Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tembak di stesen minyak

Posted:

Kuala Lumpur: "Jangan ambil gambar...nanti semua orang mati," kata seorang lelaki memarahi petugas media yang merakam gambar seorang ahli perniagaan yang mati ditembak ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Jalan Sentul, Sentul, di sini, semalam.

Lelaki terbabit dipercayai anggota keluarga mangsa gagal mengawal emosinya sebelum dia menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat bagi menghalang gambar mayat mangsa dikenali sebagai Sivaraja, 34, dirakam jurugambar.


Selain lelaki itu, 50 anggota keluarga dan rakan mangsa memenuhi tempat kejadian, sekali gus menghalang petugas media membuat liputan. Malah, kawasan sekitar stesen minyak berkenaan juga dikerumuni orang ramai untuk melihat mayat mangsa dengan lebih dekat.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria bersama seorang rakannya yang juga lelaki warga asing berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi minyak dalam kejadian jam 8 malam.


"Ketika kejadian, mangsa menunggu dalam kereta manakala rakannya itu masuk dalam kaunter premis untuk membayar minyak.


"Mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar berpenutup penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan tujuh das tembakan ke cermin depan," katanya yang melawat tempat kejadian.

Foto

ANGGOTA Unit Forensik polis memeriksa kereta mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang tidak sempat menyelamatkan diri maut di tempat kejadian selepas terkena tembakan.


"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan sudah dirancang rapi oleh suspek terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Padah samun penarik kereta

Posted:

Georgetown: Cubaan dua sahabat menyamun seorang penarik kereta membawa padah apabila seorang daripadanya parah dibelasah orang ramai sehingga hampir putus tangan dan cedera di belakang badan dalam satu kejadian di Taman Lip Sin, Sungai Nibong, di sini awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi apabila polis menerima panggilan telefon daripada orang ramai memaklumkan berlaku satu kejadian pergaduhan berdekatan sebuah pasar raya dan dua lelaki dilaporkan mengalami kecederaan teruk.


Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan Ismail Idris berkata, mangsa berusia 29 tahun bekerja sebagai penarik kereta sebelum itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang membawa senjata tajam cuba menarik beg sandang mangsa sebelum salah seorang suspek mengeluarkan pedang samurai.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Kereta baru beli 8 bulan ranap

Posted:

Kuala Lumpur: "Saya berasa tidak sedap hati sebaik melihat pokok tumbang di kawasan parkir berhampiran flat kerana meletakkan kereta Perodua Viva di situ dan saya terkejut apabila mendapati kenderaan yang baru lapan bulan dibeli ranap dihempap pokok," kata mekanik Wan Fadzil Roslan, 27, mangsa ribut di Flat Loke Yew, Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Difahamkan, empat kenderaan termasuk milik Wan Fadzil ranap dihempap pokok tumbang di flat berkenaan ketika hujan lebat dan angin kencang yang melanda ibu negara hampir sejam mulai jam 5.30 petang.


Menurut Wan Fadzil, dia baru sampai ke flat berkenaan jam 8 malam untuk pulang ke rumah dari tempat kerja di Kampung Pandan menaiki motosikal apabila mendapati ada pokok tumbang akibat ribut di kawasan parkir.

"Mulanya saya tidak mengesyaki kereta saya terbabit kejadian itu, tetapi segera membuat pemeriksaan di kawasan parkir kerana tidak sedap hati.


"Saya terkejut apabila mendapati kereta saya antara yang ranap," katanya ketika ditemui.


Sementara itu, pasukan kecemasan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi mengambil masa lebih sejam untuk melakukan kerja pemotongan pokok dan pembersihan jalan.

Manakala, Skuad Penyelamat DBKL memaklumkan sehingga jam 8 malam tadi pihaknya menerima lebih daripada 10 laporan kejadian pokok tumbang termasuk empat kenderaan yang dihempap pokok di Flat Loke Yew.


"Pokok berkenaan tumbang selepas hujan lebat yang disusuli angin kencang selama hampir sejam," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Tergamak tinggal anak di restoran

Posted:

Kuching: Malang bagi seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun apabila ditinggalkan ibunya di sebuah restoran di Jalan Gita di sini, semalam.

Kanak-kanak dikenali sebagai Tini Rashid ditinggalkan kepada seorang pekerja di restoran berkenaan pada jam 11 pagi dan ibunya berjanji datang mengambilnya sebaik urusan selesai.


Namun, selepas lebih 24 jam, ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Siti Aishah Abdullah, 32, tidak muncul.

Menurut pekerja restoran dikenali sebagai Milawati, 38, ibu kanak-kanak malang itu berpesan kepada seorang tukang masak restoran supaya menjaga anaknya sementara dia menghadiri kenduri kahwin di rumah saudara.


Katanya, tanpa curiga pekerja berkenaan mengambil tanggungjawab itu kerana menyangkakan ibu kanak-kanak berkenaan akan pulang dalam tempoh terdekat.


"Sehingga jam 6 petang, wanita itu tidak muncul dan saya membuat keputusan membawa dia pulang ke rumah sementara menunggu ibunya datang menjemput.

"Saya mengenali wanita itu dan dia tahu di mana rumah saya. Kanak-kanak ini ditinggalkan sehelai sepinggang dan saya memberikan baju kepadanya untuk lebih selesa," katanya.


Milawati berkata, dia mengenali ibu bapa kanak-kanak itu kerana mereka mengutip barang kitar semula di sekitar kawasan restoran sebelum menjualnya.

Katanya, keluarga pasangan itu daif apabila menetap di rumah terbiar.


"Lebih 24 jam menunggu dan pasangan berkenaan tidak menuntut anak mereka, saya membuat keputusan melaporkan kepada polis," katanya.


Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan kanak-kanak berkenaan diserahkan ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).


Katanya, kanak-kanak itu di bawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Jengkaut elak nahas terbalik

Posted:

Melaka: Seorang pemandu jengkaut nyaris maut apabila jentera berat dipandunya terhumban ke dalam parit ketika cuba mengelak penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan akibat kemalangan di Jalan Kandang, Kandang, dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.20 pagi menyebabkan jengkaut berkenaan terbalik, namun pemandunya terselamat.


Menurut pemandu jengkaut terbabit, Mohd Rafi Jalil Teng, 27, dia dalam dalam perjalanan ke pusat bandar selepas melakukan kerja di sekitar Telok Mas.

Katanya, sebaik sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal memotong jentera dipandunya sebelum bertembung sebuah lagi motosikal dari arah bertentangan.


"Pertembungan itu menyebabkan seorang daripada mereka terbaring di tengah jalan di laluan saya, manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki warga emas jatuh ke laluan bertentangan.


"Saya yang terkejut terus menekan brek sambil memaut stereng ke kiri mengakibatkan jentera dipandu terbalik dan terperosok ke dalam longkang," katanya.

Katanya, ketika jentera hampir terbalik, dia sempat berpaut pada tempat duduk dan stereng bagi mengelakkan diri cedera. Menurutnya, dia tidak terjun menyelamatkan diri ketika jentera berkenaan terbalik kerana bimbang dihempap.


"Saya bersyukur kerana tidak cedera dan dapat mengelak daripada merempuh penunggang motosikal berkenaan. Kedua-dua penunggang motosikal cedera dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

No comments:

Post a Comment