Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Usah cakap sembarangan'

Posted: 01 Jun 2013 12:01 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan!"

Itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah berhubung kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil.


Khairy kelmarin dilaporkan mempertikaikan keadilan FAM apabila mengekalkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNJ) sebagai tuan rumah walaupun mereka gagal menangani aspek keselamatan di Stadium Darul Makmur pada aksi yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya hasil kutipan tiket kepada PBNP dihadkan kerana berpeluang mengaut keuntungan lebih besar di Stadium Nasional berikutan kapasiti stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton.


"Kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan kerana beliau menuduh FAM pilih kasih. Kami sebenarnya bertindak mengikut peraturan. Saya (Presiden FAM) atau PBNP tidak mempunyai kuasa kerana pemilihan gelanggang perlawanan diputuskan oleh JKPT (Jawatankuasa Pertandingan Tempatan).


"Ini negara bebas (untuk membuat kenyataan) namun biarlah memberi (kenyataan) yang bermakna," kata Sultan Ahmad Shah pada sidang media semalam selepas mendengar taklimat mengenai aspek keselamatan di Stadium Nasional yang membabitkan 1750 anggota keselamatan.

Beliau berkata, kenyataan seperti itu tidak sepatutnya hadir daripada 'orang yang bijak bestari.'


"Saya mengarahkan JKPT mengkaji, teliti dan mencari satu keputusan agar perlawanan dapat dilaksana secepat mungkin selepas perlawanan asal tidak dapat dilangsungkan.

"Hasilnya JKPT memutuskan perlawanan itu dimainkan di stadium berkecuali (Stadium Nasional). Ia bukan keputusan saya. Kalau saya boleh buat keputusan, memang saya mahu perlawanan itu kekal di Stadium Darul Makmur," katanya.


Mengenai pengganti Datuk Azzuddin Ahmad sebagai Setiausaha Agung FAM, beliau menjelaskan masih belum membuat keputusan kerana ada beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Stadium Maracana beroperasi

Posted: 01 Jun 2013 11:51 AM PDT

Rio de Janeiro: Selepas berdepan insiden memalukan membabitkan pembatalan, Stadium Maracana di Rio de Janeiro akhirnya akan menganjurkan perlawanan rasmi pertamanya sejak ia dibuka semula selepas kerja-kerja pengubahsuaian selesai, membabitkan pertemuan persahabatan berprestij antara Brazil dan England, hari ini.

Hakim tempatan baru-baru ini menetapkan perlawanan persahabatan itu tidak boleh diteruskan kerana stadium terbabit gagal menepati ciri-ciri keselamatan. Namun, keputusan itu berubah selepas pihak berkuasa tempatan mengemukakan rayuan.


Kerajaan negeri kemudian menjelaskan laporan keselamatan mandatori tidak dihantar kepada pihak berkuasa terbabit susulan 'kegagalan birokrasi'.

Isu pembatalan ini menjadi 'cerita terbaru' selepas sebelum ini ia turut dihimpit dengan kes kelewatan pengubahsuaian. Proses pengubahsuaian stadium yang menelan belanja RM1.9 bilion itu bermula sejak 30 bulan lalu, namun lewat siap.


Stadium terbabit secara rasminya dibuka semula 27 April lalu apabila pasukan yang diketuai pemain hebat Brazil, Ronaldo dan Bebeto beraksi dalam perlawanan pertunjukan di depan 25,000 penonton.


Namun, pertemuan awal pagi esok bakal menjadi perlawanan rasmi pertama di stadium itu dengan jangkaan menerima jumlah penonton memberangsangkan.

Meskipun diubahsuai, stadium terbabit tetap mengekalkan bentuk asalnya cuma dibekalkan dengan bumbung baru. Selain itu, tempat duduk penyokong dua tingkat sebelum ini ditukar kepada satu tingkat dan dicat warna menarik antaranya kuning, biru langit dan putih.


