Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kereta lasak enam roda pertama Mercedes Benz

Posted:

Mercedes Benz semalam mendedahkan keluaran terbaru - kereta lasak enam roda, yang pertama sejak model sama dikeluarkan untuk pemimpin Nazi di Jerman pada 1930-an.

Mercedes G63 AMG 6x6 ini adalah model edisi terhad berdasarkan G-Wagon.


Ia direka untuk memiliki keupayaan lasak seperti sebuah kereta kebal, memacu seperti sebuah kereta lumba dan memiliki ciri-ciri mewah seperti sebuah limosin.

Bagaimanapun, pengeluaran kereta 6x6 itu dihadkan kepada 30 unit saja setahun. Harganya pula, kira-kira RM1.7 juta, menjadikannya model paling mahal syarikat berkenaan dan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding G-Wagon.


Kereta ini dijangka mendapat sambutan hangat di kalangan pembeli di Asia Barat. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

4 bulan RM2 bilion

Posted:

SP Setia Berhad mencatatkan jualan keseluruhan RM2.02 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2013 dan ia meningkat 64 peratus berbanding tempoh sama pada tahun kewangan lalu.

Pencapaian itu direkodkan atas sumbangan beberapa projek yang kini dibangunkan antaranya Setia Alam dan Setia Eco Park di Shah Alam, SetiaWalk di Pusat Bandar Puchong, Setia Sky Residences di Jalan Tun Razak, KL Eco City di Jalan Bangsar, Bukit Indah, Setia Indah, Setia Tropika, Setia Eco Cascadia, Setia Business Park II dan Setia Eco Gardens di Johor Bahru dan Setia Pearl Island, Setia Vista dan Setia Greens di Pulau Pinang.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Liew Kee Sin berkata, pihak melihat pembangunan di kawasan berkenaan boleh menyumbang kepada pencapaian lebih tinggi kepada RM5.5 bilion pada tahun kewangan 2013.

Beliau berkata, selain itu, SP Setia juga semakin kukuh di kalangan pemain industri hartanah di negara ini dengan mempunyai catatan RM70 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) setakat Januari lalu bagi membangunkan pelbagai projek terkini dan akan datang.


"Syarikat melihat tahun ini sangat mencabar kerana kami perlu melaksanakan pelbagai projek di dalam dan luar negara antaranya pelancaran Stesen Kuasa Battersea di London yang mana SP Setia mempunyai 40 peratus kepentingan.


"Kami juga melancarkan dua projek baru di Malaysia dan satu di Singapura dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan ini iaitu Setia Eco Glades di Cyberjaya, Setia EcoHill di Semenyih dan Eco Sanctuary di Singapura," katanya. dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Liew berkata, pihaknya juga agresif membangunkan projek akan datang seperti Kompleks 1NIH di Setia Alam, Setia Bukit Persekutuan di Bangsar, Setia Eco Hutan di Pulau Pinang dan Parque Melbourne di Australia yang akan dilancarkan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Anak makan, muntah kondom

Posted:

Seorang ibu menyaman restoran makanan segera McDonald's selepas anak lelakinya yang berusia dua tahun memakan kondom yang sudah digunakan yang ditemui di kawasan permainan kanak-kanak restoran terbabit.

Anishi Spencer memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000). Anishi mendakwa dia mengunjungi cawangan restoran itu di Chicago dengan anak lelakinya, Jonathan, tiga, dan Jacquel, dua, pada 4 Februari tahun lalu apabila kanak-kanak itu menemui kondom terpakai di lantai ruang permainan restoran berkenaan di Kezie Avenue.


Dia berkata, anak lelakinya Jacquel kemudian memuntahkan kondom itu dan kedua-dua mereka terpaksa dirawat di hospital. Dalam kes saman itu, Anishi menuduh McDonald's Corporation di Illinois gagal membersihkan 'bahan berbahaya' di kawasan permainan kanak-kanak, lapor akhbar Chicago Sun Times. Ia juga mendakwa rangkaian restoran itu tidak menggunakan alat pengawasan untuk mengesan kegiatan 'kurang sopan' di kawasan sekelilingnya.

