekat Nunez, Mat Yo

Posted: 31 May 2013 09:13 AM PDT

Kuantan: Kelibat 'Budak Boroi dari Argentina', Leonel Nunez serta penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha yang sering membuatkan lawan Johor Darul Takzim (JDT) tidak senang duduk, tidak sesekali menggentarkan pertahanan Pahang yang turun berdepan skuad Harimau Selatan itu pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Bukit Jalil, malam ini.

Malah, Mohd Razman Roslan, Damion Stewart, Jalaluddin Jaafar dan Mohd Shahrizan Salleh bertekad tidak membenarkan kedua-dua pemain bermaharajalela di kubu Tok Gajah bagi memastikan impian anak buah Dollah Salleh untuk ke perlawanan akhir Piala FA direalisasikan.


Mohd Razman tidak mahu apa yang berlaku di Stadium Darul Makmur dua hari lalu, menghantui mindanya sekali gus mencacatkan aksi Pahang sebaliknya dia mahu membalas segala kepercayaan dan sokongan peminat Tok Gajah yang terlalu ingin melihat pasukan kesayangan melangkah ke final yang kali terakhir berjaya dilakukan pada 2006 itu.

"Stadium Bukit Jalil atau Darul Makmur sama saja bagi kami. Yang penting, kami mahu menang dan tidak sesekali membiarkan apa yang berlaku dua hari lalu merosakkan tumpuan.


"Saya tetap menganggap perlawanan ini seperti beraksi di Stadium Darul Makmur memandangkan penyokong Pahang masih bersama kami dan akan memberi sokongan penuh. Saya yakin, apa yang sudah berlaku tidak sesekali mengubah sokongan mereka.


"Sebagai pemain, saya serta rakan akan berusaha membawa pasukan ke final biarpun JDT dilihat berkelebihan tapi perlawanan masih berbaki 90 minit dan tidak mustahil berlanjutan ke masa tambahan.

"Yang pasti kami akan mempamerkan persembahan terbaik bagi menghargai sokongan padu peminat yang selama ini banyak membantu meningkatkan moral," katanya.


Pada malam ini, Dollah dijangka tidak melakukan perubahan terhadap kesebelasan utama yang diturunkan ketika perlawanan di Stadium Darul Makmur dibatalkan atas faktor keselamatan apabila lebih 7,000 penyokong Pahang duduk di atas trek berikutan semua tempat duduk disediakan penuh sesak.

Jika barisan sama diberi kepercayaan, R Gopinathan, R Surendran, Amirul Hadi Zainal dan Mohd Hafiz Kamal akan mengisi bahagian tengah manakala jentera serangan Tok Gajah dijana Matias Conti dan Azamuddin Mohd Akil.


Sementara itu, Mohd Shahrizan turut sependapat dengan Mohd Razman dan dia juga mahu rakan sepasukan mempamerkan persembahan mantap kerana JDT akan sedaya upaya mempertahankan kelebihan satu gol hasil kemenangan di Stadium Larkin, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Tak sabar lihat aksi Tok Gajah

Posted: 31 May 2013 09:12 AM PDT

Kuantan: Biarpun terpaksa beratur panjang buat kali kedua, penyokong Pahang tetap bersabar mendapatkan tiket aksi kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Bukit Jalil, malam ini.

Walaupun kaunter tiket untuk menyaksikan perlawanan di Bukit Jalil itu hanya mula dibuka pada jam 10 pagi, ratusan penyokong setia Pahang sudah mula beratur di Stadium Darul Makmur untuk mendapatkan tiket.


Selain Stadium Darul Makmur, kaunter tiket sama turut dibuka di Stadium Mini Majlis Perbandaran Temerloh.

Seorang penyokong Pahang, Mohd Adhar Awang, 20, berkata, dia akan ke Bukit Jalil untuk melihat aksi Pahang selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur Selasa lalu, dibatalkan atas faktor keselamatan.


"Memang kecewa apabila perlawanan dibatalkan tapi saya tidak mahu terlepas peluang ke Bukit Jalil untuk menyatakan sokongan. Kami tidak rela Johor DT menang dan kalau boleh, kami mahu Stadium Bukit Jalil dipenuhi penyokong berbaju kuning.


"Saya yakin Pahang akan bermain mati-matian untuk menang dan itu yang kami mahukan. Sebagai penyokong, kami tidak akan membiarkan pemain Pahang bermain tanpa sokongan padu," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Dr Omar Othman berkata, pihaknya tidak mengenakan sebarang caj tambahan biarpun harga tiket di Bukit Jalil RM15 berbanding RM12 yang dijual di Stadium Darul Makmur sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

No comments:

Post a Comment