Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak hirau Artikel 88, perkasakan Harimau

Posted:

Kelana Jaya: Ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal tetap fokus memperkasakan skuad kebangsaan walaupun bakal berdepan tuduhan melanggar Artikel 88.

Menurut pengendali berusia 56 tahun itu, tiada apa yang hendak diperkatakan dan fokusnya kini hanya untuk skuad negara yang mempunyai jadual padat sepanjang tahun ini.


"Saya belum terima surat, tiada apa untuk komen. Hanya laporan di media, itu saja," katanya di Wisma FAM, petang semalam.

Jawatankuasa Tatatertib FAM kelmarin memutuskan untuk menghantar surat pertuduhan terhadap Rajagobal susulan kenyataannya mengenai kekurangan penyerang berkualiti di jentera serangan skuad kebangsaan menyebabkan kekalahan 1-4 kepada Arab Saudi.


Pengendali yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF itu turut menyentuh kedudukan penyerang beberapa pasukan tempatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Selangor dan Kelantan dengan ketiga-tiganya diketuai penyerang import iaitu Marlon Alex James, Francis Forkey Doe dan Keita Mandjou. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak selepas membuat penelitian terhadap kenyataan terbabit berkata, terdapat merit untuk membuat pertuduhan terhadap Rajagobal yang bakal dihantar minggu depan.


Menurutnya, Rajagobal seperti yang dikatakannya sebelum ini, fokusnya hanya terhadap skuad kebangsaan.

Foto

Datuk K Rajagobal (kiri).

Skuad kendalian Rajagobal kini bersaing dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 dengan tiga perlawanan berlangsung pada hujung tahun ini dan baki satu pertemuan pada tahun depan.


Namun Harimau Malaya yang berada di ranking ke-164 dunia dijangka mengharungi aksi persahabatan antarabangsa yang padat pada Jun dan Julai terutamanya dengan kehadiran kelab terbaik dunia seperti Chelsea dan Barcelona selain Belanda yang turut dilapor berminat singgah di Kuala Lumpur.

Rajagobal yang mula melatih skuad negara pada 2009 mempunyai kontrak hingga hujung tahun ini selepas dilantik menggantikan B Sathianathan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

SMK Tunku Putra juara baru

Posted:

Langkawi: Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra muncul juara baru kategori sekolah menengah Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Langkawi Ke-26 di Stadium Langkawi, baru-baru ini.

Sekolah itu berjaya mengumpul 18 pingat emas, sembilan perak dan lapan gangsa bagi mengatasi pencabar terdekat SMK Mahsuri, 16 emas, 20 perak dan 23 gangsa.


Lapan sekolah menengah menyertai kejohanan yang dibahagikan kepada dua kelas, dua Bawah 15 Tahun dan satu Bawah 18 Tahun.

Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Negeri pula menjuarai kategori sekolah rendah selepas memungut tujuh emas, enam perak dan satu gangsa untuk mengatasi 21 sekolah lain.


SK Kuala Teriang yang memungut empat emas, tiga perak dan tiga gangsa terpaksa akur di tempat kedua.


Atlet SMK Tunku Putra Ahmad Fitri Anuar, dipilih olahragawan kejohanan selepas memenangi tiga emas dengan satu rekod baru 100 meter manakala pelari jarak dekat SMK Mahsuri Munirah Abdullah dinobat olahragawati.

Hadiah disampaikan Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Kedah Mohamad Abd Hamid. Hadir sama, Pegawai Pelajaran Daerah Langkawi Marzuki Daud, pengetua dan guru besar sekitar Langkawi.


Temasya tiga hari bertujuan memilih peserta terbaik mewakili daerah Langkawi ke peringkat negeri dianjurkan MSSD Langkawi di Stadium Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Piala Chin Aun jadi rebutan

Posted:

Melaka: Sebanyak 24 pasukan bakal beraksi pada saingan Bolasepak Perpaduan Bawah 12 Tahun di Rotunda Malacca Club, Tanjung Kling, pada 12 April.

Kejohanan anjuran Kelab Bolasepak Bekas Pemain Negeri Melaka (KBPM), Sportsunite dan The Malacca Club menetapkan setiap pasukan perlu diwakili dua kaum berbeza dalam tujuan membentuk perpaduan menerusi sukan.


