Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kaji ayat Rajagobal

Posted:

Kelana Jaya: Pihak sekretariat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahu Jawatankuasa Tatatertib FAM mengkaji kenyataan terbaru pengendali Datuk K Rajagobal yang didakwa mengkritik polisi penggunaan pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang memberi kesan kepada prestasi skuad kebangsaan ketika ini.

Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud berkata, berikutan kesuntukan masa, Jawatankuasa Tatatertib yang bersidang semalam tidak sempat membincangkan kes itu secara mendalam dan akan dibawa pada mesyuarat seterusnya.


"Kita tengok (kenyataan Rajagobal) sepintas lalu saja, kita akan bawa kes ini ke mesyuarat selepas ini. Ia bergantung kepada Jawatankuasa Tatatertib, jika ada kes kita akan buat," katanya semalam.

Ahmad Fuad yang ditemui pemberita diminta mengulas kenyataan Rajagobal yang dibuat pada sidang media selepas perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi, Ahad lalu.


Rajagobal yang tidak puas hati selepas melihat anak buahnya tewas 1-4 pada aksi di Stadium Shah Alam itu berkata, skuad kebangsaan kini tidak memiliki penyerang semula jadi dan kehadiran pemain import dilihat lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga-M.


Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang dipengerusikan Datuk Taufek Abd Razak semalam memutuskan untuk memanggil pegawai Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memberi keterangan untuk menyelesaikan kes pergaduhan pemain kedua-dua pasukan itu, minggu depan.

Bagaimanapun Taufek yang mempengerusikan mesyuarat itu tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan dan tugas itu kini diambil alih sepenuhnya sekretariat FAM.


"Bukan selama-lamanya Taufek tidak boleh beri keterangan, cuma hingga kes ini diputuskan. Kami akan merujuk kes ini di bawah Perkara 8 Tatatertib dengan memanggil pegawai tertinggi Selangor dan ATM dalam perlawanan itu untuk beri keterangan.

"Ini terpaksa dilakukan kerana kami tidak memperoleh bukti pergaduhan menerusi rakaman video yang diberikan Selangor, ATM dan TV3. Malah pegawai perlawanan juga tidak dapat mengenal pasti pemain yang terbabit kerana insiden itu berlaku dengan cepat," katanya.


Perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Selangor dan ATM yang berlangsung 25 Januari lalu dicemari dengan insiden pergaduhan pemain selepas tamat perlawanan.


Selangor mendakwa Shukor Adan menjadi dalang tercetusnya pergaduhan itu manakala ATM melihat Afiq Azmi memulakan provokasi yang menyebabkan pemain ATM gagal mengawal emosi kerana tewas menerusi penentuan sepakan penalti (3-2) selepas terikat 2-2 dalam masa sebenar di Stadium Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Grand Slam lebih penting

Posted:

Los Angeles: Maria Sharapova melonjak ke tangga kedua ranking dunia kelmarin selepas kejayaan mengagumkan menjuarai Terbuka BNP Paribas namun berkata, dia lebih berminat memenangi lebih banyak gelaran Grand Slam daripada prospek merebut semula kedudukan nombor satu dunia.

"Nombor satu, satu nombor hebat," kata pemain anggun dari Russia itu selepas membenam cabaran pilihan kelapan dari Denmark Caroline Wozniacki (gambar), 6-2, 6-2 pada final kejohanan elit WTA di Indian Wells kelmarin untuk merangkul kejuaraan ke-28 dalam jelajah itu.


"Apabila lebih konsisten, anda akan meraih keputusan lebih bagus dan lebih banyak kemenangan mampu dicipta, peluang semakin cerah untuk menduduki tangga teratas.

"Adakah ini yang kita mahukan? Sudah tentu. Ia persoalan yang tidak perlu difikirkan. Tapi ketika ini, kejuaraan dan gelaran Grand Slam lebih menjadi keutamaan." Maria, juara empat acara Grand Slam, sudah biasa dengan tanggapan sebagai pemain terbaik sukan itu, selepas muncul pemain kelima termuda menduduki ranking nombor satu ketika berusia 18 tahun pada 2005.


Namun baginya jika mahu merampas semula kedudukan itu, dia perlu mengatasi pemain Amerika Syarikat Serena Williams yang sukar ditundukkan jika cergas sepenuhnya.


"Serena amat dominan tahun lalu," kata Maria mengenai Serena yang menjuarai Wimbledon, pingat emas Olimpik dan Terbuka AS ketika dia meraih tujuh kejuaraan pada 2012. "Dia bermain dengan menakjubkan, penuh keyakinan.