Seorang jurucakap McDonald's berkata: "Menyediakan persekitaran yang selamat dan bersih menjadi keutamaan kami. Restoran di Kezie Avenue juga tidak terkecuali.


"Kami memandang serius hal ini dan mula menyiasat semua dakwaan dikemukakan untuk mengumpulkan bukti. Menurut jurucakap itu, ketika saman itu difailkan, syarikat itu belum menyelesaikan siasatan mereka.


Dia juga berkata, syarikat itu sukar untuk menjalankan siasatan kerana Anishi tidak menyerahkan kondom yang didakwanya ditemui di perkarangan restoran berkenaan.

"Ini hanya dakwaan dan kami meminta orang ramai agar tidak membuat kesimpulan tanpa fakta yang kukuh," kata jurucakap itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Tiga suspek militan ditembak mati

Posted:

Polis Indonesia menembak mati tiga suspek militan dan menahan empat yang lain berhampiran bandar raya ini, awal pagi semalam.

Mereka turut merampas beberapa bom buatan sendiri dan sejumlah senjata daripada suspek berkenaan yang disyaki merancang keganasan.


Kejadian bermula apabila dua suspek melawan ketika ditahan di Jakarta Barat kerana dipercayai mempunyai hubungan dengan rompakan sebuah kedai emas baru-baru ini.

Seorang daripada mereka mati apabila polis melepaskan tembakan, kata jurucakap polis Indonesia, Brigadier Jeneral Boy Rafli Amar.


Menurutnya, hasil menyoal siasat seorang lagi suspek mendedahkan bahawa rompakan itu digunakan untuk membiayai kegiatan keganasan.


Maklumat yang diperoleh daripadanya membawa polis kepada lima lagi anggota kumpulan berkenaan di Bekasi, pinggir Jakarta.

Dua lelaki ditembak mati selepas cuba menyerang polis dan tiga yang lain ditangkap, kata Amar.


Hasil serbuan itu polis berjaya merampas lebih sekilogram barang kemas, pistol buatan sendiri serta 14 bom paip.

Menurut Amar, suspek adalah sebahagian daripada kumpulan yang terbabit dalam serangan terhadap polis dan rompakan bank di Medan, Sumatera baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Henti keganasan dulu!

Posted:

Pihak berkuasa Thai akan menarik balik perintah darurat di selatan negara itu sekiranya ada keikhlasan di pihak pejuang untuk menghentikan keganasan.

"Kumpulan pejuang mendesak supaya undang-undang itu ditarik balik di tiga wilayah terbabit dan menggantikannya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tetapi mereka perlu tunjukkan keikhlasan untuk menamatkan keganasan, sekurang-kurangnya selama setahun," kata Panglima Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha, semalam.


Menurutnya, pihak tentera sudah menunjukkan kesungguhan dengan mengundurkan 6,000 anggota dari tiga wilayah itu.

Ketika ditanya mengenai sembilan kumpulan penentang yang mahu menyertai rundingan damai di Malaysia pada 28 Mac ini, Prayuth berkata, perhatian tidak boleh ditumpukan kepada kumpulan berkenaan kerana mereka tidak cekap untuk berunding. "Barisan Revolusi Nasional (BRN) perlu menguasai sembilan kumpulan itu dan memutuskan tindakan selanjutnya. Jika kita perlu berbincang dengan semua kumpulan itu, ia hanya membuang masa dan sia-sia.


"Mereka perlu bergabung. BRN perlu menunjukkan kemampuannya memimpin kerana kita akan berunding dengan seorang pemimpin sahaja," katanya.


BRN menandatangani perjanjian persetujuan untuk mengadakan rundingan damai dengan pihak berkuasa Thai di Kuala Lumpur akhir bulan lalu. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Tentera Bashar berjaga-jaga

Posted:

Rejim Syria meningkatkan langkah keselamatan di Damsyik ketika pejuang antikerajaan menyeru penyokong mereka meningkatkan tekanan sempena ulang tahun kedua kebangkitan rakyat menolak Presiden Bashar al-Assad.

