Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Jangan leka'

Posted:

Serravalle, San Marino: Pengurus England Roy Hodgson memberi amaran kepada pemain agar tidak leka selepas berjaya membelasah pasukan kerdil San Marino, 8-0 pada kelayakan Piala Dunia 2014, semalam.

Skuad Hodgson tidak menunjukkan belas kasihan di Stadio Olimpico, Serraville sebaik jaringan sendiri Alessandro Della Valle pada minit ke-12 memulakan pesta gol pasukan pelawat.


Alex Oxlade-Chamberlain, Ashley Young, Frank Lampard, Wayne Rooney dan Daniel Sturridge mencatat nama sebagai penjaring manakala Jermain Defoe menjaringkan dua gol ketika England merekodkan kemenangan terbesar dalam tempoh 25 tahun.

Pesta gol itu menggambarkan penguasaan England terhadap pasukan yang berada di ranking ke-207 dunia dan berkongsi tangga terakhir ranking FIFA tapi Hodgson berkata, kejayaan itu tidak bermakna apabila pasukan itu menentang pendahulu Kumpulan H, Montenegro Selasa ini.


"Kami perlu hati-hati apabila cuba meramal masa depan selepas perlawanan seperti ini," katanya.


"Apabila menempuhi perlawanan seperti ini, kami sedar pasukan bermain dengan cara mereka sendiri dan boleh mencetuskan masalah.

"Itulah yang kami lakukan tetapi tiada anggota pasukan melompat kegembiraan di bilik persalinan." Perlawanan di Podgorica Selasa ini mampu mencorakkan kempen kelayakan England.


Kemenangan tipis Montenegro 1-0 di Moldova, kelmarin bermakna mereka kekal dengan kelebihan dua mata di tangga teratas kumpulan dan biarpun kemenangan England membawa mereka ke puncak, kekalahan akan membuatkan mereka ketinggalan lima mata.

Pada akhir perlawanan itu, ada penyokong England meluahkan kemarahan terhadap bek tengah Manchester United Rio Ferdinand yang menolak panggilan menyertai pasukan kebangsaan demi kempen kelabnya.


Hodgson bagaimanapun enggan terbabit dalam isu itu.


"Sudah tentu saya mendengarnya. Saya bukannya pekak tapi tidak mahu mengulas apa-apa." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Valbuena nadi Perancis

Posted:

GIJON, Sepanyol: Finland menjaringkan gol penyamaan pada hujung perlawanan untuk mengikat Sepanyol, 1-1 sekali gus memberi tekanan terhadap juara dunia dan Eropah itu sebelum turun beraksi menentang Perancis pada aksi Kelayakan Piala Dunia Kumpulan I, minggu depan.

Penyerang Teemu Pukki menjaringkan gol penyamaan itu pada minit ke-79, cubaan pertama tepat ke gawang Sepanyol yang menguasai sepenuhnya perlawanan itu.


Pertahanan Sepanyol Sergio Ramos yang memikul tugas kapten pada aksi ke-100 untuk negaranya menjaringkan gol pasukannya pada hujung babak pertama tapi anak buah Vicente del Bosque gagal mengambil kesempatan terhadap penguasaan mereka.

Sepanyol kini menghuni tempat kedua kumpulan, ketinggalan dua mata berbanding Perancis yang berjaya menewaskan Georgia, 3-1 di Paris.


"Kami tidak memikirkan pertemuan menentang Perancis kerana perlawanan ini lebih penting," kata Ramos, 26, pemain paling muda dalam sejarah bolasepak Sepanyol memperoleh 100 cap.


"Kini kami menumpukan perhatian terhadap Perancis. Kami memiliki skuad hebat dan mampu menewaskan mereka." Del Bosque kecewa anak buahnya gagal menambah jaringan. "Kami sepatutnya menamatkan cabaran mereka tapi gol kedua gagal dijaringkan. Mereka bertahan dengan baik tapi akhirnya mereka menghasilkan sesuatu yang mustahil apabila menjaringkan gol penyamaan.

"Apapun, nasih masih di tangan kami. Kami memiliki pasukan yang hebat dan mampu menewaskan Perancis," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Messi pamer magis julang Argentina

Posted:

Buenos Aires: Lionel Messi sekali lagi tampil dengan aksi mantap untuk membantu Argentina menewaskan Venezuela pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2014, semalam.

