Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rantai Ronaldo!

Posted:

Madrid: Penyerang Manchester United Wayne Rooney menganggap Cristiano Ronaldo adalah pemain yang mampu memberi ancaman besar kepada pasukannya pada perlawanan kedua pusingan kedua menentang Real Madrid namun dia tetap yakin Red Devils mampu mengatasi rakan sepasukannya itu untuk mara.

Ronaldo akan berdepan United di Old Trafford awal pagi esok buat kali pertama sejak dia membuat kejutan dengan rekod perpindahan pemain termahal di dunia AS$120 juta (RM372 juta) ke Bernabeu lebih tiga tahun lalu.


"Saya fikir kami mendapat keputusan baik apabila seri 1-1 pada perlawanan pertama kerana gol di tempat lawan akan memberikan kelebihan kepada kami apabila beraksi di laman sendiri," kata Rooney yang turut memberikan amaran kepada United supaya merantai pergerakan Ronaldo jika mereka mahu layak ke suku akhir.

"Pastinya Ronaldo," kata Rooney ketika ditanya mengenai siapakah pemain yang akan memberikan ancaman.


"Dia pemain yang hebat. Saya pernah bermain dengannya dan saya tahu betapa bagusnya dia.


"Dia pemain yang saya kagumi dalam pasukannya sebagai pemain bola sepak dan individu." Pemain tengah Real Kaka pula percaya peluang mereka belum berkubur meskipun gagal mendapat keputusan baik pada pertembungan pertama.

Foto

Wayne Rooney

Foto

RONALDO

"Kami berasakan kami sepatutnya menang pada perlawanan pertama tapi sebaliknya terjadi. Sekarang kami perlu pergi ke Old Trafford dengan penuh keyakinan untuk menang," katanya yang melabel Rooney dan Robin Van Persie adalah pemain yang bahaya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Kami punyai kelebihan berbanding United

Posted:

MADRID: Pemain tengah Real Madrid Mesut Ozil percaya pasukannya mempunyai kemampuan untuk menewaskan Manchester United pada pertembungan awal pagi esok selepas merekod dua kemenangan ke atas Barcelona minggu lalu.

Ozil tidak beraksi ketika Madrid mengalahkan Catalans 2-1 pada perlawanan liga Sabtu lalu namun dia memainkan peranan besar ketika menang 3-1 di Camp Nou dalam aksi Piala Raja Sepanyol Selasa lalu.


Ozil yakin mereka mampu mencipta satu lagi kemenangan penting di gelanggang lawan selepas aksi pertama berkesudahan seri 1-1 di Santiago Bernabeu.

Ia akan menjadi perlawanan cukup sukar menentang pasukan yang bagus namun kami sudah menunjukkan kemampuan kami pada perlawanan pertama," katanya.


"Berdasarkan aksi pada babak pertama, kami adalah pasukan yang lebih baik dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol.


"Kami sangat menghormati Manchester United namun objektif utama kami adalah untuk bermain dengan kemampuan sebenar dan dengan cara itu, kami boleh menewaskan mana-mana pasukan. Pasukan yang boleh menang di Barcelona boleh menang di Manchester." Pemain antarabangsa Jerman itu pantas menafikan spekulasi media bahawa prestasi tidak menentu Madrid dalam liga musim ini adalah disebabkan hubungan tegang antara pemain utama dan pengurus Jose Mourinho.

"Saya dalam prestasi terbaik dan saya gembira dapat bermain setiap minggu. Ini kerana jurulatih percaya dengan kemampuan saya dan saya berterima kasih kepadanya.


"Media banyak menulis mengenai suasana dalam bilik persalinan tapi saya hanya boleh katakan, hubungan saya dengan Mourinho sangat baik. Beliau menyokong saya dan bagi saya beliau adalah salah seorang jurulatih terbaik di dunia.

"Kami bermain dalam satu pasukan dan jika kami tidak bersatu kami tidak boleh menang di Barcelona. Kami saling menghormati dan kami seperti dalam keluarga kecil." Madrid akan bertandang ke Manchester tanpa beberapa pemain akibat masalah kecederaan pemain selepas pertembungan Clasico Sabtu lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Menang penalti!