Setiausaha KBPM Tan Chin Yang berkata, saingan dijangka sengit terutama kehadiran pasukan dari Kuala Lumpur, Perak, Singapura, Selangor dan Pahang.

Beliau berkata, sokongan semua pihak termasuk 10 pasukan dari Melaka juga memberi impak berkesan terhadap pembentukan pemain muda berkualiti.


Hadir sama ketika pelancaran adalah Presiden KBPM Datuk Soh Chin Aun, Presiden Sportunite Datuk Dina Rizal dan Naib Presiden KBPM Fadzry Tan Abdullah.


Sementara itu, Dina Rizal yakin kejohanan bakal mengetengahkan bakat baru yang mampu menyerlah ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, pemenang akan membawa pulang piala Datuk Soh Chin Aun yang juga kali kedua di adakan selepas Disember tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

ABS A kuasai Street Soccer IM4U

Posted:

Melaka: Pasukan Akademi Bola Selatan (ABS) A dari Ulu Tiram Johor, muncul juara Street Soccer IM4U Bawah 12 Tahun anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka, di Dewan Komuniti Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini.

Lebih menarik program bersama Kelab Sukan dan Rekreasi serta SportExpress Sdn Bhd itu menyaksikan ABS A mengatasi pasukan ABS B 1-0 di pentas final.


Tempat ketiga milik SKTM Panther dan ke-4 Arena FM selepas lawan menang 1-0 ke atas skuad tuan rumah pada aksi penentuan terbabit.

Juara membawa pulang piala pengerusi program Yahya Ibrahim selain hadiah iringan dan sijil pada kejohanan yang disertai 12 pasukan.


Hadir sama menyaksikan pertandingan, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Talib Bachik, Yahya dan pengurus pasukan ABS, Muhamad Nur Hafiz Abdullah.


Sementara itu, Muhammad Nur Hafiz berkata, beliau tidak menduga kedua-dua pasukan mara ke final bertemu sesama sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Amaran awal orang lama

Posted:

Kuala Lumpur: Lupakan rekod M Meganathan selaku empat kali juara Expert seketika kerana pertarungan Ahmad Fuad Baharudin, Norizman Ismail dan Ahmad Fazli Sham lebih mencuri tumpuan musim ini. Mengapa?

Ketiga-tiga pelumba itu awal-awal lagi sudah melaung amaran memburu gelaran ketiga kategori Expert atau kini dikenali CP130 pada kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.


"Saingan CP130 musim ini saya ramal menarik tetapi penuh kejutan. Ada litar baru digunakan, setiap pasukan sudah bersedia pada tahap terbaik dan mahu mengumpul mata maksimum pada setiap pusingan.

"Sebagai pelumba paling senior pada usia 33 tahun, gelaran ketiga menjadi idaman saya selepas kejayaan 2002 dan 2009. Saya juga tidak nafikan Norizman dan Fazli Sham antara pencabar terkuat bersama juara bertahan, Azlan Shah Kamaruzaman kerana semangat pelumba begitu tinggi dengan cara dan pendekatan tersendiri membuat persiapan. "Sekarang semuanya bergantung kepada diri sendiri dan kemampuan pasukan menyediakan jentera terbaik bagi mengharungi perlumbaan lebih panjang sebanyak 18 pusingan berbanding 15 sebelum ini," kata Fuad. Dia beraksi memacu jentera Yamaha bersama Faito Motobert Racing, berganding dengan 'Tintoi' atau Ahmad Fazrul Sham dalam pasukan dikendalikan bekas pelumba disukai ramai, Obert atau Rosnizam Mohd Noor.


Mengenai perlumbaan pembuka tirai di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 6 dan 7 April, Fuad berkata: "Mungkin saya meletak sasaran berada dalam kelompok tiga terbaik tapi bukan bermakna saya tidak mencabar. Saya tidak pernah menang di Batu Kawan tapi dalam perlumbaan, apa saja boleh berlaku.


