Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


FAM ubah peraturan perpindahan

Posted:

Kelana Jaya: Mana-mana pemain tempatan yang gagal menepati kehendak pasukan mungkin digugurkan pada pertengahan musim.

Ini kerana buat kali pertama Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) membenarkan tiga pemain tempatan didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bermula 8 hingga 22 April ini.


"Sebelum ini hanya pemain import dibenarkan untuk ditukarkan, namun ini langkah yang sememangnya terdapat dalam peraturan pertandingan Peraturan 4.5.5," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Menurutnya, pasukan terbabit boleh mendaftarkan pemain baru atau pemain yang masih bersama dengan pasukan lain.


"Namun bagi pemain yang bersama pasukan lain, kedua-dua pasukan terbabit perlu bersetuju. Ini permulaan, mungkin selepas ini lebih ramai pemain tempatan dibenarkan untuk didaftarkan pada jendela perpindahan kedua seperti Liga Perdana Inggeris," katanya.


Paling dinantikan pastinya pendaftaran membabitkan dua pemain yang pernah berkelana di Portugal, Mohd Nazmi Faiz Mansor (PKNS FC) dan Ahmad Fakri Saarani yang kini bersama Kelantan.

Foto

HAMIDIN (kanan) mengadakan sidang media di FAM.

Ia juga pasti menggembirakan Johor Darul Takzim (JDT) yang dilapor berhasrat menukar beberapa pemainnya dengan pasukan Liga Perdana negeri itu.


"Langkah ini bagi memastikan pasukan dapat menggantikan pemain yang mengalami kecederaan jangka panjang selain mereka yang tidak mempamerkan prestasi yang baik." Sementara itu, Hamidin turut menjelaskan satu seminar pengadil diadakan pada 27 Jun bagi merungkai segala isu tentang insiden membabitkan pengadil sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Perjalanan berbaloi

Posted:

Kuala Lumpur: Perjalanan ratusan kilometer dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur semata-mata untuk merasai kehangatan Karnival Futsal Milo Hidup Bola (KFMHB) 2013 siri pertama di Orbit De Futsal, Segambut menjadi kenangan terindah buat Klinik Wakaf Siku 8 apabila muncul juara kategori Bawah 16 Tahun.

Skuad bimbingan Dr Md Ariff Ikram Zakaria itu mempamerkan permainan menarik dan berjaya membenam Freeze FC B dari Serdang, 4-0 pada aksi final. Gol Klinik Wakaf Siku 8 itu dihasilkan Muhammad Hakimi Mokhtar, Ezzat Mohamed Zin, Muhammad Nazmie dan Mohamad Syahmi Ikram Zahidan.


Klinik Wakaf Siku 8 melangkah ke final selepas melenyapkan impian Lawang FC dari Selayang, 3-1 pada separuh akhir manakala Freeze FC B menewaskan Futsal Galaxy Assiotes (FGA), 4-1.

Kategori Bawah 12 Tahun pula menjadi milik skuad Taman Cempaka Sari (TCS) dari Kuala Lumpur yang menang tipis 2-1 ke atas MB Kids A. Pada separuh akhir, TCS menang mudah 4-0 ke atas C4 Jr manakala MB Kids A mengalahkan Stylo Mylo dari Johor Bahru, 2-0.


Pemenang kedua-dua kategori menerima RM800, pingat dan barangan Figos manakala naib juara (RM600), ketiga (RM400) dan keempat (RM400).


Turut hadir menyaksikan kemeriahan KFMHB, Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd Ng Ping Loong dan Eksekutif Pemasaran Sukan Kerwin Lim. Klinik Wakaf Siku 8, Freeze FC B, Lawang FC, FGA, TCS, MB Kids A, C4 Jr dan Stylo Mylo akan mewakili Kuala Lumpur ke saingan Grand Final di Sports Planet Ampang, pada Julai.

Siri kedua KFMHB berlangsung di Manjung Indoor Sports Arena (MISA), Perak, Ahad ini dan siri ketiga di Safira Sport Planet, Pulau Pinang, pada 24 Mac. Maklumat lanjut, layari laman www.syoknyasukan.com atau hubungi Nik Muhd Radzi 019 3519934 dan Zack 019 9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Buruan ke Anfield makin rancak

Posted:

Kuala Lumpur: Ipoh dan Melaka menjadi venue pertarungan futsal untuk mengisi lapan slot ke peringkat Grand Final Trofi Standard Chartered - Road To Anfield 2013 hujung minggu ini.