Posted:

Kuantan: Penentuan melalui sepakan penalti menjadi kelebihan kepada pasukan Temerloh untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Futsal Sukan Remaja Pahang 2013 di Dewan Sukpa, Kuantan, kelmarin.

Dalam saingan akhir skuad kendalian Mohd Fazran Mohamad Arif itu menewaskan Lipis 3-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.


Kejohanan kali pertama itu dianjurkan Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan kerjasama Persatuan Bola Negeri Pahang (PBNP) disertai 13 pasukan daerah seluruh negeri.

Ia bertujuan untuk memilih 15 pemain yang akan membawa cabaran Tok Gajah pada mini Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 di Kuala Lumpur, Jun depan.


Majlis penyampaian hadiah dilakukan Pengarah MSP, Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi. Turut hadir Setiausaha PBNP, Fuzzeimi Ibrahim. Mohd Fazran berkata, pengalaman luas pemain yang menyertai pelbagai pertandingan peringkat daerah menjadi kelebihan kepada mereka untuk beraksi cemerlang dalam kejohanan kali ini. Menurutnya, bagaimanapun kali pertama bermain di atas padang tiruan bertaraf antarabangsa sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan hingga hampir menemui kegagalan.


"Kejayaan muncul juara pada kejohanan sulung ini diharap menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk terus melakar kecemerlangan pada saingan akan datang.

"Dan lebih penting adalah barisan pemain Temerloh terpilih mewakili Pahang pada mini SUKMA 2013 Kuala Lumpur yang dianggap kemuncak kepada kejayaan bagi pemain," katanya.


Kejayaan Temerloh melayakkan mereka merangkul hadiah wang tunai RM500, piala pusingan, medal dan sijil penyertaan, sementara Lipis menerima RM300, piala, medal dan sijil penyertaan. Tempat ketiga berpihak kepada Kuantan B yang menerima medal dan sijil penyertaan.

Dalam kategori wanita, Kuantan A muncul juara, diikuti Maran dan ketiga, Kuantan B. Sementara itu, Nik Nasarudin berkata, selepas mengadakan pertandingan ragbi dan futsal di Kuantan, acara bola jaring, hoki, bola tampar dan sepak takraw akan diadakan di daerah terpilih. "Melalui program Sukan Remaja Pahang yang kali pertama diadakan ini, kita berharap lebih ramai pemain terbaik dan berkualiti dapat dicungkil untuk mewakili Tok Gajah ke mini SUKMA 2013 Kuala Lumpur.


"Selepas mengenal pasti pemain, latihan pusat akan diadakan lebih awal dalam usaha membentuk pasukan mantap seterusnya berupaya membawa pulang pingat emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

DBKL anjur futsal media

Posted:

Kuala Lumpur: Hadiah keseluruhan bernilai lebih RM8,000 bakal menjadi rebutan pada Kejohanan Futsal Media Kuala Lumpur 2013 pada 9 dan 10 Mac ini di Gelanggang Futsal Pusat Komersial Sentul.

Kejohanan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disokong oleh 100Plus itu menyaksikan dua kategori dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita dan media.


Juara kategori lelaki bakal membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan medal manakala naib juara RM600. Tempat ketiga RM300, keempat (RM200) dan kelima hingga kelapan (RM100). Kategori wanita pula juara (RM700), naib juara (RM400), ketiga (RM200), keempat (RM100) dan ke-5 hingga ke-8 (RM50). Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan DBKL, Tuan Idzawi Raja Ismail berkata, kejohanan itu bakal berlangsung penuh semangat kesukanan.

"Kami turut menyediakan Kemeja T untuk 20 pasukan lelaki dan lapan pasukan wanita.


"Matlamat kami adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara DBKL dengan orang ramai, warga media serta agensi lain dengan dengan aktiviti bersukan seperti futsal," katanya.


Pasukan berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi pihak penganjur di talian 013-3052811/012-2846811/ 019-6140275.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Cari bakat wakil daerah Jempol

Posted:

Jempol: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELDA Lui Barat, Bandar Seri Jempol muncul juara bawah 18 tahun kejohanan Bola jaring Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Jempol, baru-baru ini.

