Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Dipancing kelab Australia

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain muda negara nampaknya kini semakin 'laris' di pasaran luar negara. Selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berjaya mengikat kontrak dengan kelab Liga Divisyen Tiga Jepun FC Ryukyu, dua lagi pemain Harimau Muda A berpeluang mengikut jejak langkah mereka.

Namun kali ini destinasinya bukan ke Jepun sebaliknya ke Australia.


Dua pemain itu, kapten dan pemain perancang tengah Mohd Irfan Fazail dan penyerang Rozaimi Abd Rahman yang kini mendapat perhatian salah sebuah pasukan elit Liga Australia.

Setakat ini tawaran yang diberikan kelab yang pernah menjadi juara liga itu hanyalah ujian pemilihan yang dijangka diadakan pada Ogos ini, namun perkembangan itu dianggap cukup baik oleh pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee.


Kim Swee yang enggan mendedahkan nama kelab berkenaan buat masa ini berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menetapkan tarikh sesuai bagi menghantar Irfan dan Rozaimi menjalani ujian itu.


"Kelab itu sudah meminta kami untuk menghantar Irfan dan Rozaimi pada Ogos. Kemungkinan mereka akan ke sana dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.

"Cuma buat masa ini tarikh sebenar belum ditetapkan dan ia masih dalam perbincangan. Perkara ini perlu diteliti sebelum membuat keputusan memandangkan skuad ini mempunyai jadual padat pada Ogos sebagai persiapan ke Sukan SEA Myanmar.


"Bagi saya walaupun ia hanyalah ujian pemilihan, tapi ia satu perkembangan positif kerana memberi peluang kepada Irfan dan Rozaimi mencuba nasib dengan kelab itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.

Menurut Kim Swee, aksi di pentas antarabangsa termasuk di pusingan kelayakan Olimpik dan aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Gold Coast Australia bulan lalu membolehkan pasukan luar dapat melihat sendiri bakat yang dimiliki pemain muda negara.


Sebelum ini Wan Zack Haikal pernah menjalani ujian percubaan bersama FC Ryukyu Julai tahun lalu dan hasilnya pemain sayap itu berjaya mendapat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

'Mimpi indah' Ivanovic

Posted:

London: Branislav Ivanovic berkata, pastinya "sesuatu yang menggembirakan" untuk bekerja di bawah kendalian bos Real Madrid Jose Mourinho namun menegaskan ia bukan masa yang sesuai untuk membincangkan spekulasi mengaitkan kembalinya jurulatih Portugal itu ke Chelsea.

Mourinho dikatakan akan kembali bertugas di Stamford Bridge selepas menghabiskan tiga musim penuh berjaya dalam kariernya antara 2004-07, mengemudi mereka memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain Piala FA dan dua Piala Liga.


Pengurus Real itu dianggap pengganti terbaik pengurus sementara Rafael Benitez pada musim panas ini, dengan spekulasi memuncak memperkatakan beliau akan meninggalkan Santiago Bernabeu.

Ivanovic, yang menyertai Chelsea selepas Mourinho meninggalkan kelab itu untuk ke Inter Milan, menyambut baik peluang untuk bekerja di bawah kendalian jurulatih Portugis itu.


Namun pertahanan Serbia itu menegaskan pemain tidak mempedulikan spekulasi itu ketika ini.


"Saya fikir bagi sebuah kelab ternama, sebuah kelab besar seperti Chelsea, kami perlukan yang terbaik daripada pemain dan pengurus dan mungkin satu hari ia sesuatu yang menggembirakan untuk bekerja dengan beliau," katanya.

"Kita tunggu dan lihat. Anda tidak tahu apa yang berlaku dan ini bukan masanya buat kami untuk memperkatakan mengenainya.


"Beliau seorang yang berjaya dan baginya secara peribadi Chelsea bagaikan rumahnya dan beliau sayangkan kelab ini. Ini sesuatu yang positif dan bagus buat kelab." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Holtby azam kekal kesebelasan utama

Posted:

Berlin: Pemain tengah Tottenham Lewis Holtby berazam untuk mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama di White Hart Lane.

Pemain berusia 22 tahun itu dibeli Spurs dari Schalke Januari lalu dan dengan hanya sembilan penampilan buat pasukan kendalian Andre Villas-Boas, kapten pasukan B-21 Jerman itu menyasarkan untuk berada kerap dalam kesebelasan utama.