Empat pasukan sudah melayakkan diri, minggu lalu dan kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan dengan juara dibawa ke Anfield diteruskan di Perak dan Melaka.


Juara Grand Final akan mewakili Malaysia beraksi bersama 12 negara lain di Liverpool, pada Mei.

Segala perbelanjaan, pengangkutan dan penginapan empat pasukan yang layak ke Grand Final setiap sirkit pada 16 April akan ditanggung penganjur.


Pasukan futsal di Perak dan Melaka khususnya seluruh negara dijemput mengambil peluang keemasan menyertai kejohanan anjuran Standard Chartered ini untuk sama-sama memeriahkan kejohanan.


Pada saingan di Perak, kejohanan pada 16 Mac ini (Sabtu) di Sport Planet Ipoh, manakala pada 17 Mac (Ahad) pula di A Sport Arena, Klebang, Melaka. Yuran penyertaan RM200.

Juara sirkit membawa pulang RM2,000, naib juara RM1,000 dan dua pasukan tewas di separuh akhir, RM800. Semua pemenang menerima medal dan jersi Figos.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Red Fighters jagoan AmGames

Posted:

Kuala Lumpur: Kelab Sukan Kumpulan AmBank, Kelab AmBank Group (KAG), baru-baru ini menganjurkan pertandingan antara wilayah bagi kali keempat yang digelar AmGames 2013 dengan peserta membabitkan kakitangan syarikat perbankan itu dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Perasmian AmGames 2013 disempurnakan Pengerusi Kumpulan AmBank Tan Sri Azman Hashim. Turut hadir, Presiden Kelab AmBank Group Syed Anuar Syed Ali dan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan AmBank Datuk Mohamed Azmi Mahmood serta pengurusan kanan dan kakitangan Kumpulan AmBank.


Seramai 915 peserta dari lapan wilayah Kumpulan AmBank membabitkan 545 lelaki dan 370 wanita.

Lapan wilayah mengambil bahagian, Red Fighters dari Ibu Pejabat 1, Yellow Thunder (Ibu Pejabat 2), Pink Brigade dari Wilayah Tengah (Ibu Pejabat 1, 2 dan Kuala Lumpur serta Selangor), Head Hunters (Wilayah Sarawak), Sabah Titans (Wilayah Sabah), White Wolverine (Wilayah Timur), Green Warriors (Wilayah Utara) dan Southern Blue Marlin (Wilayah Melaka, Negeri Sembilan dan Johor).


Ibu Pejabat 1 muncul juara keseluruhan dengan 70 mata, mengatasi pencabar terdekat, Ibu Pejabat 2 (54) manakala Wilayah Utara, ketiga.


Kejayaan Ibu Pejabat 1 hasil kemenangan paling banyak dalam 14 sukan dipertandingkan, membabitkan bola sepak, bola jaring, badminton, sepak takraw, bola tampar, tenis, dart, ping pong, tarik tali, sorak, golf, karom dan sukan baru, 'Man Hunt' dan 'AmFitness'.

Ibu Pejabat 1 muncul juara bola sepak, sorak, bola jaring, dart, karom, 'Man Hunt' dan 'AmFitness'.


"AmGames 2013 bukan saja menggalakkan persaingan sihat malah menyediakan platform yang baik untuk mempromosikan kerjasama, kejujuran dan disiplin di kalangan kakitangan. "Semangat pertandingan persahabatan dan kesukanan di kalangan pengurusan dan kakitangan memperkukuhkan hubungan yang dijalin dalam Kumpulan AmBank," kata Azman.

"Selain aktiviti kelab seperti pertandingan mencungkil bakat AmBagus, boling dan Mencari Harta Karun, saya bercadang untuk menambah AmGames 2013 sebagai salah satu daripada acara tahunan kerana kami menerima respon yang baik untuk menyertai AmGames tahun ini," kata Syed Anuar.