Dibina pada Piala Dunia 1950 yang menyaksikan tuan rumah mengalami kekalahan apabila ditundukkan Uruguay 1-2 pada perlawanan penentuan, Stadium Maracana turut pernah menyaksikan ramai aksi pemain bintang Brazil seperti Pele dan Zico.

Hari ini (awal pagi esok), penyerang bertaraf bintang, Neymar dijangka membuat penampilan pertamanya untuk pasukan kebangsaan Brazil sejak dia menyertai kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dari Santos dalam perpindahan yang dilaporkan bernilai RM185 juta.


Perlawanan pertama Scolari buat kali kedua sebagai jurulatih kebangsaan menyaksikan Brazil tewas 2-1 kepada England di Wembley, pada Februari lalu dan pertahanan Brazil, David Luis yang beraksi untuk kelab Inggeris, Chelsea, menjangkakan satu lagi pertemuan sengit apabila kedua-dua pasukan bertemu nanti.


"Pasukan itu mempunyai ramai pemain hebat, gandingan berpengalaman dan baru," katanya. "Ia akan menjadi perlawanan sukar. Saya fikir mereka akan lebih bertahan kerana cuaca panas." Perlawanan terakhir England di Rio adalah kemenangan 2-0 aksi persahabatan yang menyaksikan gol hebat solo bekas pemain sayap Liverpool, John Barnes. England dikritik kerana menampilkan aksi kurang bertenaga sewaktu seri 1-1 dengan Republik Ireland di Wembley, Rabu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

City umum pengurus baru dua minggu lagi

Posted: 01 Jun 2013 11:51 AM PDT

London: Pengerusi Manchester City, Khaldoon Al Mubarak kelmarin mengesahkan kelab Liga Perdana Inggeris itu akan mengumumkan pengurus barunya dalam tempoh dua minggu lagi.

Jurulatih Malaga, Manuel Pellegrini dilaporkan bakal mengambil alih jawatan Roberto Mancini selepas beliau dipecat City akibat kekalahan mengejut pasukan itu final di Piala FA menentang Wigan.


Namun, Pellegrini menekankan tiada perjanjian yang dibuat antaranya dengan City setakat ini namun tidak menafikan bersedia untuk meninggalkan kelab Sepanyol itu penghujung musim ini.

Al Mubarak kini menetapkan jangka masa untuk perlantikan pengurus baru dan inginkan kriteria tepat untuk mencapai misi merampas semula gelaran liga daripadas Manchester United musim depan.


"Kami ingin kelab ini terus melakar kejayaan konsisten. Lantaran itu, penting buat kami memilih pengurus pasukan yang tepat.


"Kelab ini menginginkan seorang yang mempunyai keupayaan mengurus dengan baik dan berkemampuan mencungkil bakat setiap pemain kita ada merangkumi dari barisan remaja, simpanan dan elit.

"Sehubungan itu, kami mempunyai pasukan khas khusus untuk memilih pengurus baru. Mereka sudah menyenarai pendek senarai pengurus baru, menepati kriteria yang City inginkan. "Kini tugas itu semakin sampai ke penghujungnya dan kami akan mengumumkan siapa pengurus City yang baru tidak lama lagi, kemungkinan dalam tempoh dua minggu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Ini tidak adil!

Posted: 01 Jun 2013 11:50 AM PDT

Paris: Juara bertahan, Rafael Nadal mengkritik jadual perlawanan Terbuka Perancis, menganggapnya sebagai 'jenaka' ketika musuh ketat Roger Federer menang mudah di Roland Garros.

Nadal, pilihan ketiga dari Sepanyol, memburu gelaran kelapan di Paris, mengenepikan pemain Slovakia, Martin Klizan 4-6, 6-3, 6-3, 6-3 untuk kemenangan ke-54 daripada 55 perlawanannya di kejohanan itu.


Pemain berusia 26 tahun itu tewas set pertama kerana terpaksa bergelut dengan cuaca sejuk yang mencecah 12 Celcius.