"Pada musim panas ini, dengan pramusim pertama saya bersama kelab ini dan harapnya kejayaan pada Kejohanan B-21 Eropah, saya mahu memenangi tempat dalam kesebelasan utama Spurs," katanya.

"Saya mempunyai kontrak hingga 2018. Saya yakin dengan diri sendiri dan akan memantapkan kedudukan saya di sana. Jika saya membuktikan keupayaan pada peringkat tertinggi, saya mempunyai peluang beraksi bersama pasukan senior Jerman." Sejak berhijrah dari kelab Bundesliga itu, Holtby berkata, dia kagum dengan corak permainan bolasepak Inggeris.


"Permainan lebih pantas di England, sentiasa turun naik. Wujud rasa hormat antara jurulatih dan pemain, begitu juga terhadap pengadil.


"Lebih mudah bekerja dengan semua itu ketika latihan dan tiada media atau penyokong di padang latihan," katanya.

"Ini memudahkan anda untuk bekerja secara profesional sepenuhnya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Jaguh Belawai

Posted:

Kuching: Belawai.com.my (BCM) muncul juara Kejohanan Futsal Piala Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman edisi 2013 selepas menewaskan Hokage 3-0, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan BCM membawa pulang RM500 dan piala pusingan. Naib juara, Hokage menerima RM350 dan piala iringan, manakala tempat ketiga disandang STIDC Tanjung Manis (RM200).


Pengurus pasukan BCM, Zainal Kelutong berkata, pasukan itu ditubuhkan sejak empat tahun lalu dan sudah menyertai banyak kejohanan di seluruh daerah Belawai.

"Kejayaan kali ini bukan yang pertama. BCM yang sebelum ini dikenali sebagai Belawai 98 dan Belawai Junior pernah menyandang juara beberapa kejohanan penting di sekitar Tanjung Manis dan Belawai.


"Antara piala yang pernah dimenangi Kejohanan Piala Belia 2013 dan Kejohanan Piala Datuk Len Talif Salleh, tahun lalu," katanya.


Menurutnya, BCM berhasrat mencipta kemenangan di peringkat lebih tinggi dan menganggap impian itu bukan angan-angan kosong kerana yakin mampu merealisasikan hasrat itu. Pada perlawanan akhir itu, BCM ternyata unggul apabila menang 3-0 menerusi gol Mohammad Azmalluddin Shah Katoni, Mohammad Adzan Salmi dan Shamsul Mardawi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Manjung United tiada tandingan

Posted:

Pulau Pinang: Wakil Perak, Manjung United membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli Cabaran Standard Chartered 'Road To Anfield' selepas membenam GB FC 3-0 pada aksi final di Safira Sports Planet.

Sebelum itu pada saingan separuh akhir, Manjung United melakukan kejutan apabila menang tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan Bertam Ulu dari Melaka manakala satu lagi saingan separuh akhir menyaksikan GB FC melangkah ke final selepas membenam FC5 dari Bukit Mertajam.


Bagaimanapun, empat pasukan terbaik itu layak secara automatik ke peringkat Grand Final di Ampang Sports Planet.

Menariknya juara antara juara peringkat Grand Final itu akan diterbangkan khas ke Anfield, Liverpool oleh Standard Chartered pada 21 Mei ini, sambil berpeluang menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Liverpool menentang Queens Park Rangers (QPR).


Siri seterusnya bakal berlangsung di Sports Prima, Johor Bahru, Ahad ini bagi memenuhi kuota empat pasukan terbaik selatan tanah air. Selepas itu penganjur akan ke Ferro Futsal Kuantan (6 April) dan Sports Arena Klebang, Melaka (7 April).


Pasukan yang ingin merasai kehangatan kejohanan berprestij itu, boleh memuat turun borang melalui www.syoknyasukan.com atau menghubungi Nik Muhd Radzi (019 3519934) dan Zack (019 9444334).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

PGK sedia sertai kejohanan domestik

Posted:

Sungai Petani: Pasukan futsal Pilihan Guru Kulim (PGK) mempamerkan kehebatan apabila mengalahkan Sungai Petani Kempas (SPK) FT 6-4 dalam perlawanan persahabatan di Gelanggang Futsal Kickers, Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Perlawanan yang dibahagikan kepada tiga bahagian itu menyaksikan PGK pimpinan Ilias Awang Seman mendahului SPK FT, diketuai Mohd Zuhdi Mohd Salleh dengan 3-2 sehingga tamat 30 minit pertama.


Bersaing di bahagian kedua, SPK FT mula memperkemas posisi dan hasilnya mereka menjadikan kedudukan 4-3.

