Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pahang = 60,000 Johor DT = tiada

Posted: 30 May 2013 10:07 AM PDT

Kelana Jaya: Sebanyak 80,000 keping tiket akan dicetak untuk aksi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Perkembangan terbabit diumum Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang bertindak sebagai tuan rumah diperuntukkan 60,000 keping tiket manakala bakinya akan dijual di Stadium Nasional bermula jam 9 pagi ini.


Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) pula membuat permohonan kepada PBNP untuk mendapatkan 40,000 keping tiket bagi membolehkan penyokong Johor DT hadir menyaksikan perlawanan terbabit yang dibatalkan sebelum ini.

"Kami minta 40,000 tiket kerana menjangkakan penyokong Harimau Selatan akan membanjiri Stadium Nasional dan diharap ia mendapat kerjasama PBNP," kata Setiausaha Kehormat Mohd Fahmy Yahya.


Namun hasrat PBNJ mendapatkan jumlah tiket itu memerlukan kelulusan PBNP selepas badan induk bolasepak negeri berhasrat membawa seramai mungkin penyokong Pahang ke Bukit Jalil.


"Kami perlu bermesyuarat terlebih dulu sebelum meluluskan jumlah dipohon PBNJ kerana keutamaan kami sudah pasti untuk penyokong Pahang. Kami akan mula menjual tiket bermula esok (hari ini) di Kuantan dan Temerloh. Berdasarkan sokongan ditunjukkan, saya yakin kami mampu mendapatkan 60,000 penyokong," kata Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar VV Abu.

Foto

KEKECOHAN penonton punca perlawanan ditukar ke Stadium Bukit Jalil.

Akbar dan Fahmy turut melahirkan keyakinan satu suasana lebih baik membabitkan penyokong Pahang dan Johor DT dengan rekod kedua-dua penyokong pasukan tidak pernah mencetuskan masalah sebelum ini.


Bagaimanapun kehadiran penyokong di Stadium Bukit Jalil akan mendapat kawalan anggota polis dengan pemeriksaan ketat dijalankan di semua pintu masuk selain pemeriksaan dari masa ke semasa di dalam stadium.

"Kita akan membuat persiapan mencukupi dan memastikan keselamatan di Bukit Jalil terjamin. Kami memiliki anggota mencukupi untuk mengawal keadaan dan saya minta kerjasama penonton supaya perlawanan dapat berlangsung dengan lancar," kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Keputusan mengejut

Posted: 30 May 2013 09:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengurusan skuad negara membuat keputusan mengejut apabila menggugurkan dua pemain senior, S Kumar dan Muhamad Amin Rahim daripada menyertai siri empat perlawanan persahabatan bertaraf dunia di Afrika Selatan pada 2 hingga 12 Jun ini.

Menurut kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam, Kumar yang juga penjaga gol utama skuad negara direhatkan daripada menyertai siri jelajah ke Afrika Selatan kerana baru saja kembali dari Amsterdam, Belanda kerana menjalani latihan seminggu bersama jurulatih berpengalaman Martijn Drijver.


"Dia meneruskan latihan bersama jurulatih penjaga gol skuad negara M Nadarajan," menurut kenyataan itu.

Tapi seorang lagi penjaga gawang skuad negara Roslan Jamaluddin yang turut bersama Kumar di Amsterdam, tersenarai untuk ke Afrika Selatan itu.


Pakar pukulan sudut penalti negara Muhamad Amin pula digugurkan kerana urusan peribadi.


Selain Kumar dan Muhamad Amin, empat lagi pemain yang digugurkan daripada keseluruhan 26 pemain negara ialah Azreen Rizal Nasir, Jivan Mohan, Muhamad Ramadan Rosli dan Norhizzat Sumantri.

Bermakna, ketua jurulatih Paul Revington hanya membawa 20 pemain untuk empat perlawanan bertemu Afrika Selatan, lawan diundi dalam satu kumpulan bersama skuad negara pada separuh akhir Liga Dunia di Johor Bahru dari 29 Jun hingga 7 Julai.


Kumar, Muhamad Amin serta barisan pemain digugurkan masih berpeluang diletakkan dalam senarai akhir pemain yang akan mewakili negara untuk kempen di Johor Bahru menerusi satu lagi pengumuman rasmi kelak. Bagaimanapun Revington berkata, Kumar tetap akan menyertai skuad negara hari ini dan esok untuk baki dua perlawanan persahabatan bertemu China Liaoning Province. "Kumar dan Roslan sudah kembali dan hampir pasti diturunkan pada dua perlawanan ini.