Dia kemudian membuat kenyataan pedas terhadap pegawai kejohanan yang dianggapnya sebagai 'jenaka' dan mendakwa menerima layanan tidak adil.


Perlawanan Nadal terpaksa berlangsung lewat selepas hujan berterusan di Paris.


Dia dijadualkan turun sebagai pemain ketiga untuk gelanggang Suzanne Lenglan selepas perlawanan perseorangan lelaki dan wanita.

Lawannya di pusingan ketiga, Fabio Fognini pula dijadualkan turun sebagai pemain kedua di Gelanggang Tiga selepas perlawanan membabitkan acara perseorangan wanita sebelum itu hanya memerlukan satu jam untuk berakhir.


"Jadual perlawanan salah, ini satu keputusan buruk," kata Nadal.

Nadal menjadi lebih berang apabila dia diberitahu Fognini diberikan slot bermain lebih awal kerana dia dan pencabarnya, Lukas Rosol akan beraksi acara beregu selepas itu.


"Hari ini, saya bermain tiga jam sedangkan lawan saya berada di bilik persalinan menonton televisyen," kata Nadal.


"Saya sepatutnya tidak boleh turun untuk jadual perlawanan ketiga apabila lawan saya bermain kedua. Alasan diberikan, mereka terpaksa bermain acara beregu, tapi itu satu jenaka. Jika seperti itu, mungkin lebih baik jika saya juga bermain acara beregu." Ketika Nadal perlu beraksi pada perlawanan pusingan ketiga, pilihan kedua, Federer sudah mengesahkan tempat ke saingan 16 terakhir.


Kemenangan 6-3, 6-4, 7-5 mengatasi pemain pilihan ke-30 dari Perancis, Julien Benneteau menandakan dia sudah bersedia untuk pergi lebih jauh di kejohanan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Serena, Maria langkah kanan

Posted: 01 Jun 2013 11:50 AM PDT

Paris: Serena Williams dan Maria Sharapova berada dalam laluan tepat untuk pertembungan final Terbuka Perancis, selepas mengenepikan pencabar tandingan masing-masing, semalam.

Mereka turut disertai dua bekas juara dalam kelompok 16 terakhir itu - Ana Ivanovic dan Svetlana Kuznetsova manakala juara 2010, Francesca Schiavone dari Itali mara ke pusingan ketiga.


Serena dan Maria, dua bintang tenis wanita yang bertarung sengit untuk kedudukan nombor satu dunia tahun lalu bersama Victoria Azarenka sekali gus menjadikan perseteruan mereka itu sebagai daya tarikan utama acara wanita.

Kedua-dua pemain itu tidak berdepan sebarang masalah sekalipun hujan serta suhu sejuk dan dingin mengganggu jadual perlawanan.


Maria yang juga juara bertahan dan pilihan kedua, turun terlebih dulu, memerlukan empat permainan serta beberapa aksi selama beberapa minit sebelum menamatkan cabaran pusingan kedua dengan kemenangan 6-2, 6-4, menewaskan pemain remaja Kanada, Eugenie Bouchard.


Perlawanan mereka terpaksa ditangguhkan lewat kelmarin akibat hujan lebat dengan pemain pilihan kedua dari Russia itu mendahului satu set dan 4-2.

Maria, pemain tenis remaja sensasi sewaktu menjulang takhta Wimbledon 2004 pada usia 17 tahun akan berdepan pemain China, Zheng Jie yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia dan Amerika Syarikat sebelum ini.


Dia kini menang sembilan perlawanan di Roland Garros, selepas menamatkan koleksi takhta Grand Slam di Paris tahun lalu, sekali gus menjadi wanita ketujuh dalam era moden untuk menggapai prestasi gemilang itu.

"Semalam hari yang panjang. Saya meninggalkan gelanggang agak lewat dan kemudian terpaksa berada semula di sini awal pagi," kata Maria.