"Sekurang-kurangnya Litar Kluang yang menjadi kegemaran masih kekal dalam kalendar saingan dan ia memberi motivasi. Kita tunggu hari perlumbaan memandangkan persiapan rapi menerusi 'boot camp' selama tiga kali seminggu untuk mengekalkan kecergasan. "Saya dapat mengurangkan berat badan empat kilogram dalam masa tidak sampai dua minggu. Yang pasti pasukan jentera Honda pasti mahu mengekalkan dominasi mereka tetapi saya tidak akan memberi jalan mudah." Fuad menduduki tempat ketiga keseluruhan kategori CP130 tahun lalu di belakang dua pelumba Y-TEQ Harian Metro SCK Honda Racing, Azlan Shah dan Md Affendi Rosli. Norizman, pelumba Harian Metro Y-TEQ Harian Metro SCK Honda Racing juara 2005 dan 2011 manakala juara 2007 dan 2008, Fazli Sham beraksi bersama Yamaha Maju Motor Racing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Ragbi 10's CIMB, Cobra meriah

Posted:

Kuala Lumpur: Dua puluh empat pasukan termasuk tujuh dari luar negara mengesahkan penyertaan pada edisi ke-10 Kejohanan Ragbi 10 sebelah Bawah 16 Tahun di Akademi Badminton Setia Alam, Shah Alam pada 13 dan 14 April.

Tujuh pasukan luar yang bakal beraksi pada kejohanan anjuran Yayasan CIMB dan Combined Old Boys Rugby Association (COBRA) itu Mandurah Catholic College dan Southern Lions Rugby Union Football Club, kedua-duanya dari Australia.


Selaini itu, Surawittayakarn School dan Kanjanaditwitta Yacom School dari Thailand; Western Height High School (New Zealand), Shih-Men Junior High School (Taiwan) dan Brunei International School.

Presiden COBRA Lt Kol (B) Tommy Pereira berkata, menerusi kejohanan itu, seramai 60 pemain tempatan akan dipilih untuk sesi pemilihan bagi mewakili negara ke Kejohanan Ragbi Remaja Asia Bawah 19 di Bangkok, Thailand, pada Disember.


"Pemilihan pemain ke Bangkok agak mencabar memandangkan peningkatan corak permainan pemain tempatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan, semalam.


Tommy berkata, penganjur juga memutuskan untuk membuka peluang kepada lebih banyak sekolah bertanding pada tahun ini bagi memastikan perkembangan berterusan sukan ragbi negara di peringkat akar umbi.

"Kita sudah mewujudkan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pelajaran bagi memastikan lebih banyak sekolah menyertai kejohanan tahun ini." Pada edisi pertama hingga kesembilan, beliau berkata, penyertaan hanya dibuka kepada juara B-15 peringkat negeri, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1 dari Kelantan dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu dikenali Sekolah Sukan Bandar Penawar) dari Johor.


Kejohanan tahunan yang bermula sejak 2005 itu sebahagian komitmen Yayasan CIMB dan COBRA mencungkil bakat muda ragbi dan mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

'Buktikan kami silap!'

Posted:

Bukit Jalil: "Berikan jawapan dan buktikan dakwaan kami silap."

Itu cabaran sekumpulan peminat fanatik terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan sejak tiga bulan lalu dan belum mendapat reaksi diharapkan daripada badan induk itu.


Wakil kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Presiden FAM Sila Letak Jawatan, Alfadli Awaludin menegaskan bolasepak di negara ini menjadi hak peminat dan rakyat, bukan hanya kepada individu tertentu dalam persatuan terbabit.

"Ini hak kami sebagai peminat bolasepak. Tunjukkan bukti apa yang kami dakwa tidak benar, kami sedia terima kenyataan itu jika kami lakukan kesilapan, namun sekiranya FAM terus berdiam diri ia jelas membuktikan dakwaan ini benar," katanya pada sidang media semalam.


Menurutnya, sebagai peminat bolasepak mereka berhak mengetahui hala tuju sukan terbabit yang sudah lama tenggelam di pentas antarabangsa.