SMK FELDA Lui Barat mengalahkan tuan rumah SMK Bandar Baru Serting 10–9 pada perlawanan akhir di padang sekolah berkenaan.


Pengelola kejohanan, Norhayati Mat Nor berkata, seramai 408 pelajar mengambil bahagian dalam kejohanan selama dua hari bermula 27 Februari itu yang turut membabitkan 16 pengadil, 16 pegawai dan 30 bahagian teknikal.

"Selain penyertaan pelajar bawah 18 tahun daripada 17 buah sekolah termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kejohanan kali ini turut membabitkan pelajar bawah 15 tahun daripada semua sekolah berkenaan.


"Harapan kita untuk menggilap bakat dan potensi pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik malah sukan.


"Selain itu kita juga memilih pemain untuk mewakili daerah Jempol dalam kejohanan peringkat negeri yang akan diadakan nanti," katanya yang juga Pengetua SMK Bandar Baru Serting.

Tempat ketiga bawah 18 tahun menjadi milik SMK FELDA Palong 11 dan SMK Batu Kikir (model khas).


Bagi bawah 15 tahun, juara menjadi milik Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol (SBPI), Batu Kikir selepas mengalahkan SMK Serting Hilir Kompleks (8-5) dan tempat ketiga dimenangi SMK Datuk Mansor, Bahau.

Sementara itu lima pelajar SMK Datuk Mansor, empat pelajar SBPI Jempol dan tiga pelajar SMK Serting Hilir Kompleks akan mewakili daerah Jempol bagi kategori bawah 15 tahun, manakala lima pelajar masing-masing dari SMK Bandar Baru Serting dan SMK FELDA Lui Barat serta dua dari SMK Batu Kikir untuk bawah 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Storm kekal juara

Posted:

Kuala Lumpur: Juara bertahan Storm Taekwondo Club mengekalkan gelaran juara keseluruhan untuk tahun ketiga berturut di Kejohanan Taekwondo Remaja Koko Krunch Nestle ke-8 (wilayah utara) di Dewan Institut Latihan Industri di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin.

Kelab yang berpangkalan di Sungai Petani itu memenangi empat pingat emas, lapan perak dan empat gangsa untuk mengungguli carta pungutan pingat dan mengekalkan trofi juara keseluruhan. Mereka juga merangkul trofi juara pasukan wanita.


Martial Arts Taekwondo Club pula menduduki tempat kedua dengan pungutan pingat 2-2-3 manakala SPT Taekwondo Club berada di tempat ketiga (2-2-0).

Fardize Abdullah dari Aelma Taekwondo Club dan Norumar Mohd Firdaus wakil Martial Arts Taekwondo Club dipilih sebagai atlet lelaki dan wanita terbaik. Kedua-dua mereka beraksi dalam kategori bantamweight.


Norumar, pelajar berusia 10 tahun dari SK Sungai Wangi mengekalkan tradisi keluarganya dengan memenangi gelaran atlet wanita terbaik bagi meneruskan kecemerlangan abangnya Muhd Omar Mohd Firdaus yang memenangi gelaran atlet lelaki terbaik tahun lalu.


Ketua jurulatih Storm Taekwondo Club Mohd Syafik Jamel berkata staf kejurulatihan dan jawatankuasa pengurusan amat berbangga dengan gelaran juara keseluruhan untuk kali ketiga berturut-turut.

"Kemenangan ini adalah kerjasama semua tiga pihak - kelab, jabatan pendidikan negeri menerusi sekolah dan ibu bapa.


"Untuk meraih kejayaan, kerjasama ibu bapa sangat penting dan kami sangat bangga kerana mendapat kerjasama dengan ibu bapa atlet ini," katanya.

Kelab ini akan mempunyai misi baru di kemuncak final di Kuala Lumpur pada Jun depan.


Seramai 395 atlet dari 19 kelab bertanding di pusingan di Utara dengan Batu Pahat bakal menjadi lokasi kejohanan untuk wilayah Selatan pada 7 April.


Singapura pula untuk kali pertama akan menganjurkan pusingan pertama pada 28 April manakala Kota Bharu akan menganjurkan kejohanan bagi wilayah Pantai Timur pada 4 Mei.