"Tapi, kami semua tahu apa yang perlu dilakukan. Kami semua bagaikan tahu yang cuaca akan menjadi kurang bagus semalam (kelmarin)." Serena, pilihan utama kejohanan dan pemain pertama beraksi pusingan ketiga, hanya memerlukan 61 minit untuk menyingkirkan pemain Romania, Sorana Cirstea 6-0, 6-2. Dia kini menggugurkan enam permainan dalam tiga perlawanan berat sebelah yang dimenanginya.


Kemenangan itu yang ke-27 berturut-turut buat Serena - rekod tanpa kalah terbaik dalam kerjayanya - menyaksikannya mara ke pusingan keempat untuk berdepan pemenang perlawanan antara Roberta Vinci dari Itali dan pemain Republik Czech, Petra Cetkovska.


Serena kini memburu takhta Grand Slam ke-16 sepanjang kariernya, tapi yang kedua di Paris, sejak pertama kali menjuarainya pada 2002. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Daniel nasihat usah putus asa

Posted: 01 Jun 2013 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Siapa tidak kenal Daniel Bego, raja kolam renang tanah air. Dia digelar jaguh renang selepas mencipta kejayaan layak beraksi tiga acara Olimpik Beijing 2008 sebelum terus kukuh menjadi penyumbang pingat emas terbanyak negara di temasya Sukan SEA Laos 2009 selepas merangkul lima emas.

Tahun ini dijadikan sasarannya untuk kembali mempamerkan aksi terbaik selepas hampir tiga tahun berdepan musim hambar ekoran masalah 'Hook Acromium' tapi Daniel tetap menjadi idola perenang remaja terutama muka baru.

Bagi Chi Chia Khian, Daniel seorang perenang hebat dan bersemangat waja. Dia mula mengagumi Daniel ketika menyaksikan kehebatan perenang senior itu merangkul lima emas di Sukan SEA Laos meskipun dia belum bergelar atlet.

Katanya, Daniel seorang yang kelakar namun pada masa sama amat serius terutama ketika memberinya nasihat berkaitan renang.


Namun meskipun garang di kolam renang, Daniel juga mempunyai naluri cintakan haiwan. Ikuti sesi mereka berdua di Pusat Akuatik Bukit Jalil, baru-baru ini.


Sebut saja nama Daniel Bego siapa tidak kenal dengan raja kolam renang tanah air itu. Dia digelar jaguh renang selepas mencipta kejayaan layak beraksi tiga acara Olimpik Beijing 2008 sebelum terus kukuh dengan menjadi penyumbang pingat emas terbanyak negara di temasya Sukan SEA Laos 2009, iaitu dengan lima emas.

Menjadikan 2013 sebagai tahun untuknya bangkit selepas hampir tiga tahun berdepan musim hambar ekoran berdepan masalah 'Hook Acromium', Daniel terus menjadi idola perenang remaja terutama muka baru.

Bagi Chi Chia Khian, Daniel seorang perenang hebat dan bersemangat waja. Dia mula mengagumi Daniel ketika menyaksikan kehebatan senior itu merangkul lima emas di Sukan SEA Laos di kaca televisyen yang mana pada waktu itu Chia Khian belum lagi bergelar atlet. Katanya, Daniel seorang yang kelakar namun pada masa sama amat serius terutama ketika memberinya nasihat berkaitan renang. Namun dalam pada sifat garang di kolam renang, Daniel juga mempunyai naluri cintakan haiwan. Ikuti sesi mereka berdua di Pusat Akuatik Bukit Jalil, baru-baru ini.

Soalan (S): Sebagai perenang senior lelaki yang dikagumi muka baru khususnya pelapis, apa pandangan anda dengan tahap prestasi mereka?

Jawapan (J): Jujurnya, saya amat bangga dengan prestasi muka baru khususnya pelapis. Junior saya amat berbakat dan mereka mempamerkan kebolehan yang amat baik. Saya juga lihat mereka sanggup berusaha gigih untuk menjadi perenang terbaik negara.

