Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rumah warga emas meletup

Posted:

Edinburgh: Sebuah rumah didiami sepasang suami isteri warga emas musnah selepas berlaku letupan kuat, semalam.

Walaupun siasatan masih dijalankan, polis percaya kejadian itu berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah pasangan terbabit.


Saksi pula berkata, pasangan pesara itu dikejarkan ke hospital untuk dirawat dengan tahap kecederaan belum diketahui.

Jurucakap polis Stirling, Russell Penman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi di Murdiston Avenue, Callander.


"Seorang wanita berusia 74 tahun dan suaminya berusia 77 tahun dibawa ke dua hospital berbeza di bandar berkenaan. "Rumah itu musnah sepenuhnya akibat letupan berkenaan," katanya. Kata Penman, polis menganggap letupan itu berlaku kerana kebocoran gas dan siasatan masih di peringkat awal. Katanya, syarikat gas Scotland turut membantu siasatan polis.


Sementara itu, jiran pasangan terbabit, Alistair Allan, berkata penduduk sekitar kawasan berkenaan terjaga daripada tidur kira-kira jam 6.30 pagi akibat bunyi letupan yang sangat kuat. "Saya menjenguk melalui tingkap dan melihat rumah di seberang jalan yang musnah.

Foto

KEADAAN rumah pasangan itu selepas kejadian.

"Saya bergegas berlari ke situ dan mendapati seorang lelaki turut tertimbus dalam runtuhan di dapur, manakala isterinya di bahagian lain rumah berkenaan," katanya. Allan, 47, berkata dia dapat mendengar wanita itu mengerang kesakitan.


Katanya, anggota bomba tiba kira-kira lima minit kemudian dan mereka mengeluarkan wanita itu terlebih dulu sebelum menyelamatkan suaminya kira-kira 15 minit kemudian. "Beberapa jam sebelum itu, anak saya mengadu terhidu bau gas yang sangat kuat di jalan tetapi kami tidak mengesyaki apa-apa," katanya. Sementara itu, Majlis Perbandaran Stirling membuka pusat pemindahan di bandar itu kerana sembilan rumah berhampiran terpaksa dikosongkan. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Anak singa jadi rakan sepermainan

Posted:

Melbourne: Ketika kebanyakan kanak-kanak menjadikan kucing sebagai haiwan peliharaan, Braxton West-Smith bertindak lebih berani apabila bermain-main dengan anak singa.

Kanak-kanak berusia tiga tahun itu adalah generasi terkini yang menjadi ahli kumpulan Sarkas Stardust. Selain dikelilingi ahli keluarga yang menguruskan sarkas berkenaan, West-Smith menjadikan anak singa Afrika, Zimbi, sebagai rakan. Stardust adalah kumpulan sarkas terbesar di Australia dan menggunakan pelbagai jenis haiwan liar untuk membuat persembahan.


Setiap pagi, West-Smith akan berkongsi meja dengan Zimbi untuk bersarapan serta bergurau-senda.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan selama mana West-Smith akan bersahabat dengan Zimbi kerana aktivis yang membantah penggunaan haiwan dalam persembahan semakin berkembang di Australia. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Kanak-kanak Syria turut pikul senjata

Posted:

Damsyik: Sekeping gambar memaparkan seorang budak lelaki merokok sambil sepucuk raifal berkuasa tinggi tergantung di bahunya mengejutkan ramai orang ketika Syria terus bergolak.

Menurut media, gambar itu dirakamkan kelmarin dan memaparkan Ahmed, 7, seorang anak pejuang antikerajaan.


Melihat kepada aksinya, Ahmed seolah-olah sudah biasa melakukan perbuatan itu. Gambar itu diambil di depan kubu di kawasan Salahadeen, Aleppo.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Hakim benarkan Blade Runner ke luar negara

Posted:

Pretoria: Atlet Afrika Selatan yang didakwa membunuh teman wanitanya, Oscar Pistorius, dibenarkan ke luar negara oleh seorang hakim semalam.

Menurut Bert Bam, Pistorius berhak menggunakan pasportnya untuk membuat perjalanan ke luar Afrika Selatan.