Messi yang sekali lagi menggegar jaring membuktikan pasukannya kini mempamerkan aksi terhebat di bawah kendalian Alejandro Sabella. Selain Messi, Javier Mascherano, Fernando Gago dan Walter Montillo turut menyerlah.


Aski cemerlang Argentina menyebabkan penyokong menyanyikan lagu kemenangan Piala Dunia kerana terlalu bangga dengan skil serta sistem pertahanan pasukan yang semakin kukuh hasil sentuhan Sabella.

Messi yang menjaringkan penalti hanya ketinggalan dua gol berbanding 34 gol dicatat Diego Maradona untuk Argentina. Sementara, Gonzalo Higuain kini mengungguli senarai penjaring terbanyak Amerika Selatan.


"Kami memiliki antara jentera serangan terbaik di dunia," kata Sabella.


"Venezuela pasukan yang kuat tapi kami bermain cemerlang terutama di babak pertama apabila mendominasi perlawanan.

"Selain itu, pemain hadapan turut membantu barisan pertahanan dan strategi ini amat penting sebelum kami turun menentang Bolivia di La Paz," katanya.


Pelawat kerap berdepan masalah menyesuaikan diri dengan pertandingan di kawasan tanah tinggi dan Argentina dibelasah 1-6 pada perlawanan terakhir di gelanggang itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Donald putih mata

Posted:

Kuala Lumpur: Bintang muda Thailand Kiradech Aphibarnrat mendahului dua pukulan selepas pusingan kedua Terbuka Malaysia Maybank 2013 berakhir ketika pemain nombor tiga dunia, Luke Donald gagal melepasi had kelayakan Jelajah Eropah buat kali pertama, semalam.

Kiradech kembali ke lapangan Kelab Golf dan Coutry Kuala Lumpur untuk mencatat empat bawah par 68 pada hari kedua pertandingan selepas ribut mengakhiri aksi Khamis dan kelmarin lebih sekali gus memaksa separuh daripada peserta kejohanan menyambung saingan hari kedua awal pagi semalam. Bekas juara Masters Charl Schwartzel dari Afrika Selatan, Wade Ormsby dari Australia, Gregory Bourdy dari Perancis dan peserta China Wu Ashun berkongsi tempat kedua dengan catatan sembilan bawah par 135 pada kejohanan diiktiraf bersama Jelajah Asia dan Eropah ini.


Wakil Inggeris Donald menyaksikan pencapaian konsistennya berakhir selepas mencatatkan 74 dan 73 untuk catatan keseluruh tiga atas par, lebih tiga daripada had kelayakan ditetapkan.

"Memang sah semua yang bagus pasti berakhir. Saya kecewa kerana gagal melepasi had kelayakan buat kali pertama," ulas Donald di akaun Twitter miliknya.


Donald turut berharap kegagalan itu tidak akan memberi kesan terhadap usahanya merangkul trofi kejuaraan utama pertama pada Masters AS kurang tiga minggu lagi.


"Saya memiliki dua minggu lagi untuk bersedia menghadapi ranjau lapangan Augusta dan pastinya berusaha gigih untuk menghadapi kejohanan itu," kata pemain berusia 35 tahun itu di laman web Jelajah Eropah.

"Saya pasti ingin bawa trofi itu pulang ke kampung halaman tapi dalam golf, tiada ramalan yang boleh dibuat.


"Sudah kerap juara baru adalah mereka yang tidak langsung diberikan harapan. Sebab itulah saya perlu terus berusaha dan berharap ini adalah giliran saya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Malaysia seri lagi

Posted:

Surabaya: Tanpa kelibat Sony Dwi Kuncoro dan Mohammad Ahsan, Malaysia masih gagal menundukkan Indonesia dalam saingan Piala Axiata di Surabaya, semalam apabila sekadar seri 2-2.

Malaysia menurunkan barisan terbaik untuk berdepan Indonesia yang kehilangan beberapa pemain bintang mereka namun gagal memanfaatkannya untuk meraih kemenangan dan kedudukan teratas kumpulan.


Langkah sumbang Malaysia bermula apabila Tee Jing Yi tewas kepada Bellaetrix M, 10-21, 18-21.