Chia Khian juga amat hebat. Saya optimis dia mampu pergi jauh.

(S): Anda diatasi perenang junior di saingan Terbuka Malaysia baru-baru ini, malah ada juga antara mereka memecah rekod lapan tahun yang anda pegang di Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini, apa tanggapan anda? Marah?

(J): Ya, saya mengaku ditewaskan junior. Namun, saya tidak marah. Saya juga baru pulih daripada pembedahan bahu tahun lalu. Bagi saya, ia saingan sihat. Senario ini membuktikan muka baru renang Malaysia bertambah baik, lebih kompetitif dan semangat daya saing semakin kuat. Saya amat bangga dan berharap pelapis serta muka baru melakukan yang lebih baik daripada saya demi Malaysia.

(S): Bagi anda, adakah hubungan rapat antara perenang senior dan junior penting?

(J): Amat penting. Ia dapat mewujudkan komunikasi baik antara kami serta mereka tidak segan untuk meminta panduan daripada senior. Saya melayan mereka seperti adik sendiri, membawa mereka menonton wayang dan sebagainya. Lebih-lebih lagi Chia Khian, kami sering keluar bersama kerana dia juga menyertai acara sama dengan saya, iaitu kuak kupu-kupu. Maka, banyak yang perlu kami kongsi.

(S): Mungkin ada nasihat untuk mereka?

(J): Sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, jangan mudah putus asa dan kekal fokus.

(S): Selain renang, mungkin anda ada meminati sukan lain?

(J): Ada. Saya meminati sukan bola keranjang. Saya sering menghabiskan masa terluang dengan bermain bola keranjang bersama rakan terutama pada hujung minggu.

(S): Anda ada kelebihan lain? Memasak mungkin?

(J): Memasak jauh sekali. Namun, saya amat sayangkan haiwan. Rumah saya mempunyai enam ekor anjing pelbagai kacukan dan baka. Cuma yang menarik, saya dan keluarga tidak pernah membeli anjing berkenaan, kami 'menyelamatkan' mereka. Semuanya kami ambil daripada Persatuan Pencegah Kezaliman Haiwan (SPCA). Kami sekeluarga amat cintakan haiwan.

(S): Bagaimana boleh timbul minat cintakan haiwan, malah menyelamatkan anjing terbiar seperti ini. Sifat seperti ini jarang ada pada setiap orang.

(J): Ibu saya. Ibu memang seorang pencinta haiwan. Maka saya dan adik-beradik lain turut sama mencintai haiwan terutama anjing.

(S): Berbalik kepada sukan renang, apa sasaran anda selepas ini?

(J): Saya meletakkan sasaran untuk layak ke Olimpik buat kali kedua selepas Beijing 2008. Rio 2016 sasaran utama saya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Agil suka berniaga

Posted: 01 Jun 2013 11:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet tenis negara, Syed Mohamad Agil Syed Naguib ingin menjadi seorang ahli perniagaan sekiranya tidak bergelar atlet.

Atlet tenis negara, Syed Mohamad Agil Syed Naguib ingin menjadi seorang ahli perniagaan sekiranya tidak bergelar atlet.


Soalan (S): Jika bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya ingin menjadi ahli perniagaan yang disegani.


(S): Adakah itu cita-cita anda sejak kecil? (J): Tidak, asalnya saya minat menjadi anggota polis.


(S): Mengapa minat menjadi polis? (J): Sebab ia kerjaya beruniform dan dilihat hebat.

(S): Oleh itu, jika ingin bergelar ahli perniagaan agaknya khusus dalam bidang apa? (J): Tidak pasti lagi cuma saya sememangnya meminati bidang perniagaan.


(S): Mengapa? (J): Bagi saya bidang ini menjamin masa depan, boleh buat hidup senang.

(S): Selain tenis ada minat sukan lain? (J): Tidak. Hanya minat sukan tenis saja.


