Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Dilahir tanpa tulang kering

Posted:

Melbourne: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilahirkan tanpa tulang kering, lutut atau buku lali akhirnya mampu memiliki sepasang kasut selepas dipasangkan kaki palsu.

Kaki baru Ted Johnson, 3, mempunyai jari tidak seperti beberapa kaki palsunya yang lain. Minggu ini, dia cuba memakai kaki palsu kaca gentian baru berwarna biru buat kali pertama di gelanggang bola keranjang di Hospital Kanak-Kanak Diraja di Melbourne.


Mesin pengimbas gagal mendedahkan Ted mengalami keadaan yang jarang berlaku tibial hemimelia ketika dalam kandungan ibunya, Abbie.

Di sinilah tibia tulang kering sama ada hilang sebahagian atau sepenuhnya ketika dilahirkan. Kakinya mungkin cacat atau mempunyai jari berlebihan. Keadaan Ted itu bermakna ibu bapanya, Abbie dan Peter terpaksa mengambil keputusan genting agar kakinya dipotong ketika dia berusia setahun.


Kanak-kanak itu sebelum ini dilengkapi dengan dua lagi jenis kaki palsu tetapi ini adalah set kaki palsu pertama lengkap dengan jari kaki.


Dan sebaik saja kaki kaca gentian baru berwarna biru itu dipasang pada Velkro, Ted sudah boleh bergerak. Ibunya berkata: "Dia sangat hebat - tiada apa yang boleh menghalangnya.

Foto

JOHNSON tanpa kaki palsu.

Foto

JOHNSON belajar berjalan sebaik dipakaikan kaki palsu terbaru.

"Kami menyangka dia mungkin tidak memerlukannya untuk bergerak, jadi saya tidak percaya betapa hebatnya dia. Buat pertama kali kami akan membeli kasut untuknya esok." Pakar protestik, Jim Lavranos yang membuat dan memperbaiki tiga pasang kaki palsu Ted berkata, biasanya kanak-kanak mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk bergerak seiring dengan perkembangan pemanjangan kaki. "Ted mendapatnya lebih awal daripada yang biasa kami alami kerana dia sangat yakin dan cepat. Dia akan terbang dengan kaki palsu ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Polis kecewa mangsa kemalangan tak mati

Posted:

London: Seorang bapa begitu berang selepas mengetahui seorang anggota polis kecewa kerana anaknya tidak mati dalam satu kemalangan jalan raya.

Laura Thomas mengalami retak di kepala, patah tiga tulang di tengkuk dan belakang badan serta tiga pendarahan otak akibat kemalangan itu.


Ketika dia koma, seorang anggota polis yang menyiasat kejadian itu menghantar e-mel dalaman kepada seorang anggota lain dari cawangan siasatan kenderan.

Dia menulis: "Kelihatan pemandu itu akan selamat. Tidak ada kes kematian bagi saya." Pegawai itu mengakhiri e-mel itu dengan isyarat 'muka sedih' :(.


Bapa Laura, Darren Thomas hanya mengetahu mengenai e-mel itu selepas mengemukakan permohonan Kebebasan Maklumat untuk melihat semua dokumen berkait dengan kemalangan itu.


Thomas dari Bilton berkata: "Saya terkejut melihat e-mel itu. Saya begitu tertekan dan marah. "Anggota polis itu seolah-olah kecewa anak saya tidak mati." Laura, kini 22, cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Yorkshire itu empat tahun lalu.

"Saya dan keluarga berdepan dengan masalah besar sejak kemalangan itu. Kami bertambah tertekan apabila mengetahui mengenai e-mel berkenaan," kata Laura.-DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Penggal adik kerana insurans

Posted:

Taipei: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki membunuh adik perempuannya dan kemudian meletakkan kepala mangsa yang telah 'dijeruk' di sebuah tandas awam.

Chen Chia-fu, 37, dipercayai membunuh adiknya itu kerana mahu menuntut bayaran insurans.


Laporan media tempatan merujuk kejadian itu sebagai 'kes kepala jeruk' kerana kepala mangsa ditemui dalam bungkusan plastik dengan disapu beberapa lapisan garam. Setakat ini, hanya kepala mangsa saja ditemui.

Wanita berusia 36 tahun itu dilapor hilang sejak Disember lalu. Polis berjaya membongkar kes berkenaan selepas menerima nota mengenai lokasi mayat mangsa. Nota itu yang didakwa mirip gaya tulisan Chen juga meminta polis mengebumikan mangsa secara sempurna.