Pemenang pingat emas akan berentap pada grand final 23 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Petratos, Nwakaeme jadi taruhan

Posted:

Kota Bharu: Penyerang import Kelantan, Keita Mandjou tidak dapat beraksi menentang Maziya Sports & Recreation (Maziya S R) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Menurut sumber, kokosongan posisi Mandjou memberi ruang bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos dan penyerang Nigeria, Dickson Nwakaeme untuk menerajui jentera serangan The Red Warriors.


Selain dua penggempur, Kelantan juga memperkukuhkan pertahanan dengan menggunakan khidmat pemain dari Croatia, Lek Kchira yang bakal bergandingan bersama Obinna Nwaneri.

"Mandjou mungkin tidak beraksi malam esok kerana empat lagi pemain import bakal mendapat tempat dan langkah ini untuk memperkuatkan pasukan.


"Dengan barisan pemain ini diharap pasukan dapat pergi ke peringkat lebih jauh berbanding musim lepas," katanya ketika ditemui di Kota Bharu, semalam.


Sementara itu, pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin berkata, Kelantan bertekad sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir musim ini selepas terkandas di suku akhir tahun lalu.

"Kita mahu kejayaan lebih besar berbanding musim lalu namun ini bukan tugas mudah malah memerlukan semangat yang tinggi.


"Jika dulu kita beraksi untuk menimba pengalaman tetapi kali ini kita sudah matang dan cukup bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Keupayaan Karim cukup terhad

Posted:

Ipoh: Perak mula menerima hakikat bahawa kemampuan awang import, Karim Rouani cukup terhad.

Justeru jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah tidak mahu mengulas panjang mengenai persembahan pemain itu yang masih mengalami kemarau jaringan selepas tiga perlawanan termasuk dengan Kelantan, baru-baru ini.


"Setakat itu sahajalah kemampuannya biarpun nampak kesungguhan dan ketekunannya dalam setiap perlawanan. Namun kesungguhan sahaja tidak cukup kerana yang penting ialah dia memberi sumbangan berkesan dan bermakna kepada pasukan.

"Selaku pemain import dan penyerang, Karim diharapkan menjaringkan gol. Jadi apa ertinya jika dia terus-terusan mengalami kebuntuan.


"Justeru Perak perlu cari penyelesaian dan perlu mengambil peluang apabila tingkap perpindahan di buka April ini untuk mencari pemain berwibawa,"katanya.


Azraai bagaimanapun berkata buat sementara Perak akan terus memberi kepercayaan kepada pemain kelahiran Bordeaux, Perancis itu untuk menggepalai jentera serangan pasukan Kejor Yob Kejor apabila mereka melayani kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium TLDM, Lumut, Jumaat ini.

"Kami akan terus menggunakannya sehingga dapat mencari pengganti sesuai April nanti. Ketika ini 'tiada rotan akarpun berguna', kata jurulatih itu.


Berikutan itu Azraai berkata, Perak tidak perlu terlalu bergantung kepada Karim sebaliknya pemain tempatan terutama Abdul Hadi Yahya, S Chanturu, Rafiuddin Roddin dan Mohd Failee Ghazali boleh mengambil alih tugas selaku peledak pasukan.

Mengenai pertemuan dengan ATM, Azraai berharap anak buahnya mampu mengulangi persembahan bertenaga seperti ketika seri 1-1 dengan Kelantan di Kota Bahru, Jumaat lalu.


"ATM bukan calang-calang pasukan. Saya berharap pemain Perak tidak bersikap sambil lewa dan memandang mudah pertemuan ini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Hoben Jang Hoben tak akan putus asa

Posted:

Seremban: Negeri Sembilan tidak akan berputus asa dalam misi mencipta kemenangan pertama Liga Super musim ini selepas usaha mereka hampir membuahkan hasil ketika tewas tipis 1-2 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Johor Bahru, Sabtu lalu.

Kapten pasukan Norhafiz Zamani Misbah berkata, dia akan bersama rakan lain meneruskan perjuangan bagi mengembalikan semu la maruah pasukan yang kini tercalar apabila gagal meraih kemenangan selepas sembilan perlawanan.


