Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Demo hantar duit syiling

Posted:

Imej dan reputasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus tercalar apabila kira-kira 40 penyokong dan peminat bola sepak Perlis mengadakan demonstrasi aman di depan bangunan badan induk bolasepak negara itu di Kelana Jaya, pagi semalam.

Penyokong yang datang dari segenap pelusuk Perlis itu hadir bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap FAM yang menjatuhkan hukuman gantung 30 bulan dan denda RM39,000 terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim, 20 Februari lalu.


Mereka yang membabitkan segenap lapisan masyarakat, termasuk warga emas mengadakan demonstrasi kira-kira 15 minit dengan melaungkan kata-kata seperti 'FAM tidak adil', 'FAM pilih bulu', 'FAM berat sebelah', 'Tukar Setiausaha Agung' dan 'Rombak FAM' selain membawa sepanduk.

Menurut wakil kumpulan terbabit, Abdul Halim Abdullah Sunny, kehadiran mereka dengan mengeluarkan perbelanjaan sendiri secara sukarela itu bertujuan melahirkan kekesalan terhadap tindakan FAM menghukum Shahidan yang dianggap 'bapa pembangunan sukan' negeri terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Tiada belas kasihan

Posted:

Pertahanan Manchester United Jonny Evans melaungkan amaran pasukannya tidak akan memberikan Manchester City walau sekelumit harapan dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Pasukan kendalian Alex Ferguson berdepan Reading di Old Trafford awal pagi esok, menyedari pasukan tangga kedua, City boleh merapatkan jurang kepada sembilan mata jika menang di Everton malam ini.


Musim lalu United mensia-siakan pendahuluan lapan mata dengan baki enam perlawanan, namun Evans percaya mereka sudah belajar daripada kesilapan itu dan berazam memastikan kemerosotan sama tidak berlaku dengan baki 10 perlawanan musim ini.

"Inilah perjuangan kami hingga hujung musim ini," katanya. "Kami berada pada posisi hebat dalam liga. Kami mahu memastikan tidak memberikan City peluang untuk bangkit dan merapatkan jurang.


"Beberapa minggu ini amat penting. Di kelab ini anda mempunyai pengalaman dan tahu bagaimana menanganinya.


"Kami sudah lihat apa yang berlaku tahun lalu dan terpulang kepada kami memastikan pisang tidak berbuah dua kali.

"Saya tahu kami sering menyatakannya tapi tahun ini azam kami lebih kuat." Namun, Evans mencetus sedikit ceria buat City ketika pertahanan tengah itu mengaku United berasa kecewa berikutan penyingkiran Liga Juara-Juara dan seri dengan Chelsea pada suku akhir Piala FA minggu lalu.


United kecundang secara kontroversi di tangan Real Madrid pada pusingan kedua Liga Juara-Juara sebelum mensia-siakan pendahuluan 2-0 menentang Chelsea di Old Trafford.

"Kami berehat beberapa hari selepas perlawanan menentang Chelsea," kata Evans. "Pengurus memberi kami rehat tambahan dan kembali Rabu lalu dengan lebih cergas.


"Saya tidak beraksi menentang Real dan tidak terlalu penat tapi Ahad lalu, saya berasa agak penat dan lesu pada babak kedua."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

'Kami masih mampu!'

Posted:

Pertahanan Manchester City Gael Clichy (gambar) menegaskan juara Liga Perdana Inggeris itu masih yakin mampu mempertahankan kejuaraan.

Anak buah Roberto Mancini ketinggalan 12 mata berbanding pendahulu Manchester United menjelang kunjungan ke Goodison Park berdepan Everton, malam ini dan kebanyakan pengkritik menganggap City tidak berpeluang langsung untuk mengekalkan kejuaraan.


Namun pertahanan kiri Perancis Clichy berharap City mampu mengulangi kebangkitan dramatik musim lalu apabila bangkit daripada ketinggalan lapan mata untuk mengatasi United dan memenangi kejuaraan pada hari terakhir.

"Jika diimbas kembali senario itu, ia sebenarnya tidak banyak berbeza berbanding musim lalu, lapan mata di belakang dengan baki enam perlawanan tahun lalu, ketinggalan 12 mata dengan baki 10 perlawanan musim ini," kata Clichy.