(S): Apa yang anda lakukan di masa lapang? (J): Tiada apa, melainkan hanya menjalani latihan tenis.


(S): Kiranya anda begitu cintakan sukan ini umpama 'hidup mati' untuk tenis? (J): Mestilah. Saya amat cintakan sukan tenis. Tiada apa yang saya lakukan melainkan tenis saja.


(S): Mungkin anda ada kelebihan lain selain bersukan? (J): Pandai masak sikit-sikit. Tapi masak yang ringkas saja contohnya nasi goreng.


(S): Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang...


(J): Sebelum mengenali saya, kawan-kawan mengatakan saya sememangnya seorang peramah.


(S): Berbalik pada sukan tenis, apa misi anda tahun ini? (J): Saya menetapkan misi untuk memperbaiki prestasi dan menjadi pemain tenis yang lebih baik.


(S): Ada sebarang kejohanan utama tahun ini? (J): Saya akan ke Sukan Universiti Dunia Russia, Julai ini dan meletakkan sasaran pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Tiru teknik jaguh Eropah

Posted: 01 Jun 2013 11:46 AM PDT

Petaling Jaya: Seramai 250 kanak-kanak bakal mempelajari teknik latihan diterapkan kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid menerusi klinik bola sepak di Padang PKNS, Kelana Jaya, bermula semalam.

Klinik anjuran YKK Holding Asia Pte Ltd (YHA) dengan kerjasama Yayasan Real Madrid serta Akademi Bolasepak PKNS itu bakal dikendalikan tiga jurulatih berpengalaman Pablo Gomez Revenga, Javier Garcia Torres dan Ivan Garcia Sacristan.


Menurut Revenga yang bertindak selaku ketua jurulatih Yayasan Real Madrid, objektif utama mengendalikan klinik selama dua hari itu bukan sekadar untuk mendedahkan teknik asas permainan bolasepak semata-mata namun lebih penting, menerapkan nilai murni dalam diri setiap pemain.

"Kami datang ke sini bukan untuk mencari pemain berbakat. Kami (Yayasan Real Madrid) tidak menggilap bakat kerana itu tugas Akademi Real Madrid. "Kami hanya menjalankan tanggungjawab sosial dan berharap program ini memberi satu pengalaman berharga dalam kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan memberi peluang mengikuti latihan seperti kami lakukan di Real," katanya ketika ditemui pada sidang media klinik bolasepak itu semalam.


Selain 250 kanak-kanak yang terpilih daripada rumah anak yatim dan miskin menyertai klinik itu, 30 jurulatih tempatan turut berpeluang menimba pengalaman.


Revenga, Torres dan Sacristan mengadakan pertemuan dengan sekumpulan jurulatih tempatan semalam untuk berkongsi metodologi dan teknik latihan kelab bagi membantu mereka mengendalikan klinik bolasepak yang bermula jam 8 hingga 11 pagi hari ini.

Menurut Revenga, beliau berharap program ini dapat memberikan pengertian sebenar bolasepak kepada kanak-kanak.


"Bolasepak bukan sekadar permainan, ia mendidik pemain supaya berdisiplin, saling menghormati dan membantu satu sama lain. Tiada guna mereka bermain bolasepak jika tidak menikmatinya," katanya yang berpengalaman mengendalikan lebih 40 klinik bolasepak di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Azam tekad rebut kejuaraan keempat

Posted: 01 Jun 2013 11:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelumba muda Mohd Azam Omar berhasrat merebut kemenangan keempat berturut-turut menjelang Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Muar, Johor pada 8 dan 9 Jun ini.

Pelumba berusia 16 tahun yang menyertai Siri Super Yamaha 135 itu sebelum ini meraih gelaran hatrik dengan persembahan cemerlang memenangi perlumbaan di Batu Kawan (Pusingan 1), Melaka (Pusingan 2) dan Terengganu (Pusingan 3).