Semalam, kumpulan Ikhwanul Muslimin - yang diharamkan di Syria - menggesa penyokongnya mengadakan "minggu bertindak" tetapi mereka tidak menyatakan butiran jelas maksud kempen itu. Aktivis berpusat di Damsyik yang menamakan dirinya sebagai Abu Qais berkata, tentera meningkatkan rondaan dan pemeriksaan di ibu negara Syria itu.


Di Lubnan yang berjiran dengan Syria, kumpulan bersenjata membakar tiga lori tangki minyak yang menggunakan nombor pendaftaran Syria bagi menghalangnya menyeberang ke Syria.

Agensi berita Lubnan melaporkan, insiden itu berlaku di Tripoli, utara negara berkenaan.


"Lori itu membawa minyak ketika ia ditahan penunjuk perasaan sebelum ia dibakar.


"Tiada kecederaan dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.

Sebelum ini, penunjuk perasaan sering menutup jalan menghalang bagi lori tangki menyeberang ke Syria yang berdepan masalah kekurangan minyak tanah dan diesel.


Mereka mendakwa, diesel yang dieksport ke Syria digunakan kerajaan negara itu untuk menggerakkan kereta kebal. Kebanyakan penganut Sunni di Lubnan menyokong pejuang antikerajaan, manakala pengikut Syiah - termasuk kumpulan Hizbullah - lebih memihak kepada Bashar.

Sementara itu, Kementerian Luar Syria membuat bantahan melalui surat kepada Lubnan semalam kerana mendakwa, beberapa kumpulan bersenjata cuba menyusup masuk ke negara itu dari Lubnan dalam tempoh 36 jam. Kejadian itu menyebabkan berlaku tembak-menembak dengan pengawal sempadan.


Damsyik mendakwa, tentera Syria mengambil pendekatan bertahan tetapi ia mungkin tidak berlanjutan begitu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Bom nuklear Iran 'setahun lagi'

Posted:

Iran akan memperoleh bom nuklear dalam tempoh 'setahun lagi' kata Presiden AS Barack Obama dalam temubual dengan stesen televisyen Channel 12 semalam.

Kenyataan itu dibuat Obama seminggu sebelum dia tiba di Israel untuk melakukan lawatan rasmi ke negara Yahudi berkenaan.


Sambil menyatakan jangka masa Iran akan memiliki kuasa nuklear untuk tenteranya, Obama berkata, Washington tidak akan menunggu sehingga saat-saat akhir untuk bertindak menghentikan negara berkenaan.

"Kami berpendapat, Iran akan mengambil masa kira-kira setahun untuk membangunkan sebuah senjata nuklear, tetapi yang pasti kami tidak menunggu hingga saat akhir untuk bertindak," katanya.


Obama dijadual tiba di Israel pada 20 Mac ini untuk melakukan lawatan rasmi tiga hari dalam kunjungan pertamanya sejak dilantik sebagai presiden pada 2008.


Dia juga dijadual melawat wilayah Palestin.

Kata Obama, jika langkah diplomasi gagal menghentikan Iran daripada memiliki senjata nuklear, semua pilihan terbuka untuk diambil. "Mesej saya kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, adalah sama - jika kita mampu mencapai penyelesaian diplomasi, ia adalah penyelesaian yang lebih kekal.


"Bagaimanapun, jika gagal, saya akan terus melihat pelbagai pilihan yang ada untuk diambil," katanya. Ditanya sama ada arahan menyerang tapak nuklear Iran adalah pilihan realistik, Obama berkata, apabila dia menyebut semua pilihan diambil kira, tiada pengecualian dalam pertimbangannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Tersepit celah dua dinding

Posted:

Hangzhou (China): Gara-gara mahu sampai cepat ke rumahnya, seorang lelaki tersepit di antara dua dinding ketika pulang dari bar di Xinqiao di bandar Wenzhou, Zhejiang.