Chong Wei Feng yang beraksi selepas itu juga gagal menyekat kemaraan Indonesia yang meraih mata kedua menerusi Tommy Sugiarto yang menang 21-16, 21-11.


Beregu campuran Chang Peng Soon-Goh Liu Yeng terpaksa bekerja keras demi menyelamatkan maruah negara apabila menentang Muhammad Rijal-Debby Susanto sehingga ke set penentuan sebelum berjaya merangkul mata pertama skuad negara hasil kemenangan 18-21, 21-16, 21-18.


Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong meneruskan perjuangan skuad negara apabila berjaya menewaskan gandingan Hendra Setiawan-Ryan A Saputro 21-12, 26-24 untuk mata penyamaan negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Ubah nasib gimnastik

Posted:

Kuala Lumpur: Semangat Irwan Miskob untuk meningkatkan wibawa arena gimnastik artistik lelaki menjadi contoh terbaik buat skuad elit dan pelapis.

Kesungguhannya untuk menabur bakti pada Sukan SEA Indonesia menjadikan dirinya wira di kalangan 'adik-adik'.

Bukan saja Irwan, barisan rakan seangkatan seperti Ng Shu Wai, Mohd Azzam Azmi, Ong Kwan Tung serta Lum Wan Fong turut menerima penghormatan sama.

Lantaran itu, penerus legasi mereka, Hairi Zaid Ahmad Saruji bersama Danniel Iskandar Richard menyimpan azam membawa pulang pingat emas Sukan Komanwel 2014. Ikuti temubual Hairi dan Danniel yang menerima nasihat Irwan baru-baru ini.

Soalan (S): Berdasarkan pengalaman, apakah tahap gimnas pada masa ini untuk meneruskan misi membangunkan sukan gimnastik artistik?

Jawapan (J): Meskipun tidak lagi terbabit secara aktif dalam sukan ini, saya sentiasa setia memantau pembangunan gimnas sedia ada. Bukan saja saya malah rakan lain masih terus berhubung dengan jurulatih kebangsaan Zhang Li Chen mengenai perkembangan anda semua.

Saya bersama rakan lain turut hadir di gimnasium setiap kali ada masa terluang untuk melihat prestasi anda di medan latihan.

Setakat ini perkembangan anda tidak kurang hebat. Saya optimis anda mampu lakukan jauh lebih baik dengan latihan lebih gigih serta semangat tinggi. Semangat itu penting untuk menempah kejayaan dan anda saja harapan Malaysia sekarang.

S: Apa nasihat anda untuk menjadi gimnas yang hebat?

J: Gimnastik artistik istimewa. Tidak ramai memiliki bakat serta keistimewaan seperti anda. Gunakanlah bakat ini sebaik mungkin. Naikkan semangat dan paling penting dengar dan turuti nasihat jurulatih.

Desakan jurulatih pasti memberi tekanan. Ingatlah, jurulatih bukannya mendera tapi semuanya untuk kebaikkan diri anda juga. Saya pernah melaluinya, jangan putus asa atau terus mengalah sebaliknya bangkitkan semangat.

S: Apa lagi boleh dilakukan untuk menaikkan lagi sukan ini?

J: Gimnas negara perlukan lebih banyak pendedahan. Pengurusan baru yang mengendalikan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada masa ini diharap membawa pembaharuan serta penambah baik. Tahun lalu skuad negara hanya menyertai satu kejohanan antarabangsa saja.

Ia tidak memadai kerana pada zaman saya dulu, kami sekurang-kurangnya dihantar ke empat kejohanan antarabangsa dan ia tidak termasuk peringkat tempatan.

Saya dimaklumkan gimnas akan dihantar menyertai lebih banyak kejohanan tahun ini, bermula Hong Kong Januari lalu, disusuli Piala Dunia Qatar sebelum ke Sukan Islam (Jun), Universiade (Julai) serta Kejohanan Dunia (September).

Gunakan peluang itu sebaik mungkin untuk meraih lebih banyak pengalaman dan pendedahan terutama saingan Piala Dunia di Qatar yang bermula esok hingga 31 Mac ini dan Kejohanan Dunia. Kedua-dua kejohanan amat penting kerana ia turut disertai gimnas bertaraf dunia serta jagoan Olimpik.

