Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kokain dalam jet

Posted:

London: Kokain bernilai lebih £40 juta (RM187.5 juta) ditemui dalam sebuah jet peribadi milik seorang hartawan Perancis yang berpangkalan di London.

Media melaporkan, penemuan dadah dalam pesawat Alain Afflelou itu dibuat pegawai kastam di Republik Dominica tetapi jutawan terbabit tiada ketika itu.


Sumber keselamatan berkata, pegawai kastam menaiki jet Falcon milik Afflelou itu beberapa minit sebelum ia dijadual berlepas dari Pulau Caribbean itu ke Paris.

"Di dalam pesawat itu kastam merampas 26 beg pakaian berisi 680 kilogram dadah kelas A," katanya. Sumber itu berkata, empat individu warga Perancis serta beberapa anggota polis tempatan turut ditahan selepas rampasan dibuat.


Katanya, mereka dipercayai sebahagian daripada rangkaian sindiket penyeludupan dadah antarabangsa. Sementara itu, Afflelou menafikan dia tahu mengenai dadah berkenaan.


Kata jurucakap ahli perniagaan yang memiliki rangkaian perkhidmatan optikal itu, jet terbabit dipinjamkan kepada syarikat Transhelicopter Services yang berpangkalan di Lyon. Katanya, Afflelou mendengar berita mengenai penemuan dadah itu melalui berita malam kelmarin. "Afflelou akan mengambil langkah perlu untuk mengetahui apa yang berlaku.

Foto

JET milik Afflelou.

"Sepucuk surat menuntut penjelasan juga dihantar kepada syarikat yang menyewa jet berkenaan," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Pelacur mati hidup semula

Posted:

Bulawayo (Zimbabwe): Seorang pelacur yang mati ketika mengadakan seks bangkit dan menjerit ketika dia hendak dibawa keluar dalam keranda dari sebuah hotel.

Kejadian berlaku di Hotel Manor di Bulawayo apabila wanita berkenaan, MaNadlo yang melacur di hotel itu pengsan dan dikatakan mati ketika mengadakan seks dengan seorang pelanggan.


Bagaimanapun, ketika mayatnya diletakkan di dalam keranda, dia tiba-tiba terjaga dan menjerit: "Kamu hendak membunuh saya?" Orang ramai yang berkerumun untuk melihat mayat wanita itu diusung keluar bertempiaran lari apabila dia bangkit.

"Ia seperti dalam filem. Orang ramai berlari kerana ketakutan. Ia kejadian yang menakutkan kerana kami yakin dia mati memandangkan tubuhnya kaku macam mayat. Sungguh ajaib," kata seorang saksi.


Menurutnya polis berjaya mententeramkan wanita berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Nak bunuh ular terbakar rumah

Posted:

Austin (Texas): Seorang wanita membakar hangus rumahnya selepas cuba membunuh seekor ular dengan menghidupkan api.

Jurucakap bomba bandar Liberty Elau berkata, wanita terbabit mencurah minyak tanah ke atas ular berkenaan dan mencucuh api selepas melihat reptilia itu di lamannya. "Disebabkan tindakan wanita terbabit, ular itu melarikan diri melalui longgokan sampah dan api menyambar sebelum merebak ke rumah berkenaan," katanya. Api marak dengan pantas dan memusnahkan rumah berkenaan.


Rakaman panggilan kecemasan wanita terbabit ketika menghubungi bomba menunjukkan dia benar-benar cemas akibat kebakaran itu.

Melalui rakaman itu, wanita terbabit didengar berkata: "Kami cuba membunuh seekor ular dengan api, tapi api menyambar rumah. Boleh tolong datang segera?" Sebuah rumah berhampiran turut rosak dalam kebakaran yang berlaku Ahad lalu itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Amanda Knox akan dibicara semula

Posted:

Rome: Mahkamah tertinggi jenayah Itali semalam membatalkan pembebasan Amanda Knox atas kesalahan membunuh teman sebiliknya dan mengarahkan wanita terbabit dibicarakan semula.

Menurut Mahkamah Agung, Mahkamah Rayuan di Florence mesti mendengar semula kes mahasiswa AS itu yang dituduh bersama bekas teman lelakinya membunuh rakan mereka, Meredith Kercher, 21, pada November 2007.


Amanda kini menuntut di Universiti Washington di AS berjaga jam 2 pagi di Seattle untuk mendengar keputusan berkenaan dibacakan di Itali. Bercakap melalui jurucakap keluarganya, Amanda berkata, keputusan berkenaan "amat memedihkan" tetapi yakin kebenaran tetap akan ditegakkan. "Amat memedihkan apabila Mahkamah Agung Itali mengarahkan kes ini dikaji semula apabila teori pendakwa mengenai pembabitan saya dalam pembunuhan Meredith didedahkan sebagai tidak berasas dan tidak adil.