Tercabar dengan semangat kental lawan, PGK mula menggerakkan formasi berpasukan sehingga membolehkan mereka menjaringkan tiga lagi gol untuk kemenangan mutlak 6-4.


"Pasukan PGK yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu giat mengadakan perlawanan persahabatan sebagai latihan bagi meningkatkan persefahaman bagi memantapkan pasukan.


"Kami kini menyediakan pasukan yang mampu bersaing untuk sebarang kejohanan domestik atau kawasan luar," kata Ilias.

Sementara itu, Mohd Zuhdi, berkata bersaing dengan PGK banyak memberi pengalaman kepada skuadnya.


"Walaupun skuad SPK FT lebih lama berkecimpung dalam sukan futsal ini, berdepan pasukan PGK memberi banyak pengalaman kepada kami.

"Perlawanan ini menguji tahap keberkesanan berpasukan SPK FT dan berharap perlawanan ulangan selepas ini bakal memihak kami pula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

PWP janji hantar terbaik

Posted:

Kuantan: Persatuan Woodball Pahang (PWP) bersedia menghantar pasukan terbaik jika mendapat sokongan Majlis Sukan Pahang (MSP) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVI di Kuala Lumpur dari 28 Jun hingga 7 Julai ini.

Naib Presiden PWP Suhaimi Mohd Yunus berkata, dari segi persatuan, pihaknya memiliki barisan pemain terbaik untuk memastikan kejayaan pada temasya sukan itu nanti.


Menurutnya, dengan kemudahan gelanggang woodball di Kuantan, Pekan dan Rompin, pihaknya dapat menyenaraikan atlet untuk menyarung jersi Pahang.

"Setakat ini, PWP mempunyai ramai atlet terutama pelajar sekolah menengah kerana ada sekolah yang mempunyai gelanggang woodball di sekolah masing-masing.


"Jika MSP bersedia menyenaraikan sukan woodball, PWP amat mengalu-alukan tindakan itu dan bersedia untuk memastikan kejayaan membanggakan pada kemunculan pertama di temasya itu," katanya semalam.


Baru-baru ini, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) mengesahkan woodball, muay thai dan bola sepak pantai akan dipertandingkan buat kali pertama pada SUKMA kali ini.

"Namun, ia bergantung kepada syarat minimum penyertaan iaitu sekurang-kurangnya lima kontinjen," kata Zolkples.


Suhaimi berkata, sejak beberapa tahun lalu, PWP berusaha melahirkan pemain berkualiti untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam sukan berkenaan masih mendapat sambutan di Pahang.

"Dengan menjadi pilihan MSN dan jika sukan woodball dipertandingkan di SUKMA nanti, lebih ramai yang akan berminat untuk mengetahui dan bermain sukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Larian Terbuka Kuantan tawar hadiah menarik

Posted:

Kuantan: Hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM4,600 bakal menanti peserta pertandingan Larian Terbuka Kuantan 2013 yang akan diadakan di Teluk Chempedak, Mei ini.

Setiap peserta akan dibahagikan kepada empat kategori iaitu lelaki dan wanita bawah 45 tahun serta lelaki dan wanita berusia 45 tahun ke atas.


Juara setiap kategori bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM400, kedua (RM300), ketiga (RM200), keempat (RM150) dan kelima (RM100).

Pertandingan larian anjuran syarikat pengurusan acara, Dusty Monkeys Sdn Bhd itu bakal menguji ketahanan fizikal peserta apabila mereka perlu melengkapkan larian di dalam bandar ini sejauh 13 kilometer.


Pengarah bersama Dusty Monkeys Desmond Yong Mun Juan (gambar) berkata, objektif pertandingan itu bagi memupuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.


"Kami dapati acara sebegini jarang diadakan di bandar ini berikutan kekurangan syarikat yang mahu menjadi penganjur walaupun ada permintaan daripada orang ramai.

"Justeru, kami berharap ia menjadi perintis kepada syarikat lain untuk dijadikan sebagai aktiviti mingguan dalam usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat," katanya.


Program julung kali diadakan syarikat itu akan berlangsung pada 12 Mei dan peserta diminta berkumpul di Teluk Chempedak seawal jam 6 pagi.

Seterusnya, peserta akan melalui beberapa 'checkpoint' di Semambu, Air Putih, Galing seterusnya kembali semula ke Teluk Chempedak.