S: Semangat tinggi anda disanjung dan dipuji MSN. Jika khidmat anda diperlukan negara, adakah anda akan kembali?

J: Saya sentiasa bersedia mewakili negara kerana bagi saya, apa yang saya lakukan dulu buat Malaysia tidak mencukupi. Saya sanggup hilang kerja untuk negara.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Ceburi perniagaan makanan

Posted:

Kuala Lumpur: Bekas penyerang kebangsaan yang kini menyarung jersi Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berminat mempromosi makanan tempatan.

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, anda mungkin seorang...


JAWAPAN (J): Saya mungkin menyambung pelajaran dan kemudian berkecimpung dalam perniagaan makanan tapi sebaik saja selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sudah terbabit dengan bola sepak.

S: Mengapa meminati perniagaan makanan? J: Sejak dulu lagi saya meminati perniagaan makanan, jika tidak restoran, mungkin kafe menjadi pilihan saya.


S: Jenis makanan yang ingin dijual? J: Masakan kampung atau tradisional kerana ia popular dan mendapat sambutan di Kedah. Makanan seperti pulut durian dan pulut ayam antaranya begitu digemari di negeri ini selain makanan dari selatan Thailand.


S: Sewaktu anda di Perancis dulu, apa makanan kegemaran anda? J: Ayam yang disumbat keju di dalamnya iaitu Cordon Bleu. Saya rasa ia juga dijual di Secret Recipe di sini.

S: Hobi masa lapang? J: Tiada yang khusus tetapi saya suka berehat di tepi pantai atau tasik. Ada kalanya saya bersama rakan pergi bermain golf tetapi hanya untuk seronok-seronok saja.


S: Sudah tentu ada pemain golf yang menjadi pujaan anda? J: Tiger Woods. Saya kagumi permainan, personaliti ketika di zaman kegemilangannya. Dia pernah jatuh dan kini bangkit kembali.

S: Warna kegemaran? J: Biru.


S: Pasukan bola sepak pilihan? J: Chelsea dan Real Madrid.


S: Pemain bola sepak pula? J: Dulu, saya meminati dua pemain Brazil iaitu Romario dan Ronaldo. Kini saya memerhatikan perkembangan Radamel Falcao dari Atletico Madrid yang saya sifatkan seorang pemain yang berbakat.


S: Minat menonton filem? J: Ya, saya sering keluar dengan rakan dan filem yang baru saya tonton adalah Lawak Ke Der 2 dan Usin, Mon dan Jin Pakai Toncit.


S: Matlamat anda 10 tahun lagi? J: Mungkin ketika itu saya tidak lagi bermain bola sepak dan terbabit dalam bidang kejurulatihan dan mana tahu saya akan mengendalikan Kedah. Selain itu, menceburi bidang perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Awang import warnai Liga M

Posted:

Kuala Lumpur: Sejak kelibat pemain import dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia, saingan Liga Super dan Perdana kembali meriah. Meskipun kehadiran mereka menenggelamkan pemain tempatan, yang penting adalah kejayaan pasukan.

Pasukan seperti ATM, Johor Darul Takzim dan Selangor antara yang mencuri tumpuan dengan adanya pemain seperti Marlon Alex James, Daniel Guiza mahupun Francis Forkey Doe.


Begitupun adakah tindakan sesetengah pasukan 'membuang' pemain import tidak berkualiti membawa manfaat jangka panjang atau sekadar memperbaiki kesilapan akibat tergesa-gesa mendapatkan pemain untuk pasukan terbabit.

Pemerhati bola sepak Reduan Abdullah berpendapat pengambilan pemain yang gagal menyerlah boleh dianggap satu pembaziran sedangkan banyak yang perlu dibayar untuk mendapatkan mereka.


Jelasnya, pasukan terbabit wajar terlebih dahulu menyelidik latar belakang pemain yang bakal dibawa masuk sebelum saingan bermula agar tidak 'terperangkap' dengan khabar mengenai kehebatan pemain terbabit tetapi gagal menyerlah sebaik menyertai pasukan.


"Mungkin tempoh untuk mengenal pasti pemain yang bakal dibeli terlalu pendek menyebabkan mereka gagal mendapatkan pemain diingini meskipun ada juga di kalangan mereka yang menyerlah," katanya.