Pertandingan antara wilayah pertama, KAG Sukarama diadakan pada 2006 dengan penyertaan 677 atlet lelaki dan wanita seluruh negara sebelum dinamakan AmGa mes pada tahun berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Pahang persiap atlet ke SUKMA tahun depan

Posted:

Kuantan: Seramai 80 atlet olahraga Pahang menjalani latihan di seluruh daerah di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis tahun depan.

Biarpun kejohanan itu masih jauh, Persatuan Olahraga Amatur Pahang (POAP) mahu atlet komited memburu impian mewakili Pahang pada temasya sukan itu.


Setiausaha POAP Datuk R Anamalai berkata, berdasarkan perancangan, seramai 80 atlet turut menyertai kejohanan olahraga bukan saja di peringkat kebangsaan, malah sekolah.

Menurutnya, daripada jumlah itu, pihaknya hanya akan menyenaraikan 30 atlet yang akan membawa cabaran untuk memburu pingat emas di Perlis nanti.


"POAP percaya lebih banyak kejohanan disertai, atlet akan lebih matang dan berpengalaman untuk mencatat keputusan lebih baik.


"Sebagai contoh, penganjuran Kejohanan Olahraga Grand Prix Pahang pada April ini dan Terbuka Pahang (Ogos) diharap membantu meningkatkan kualiti mereka sebagai atlet," katanya.

Pada SUKMA Pahang 2012, skuad olahraga meraih dua pingat emas dan dua perak.


Justeru, Anamalai berkata, pencapaian lebih baik diharap mampu digapai skuad itu apabila beraksi di Perlis.

Menurutnya, tempoh setahun lebih sebelum bermula SUKMA Perlis harus dimanfaatkan sebaik mungkin buat semua atlet untuk mencatat kejayaan membanggakan.


"Jika dilihat perkembangan semasa, Pahang mampu mengatasi pencapaian SUKMA 2012 tetapi atlet perlu lebih berdisiplin dan menjalani latihan intensif."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Selangor waspada ancaman Tampines

Posted:

Kuala Lumpur: Selangor waspada apabila melayan kunjungan kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Shah Alam, malam ini walaupun masih segar dengan kejayaan membelasah pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Pengendali Irfan Bakti Abu Salim meramalkan aksi kedua saingan Piala AFC terbabit sebagai perlawanan sukar berdepan lawan yang kini turut mengecapi prestasi terbaik saingan domestik dengan memenangi semua perlawanan diharungi setakat ini.


"Kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan selepas tewas perlawanan pertama. Pasti sukar kerana lawan turut mendapat khidmat beberapa pemain import, naturalisasi dan kebangsaan," kata pengendali Selangor itu pada sidang media semalam.

Lebih menarik, kehadiran beberapa pemain yang sudah 'biasa' dengan saingan liga tempatan seperti Aleksandar Duric, Shahdan Sulaiman, Mustafic Fahrudin, Shaiful Esah Nain, Mohammad Firdaus Kasman dan Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal sekali gus bakal memberikan sedikit kesukaran kepada skuad Merah Kuning.


"Seperti lawan, kami turut mengamalkan sistem penggiliran pemain dan bermula aksi menentang JDT saya berpeluang menggunakan hampir keseluruhan pemain buat kali pertama selepas lima atau enam perlawanan. "Saya akan memikirkan strategi sesuai untuk perlawanan esok (hari ini).


"Saya jangkakan mereka akan menggunakan kelebihan fizikal dimiliki beberapa pemain asing namun saya tetap optimis kami mampu mengimbanginya," katanya yang memburu tiga mata pada pertemuan di laman sendiri itu.

Barisan pertahanan pastinya menjadi tumpuan di Shah Alam andai pengendali Tampines Rovers dari Coratia Nenad Bacina bertindak menggunakan pengalaman dan ketinggian dimiliki pemain tinggi lampai, Duric yang sering mengecewakan peminat tempatan menerusi jaringannya.


"Dia cergas sepenuhnya untuk beraksi. Memang kehadirannya memberikan kelebihan kepada kami namun segala-galanya bergantung kepada perancangan saya kerana terpaksa memikirkan tentang kecederaan beberapa pemain lain. Malah pada perlawanan pertama, terdapat pemain beraksi pada posisi yang bukan kepakarannya," kata Bacina.

Katanya walaupun kelab itu kecundang pada perlawanan pertama kepada Saigon Xuan Thanh dari Vietnam, ia tidak menjejaskan moral mereka yang mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan domestik termasuk memenangi Piala Sumbangsih Liga Singapura.