"Jika United tidak melakukan kesilapan, mereka akan memenangi kejuaraan tapi setiap orang kata United perlu kalah empat perlawanan.


"Ia tidak benar, jika mereka seri beberapa perlawanan kami boleh merapatkan jurang dengan cara itu. Lebih mudah 12 mata di depan kerana jika seri satu dan kemudian kalah satu perlawanan, anda masih mendahului dengan baik.

"Namun satu keputusan buruk boleh menjadi dua dan kemudian keraguan mula tercetus. Anda bertanya diri sendiri 'Adakah ia akan menjadi sama seperti musim lalu'. Apa yang kami mahu lakukan adalah terus meraih tiga mata setiap minggu dan memberi tekanan terhadap United." City berdepan Newcastle selepas Everton sebelum kunjungan getir ke Old Trafford bagi pertembungan jiran setempat Manchester dan kemudian menentang Wigan.


Clichy percaya jadual perlawanan itu akan menentukan nasib mereka merebut kejuaraan.

"Tiga atau empat perlawanan berikutnya amat penting buat kami dan jika bertindak baik dalam tempoh ini, kami pasti berpeluang," katanya.


"Ia pasti sukar namun memandangkan apa yang berlaku musim lalu, kami tidak boleh menganggap ia sudah berakhir kerana kami memiliki kualiti untuk melakukannya. Apa yang kami perlukan, sedikit tuah yang hadir dengan kerja keras."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

PSG menanti Barcelona

Posted:

Pasukan pilihan Liga Juara-Juara, Barcelona akan berdepan pasukan berbelanja besar, Paris Saint-Germain pada suku akhir selepas undian di Nyon, semalam.

Bekas kapten England, David Beckham berpeluang kembali ke Nou Camp apabila membantu kemenangan menakjubkan Manchester United mengatasi Bayern Munich 2-1 pada final 1999 sekalipun mereka tidak beraksi tanpa penjaring gol terbanyak, Zlatan Ibrahimovic yang digantung perlawanan bagi perlawanan pertama di Parc des Princes.


Lionel Messi akan mengetuai juara empat kali Barcelona selepas bintang Argentina itu menjaringkan dua gol dan mengemudi kebangkitan membenam AC Milan, 4-0 sekali gus memadam defisit 0-2.

"Bagus bertemu Barcelona. Saya amat gembira tapi ia tetap sukar kerana Barca mempunyai banyak pengalaman, kualiti dan keyakinan tapi PSG berpeluang terus mara. Kami akan bermain 180 minit," kata jurulatih PSG dari Itali, Carlo Ancelotti.


Naib juara tahun lalu, Bayern Munich akan bermain perlawanan pertama di laman sendiri menentang kelab gergasi Itali, Juventus manakala juara sembilan kali, Real Madrid menentang Galatasaray yang cuba muncul pasukan pertama dari Turki menjulang trofi itu.


"Mereka lawan penuh kaliber dan amat kuat," kata jurulatih Bayern Jupp Heynckes yang memenangi trofi itu bersama Real pada 1998 namun bersedia meninggalkan kelab itu hujung musim ini untuk memberi laluan kepada Pep Guardiola.

"Ia pasti dua malam yang hebat tapi saya amat memahami Juventus dan mereka kini pasukan terbaik di Itali dengan pertahanan jitu dan penyerang berkualiti." Bagi undian terakhir suku akhir, kelab Sepanyol Malaga diundi bertemu juara 1997, Borussia Dortmund dengan perlawanan pertama dilangsungkan di Sepanyol.


Sementara itu, trio Inggeris, Chelsea, Tottenham dan Newcastle semuanya berjaya mengelak daripada diundi sesama sendiri pada suku akhir Liga Europa.

Pemenang Liga Juara-Juara musim lalu, Chelsea menjadi hos kelab Russia, Rubin Kazan pada perlawanan pertama 4 April ini manakala Tottenham menerima kunjungan kelab kerdil Switzerland, Basel dan Newcastle bertandang ke bekas juara Eropah, Benfica.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

'Kami tidak gentar'

Posted:

Pemain tengah Rayo Vallecano Roberto Trashorras menegaskan, kejayaan Barcelona membelasah AC Milan, 4-0 awal minggu ini tidak memberi impak terhadap bagaimana pasukan kerdil itu cuba bermain apabila mereka berkunjung ke Nou Camp, awal pagi Isnin ini.