"Sebelum ini, ada segelintir peminat acara ini terpaksa pergi ke Kuala Lumpur setiap minggu semata-mata mahu menyertai pertandingan larian di dalam bandar. "Justeru, ini peluang buat mereka dan kami turut bekerjasama dengan polis, RELA, St John dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk tujuan keselamatan," katanya.


Desmond berkata, pertandingan itu bukan hanya terbuka kepada penyertaan masyarakat di negeri ini, malah turut dibuka kepada sesiapa yang berminat dengan bayaran pendaftaran RM40.


Orang ramai yang berminat boleh melayari laman web www.dustymonkeys.com.my untuk mendaftar atau hadir di gerai pendaftaran yang dibuka pada jam 4 hingga 7 petang di Taman Gelora, pada 6 dan 7 April.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

43 peserta tamat kursus bina badan

Posted:

Melaka: Seramai 43 peserta termasuk enam wanita mengikuti Kursus Kejurulatihan Sukan Bina Badan Tahap 1 selama lima hari di Body Alignment Warehouse Gym Centre Ipoh, Perak baru-baru ini.

Setiausaha Eksekutif Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBF), Faizal Baharum berkata, program itu turut membabitkan peserta dari Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Selangor, Terengganu, Johor dan Pahang.


Menurutnya, objektif kursus bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan bidang kejurulatihan selain teknik penggunaan gimnasium.

Beliau berkata, kandungan kursus turut membabitkan etika kejurulatihan, amalan pemakanan dan pengetahuan sains sukan.


Selain itu ia merangkumi ujian praktikal dan teori bagi memberi pendedahan kepada peserta kepada teknik sebenar mengenai bidang kejurulatihan.


Beliau yang mengadakan lawatan ke Pusat Gimnasium Ayer Keroh, Melaka berkata, peserta turut memperoleh panduan kejurulatihan daripada Pengarah Cawangan Kejurulatihan Majlis Sukan Negara, Ahmad Zawawi Zakaria.

Katanya, MBF turut bercadang mengadakan kursus sama di beberapa lokasi terpilih selepas ini dalam memastikan lebih ramai berpeluang mendalami teknik kejurulatihan bina badan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Johor kehilangan tiga tonggak

Posted:

Johor Bahru: Bukan spekulasi lagi, sebaliknya ketua jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad mengesahkan tiga pemain skuad Liga Perdana, Johor akan membuat penampilan bersama pasukan Harimau Selatan pada saingan pusingan kedua Liga Super bermula 12 April.

Ketiga-tiga pemain itu kapten Mohd Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad (bek kiri dan kanan) dan Jasazrin Jamaluddin (tengah) akan bergandingan bersama pemain import dari Brazil, Andre Francisco Da Silva yang turut beraksi untuk skuad Johor.


"Kesemua pemain itu akan kembali menjalani latihan bersama Johor Darul Takzim, Jumaat ini dan mereka sebenar sudah berlatih ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) berehat selama tiga minggu malah apa yang mereka tunjukkan ketika sesi latihan cukup membanggakan.

"Kehadiran mereka beri kesan kepada kekuatan benteng pertahanan dan tengah terutama kestabilan di posisi berkenaan dan saya juga lihat peningkatan mendadak ditunjukkan keempat-empat pemain itu yang sentiasa bekerja keras sepanjang sesi latihan dan ia petanda positif.


"Buat masa ini, saya hanya menanti kepulangan tiga pemain kebangsaan, Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Norshahrul Idlan Talaha kembali melaporkan diri sebaik berakhir tugas bersama skuad kebangsaan dan persiapan akan lebih mantap bagi menghadapi Terengganu pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Super," katanya selepas ditemui di Padang Seri Gelam, petang semalam.


Fandi juga mengesahkan pemain pertahanan kiri skuad Harimau Selatan, Azmi Muslim akan berhijrah ke Felda United sebaik pendaftaran pemain baru yang ditetapkan Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) dibuka pada 8 hingga 22 April ketika pengendali Felda United, K Devan tampak berminat mendapatkan khidmat Azmi dan Muslim Ahmad.

"Apa yang saya boleh sahkan, Azmi (Muslim) sudah mendapat lampu hijau daripada pengurusan Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk beraksi bersama Felda United manakala pemain lain saya tidak dapat ulas lanjut sama ada mendapat pelepasan atau tidak.


"Apa yang penting bagi saya, membuat persiapan menghadapi aksi terakhir pusingan pertama liga menentang Terengganu kerana tiga mata harus diraih di tempat sendiri kerana kami ingin merampas semula kedudukan teratas liga," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

No comments:

Post a Comment