Kumpulan terbabit yang turut mendakwa mendapat sokongan pelbagai pihak seperti Ultras Malaya membangkitkan lima perkara untuk perhatian FAM iaitu liga tempatan Gred D, tiada hala tuju skuad kebangsaan, sistem bolasepak negara yang tidak mempunyai visi dan misi jelas, pengurusan tidak cekap dan tiada akauntabiliti selain budaya tidak sihat membabitkan Artikel 88.

"Saya minta Setiausaha Agung (Datuk Azzuddin Ahmad) atau Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) memberikan reaksi berhubung perkara ini kerana hanya mereka boleh mengeluarkan kenyataan jika berpandukan kepada Artikel 88.


"Kami hanya mahukan perubahan dan sentiasa menyokong mana-mana pihak yang berhasrat melakukannya." Malah Alfadli turut menegaskan mereka tidak didalangi mana-mana pihak untuk melakukan desakan terbabit namun tindakan itu timbul atas dasar kesedaran demi kebaikan bola sepak negara yang masih gagal berada di tahap tinggi seperti suatu masa dulu.

"Kami belum sampai tahap melakukan demonstrasi kerana mahu FAM melakukan perubahan sewajarnya, namun ia tidak mustahil akan dilakukan pada satu masa nanti," katanya.


Kumpulan terbabit turut mendesak Presiden FAM meletak jawatan kerana dalam sesebuah organisasi setiap ketua perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan sepanjang tempoh 29 tahun di bawah kepimpinannya dengan harapan FAM mendapat kepimpinan baru yang lebih dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

'Dosa besar FAM'

Posted:

Kuala Lumpur: Keghairahan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus menghukum individu yang melanggar peraturan Artikel 88 menyebabkan FAM lupa fungsi sebenarnya sebagai badan induk bola sepak negara, kata pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Justeru, beliau menasihati pengurusan dan pentadbiran FAM berhenti berlagak seperti 'polis dengan menangkap dan menghukum pesalah' sebaliknya perlu segera kembali kepada objektif asal penubuhannya untuk mentadbir dan membangunkan bola sepak Malaysia.


"FAM dianggap berdosa kepada seluruh rakyat Malaysia selagi mereka gagal melaksana tanggungjawab mengembalikan semula era kegemilangan skuad Harimau Malaya seperti pada awal 1950-an dan 60-an. "Jika tidak mampu membawa pasukan kebangsaan mara ke Piala Dunia, setidak-tidaknya FAM perlu berusaha membawa pasukan negara layak ke Sukan Olimpik dan bukannya undur kebelakang," katanya.

Kay Kim turut mempersoal prestasi semasa skuad Harimau Malaya yang gagal layak ke Sukan Olimpik seperti di Munich 1972 dan Moscow 1980 sedangkan Malaysia mempunyai kemudahan jauh lebih baik berbanding dulu.


Beliau berkata, tindakan FAM yang terlalu banyak membuang masa terhadap perkara tidak penting dan tersasar daripada matlamat asal sewaktu ditubuhkan pada 1933, hanya merugikan pembangunan bola sepak negara.


"Saya bimbang melihat prestasi tidak menentu pasukan kebangsaan sejak akhir-akhir ini. FAM perlu melakukan perubahan sebelum terlambat. Saya khuatir peminat akan beralih kepada sukan lain seperti hoki dan bolasepak bukan lagi sukan nombor satu rakyat Malaysia." Mengenai tindakan yang mungkin dikenakan terhadap ketua jurulatih negara Datuk K Rajagobal, di bawah Artikel 88 FAM, beliau berkata, jika FAM tidak suka dengan ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu, lebih baik beliau tidak ditawarkan jawatan itu sejak dari awal. "Daripada menjatuhkan hukuman, lebih baik sekiranya FAM mencari jurulatih lain yang tidak akan mengkritiknya (FAM)." Rajagobal bakal berdepan hukuman berat apabila mengkritik tindakan FAM membenarkan pemain import beraksi di Liga M sehingga menyebabkan skuad bimbingannya ketandusan penyerang sejati. Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat kelmarin, memutuskan kenyataan dikeluarkan ketua jurulatih itu menyalahi perlembagaan FAM dan beliau akan didakwa dalam tempoh terdekat.