Pencapaian Barca yang kembali menyengat tepat pada masanya untuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara buat musim keenam berturut-turut selepas beberapa minggu mengecewakan apabila kecundang dua kali di tangan Real Madrid dan hanya menang tipis aksi liga ke atas Sevilla dan Deportivo La Coruna di laman sendiri.


Namun, Trashorras percaya persembahan liga kelab Catalan itu musim ini terlalu menakjubkan, dibuktikan dengan kelebihan 13 mata di puncak carta liga.

"Bermain menentang Barca di stadium mereka sering kali sukar tidak kira keputusan yang mereka raih baru-baru ini. Kemenangan dalam Liga Juara-Juara melonjakkan mereka, namun keunggulan mereka terserlah musim ini," katanya.


"Kami tidak perlu hormati mereka kerana apa yang berlaku pada pertengahan minggu. Kami berdepan salah satu pasukan terbaik di dunia, namun impian kami adalah pergi ke sana dan menang, tanpa perlu bimbang atau berasa rendah diri." Di sebalik memiliki bajet paling rendah dalam liga, Rayo bertindak cemerlang dalam perebutan ke Liga Juara-Juara kerana mereka hanya tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Real Sociedad.


Permainan hantaran mereka mendapat pujian ramai musim ini dan Trashorras menegaskan, mereka tidak akan membiarkan Barca menguasai bola seperti dibenarkan kebanyakan pasukan yang mengunjungi Nou Camp sebelum ini.

"Ia memang sukar tapi kami cuba menyukarkan Barca, kami akan cuba dan merampas bola daripada mereka. Ia corak permainan kami, idea kami dan tidak akan berubah. Kami tidak mengubahnya di Bernabeu dan juga tidak akan mengubahnya di Barcelona."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Nadal cemerlang benam Federer

Posted:

Indian Wells, California: Rafael Nadal beraksi cemerlang untuk menyingkirkan bintang Switzerland, Roger Federer 6-4, 6-2 pada suku akhir Terbuka BNP Paribas, semalam.

Pemain kidal dari Sepanyol yang bertanding kejohanan gelanggang keras pertama sejak kembali daripada rehat tujuh bulan kerana kecederaan lutut, bergerak di sekeliling gelanggang dengan baik dan mengungguli musuh lamanya di Indian Wells Tennis Garden.


Nadal merampas servis juara bertahan itu sekali pada set pertama dan tiga kali pada set kedua untuk melengkapkan kemenangan dalam masa satu jam 24 minit di depan penonton yang membanjiri gelanggang utama.

Pemain nombor lima dunia dari Sepanyol itu melebarkan rekod pertemuan menentang Federer kepada 19-10 dan kini berdepan pilihan keenam dari Czech, Tomas Berdych yang menundukkan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson 6-4, 6-4.


"Selepas berehat tujuh bulan, saya amat gembira layak ke separuh akhir di sini," kata Nadal selepas mengambil kesempatan daripada beberapa kesilapan backhand Federer.


"Saya bermain hebat pada set pertama. Saya anggap set pertama terlalu menakjubkan. Federer tidak melawan seperti biasa pada set kedua. Mungkin dia berdepan masalah dan tidak berasa selepas untuk terus bertarung.

"Tapi saya perlu memenangi set pertama. Set pertama satu perlawanan yang bagus. Kami cuba mempamerkan permainan terbaik. Saya beraksi lebih baik daripada semalam (kelmarin)." Ditanya apa yang menggembirakan mengenai permainannya, Nadal membalas: "Pergerakan saya malam ini lebih bagus berbanding semalam. Saya bermain lebih lama daripada semalam.


"Saya berasa selesa dengan pukulan forehand, sekalipun saya melakukan beberapa kesilapan pukulan backhand pada set kedua." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Vettel terpantas

Posted:

Juara dunia Sebastian Vettel (gambar) meneruskan apa yang dilakukannya hujung musim lalu ketika Red Bull mendominasi sesi latihan bebas semalam menjelang perlumbaan pembuka tirai musim Grand Prix Formula Satu Australia, hujung minggu ini.