"Saya juga tidak sabar menanti kehadiran mereka dalam pasukan," katanya.


Dua perlawanan persahabatan sebelum ini menyaksikan Kairulnizam Ibrahim menggantikan tempat Kumar dan Roslan.


Skuad negara sudah mencatat dua kemenangan, 2-1 dan 4-2 ke atas juara keseluruhan wilayah China itu yang rata-ratanya dibarisi pemain kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Gunung Capital juara WAITGC

Posted: 30 May 2013 09:47 AM PDT

Kota Kinabalu: Team Gunung Capital dari Malaysia muncul juara pusingan kedua pertandingan golf amatur berpasukan dunia (WAITGC) selepas mengumpul 991 mata berbanding cabaran terdekat Team Copperheads dari Australia, 988.

Pasukan tuan rumah itu dibarisi Wan Shariman Abd Rashid, Nasaruddin Abd Basir, Mohd Zambre Abidin dan Marsidi Adnan.


Kategori Stableford pula dimenangi Team Bad Girls dari Australia. Pada tahun ini penganjur memperkenalkan kategori senior yang dimenangi Team Happy Days dari Australia yang mengumpul 416 mata manakala Amanda dari Brunei, kedua, 415. Semua pemenang akan bertanding di pusingan akhir di The Mines Resort & Golf Club Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 November. Hadiah disampaikan Pengerusi Tourism Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin. Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tourism Malaysia Saidi Bundan dan Presiden Persatuan Pengurus Kelab Golf Malaysia, Mohd Rom Muslim. Acara empat hari itu berlangsung di Kelab Golf dan Country Sabah serta Kelab Golf dan Country Teluk Dalit yang disertai 27 pasukan dengan 108 pemain. Sebanyak 15 pasukan dari Australia, Hong Kong (5), Singapura (4) dan satu dari New Zealand, Brunei dan Malaysia. Pertandingan kali ini turut disertai 20 pemain wanita.

Pusingan pertama kelayakan WAITGC 2013 berlangsung di Johor bulan lalu. Empat pusingan kelayakan akan berlangsung di lapan padang golf berbeza di Pulau Pinang, Selangor, Langkawi, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Kejohanan anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Pengurus Kelab Golf Malaysia (GCMAM) yang diiktiraf Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu menarik lebih 500 peserta setiap tahun. Acara tahunan ini bukan saja menguji kemahiran bermain golf peserta tetapi juga menggalakkan mereka untuk mengenali budaya dan tradisi di negara ini. Penyertaan media antarabangsa juga meningkatkan kedudukan acara itu dan meletakkan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Zulfahmi harap tuah Litar Mugello

Posted: 30 May 2013 09:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Melabelkan Litar Mugello antara trek kegemarannya, pelumba Moto3 negara Muhammad Zulfahmi Khairuddin mengharapkan penamat terbaik pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix Mugello, Itali hujung minggu ini.

Selepas kecewa gagal meraih mata di Le Mans dua minggu lalu akibat terjatuh kerana cuaca buruk, Zulfahmi menegaskan Mugello tidak pernah mengecewakannya dan atas sebab itu, dia mengharapkan prestasi jentera KTM miliknya mampu mencatat masa terpantas bermula dari sesi latihan bebas hari ini.


"Mugello antara trek yang saya gemari. Ia sama sekali berbeza berbanding Le Mans dengan menawarkan banyak selekoh serta mempunyai jalan lurus yang panjang.

"Tahun lalu kami tidak meraih keputusan hambar. Saya rasa trek ini memang sesuai dengan jentera KTM dan minggu ini saya jangka ia lebih pantas.


"Saya perlu berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik bermula daripada sesi latihan bebas pertama," katanya yang menamatkan perlumbaan tahun lalu di tempat kesembilan.


Le Mans menyaksikan pelumba Red Bull KTM Ajo itu kali pertama gagal meraih mata pada saingan musim ini selepas konsisten memungut mata pada tiga pusingan pertama dan ia menyebabkan dia jatuh ke tangga keenam kedudukan pelumba dengan mengumpul 28 mata.