Pelari Olimpik dan Paralimpik berusia 26 tahun itu juga tidak lagi perlu melaporkan diri kepada pegawai pemantaunya. Keputusan semalam mengurangkan syarat jaminan ketat ke atas Pistorius ekoran kes pembunuhan Reeva Steenkamp pada Hari Kekasih bulan lalu. Kematian Steenkamp, 29, mengejutkan Afrika Selatan kerana Pistorius dianggap wira kerana keberaniannya bersaing dengan atlet lain walaupun kedua-dua kakinya kudung. Pendakwa berkata, Pistorius terbabit dalam pembunuhan terancang apabila dia melepaskan empat das tembakan ke arah tandas berkunci, sekali gus membunuh Steenkamp yang berlindung di dalamnya. Pistorius mendakwa, insiden itu berlaku secara tidak sengaja. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Sanjay Dutt sedia masuk penjara

Posted:

Mumbai: Pelakon popular Bollywood Sanjay Dutt berkata semalam, dia akan menjalani hukuman penjara atas kesalahan senjata pada 1993 dan tidak berhasrat untuk meminta pengampunan.

Dutt yang menyepikan diri sejak minggu lalu selepas Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana memiliki senjata secara haram. Senjata itu dibekalkan oleh ketua penjenayah Mumbai yang terbabit dalam serangan ganas pada 1993 hingga mengorbankan 257 orang.


"Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi. Saya tidak mengemukakan sebarang rayuan. Ramai lagi yang layak untuk diampun," kata Dutt pada sidang akhbar di kediamannya di Mumbai.

Dia teresak-esak membaca kenyataannya itu dan memeluk kakaknya, Priya Dutt, anggota Parlimen dari Parti Kongress.


Menurutnya, dia dan keluarganya kecewa dengan keputusan mahkamah.


"Buat masa ini, saya lelaki yang kecewa. Keluarga saya juga kecewa," katanya.

Dutt, 53, mulanya dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas tuduhan memiliki sepucuk raifal automatik dan pistol yang diberikan kepadanya oleh sekumpulan lelaki yang kemudiannya didapati bersalah kerana terbabit dalam beberapa siri serangan bom di Mumbai.


Pelakon itu bertegas menyatakan dia tidak tahu menahu mengenai rancangan pengeboman itu dan meminta senjata itu untuk melindungi keluarga selepas menerima ancaman ketika rusuhan kaum di Mumbai. Ibu Dutt beragama Islam sementara bapanya, Hindu.

Dia menjalani hukuman penjara 18 bulan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada 2007 sementara menanti keputusan rayuan. Ini bermakna dia masih mempunyai baki tiga setengah tahun untuk menjalani hukuman itu.


Pelakon itu yang semakin meningkat usia berharap dapat menghabiskan seberapa banyak projek filemnya dalam masa empat minggu yang diberikan mahkamah sebelum dia melaporkan diri ke penjara.


Penganalisis industri berkata, hukuman penjara Dutt itu akan memberi kesan besar kepada Bollywood.


Dua filem Dutt sudah siap untuk tayangan sementara beberapa yang lain belum lengkap dan mungkin tertangguh. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Lelaki letak racun dalam kasut wanita

Posted:

Tokyo: Seorang lelaki Jepun yang didakwa cuba membunuh seorang wanita dengan meletakkan racun pada kasut mangsa, ditangkap semalam.

Wanita itu, rakan sekerja lelaki terbabit, tidak mati tetapi mengalami gangrene pada kaki kiri. Bagaimanapun, setakat ini tidak diketahui sama ada kaki itu perlu dipotong atau tidak.


Polis mendakwa Tatsujiro Fukasawa, 40, meletakkan asid hidrofluoric, bahan kimia berbahaya di dalam kasut mangsa Disember lalu.

Dia dipercayai memperoleh bahan kimia itu yang digunakan dalam penapisan minyak atau untuk menghancurkan batu, di tempat kerjanya.


Asid hidrofluoric boleh meresap menerusi kulit ke dalam darah dan menyebabkan kegagalan fungsi sistem, termasuk serangan sakit jantung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

Tikam 2 ahli keluarga, serang murid sekolah

Posted:

Shanghai: Seorang penyerang menikam mati dua anggota keluarganya sebelum mencederakan 11 orang, termasuk enam kanak-kanak di luar sebuah sekolah di bandar raya ini, semalam.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Zang membunuh adik dan ibu mentua adiknya di rumah mereka selepas bertengkar mengenai wang.

Zang kemudian menyerang ibu bapa dan kanak-kanak di luar sebuah sekolah rendah ketika mereka keluar untuk pulang.

Lelaki itu bagaimanapun ditangkap oleh orang ramai ketika cuba melarikan diri. Dia dipukul dan ditendang sebelum polis tiba.


Serangan terhadap kanak-kanak sekolah di China meningkat sejak beberapa tahun lalu, termasuk lima kejadian pada 2010 yang menyebabkan 15 kanak-kanak terbunuh dan lebih 80 cedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/29

No comments:

Post a Comment