Menurut media tempatan, Jian Tsui tersepit di situ begitu rapat sehingga dia sukar bernafas atau menjerit untuk meminta tolong.


Disebabkan masalah itu, nasib menimpa Jian hanya disedari apabila hari siang dan anggota penyelamat terpaksa menebuk lubang pada satu daripada dinding berkenaan untuk menyelamatkannya.

Saksi berkata, Jian meninggalkan bar kira-kira jam 1 pagi dan meredah cuaca sejuk untuk pulang.


"Dia mahu mengambil jalan pintas dan cuba lalu di antara dinding dua rumah, tetapi gagal meloloskan diri," katanya. Sementara itu, Jian berkata, dia kesejukan dan mahu segera sampai ke rumah.


"Apabila tersepit, saya cuba keluar semula, namun gagal kerana saya tidak boleh bergerak banyak.

"Saya cuba menjerit meminta tolong, tetapi disebabkan tak mampu bernafas dengan betul, saya tak boleh menjerit," katanya. Jian bernasib baik kerana seorang penduduk kampung ternampak dia tersepit ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.


Dia cuba menarik Jian keluar, tetapi ia hanya menyebabkan kecederaan.

Akhirnya, seorang pemilik rumah membenarkan anggota penyelamat menebuk lubang dinding rumahnya untuk selamatkan Jian. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

3 tahun simpan mayat ibu

Posted:

Tiga beradik ditahan selepas pihak berkuasa menemui rangka ibu mereka di rumah didiami pasangan terbabit, semalam.

Menurut pihak berkuasa, pasangan adik-beradik itu mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan atas kematian ibu mereka.


Sumber berkata, wanita terbabit sudah meninggal dunia selama tiga tahun.

"Mayat wanita itu disimpan anak-anaknya kerana mereka percaya si mati bertukar menjadi tuhan," katanya. Ekoran penemuan rangka itu, pihak berkuasa menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 65, dua wanita berusia 59 dan 52 tahun kerana bersubahat mengabaikan mayat.


Sumber polis berkata, adik-beradik itu ditahan di rumah mereka di Usa di wilayah Oita.


Terdahulu, pihak berkuasa melawat rumah mereka bagi menyiasat kemungkinan ada wanita tua didera.

Sumber berkata, pada awalnya penyiasat tidak dibenarkan masuk, malah dihalau dari situ.


"Apabila berjaya masuk, penyiasat menemui rangka wanita terbabit di atas katil," katanya. Pegawai forensik berkata, jika wanita itu masih hidup, dia berusia 88 tahun ketika ini.

Sementara itu, jiran berkata, satu ketika dulu, keluarga terbabit dihormati penduduk setempat, tetapi menimbulkan kecurigaan apabila melakukan amalan aneh.


Keluarga itu juga enggan bercampur dengan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Tak kesal cincang isteri

Posted:

Seorang lelaki, Benget Situmorang, 37, mengakui dia tidak menyesal mencincang mayat isterinya Darna Sri Astuti, 32, yang disyakinya bermain kayu tiga.

"Suspek tidak menyesal membunuh dan mencincang tubuh isterinya. Dia mengaku melakukan perbuatan itu kerana sakit hati dengan tingkah laku mangsa," kata penguamnya, Djarod Widodo di balai polis Jakarta Timur semalam.


Suspek memberitahu dia tidak dapat menerima hakikat isterinya itu menafikan berlaku curang. Djarot juga membantah anak guamnya mempunyai hubungan istimewa dengan seorang wanita bernama Tini yang membantu lelaki itu membuang bahagian tubuh mangsa dari dalam van.

"Yang berlaku curang ialah mangsa, bukan anak guam saya," katanya.


Anggota tubuh mangsa ditemui di tol Cikampek pada awal pagi Selasa lalu. Mangsa dipercayai dibunuh dan tubuhnya dicincang pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

No comments:

Post a Comment