Zulfahmi berkata, selain menggemari Litar Mugello, dia juga berharap keadaan cuaca baik sepanjang saingan hujung minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

CAS gantung Harun, 6 atlet

Posted: 30 May 2013 09:45 AM PDT

Kuala Lumpur: ENAM atlet olahraga yang melarikan diri daripada menjalani ujian doping serta bekas ketua jurulatih, Harun Rasheed akhirnya menerima hukuman sebenar apabila Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) di Switzerland menggantung mereka daripada terbabit dengan sukan itu.

Penghakiman bertulis setebal 41 muka surat yang CAS dihantar kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), kelmarin, menyatakan hukuman penggantungan dua tahun dikenakan terhadap lima atlet, Siti Zubaidah Adabi, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abd Kadir dan Mohd Imran Ab Hadi.


Seorang lagi atlet, Siti Fatimah Mohamad dijatuhkan hukuman 18 bulan manakala Harun digantung 10 tahun berkuatkuasa 24 Mei 2013.

Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, keputusan itu susulan daripada rayuan Agensi Antidoping Dunia (WADA) yang mengheret KOM ke CAS selepas agensi itu tidak puas hati dengan tindakan badan induk olahraga kebangsaan itu kerana hanya memberi amaran keras terhadap enam atlet terbabit. "WADA memfailkan rayuan itu pada 7 Mei tahun lalu dengan siasatan terperinci sudah dilakukan dan kini, CAS sudah mengeluarkan keputusan dengan segala perbelanjaan ditanggung KOM.


"KOM juga didenda 5,000 Swiss Franc (RM15,799) sebagai bayaran kepada WADA kerana mereka membangkitkan isu itu serta membuat rayuan kepada CAS.


"Biarpun perkara ini sudah selesai dan saya turut berasa sedih kerana kami di KOM pernah membuat rayuan atlet itu tidak dijatuhkan hukuman keras. Mereka sebenarnya mangsa keadaan," katanya.

Hukuman yang dijatuhkan itu bagaimanapun lebih ringan berbanding hukuman sebenar iaitu penggantungan empat tahun manakala Harun, seumur hidup. Justeru, Zainal berharap agar apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada semua atlet supaya tidak memandang remeh setiap perkara terutama ujian doping.


Mengulas hukuman Siti Fatimah yang lebih ringan berbanding lima rakannya, Zainal berkata, ini kerana dia memberi bekerjasama membongkar kes itu dengan memberikan rakaman perbualan telefon kepada CAS. Berikutan hukuman itu semua pertandingan atau pingat dimenangi atlet bermula pada 24 Mei 2011 akan ditarik balik dan ia bermakna Malaysia sekali lagi kehilangan satu pingat gangsa pada temasya Sukan SEA Indonesia apabila Imran menjadi anggota kuartet 4x100m.

"Saya harap perkara ini sudah selesai dan tidak dibangkitkan lagi. Sekarang masa untuk kita pandang ke depan dan tumpukan perhatian kepada pembangunan olahraga."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Beregu 'sakit' mungkin pisah

Posted: 30 May 2013 09:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Beregu 'sakit' Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mungkin pulih jika dipisahkan kerana mereka enggan bergandingan di Sirkit Kebangsaan Terbuka Kedah gara-gara takut dikritik jika mendapat keputusan buruk.

Kien Keat yang bergandingan dengan Vivian Hoo dalam beregu campuran, melakar kejutan ke atas pilihan utama Chan Peng Soon-Lai Pei Jing untuk layak ke separuh akhir sekali gus menunjukkan Kien Keat mampu bermain dengan penuh keyakinan ketika tidak bersama Boon Heong.


Pada perlawanan suku akhir semalam, Kien Keat-Vivian menang 3-21, 21-13, 21-15 dan untuk melakukan rombakan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu berani menghadapi pelbagai kemungkinan.

Di separuh akhir hari ini, Kien Keat-Boon Heong menentang gandingan Tan Chee Tean-Chow Mei Kuan manakala satu lagi perlawanan membabitkan pilihan kedua, Tan Aik Quan-Goh Liu Ying menentang pemain buangan BAM, adik beradik Vountus Indra Mawan-Sannatasah Saniru.


Sementara itu, pasangan juara remaja dunia 2011, Nelson Heg-Teo Ee Yi yang juga pilihan keenam kejohanan mempamer prestasi memalukan apabila tewas kepada gandingan bebas, Mohd Razif Latif-Muhd Hafiz Hashim, 12-21, 10-21.