Vettel yang memburu kejuaraan pemandu dunia keempat berturut-turut, mencatat masa terpantas bagi kedua-dua sesi latihan, melakar catatan sepusingan terpantas satu minit 25.908 saat pada sebelah petang untuk mencerahkan peluangnya pada perlumbaan sebenar Ahad ini.


Pemandu Australia, Mark Webber (1:26.172) melengkapkan pencapaian satu-dua buat juara berpasukan Red Bull ketika pencabar utama Ferrari dan McLaren gagal melakar catatan memberangsangkan.

"Ia hari yang bagus buat kami. Jentera kami tidak berdepan sebarang masalah," kata Vettel.


"Selepas bekerja keras semasa ujian, terlalu seronok keluar ke sana. Litar ini tidak pernah mudah, ia satu cabaran yang bagus.


"Hari ini amat bagus dan keseimbangannya juga bagus tapi kami perlu bersedia dengan apa yang akan dihadapi." Pemandu Ferrari, Fernando Alonso yang diatasi Vettel bagi kejuaraan tahun lalu, berakhir 0.840 saat di belakang catatan terpantas Vettel, manakala pemenang di Melbourne musim lalu, Jenson Button jauh di tangga ke-11 dengan jentera McLaren.

Prinsipal pasukan Martin Whitmarsh berkata, McLaren bergelut menyesuaikan diri dengan jentera baru dan kurang cengkaman.


"Kami kurang mencengkam, tidak konsisten, pemanduan tidak lancar dan ia satu hari yang sukar dan membimbangkan kerana kami tidak memecut pantas," kata Whitmarsh.

"Tentunya kami perlu bekerja keras dengan data malam ini dan perlu diperbaiki esok. Kami sangat kecewa berdepan hari sukar seperti ini." Rakan sepasukan dari Jerman, Nico Rosberg mencatat masa ketiga terpantas (1:26.322) bersama Mercedes namun sesi petangnya berakhir lebih awal kerana masalah kotak gear.


Bekas juara dunia Kimi Raikkonen di tangga keempat dengan jentera Lotus di depan rakan sepasukan dari Perancis, Romain Grosjean.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Penalti julang cabaran PKNK

Posted:

Pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) muncul juara selepas menewaskan Awatip FC dari Pulau Pinang menerusi penentuan penalti pada Kejohanan Futsal Piala Datuk Bandaraya Alor Setar di D'Futsal Centre, baru-baru ini.

PKNK terpaksa berhempas pulas apabila diberi tentangan hebat Awatip FC sebelum menang menerusi sepakan penalti 5-4 selepas terikat 2-2 pada perlawanan sepenuh masa.


Pengurus PKNK Rashidi Halim berkata, pemain terpaksa berjuang habis-habisan untuk melayakkan diri ke final hingga menyebabkan beberapa pemain tercedera ketika mengetepikan BHP Jitra di separuh akhir melalui sepakan penalti 4-3 selepas keputusan sepenuh masa turut terikat 2-2.

"Kejayaan ini cukup membanggakan dan kami akan terus giat berlatih menghadapi kejohanan lain pada masa akan datang," katanya.


Kejayaan itu membolehkan PKNK membawa pulang wang tunai RM4,000, piala pusingan dan pingat manakala selaku naib juara, Awatip FC menerima RM3,000 dan pingat.


Hadiah disampaikan Datuk Bandaraya Alor Setar Datuk Mat Noh Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Semangat membara

Posted:

Tampil selaku pemain paling veteran dalam skuad negara tidak sesekali membataskan kudrat dan semangat Mohd Amri Yahyah untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman di Stadium Shah Alam, 22 Mac ini.

Malah keazamannya tetap sama setiap kali dipanggil mewakili skuad negara walaupun berdepan jadual padat saingan liga tempatan selain Piala AFC.


"Memang letih namun semangat saya tetap membara untuk membantu skuad negara layak ke pusingan akhir. Sememangnya saya terpaksa berkerja lebih keras bagi menyaingi pemain muda untuk tersenarai dalam 18 senarai terakhir," kata pemain berusia 32 tahun itu.

Amri antara pemain veteran yang membuktikan kemampuannya dalam kancah liga tempatan apabila membantu Selangor menjadi antara pasukan teratas Liga Super setakat ini selain jaringan menarik dilakukannya di kancah Piala AFC ketika menentang Tampines Rovers dari Singapura baru-baru ini.