Antara individu yang pernah menjadi 'mangsa' Artikel 88 ialah Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang digantung enam bulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bolasepak dan didenda RM18,000 apabila mengkritik mutu pengadilan yang disifatkannya masih lemah dan bertaraf amatur.


Presiden Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim pula digantung dua tahun enam bulan serta denda RM39,000 apabila membuat kritikan secara terbuka terhadap FAM.

Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa, yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, digantung dua tahun setengah pada tahun lalu, juga kerana kesalahan mengkritik skuad negara.


Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM menyebut hanya presiden dan setiausaha agung yang boleh membuat kenyataan. Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang di bawah naungan FAM ingin membuat kenyataan, perlu mendapatkan izin kongres FAM terlebih dulu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Harap telus

Posted:

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) digesa bersikap telus mengendalikan kes membabitkan Artikel 88.

Terbaru pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal bakal diberikan surat pertuduhan selepas didapati kenyataan dikeluarkan jurulatih terbabit selepas tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada 17 Mac lalu, menyalahi perlembagaan persatuan.


Menurut bekas pemain negara Khalid Ali, jawatankuasa diketuai Datuk Taufek Abd Razak perlu menjalankan tugas diberikan dengan sewajarnya.

"Saya harap Taufek tidak lagi memberikan alasan yang tidak munasabah hingga menjadi buah mulut peminat bolasepak," katanya.


Khalid berkata Rajagobal mungkin meluahkan perasaannya dengan masalah dihadapi skuad negara yang ketandusan penyerang berkualiti.


Tiga presiden persatuan negeri menjadi mangsa Artikel 88 akibat menyentuh dasar FAM bermula dengan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa yang juga Timbalan Presiden FAM, Presiden Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Taufek selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM yang berlangsung lebih empat jam kelmarin dilaporkan berkata pihaknya memutuskan untuk menghantar surat pertuduhan terhadap Rajagobal pada minggu depan.


Untuk rekod bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan dipecat pada Februari 2009 gara-gara kritikannya yang menyatakan 'Liga Malaysia bukan bola sepak' selepas menyaksikan skuad kendaliannya tewas 0-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Asia 2011.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Red Giants kekal fokus

Posted:

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Irfan Bakti Abu Salim percaya tindakan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mahu menghantar beberapa surat pertuduhan ke atas beberapa pemainnya tidak akan menjelaskan fokus mereka yang kembali menyambung saingan Liga Super petang ini.

Skuad Merah Kuning turun menentang Felda United di Stadium Bandaraya Petaling Jaya dengan misi meneruskan rentak konsisten dan mengutip tiga mata penuh bagi melengkapkan pusingan pertama dengan noktah kemenangan.


"Saya percaya pemain akan memberikan tumpuan penuh. Sesetengah pemain mungkin sudah melupakan insiden terbabit," katanya.

Insiden pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Januari lalu namun masih belum menemui titik noktah dengan kedua-dua pasukan kini bersaing sengit di kedudukan teratas Liga Super apabila masing-masing mengumpul 18 mata, dipisahkan dengan perbezaan jaringan.


Bagaimanapun untuk pertemuan menentang Felda United, Irfan Bakti tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain pertahanan, kapten pasukan Mohd Asraruddin Putra Omar dan Peter Chrappan yang menjalani penggantungan dengan Mohd Nasriq Baharom dan Mohd Bunyamin Omar dijangka menjadi sandaran.


Selain itu Irfan turut perlu mencongak strategi terbaik selepas empat tonggaknya baru saja selesai tugasan bersama skuad kebangsaan yang mungkin menyebabkan mereka keletihan.

"Mereka hanya kembali menjalani latihan hari ini (semalam) dan saya mungkin tidak menurunkan semua pemain kebangsaan untuk perlawanan esok (petang ini) namun ada pemain yang terpaksa saya turunkan juga demi kebaikan pasukan." Selain Asraruddin, tonggak Selangor yang bersama skuad kebangsaan yang mengharungi tiga perlawanan antarabangsa menentang Arab Saudi, Yaman dan Palestin adalah Mohd Amri Yahyah, K Gurusamy dan penjaga gol Norazlan Razali.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

No comments:

Post a Comment