"Saya tidak sangka kami berjaya mengatasi pasangan tetap beregu, apa lagi pemain BAM," kata Hafiz.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin mengejutkan pemain senior yang juga rakan sepelatih Mohd Arif Latif, 22-20, 21-10 untuk ke separuh akhir sekali gus membuktikan permainannya semakin konsisten.


Hari ini, Iskandar berdepan satu lagi tugas getir, berdepan pilihan kedua, Chong Wei Feng yang mengatasi juara remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli 21-14, 26-24.

Sebelum itu, pilihan utama Liew Daren ke saingan empat terbaik dengan mengalahkan pemain yang baru diserap ke kem kebangsaan Chong Yee Han, 21-13, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan bekas pemain BAM, Tan Chun Seang yang menewaskan Goh Soon Huat, 21-14, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Fatimah terbuka terima hukuman

Posted: 30 May 2013 09:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Atlet pecut negara Siti Fatimah Mohamad yang digantung 18 bulan, menerima hukuman itu dengan hati terbuka dan menganggap semuanya sudah selesai.

Dia yang terbabit dengan kes melarikan diri daripada menjalani ujian doping pada Mei 2011 langsung tidak berasa kecewa kerana memang sudah menduga bakal dikenakan hukuman.


"Saya sudah puas menangis. Kecewa juga sudah habis dan sekarang ini tiada apa-apa perasaan lagi. Memang saya tahu akan dihukum.

"Sudah lama saya tidak berlatih dan dengan kerjaya yang ada, saya berasa lebih tenang," kata atlet berusia 27 tahun dari Johor itu.


Semalam, Siti Fatimah bersama lima lagi rakannya yang melarikan diri daripada ujian doping dijatuhkan hukuman penggantungan dari sebarang jenis sukan dan penyertaan oleh Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) di Switzerland.


Siti Fatimah bagaimanapun dijatuhkan hukuman lebih ringan, 18 bulan berbanding lima rakannya yang dihukum dua tahun kerana bekerjasama dengan CAS membongkar perkara itu.

Ditanya sama ada masih berminat untuk terus bergelar atlet selepas melalui pelbagai ranjau, Siti Fatimah mengaku dia bercadang kembali bergelar atlet olahraga negara selepas tempoh penggantungan tamat kerana minat dan sokongan keluarga. Siti Fatimah sebelum ini mencetuskan fenomena dan mencuri perhatian ramai apabila memilih untuk beralih bidang daripada olahraga ke sukan berbasikal.


Namun semua itu hanya sementara apabila tidak mahu memburukkan nama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berikutan kesnya yang belum selesai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Separuh akhir kedua tukar waktu malam

Posted: 30 May 2013 09:36 AM PDT

Kelana Jaya: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan aksi separuh akhir kedua Piala FA membabitkan Pahang menentang Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok berlangsung di sebelah malam.

Justeru, perlawanan yang pada awalnya diputuskan berlangsung pada jam 4.15 petang kini diadakan pada jam 8.45 malam.


Perkembangan terbabit diumumkan Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud apabila berpuas hati dengan tahap pencahayaan Stadium Nasional yang melebihi 1000 lux selepas membuat pemeriksaan malam tadi.

Ahmad Fuad turut berkata, FAM terpaksa menolak cadangan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) membabitkan perlawanan terbabit berlangsung tanpa penyokong.


Badan induk bolasepak negara itu membuat keputusan meneruskan keputusan dibuat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) supaya perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil namun dilangsungkan pada sebelah malam.


"Saya baru mendapat surat tengah hari tadi (semalam) dan perkara ini sebenarnya sudah diputuskan JKPT semalam (kelmarin). Ia keputusan muktamad kecuali diputuskan berlainan oleh Exco FAM.

"Oleh kerana masa singkat dan Exco tidak mungkin dapat bermesyuarat kerana ada pegawai tertinggi berada di Mauritius bagi mengikuti Kongres FIFA. Saya boleh katakan perlawanan ini akan diadakan dengan kehadiran penonton," kata Ahmad Fuad.


Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin mencadangkan perlawanan terbabit diadakan tanpa penonton bagi mengelakkan insiden kekecohan di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu berulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Hodak seru pemain contohi Nwaneri

Posted: 30 May 2013 09:35 AM PDT

Kota Bharu: Pemain Kelantan diingatkan supaya mencontohi semangat tonggak pertahanan, Obinna Nwaneri yang tidak berputus asa ketika perlawanan timbal balik separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.