"Fokus kami adalah untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri. Kami tidak mahu terus tewas," katanya yang turut melihat beberapa pemain Selangor seperti Francis Forkey Doe, Mohd Amri Yahyah, S Kunanlan dan Michal Kubala sebagai ancaman.


Kedua-dua pasukan kini tanpa mata dalam saingan Kumpulan H dengan Saigon Xuan Thanh dan East Bengal dari India yang menewaskan Selangor 1-0 pada 27 Februari lalu mengumpul tiga mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Effa Owona tekad pamer bisa

Posted:

Kuala Terengganu: Tidak mahu dirinya dilabel pemain parasit dalam pasukan Terengganu, Jean Emmanuel Effa Owona tekad memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan terutama aksi menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Larkin, Johor, 30 Mac ini.

Menurut pemain kelahiran Cameroon itu yang baru meledak empat gol Liga Super dan dua gol Piala FA, prestasi tidak konsisten musim ini berpunca daripada kecederaan selain kelibatnya sering dibayangi pertahanan lawan yang merantainya setiap kali turun beraksi.


"Saya sentiasa bersemangat untuk menang setiap kali bermain, namun kecederaan dan mungkin pertahanan lawan sudah mengetahui corak permainan saya ketika mewakili Negeri Sembilan membuatkan saya tidak bebas bergerak untuk menghasilkan gol.

"Bagaimanapun, saya berjanji menghasilkan jaringan setiap kali diturunkan terutama menentang pasukan termahal Liga Super yang mempunyai ramai pemain berkaliber hujung bulan ini," katanya.


Kelmarin, Arena Metro melaporkan kritikan dilempar penyokong yang mendakwa aksi bekas penyerang import skuad Rusa itu tampak kurang bermaya terutama ketika menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat lalu.


Peminat fanatik menggesa Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memandang serius perkara itu supaya tidak merugikan pasukan selain memberi kepuasan kepada peminat yang sentiasa memberi sokongan padu.

Sementara itu, Presiden PBSNT Datuk Che Mat Jusoh berkata, kecederaan Effa Owona membuatkan pemain itu tidak begitu berbisa apabila berada di depan gawang lawan.


"Corak yang dipamerkannya sudah boleh dibaca lawan membuatkan dia sering dikawal. Walaupun baru menghasilkan enam jaringan, corak permainannya setakat ini tidak mengecewakan dengan gerakan yang membolehkan pemain lain meledak gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Dollah fokus perkukuh semangat sepasukan

Posted:

Kuantan: Semangat berpasukan kini menjadi fokus utama skuad kendalian Dollah Salleh sepanjang tempoh rehat Liga Super jika mahu mengembalikan Pahang ke landasan tepat bersaing dengan pasukan teratas liga.

Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, hilangnya semangat itu menyebabkan skuad gagal memberi tentangan sekali gus memudahkan lawan mengambil kesempatan.


Menurutnya, beliau menyedari kekurangan itu dan mahu semua pemain membentuk kembali persefahaman bagi memantapkan pasukan yang dilihat kurang memberangsangkan tidak seperti awal saingan liga.

"Jika dinilai ketika Pahang tewas 1-3 kepada PKNS FC, kesalahan utama membabitkan hilang persefahaman dan mereka bermain lebih kepada individu hingga lawan bijak memanfaatkan peluang.


"Pemain perlu fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang bukan saja memberi kesan kepada pasukan malah peminat mungkin berasa pasukan hilang taring.


"Oleh itu, bagi membuktikan kepada penyokong, semua pemain perlu mengembalikan pasukan pada tahap terbaik sepanjang tempoh rehat ini," katanya.

Ditanya skuad Pahang yang kembali menjalani latihan hari ini selepas berehat empat hari, Che Nasir berkata, tiada perubahan terhadap sesi latihan dijalankan.


Namun, skuad itu akan mengadakan perlawanan persahabatan bagi mengekalkan momentum.

"Setakat ini, tiada kata putus pasukan yang akan ditentang sama ada daripada Liga Super atau Liga Perdana. Segala-galanya akan ditentukan apabila semua pemain menjalani latihan esok (hari ini)."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

FC Ryukyu pantau aksi

Posted:

Subang: Mungkin ada kejutan membabitkan dua pemain Harimau Muda A yang bakal beraksi di Jepun selepas wakil kelab FC Ryukyu hadir menyaksikan sendiri latihan mereka.