"Justeru, isu itu kini mesti disemak melalui siasatan yang objektif oleh pendakwa yang berkemampuan," katanya. Mayat Meredith penuntut warga Britain ditemui dalam bilik tidurnya di rumah yang dikongsi bersama Amanda serta beberapa orang lain di Perugia, Itali. Siasatan mendapati, leher Meredith dikelar. Menurut pendakwa, Meredith menjadi mangsa permainan seks Amanda dan kekasihnya dan insiden itu bertukar menjadi tragedi.


Amanda dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah dan mendakwa tiada di rumah berkenaan pada malam kejadian.


Bagaimanapun, mereka mengaku menghisap ganja dan ingatan mereka tidak jelas. Seorang lelaki Ivory Coast, Rudy Guede, disabitkan kesalahan membunuh dan dipenjara 16 tahun.

Amanda dan kekasihnya sebelum ini didapati bersalah dan dihukum penjara, tetapi dibebaskan pada 2011 apabila kes itu didengar di mahkamah rayuan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Doktor bunuh 300 pesakit

Posted:

Sao Paulo: Seorang doktor yang dituduh membunuh pesakitnya bagi mengosongkan katil hospital mungkin boleh dipersalahkan atas lebih 300 kematian.

Virginia Soares de Souza dipercayai bertindak "seperti Tuhan" dengan memberikan ubat penenang otot berlebihan atau mematikan mesin sokongan hayat pesakit tertentu.


Jika dibuktikan, polis berkata, Virginia kemungkinan besar bertanggungjawab atas kematian lebih ramai pesakit berbanding pembunuh bersiri Britain, Harold Shipman, yang membunuh sekurang-kurangnya 215 orang sebelum dia menggantung dirinya pada 2004. Virginia - bekerja di Hospital Evangelico di Curitiba, selatan Brazil, sebelum ini dituduh menyebabkan kematian tujuh pesakit. Namun, jumlah itu meningkat ketika polis menjalankan siasatan terhadap pesakit yang diletakkan di bawah pengawasannya sejak tujuh tahun lalu. Jurucakap polis berkata, mereka mungkin mengesan hampir 300 kes membabitkan Virginia. Sementara itu, peguam Virginia, Elias Mattar Assad berkata, dia akan membuktikan bahawa tertuduh tidak bersalah di mahkamah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Kemeja-T berharga RM274,500

Posted:

Kemeja-T yang paling mahal di bandar raya New York dan mungkin di dunia ini boleh didapati di Hermes dengan harga kira-kira AS$91,500 (RM274,500).

Baju itu dibuat daripada kulit buaya dan pernah diperagakan di Paris sebahagian daripada koleksi sebagai pakaian lelaki Hermés.


Hermés enggan mendedahkan harga sebenar kemeja-T itu. Bagaimanapun, seorang pegawainya berkata, ia kurang daripada AS$100,000 (RM300,000).

Ini bukan kali pertama produk syarikat itu mencetuskan kejutan.


Tahun lalu, ia meletakkan sebuah beg tangan Birkin yang kelihatan dibuat daripada kulit buaya pada harga AS$1.98 juta (RM5.94 juta).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Cari jalan jual ginjal

Posted:

Riyadh: Seorang kanak-kanak perempuan Saudi merayu bantuan untuk mendapatkan cara menjual buah pinggangnya bagi membantu bapanya yang sakit mata dan memerlukan pemindahan kornea.

Kanak-kanak itu merayu demikian menerusi laman Twitternya.


Menurut kanak-kanak itu, dia mengambil keputusan menjual pinggangnya untuk mendapatkan wang bagi membolehkan bapanya menjalani rawatan dan pembedahan kerana keluarganya miskin.

"Kanak-kanak itu berkata, bapanya perlu dibedah segera dan dia mahu membantunya. Dia merayu semua pengguna laman sosial membantunya mencari pembeli buah pinggangnya," lapor akhbar Arar tanpa menyebut nama atau tempat tinggal kanak-kanak itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Jumlah korban keganasan kaum di Myanmar meningkat

Posted:

Yangon: Angka kematian akibat keganasan kaum di tengah Myanmar meningkat kepada 40 selepas lapan lagi mayat ditemui di celah sisa kebakaran di bandar Meikhtila.

Kekacauan juga dilapor masih berlaku di beberapa kampung sekitar bandar berkenaan. Sementara itu, kebimbangan melanda Myanmar mengenai kemungkinan ketegangan kaum yang berjaya dikawal sepanjang pemerintahan junta tentera akan merebak ke bahagian lain negara itu.


Kebimbangan itu dapat dirasakan di beberapa bahagian di bandar raya Yangon hingga memaksa pihak berkuasa tempatan mengarahkan restoran dan kedai yang menjual arak ditutup pada jam 9 malam.

Pertempuran di Meikhtila bermula Rabu lalu berikutan pergaduhan di sebuah kedai milik seorang penduduk Islam.


Perusuh beragama Buddha kemudian menyerang dan membakar kediaman penduduk Islam.


Beberapa masjid juga menjadi sasaran mereka dan menyebabkan lebih 10,000 penduduk Islam meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan di kem sementara.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 180 umat Islam maut selepas menjadi sasaran kekejaman penduduk Buddha di Rakhine, negeri di barat Myanmar. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

No comments:

Post a Comment