Ketua jurulatih Bojan Hodak menyifatkan Nwaneri sebagai penyelamat ketika The Red Warriors hampir tersingkir daripada final selepas pasukan kendalian E Elavarasan berjaya bangkit di laman sendiri.


Jurulatih berusia 42 tahun kelahiran Crotia itu bagaimanapun tetap menyuarakan kekecewaan terhadap tahap persembahan pemain walaupun berjaya mara ke perlawanan akhir dengan agregat 6-5.

"Bagi saya, Nwaneri harus diangkat sebagai wira kerana dia bukan saja menjadi benteng penting Kelantan malah turut membantu jentera serangan. Dia juga menyelamatkan kami daripada tersingkir.


"Ia mungkin kerana mereka terlalu yakin dengan kemenangan 4-1 di Kota Bharu, Sabtu lalu. Apa yang boleh saya katakan, pemain Terengganu bermain lebih baik pada perlawanan itu," katanya.


Jaringan Nwaneri di hujung permainan hingga mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum jaringan penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme memastikan Kelantan layak ke final sekali gus berpeluang mempertahankan kejuaraan.

Bagaimanapun lawan yang akan ditemui di final belum diketahui selepas satu lagi perlawanan separuh akhir antara Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT), malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

'Ini bukan denda, tapi hadiah PBNP'

Posted: 30 May 2013 09:31 AM PDT

Kuala Lumpur: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengadakan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan beberapa keistimewaan diberikan kepada Pahang, dianggap tidak adil dan berat sebelah.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) menerusi kenyataan dikeluarkan semalam berkata, FAM sepatutnya menjadi organisasi pentadbir yang telus dan adil terhadap kedua-dua pasukan yang bersaing untuk merebut tiket ke final itu.


"Harus diingat, Pahang dihukum kerana gagal mengambil langkah keselamatan mencukupi bagi perlawanan yang sepatutnya berlangsung 28 Mei lalu. Tapi mereka kini diberi keistimewaan bertindak selaku tuan rumah di Stadium Nasional yang mampu menampung lebih 80,000 penyokong dengan hasil jualan tiket sudah pasti dikaut Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

"Ini bukan satu denda tapi hadiah buat PBNP. PBNJ sudah memohon supaya perlawanan ini diadakan di stadium tanpa penonton kerana kami mengutamakan keselamatan penyokong lantaran situasi masih lagi tegang selepas insiden Selasa lalu. FAM jelas lebih mengutamakan hasil jualan tiket untuk Pahang berbanding keselamatan penonton," menurut kenyataan itu.


Kenyataan terbabit turut mempersoal agihan tiket yang dianggap tidak seimbang, dengan 60,000 tiket diperuntukkan bagi Pahang dan lebihan 20,000 tiket untuk jualan umum selain tiada dikhususkan untuk penyokong Johor. "Secara realiti, penyokong Johor yang dihukum kerana mereka perlu membayar lebih untuk mendapatkan tiket, belanja tambahan untuk perjalanan serta trauma fizikal dan mental selain kerosakan harta benda selepas insiden Selasa lalu.


"Sekiranya berlaku kejadian tidak diingini di Stadium Bukit Jalil, siapa yang akan bertanggungjawab? PBNP atau FAM? Jika berlaku insiden sama di Stadium Larkin atau di Perak, Selangor atau negeri lain, adakah keistimewaan menggunakan Stadium Bukit Jalil akan diberikan kepada mereka dan hasil jualan tiket pula disalurkan kepada persatuan bolasepak berkenaan? "FAM sepatutnya menjadi pentadbir adil dan telus tapi nampaknya keputusan mereka seperti menyebelahi Pahang. Adakah terdapat konflik kepentingan antara FAM dan PBNP? FAM menunjukkan mereka sudah berat sebelah membabitkan agihan tiket, di manakah penghujungnya? "Tidak mustahil pengadil perlawanan nanti boleh berat sebelah kerana mereka juga berada di bawah bidang kuasa FAM? Demi integriti dan cinta terhadap bolasepak, rakyat Malaysia berhak mengetahui jawapan bagi segala persoalan itu. "Kenyataan ini bukannya serangan peribadi terhadap sesiapa tapi PBNJ berasa keputusan FAM mengenai perkara ini berat sebelah dan tidak adil."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

No comments:

Post a Comment