Keputusan itu membantu Azam mengumpul 75 mata maksimum, selesa 24 mata di depan Mohd Ibrahim Norrodin, kedua dan Kasma Daniel Kasmayudin, ketiga dengan 47 mata.

"Sudah tentu saya sangat gembira kerana berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut dan berhasrat meneruskannya di Muar. Namun ia bukan satu tugas mudah," kata Azam bersemangat.


Walaupun mendominasi ketiga-tiga perlumbaan, Azam tidak memandang rendah keupayaan pencabar lain.


"Saya tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang. Prestasi pelumba lain pasti terus meningkat pada baki perlumbaan selepas ini.

"Contohnya, saya hampir tewas di halaman sendiri (Terengganu) baru-baru ini. Iqbal Amri Malek dan Ibrahim mempamerkan banyak peningkatan dan kami bersaing sengit dari awal hingga ke penghujung perlumbaan. Kami saling pintas memintas dari awal hingga ke selekoh terakhir perlumbaan. Jika gagal memintas di selekoh terakhir, saya tidak dapat mencatat kemenangan hatrik. Sebab itu saya perlu terus meningkatkan prestasi untuk menghadapi perlumbaan di Johor." Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

Cabaran bukan mudah!

Posted: 01 Jun 2013 11:44 AM PDT

Putrajaya: Kelibat juara basikal bukit kebangsaan dalam saingan sirkit pertama perlumbaan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2013, Shahrin Amir menjanjikan persaingan sengit dalam kategori Cross Country Olympic (XCO) bermula hari ini.

Namun Shahrin yang kini menjalani latihan kem kebangsaan negara di Melaka sebagai persediaan ke Sukan SEA Myanmar, Disember ini tidak akan menemui laluan mudah apabila bakal dicabar rakan senegara, Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Fallanie Ali, Shahrom Abdullah, Nur Ridzuan Zainal selain 76 peserta yang mendaftar bagi kategori itu.


Saingan yang membuka tirai perlumbaan di Dataran Diplomatik Persint 15 Putrajaya itu turut dijadikan sebagai medan pemilihan oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk memilih pelumba terbaik bagi mewakili negara ke temasya di Myanmar nanti.

Bagi Fauzan, pemenang pingat emas Sukan Sea Manila 2005 dalam acara kejar-mengejar berpasukan yang berjaya membuat catatan sembilan minit sepusingan bagi trek sejauh 30.5km berkata, dia perlu berhati-hati kerana trek pertandingan mempertaruhkan ciri-ciri teknikal.


"Cuaca panas juga memainkan peranan. Namun peluang untuk menang itu tetap ada," katanya yang turut terbabit dalam acara lebuh raya pada temasya Sukan SEA selain muncul naib juara di belakang Shahrin di Kejohanan Basikal Bukit Kebangsaan tahun lalu.


Setakat jam 3 petang semalam, seramai 1,800 mendaftar untuk perlumbaan yang mendapat kerjasama Tourism Malaysia itu.

Justeru, Pengarah Kejohanan Noor Azam Ab Aziz mengingatkan peserta yang mengambil bahagian supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika berkayuh dan mengikut arahan marsyal bertugas demi kelancaran perlumbaan selain keselamatan peserta itu sendiri.


Perlumbaan ini menawarkan hadiah keseluruhan RM220,000 menggunakan format perlumbaan Olimpik merentas desa dan Jamboree.

Saingan acara elit mempertandingkan tiga kategori peserta lelaki, wanita dan Master bagi peserta lelaki dan wanita berumur 45 tahun ke atas dengan setiap kategori berlangsung dengan format pertandingan berdasarkan Cross Country Olympic (XCO) membabitkan jarak tiga hingga tujuh kilometer dalam masa yang ditetapkan.


Saingan Terbuka (Jamboree) terbahagi kepada empat kategori Terbuka Lelaki, Wanita, Master (lelaki dan wanita 45 tahun ke atas) dan junior (bawah 23 tahun) dalam perlumbaan sejauh 40km.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/02

No comments:

Post a Comment