Perkembangan terbabit didedahkan pengendali Ong Kim Swee selepas wakil kelab terbabit hadir pada sesi latihan skuad muda negara selepas turut menyaksikan mereka di Laos baru-baru ini.


"Kami masih perlu menanti syarat tertentu yang perlu dipenuhi mereka demi kebaikan skuad kebangsaan dan pemain. Namun mereka sudah bersetuju mendapatkan dua pemain kita," kata Kim Swee.

Katanya, mereka akan ditawarkan kontrak dua tahun bersama kelab terbabit.


Sebelum ini, kelab divisyen tiga terbabit dilapor berminat mendapatkan khidmat pemain sayap Wan Zack Haikal Wan Nor yang dilaporkan hampir pasti ke negara itu selain Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, D Saarvidran, Rozaimi Abdul Rahman dan Gary Steven Robbat.


Sementara itu, dalam tempoh hampir lima bulan di Eropah merangkumi Slovakia, Hungary dan Republik Czech, skuad kendalian Kim Swee seramai 27 pemain bakal mengadakan sejumlah perlawanan persahabatan berkualiti, terutamanya menentang skuad kebangsaan bawah 19 tahun Slovakia.

"Saya akan menguji beberapa sistem seperti pertahanan, menyerang dan sebagainya dalam perlawanan sebenar nanti." Selain itu, mereka turut dijadual mengambil bahagian di Sukan Universiti Dunia di Russia dan Pestabola Merdeka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

'Jangan hanya salahkan jurulatih'

Posted:

Kota Bharu: "Kejayaan sesebuah pasukan bukan hanya terletak pada jurulatih kerana pemain juga perlu memainkan peranan bagi membentuk pasukan yang kuat," kata bekas pengendali Kelantan Datuk M Karathu ketika diminta mengulas mengenai pasukan Kelantan yang kini bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan Liga Super.

Beliau yang membimbing Kelantan pada 2011 turut berpendapat ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak perlu mempelbagaikan taktik dalam usaha menemui kekuatan terbaik pasukan itu.


Katanya, kehilangan tiga tonggak utama barisan depan, Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Mohamed Ghaddar tidak boleh dijadikan punca utama kemerosotan prestasi The Red Warriors (TRW) musim ini.

"Apabila prestasi pasukan merosot, memang tugas jurulatih mengkaji kelemahan pasukan. Namun, jurulatih juga tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya, malah pemain juga perlu bekerja lebih keras dalam usaha membentuk satu pasukan yang hebat.


"Bagi saya, Hodak perlu mempelbagaikan taktik bagi menemui formasi terbaik. Ketika saya membimbing Kelantan dulu, saya banyak menukar taktik sebelum menemui strategi terbaik buat pasukan.


"Faktor kehilangan tonggak utama tidak boleh dijadikan punca utama Kelantan gagal mempamerkan aksi terbaik. Ini kerana kita lihat Ghaddar dan Mat Yo (Norshahrul Idlan) juga kini masih gagal membantu pasukan masing-masing pada kedudukan terbaik." Sebelum ini, kelab penyokong Kelantan mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) termasuk Hodak melakukan perubahan drastik selepas juara tiga piala musim lalu itu beraksi hambar.

Kelantan kini hanya berjaya mengutip 11 mata daripada 10 perlawanan dan berada di tangga kelapan liga.


Menurut Karathu, masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit dan Hodak perlu lebih mengetahui kekuatan dan kelemahan semua pemainnya bagi memudahkan beliau meletakkan pemain pada posisi yang betul dan membentuk strategi terbaik.

"Masih belum terlambat untuk Kelantan bangkit. Perbezaan tujuh mata dengan pendahulu liga, tidak begitu jauh malah peluang mengekalkan kejuaraan masih terbuka luas.


"Jurulatih juga perlu mengenal pemain malah mengetahui kekuatan dan kelemahan setiap pemain. Ini penting bagi jurulatih meletakkan pemain paling sesuai pada setiap posisi penting terutama di barisan tengah dan serangan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

No comments:

Post a Comment