"Mereka tidak boleh bergantung kepada rekod lalu semata-mata atau sekadar melihat kepada pengalaman lalu tetapi juga perlu melihat prestasi terkini yang ditunjukkan pemain terbabit." Malah beliau turut menggariskan faktor habuan sebagai penyebab mereka tidak menyerlah atau masih tidak serasi dengan corak permainan di Malaysia.


Tidak keterlaluan juga menurut beliau kehadiran pemain import menjadikan pemain tempatan 'malas', sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku jika mahukan persaingan secara sihat.

"Saya akui apabila terlalu banyak perhatian diberikan kepada pemain import, seolah-olah kita terlalu mengharapkan mereka untuk menaikkan skuad masing-masing." "Pemain lain perlu memiliki kecergasan 100 peratus supaya kita tidak terlalu mengharap kepada pemain import semata-mata.


"Begitupun ada juga pemain import yang gagal menyerlah sebaik bertukar pasukan. Lihat saja Mohamed Ghaddar yang masih belum mencapai prestasi terbaik sejak bersama Felda berbanding ketika di Kelantan sedangkan dia adalah seorang pemain hebat." Bagi bekas pengendali skuad kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan, sikap pengurusan pasukan yang tidak berhati-hati ketika mendapatkan pemain menyebabkan pasukan terpaksa menyingkirkan pemain import yang gagal menyerlah.


Jelasnya ada di antara pemain import diperkenalkan oleh ejen yang menjaja kisah hebat mengenai pelanggan mereka sedangkan prestasi sebenar tidak seberapa.


"Lebih baik jika kita sendiri melihat kemampuan pemain itu sebelum bersetuju mengambil mereka," katanya "Tidak seperti di luar negara yang mempunyai skuad peninjau yang meniliti pemain berpotensi untuk dibeli pasukan, kita hanya bergantung kepada pengurus pasukan yang sama ada didekati ejen yang membawa pemain atau meninjau sendiri pemain terbabit.


"Kita hanya menguji mereka menerusi perlawanan persahabatan sedangkan mereka sepatutnya dinilai lebih awal daripada itu," katanya.


Menurut beliau, pemain import yang dipilih sepatutnya berada pada tahap lebih tinggi daripada pemain tempatan dan bukan sebaliknya.


"Amat merugikan apabila terpaksa menjual kembali pemain yang dibeli kerana perlu membayar ganti rugi, bagaimana pula dengan pasukan yang tidak mempunyai kewangan mencukupi. Ia sudah menjadi beban kepada mereka pula."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

Hanya sekadar teori

Posted:

Kuala Lumpur: Sebelum saingan Liga Malaysia bermula, kalangan peminat bola sepak negara dihidangkan khabar kehadiran pemain import berstatus bintang yang mampu mencorakkan saingan pasukan musim ini.

Namun, selepas tiga bulan lain pula ceritanya. Masing-masing bercerita mengenai ketumpulan pasukan yang banyak dikaitkan dengan kegagalan pemain import mereka. Tidak keterlaluan pula jika musim perpindahan pemain bermula 8 April ini bakal dimanfaatkan untuk merombak pasukan dan membuang mereka yang dianggap sebagai 'parasit'.


Itu tidak termasuk sikap atau kerenah yang ditunjukkan pemain terbabit di luar padang yang mencalar reputasi pasukan. Lihat saja apa yang berlaku kepada Ramez Dayoub yang beraksi dengan Selangor musim ini.

Pemain Lubnan itu digantung seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Lubnan, 26 Februari lalu kerana mengatur perlawanan.


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menganggap tindakan persatuan menggantikan pemain import yang gagal menepati selera pasukan satu lumrah dalam mana-mana liga bola sepak.


Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, setiap persatuan bolasepak negeri berhak melepaskan mana-mana pemain yang gagal memenuhi sasaran pasukan.

"Persatuan berhak menukar mana-mana pemain yang mengalami kecederaan atau tidak mencapai prestasi diharapkan," katanya.


"Ia bagus kerana setiap pasukan pasti mahukan hanya pemain cergas dan berada pada tahap terbaik untuk beraksi di dalam liga." "Kita harap setiap pemain yang datang ke sini bagus tetapi perkara sebaliknya terjadi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/24

No comments:

Post a Comment