Bekas kapten dan perancang tengah Selangor itu yang turut beraksi sepenuh masa ketika tewas 0-2 kepada Qatar pada bulan lalu berkata, moral dan keazamannya tidak sesekali terjejas dengan kekalahan dialami skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu.


"Kami perlu menggunakan kesempatan menyesuaikan diri terutamanya aspek fizikal apabila menentang Arab Saudi (Ahad ini) kerana corak permainan mereka mungkin tidak jauh berbeza dengan Yaman. Saya mahu memberikan aksi terbaik andai diturunkan," kata pemain kelahiran Kuala Selangor itu.

Walaupun dilihat mempamerkan peningkatan apabila diletakkan sebagai pemain penyerang ketika bersama Selangor, Amri menjelaskan dia masih belum puas hati dan mahu meningkatkan lagi prestasinya.


"Ini pentas berbeza. Saya akan lakukan yang terbaik bagi melaksanakan arahan jurulatih." Selain Amri, seorang lagi pemain yang mencecah usia lebih 30-an yang tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi, 31, yang mengemudi The Red Warriors meraih tiga piala domestik tahun lalu.

Skuad negara perlu menewaskan Yaman bagi memastikan peluang mara ke pusingan akhir lebih terbuka selepas tewas perlawanan pertama. Bahrain dan Qatar kini mendahului Kumpulan D dengan mengumpul tiga mata.


Sementara itu dua pemain pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan K Reuben kembali menjalani latihan ketika Amir Ridzwan Taj Tajudin dan Wan Zack Haikal Wan Nor cedera manakala pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Ab Halim sudah meninggalkan Wisma FAM kerana kecederaan buku lali kaki kirinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Jazeman, Hafizh ketuai demo F1 esok

Posted:

Kuala Lumpur: Peminat sukan permotoran tempatan berpeluang melihat secara dekat dua pelumba terbaik negara, Jazeman Jaafar (gambar) dan Hafizh Syahrin Abdullah mengetuai Perlumbaan Demo PETRONAS Motorsports di Kuala Lumpur, esok.

Pertunjukan jalanan membabitkan jentera empat roda dan dua roda ini dianjurkan bagi menghangatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia PETRONAS edisi ke-15 di Litar Antarabangsa Sepang, minggu depan.


Perlumbaan demo di sekitar Jalan P Ramlee dan Jalan Ampang itu membabitkan pasukan di bawah portfolio PETRONAS Motorsports termasuk pasukan Mercedes AMG F1 dan Program Pembangunan Bakat PETRONAS Motorsports.

Mengetuai barisan, Jazeman, pelumba Siri Formula Renault 3.5 Malaysia serta pernah muncul naib juara Siri Antarabangsa F3 British tahun lalu. Remaja berusia 19 tahun ini diberi peluang sekali seumur hidup untuk memacu jentera demo pasukan Mercedes AMG F1.


Sementara itu, Hafizh Syahrin Abdullah yang mencipta kejutan menamatkan perlumbaan Moto2 atas tiket wildcard pada GP Motosikal Malaysia (MotoGP) tahun lalu akan mempamerkan bakatnya mengendali jentera replika Moto2.


Perlumbaan demo kali ini juga membabitkan penyertaan pasukan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) dan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS iaitu PETRONAS Hong Leong Yamaha, PETRONAS Syntium Moto AHM dan PETRONAS Yamaha-CKJ.

Turut mengambil bahagian, tiga pelumba Malaysia yang bersama pasukan juara lima kali Siri Super Taikyu Jepun dan juara bertahan Merdeka Endurance Race, PETRONAS Syntium Team, Fariqe Hairuman, Melvin Moh dan Dominic Ang. Trio ini akan beraksi bersama jentera Mercedes-Benz SLS AMG GT3 mereka.


Dua lagi pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS Motorsports, Afiq Ikhwan Yazid dan Nabil Jeffri turut mengambil bahagian.

Perlumbaan Demo PETRONAS Motorsports disokong PETRONAS PRIMAX, MASkargo, Malaysia Airlines, DBKL, Mercedes-Benz Malaysia dan Bank Simpanan Nasional.


Maklumat lanjut berkaitan aktiviti PETRONAS sila layari www.petmos.com.my atau www.facebook.com/PETRO NASMOTORSPORTS.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

No comments:

Post a Comment