Tonggak berpengalaman berusia 31 tahun itu berkata, peluang masih ada bagi Negeri Sembilan kembali bangkit tetapi semua pemain perlu bekerja lebih keras untuk mencipta melakar kemenangan pertama.

"Memang semua pemain berasa tertekan apabila setakat ini keputusan perlawanan masih belum memihak kepada Negeri Sembilan, walaupun kami sudah diambang kemenangan ketika bertemu Johor DT Sabtu lalu, tetapi kepahitan terpaksa dirasai selepas pasukan lawan berjaya melenyapkan impian kami itu dengan dua gol pada lewat permainan.


"Apa pun kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk mempertahankan reputasi dan saya yakin semangat rakan-rakan masih belum pudar untuk membawa pasukan mencapai kemenangan," katanya semalam.


Menurut Norhafiz Zamani, dia menyedari kekuatan pasukan sedikit terjejas apabila beberapa pemain utama cedera antaranya Ahmad Shakir Md Ali, Idris Karim dan Mohd Firdaus Azizul, menyebabkan jurulatih Divaldo Alves tidak banyak pilihan dalam mengatur strategi terbaik berdepan pasukan lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Kim Swee resah

Posted:

Kuala Lumpur: Tindakan segelintir pihak yang cuba memancing pemain Harimau Muda A mencetuskan rasa kurang senang buat jurulatih Ong Kim Swee yang melihat senario itu boleh menjejaskan persiapan mereka dalam misi mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.

Pengendali negara itu mendedahkan ada beberapa pasukan tempatan cuba mendapatkan khidmat pemainnya untuk didaftarkan pada tempoh perpindahan pemain kedua awal April depan dan ia dibuat tanpa pengetahuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Justeru Kim Swee menegaskan supaya semua pihak menghormati kontrak pemain Harimau Muda A dan tidak mengganggu mereka terutama selepas musim Liga Malaysia (Liga-M) berakhir sebelum Sukan SEA bermula.

"Memang ada pasukan yang cuba menawarkan kontrak kepada pemain saya dan mereka melakukannya tanpa pengetahuan FAM. Mereka boleh mengadakan perbincangan enam bulan sebelum kontrak pemain berakhir tapi FAM mestilah dimaklumkan terlebih dulu.


"Saya harap semua pihak menghormati kontrak pemain dan juga meletakkan keutamaan pasukan Harimau Muda A ini adalah tonggak kepada skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang akan beraksi di Myanmar nanti.


"Saya paling bimbang apabila selepas Liga M berakhir Oktober ini, semua pasukan sibuk mencari pemain dan menjadikan pemain Harimau Muda A sebagai buruan mereka. Saya tidak mahu tumpuan pemain terjejas ketika kita dalam tempoh kritikal sebelum Sukan SEA bermula," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Yangon semalam.

Kim Swee yang enggan mendedahkan pasukan yang sudah mula menghimpit tonggak utamanya itu berkata, beliau bersedia melepaskan pemain berhijrah ke pasukan luar namun biarlah selepas misi mereka di Myanmar selesai.


"Sampai masa pemain akan dilepaskan juga kerana pasukan ini adalah untuk pemain berusia bawah 23 tahun tapi biarlah mereka menghabiskan kontrak dengan Harimau Muda dulu. Dalam kontrak kita ada klausa untuk membenarkan pemain Harimau Muda boleh didaftarkan bermain dengan pasukan lain pada bila-bila masa tapi biarlah mereka memberi tumpuan kepada misi di Sukan SEA," katanya yang membimbing skuad B-23 memenangi pingat emas di Jakarta dua tahun lalu.

Melihat kepada prestasi semasa antara pemain yang mula mencuri perhatian pasukan negeri dan kelab tempatan adalah pertahanan Mohd Fadhli Shas, pemain tengah Irfan Fazail dan Gary Steven Robbart serta pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Noor.


Ketika ini skuad B-23 berada di Phnom Penh bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad senior Kemboja esok di Stadium Olimpik Nasional selepas seri 0-0 dengan Myanmar dan 3-3 menentang Laos minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

No comments:

Post a Comment