Rakaman kamera pengawasan menunjukkan Chen membawa beberapa beg mengandungi objek yang tidak dapat dikenal pasti. Dia juga membeli sekurang-kurangnya empat polisi insurans untuk adiknya yang akan membolehkan dia memperoleh sejumlah besar wang jika wanita itu mati. Chen yang ditangkap semalam menafikan tuduhan membunuh. Bahagian lain mayat mangsa dan senjata yang digunakan untuk membunuh masih belum ditemui. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Eksport senjata Singapura meningkat

Posted:

Singapura: Republik ini kini menduduki tangga ke-20 senarai pengeksport terbesar senjata dunia, melonjak sebanyak 11 anak tangga dalam setahun, menurut data yang dikeluarkan Institut Kajian Keamanan Antarabangsa Stockholm (Sipri).

Menurut pakar pertahanan, lonjakan itu menggambarkan keupayaan pertumbuhan industri berkenaan di republik berkenaan.


"Lebih banyak negara kini mengakui Singapura semakin meningkat dalam persaingan global berkait dengan pasaran pertahanan," kata Dr Michael Raska, felo penyelidik di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam.

Data Sipri menunjukkan eksport terbaru senjata Singapura termasuk 115 kereta perisai anggota (APC) kepada Britain bernilai RM681 juta, 10 kenderaan sama kepada Thailand. Sebuah kapal penyerang amfibia tahan lasak juga dijual kepada Thailand dengan harga RM660 juta dan diserahkan tahun lalu. Singapura membekalkan kelengkapan pertahanan kepada negara Afrika, termasuk enam helikopter ringan kepada Chad dan dua bot peronda kepada Nigeria. - ST

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Polis Thai siasat program debat peranan monarki

Posted:

Bangkok: Polis semalam berkata, mereka sedang menyiasat untuk memastikan sama ada program debat mengenai peranan monarki yang disiarkan sebuah stesen televisyen menyalahi undang-undang negara itu.

Jurucakap polis Thailand, Piya Uthayo berkata, program disiarkan itu mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat.


"Siasatan awal mendapati, ada beberapa hujah dikemukakan dua tetamu rancangan itu mungkin menyalahi undang-undang," katanya.

Minggu lalu, stesen televisyen ThaiPBS menyiarkan debat membabitkan dua tokoh dan mereka membincangkan peranan monarki dalam pembangunan negara. Mereka juga berdebat mengenai undang-undang yang menghalang golongan monarki daripada dikritik. Undang-undang ketat Thailand menetapkan, seseorang yang menghina monarki boleh dipenjara sehingga 15 tahun. Piya berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.


"Pada masa sama, orang ramai dinasihat tidak menyebarkan kandungan program itu di Internet," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Jeneral sangkal ada rancangan untuk guling Susilo

Posted:

Jakarta: Ketua tentera darat Indonesia, Jeneral Pramono Edhie Wibowo menyangkal laporan mengenai rancangan menggulingkan kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

"Saya jamin tidak akan berlaku penggulingan. Memang benar rampasan kuasa selalunya dilakukan tentera. Tetapi tentera darat Indonesia tidak akan melakukannya," kata Pramono di Markas Besar pasukan itu di Jakarta, semalam.


Beliau baru-baru ini memaklumkan kepada pegawai bawahannya bahawa penggulingan kerajaan bukan jalan yang sesuai sebaliknya penggantian kerajaan mesti dilakukan melalui demokrasi.

"Saya meminta pegawai bawahan saya supaya menjauhkan diri daripada hal seperti itu, jangan terbabit dalam penggulingan kerajaan. "Jika hendak tukar kerajaan sekalipun, lakukan dengan cara teratur. "Saya juga meminta mereka yang diluar dari pasukan bersenjata supaya tidak menyebarkan lagi isu penggulingan. "Jangan sebarkan berita yang bukan-bukan," katanya. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Bom motor bunuh budak

Posted:

Pattani: Sebuah bom motosikal meletup semalam, membunuh seorang budak dan mencederakan 12 yang lain.

Kejadian itu berlaku hanya tiga hari menjelang pusingan pertama rundingan damai rasmi di antara Majlis Keselamatan Kebangsaan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN).


Polis percaya, letupan di tengah bandar Pattani semalam sengaja dirancang untuk mencetuskan kekacauan di selatan Thailand. Jurucakap polis berkata, Nisoplian Nisani, 9, terbunuh di tempat kejadian, manakala ibunya, Waeleemag Jehloh, cedera bersama 11 yang lain.

Kebanyakan mangsa masih dirawat di Hospital Pattani.


Sementara itu, Gabenor Pattani, Pramuk Lamun berkata, mesyuarat tergempar dengan pasukan keselamatan akan diadakan segera.


"Kami akan menilai rakaman kamera keselamatan untuk mengesan dalang serangan ini," katanya. Kira-kira lima kilogram bahan letupan disumbat dalam sebuah motosikal dan ditinggalkan di depan sebuah kedai roti di pasar lambak.

Bom itu diledakkan kira-kira jam 1.40 petang. Tujuh motosikal dan tiga kereta turut rosak dalam serangan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

No comments:

Post a Comment