"Dia juga amat kuat dan tangkas, anda perlu konsisten menentangnya. Jika leka seketika dia pasti menghukum anda. Dia seorang pemain dengan keyakinan tinggi." Apabila rekod pertemuan antara Maria dan Serena diambil kira, ia bagaikan tiada tandingan. Pemain Russia itu hanya menang dua daripada 13 pertembungan karier dengan kemenangan terakhir hadir sembilan tahun lalu pada Kejohanan Jelajah WTA di Los Angeles.


Maria kecundang straight set di tangan Serena dalam enam pertemuan terakhir mereka. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Kebangkitan Nadal cetus gerun pencabar

Posted:

Indian Wells, California: Rafael Nadal dijangka mengungguli gelanggang tanah liat Eropah sekali lagi selepas lututnya berjaya melepasi ujian pemain terbaik dunia di gelanggang keras Indian Wells.

Pukulan forehand menakjubkan, kepantasan dan keazaman yang sudah lama menjadi karakter permainannya semuanya terserlah kelmarin apabila Nadal bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengalahkan Juan Martin del Potro bagi menjulang kejuaraan Masters Indian Wells, kejayaan terbesarnya sejak berehat tujuh bulan kerana kecederaan lutut kiri.


Sebaik melengkapkan kemenangan di Indian Wells, Nadal menjawab semua persoalan mengenainya terutama melihat sejauh mana lututnya mampu bertahan dan hala tuju permainannya.

"Secara serius, sukar untuk melakukan penampilan semula yang lebih baik," katanya.


Namun kemunculan semulanya dilihat lengkap. Dengan rekod kemenangan 17-1 Nadal sebenarnya melakukan permulaan paling cemerlang bagi satu-satu musim dalam kariernya.


Dia bertarung empat perlawanan akhir dalam empat kejohanan dan menang tiga daripadanya. Sekalipun tidak beraksi dengan pemain terbaik dunia pada Terbuka Australia Januari lalu, dia menganggap kemenangan 6-0, 6-2 ke atas rakan senegara David Ferrer pada final di Acapulco sebagai satu daripada perlawanan terbaik pernah dilaluinya di gelanggang tanah liat.

"Dia akan bertarung untuk merebut tangga nombor satu tidak lama lagi," kata Del Potro.


Menerusi kemenangannya di Indian Wells, Nadal sudah melonjak satu anak tangga dalam ranking dunia, merampas tempat Ferrer di tangga keempat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Muka baru, lama julang Gagak FC

Posted:

Kuantan: Pasukan Gagak FC dinobat juara Kejohanan Futsal Tertutup Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Pekan/Maran selepas menewaskan Kijang Menari di Gelanggang Futsal Chendering, hujung minggu lalu.

Penentuan sepakan penalti yang berakhir 4-3 itu terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada akhir masa sebenar perlawanan. Tempat ketiga pula milik pasukan Sohera United.


Sebanyak 10 pasukan membabitkan kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran, termasuk Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menyertai kejohanan kali pertama itu.

Kejohanan yang bertujuan mengeratkan hubungan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang itu dianjur PHD Kuantan/Pekan/Maran.


Ketua Pasukan Gagak FC Mohd Khairul Anuar Rahim berkata, pengalaman menjadi kelebihan untuk pasukan itu muncul juara kejohanan itu.


"Gandingan pemain baru dan lama yang dibentuk sejak beberapa bulan lalu berjaya memantapkan pasukan yang akan menyertai lebih banyak kejohanan pada masa akan datang.

"Saya puas hati kerana kesungguhan dan semangat tinggi pemain dilihat bermula perlawanan pertama hingga ke akhir. Walaupun penat namun usaha memburu kejayaan tetap tinggi," katanya.


Beliau yang juga pengerusi kejohanan itu berkata, semangat kerjasama di kalangan pemain dapat dilihat apabila turut beraksi walaupun lanjut usia.

Pemain Gagak FC Zulkifli Abas berkata, kejohanan itu dapat mengeratkan lagi persahabatan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dari Kuantan, Pekan dan Maran. "Saya puas dapat menyertai kejohanan ini, penat mengharungi setiap perlawanan hilang apabila melihat rakan turun dengan penuh semangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

MBFWT juara futsal MBFM

Posted:

Pekan: Penentuan sepakan penalti menjadi kelebihan pasukan Majlis Belia Felda Wilayah Terengganu (MBFWT) untuk menjulang kejuaraan Kejohanan Futsal Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi merebut Piala Pengarah Besar FELDA 2013, baru-baru ini.

Selepas terikat 1-1 pada akhir permainan, pengalaman luas pemain MBFWT memberi kelebihan kepada mereka apabila mudah menjinakkan lawan, Majlis Belia FELDA Wilayah Gua Musang (MBFWGM), Kelantan 3-1. Kejohanan di Kompleks Sukan Komuniti DUN Chini itu menyaksikan Majlis Belia FELDA Wilayah Mempaga (MBFWM), Bentong, Pahang menduduki tempat ketiga dan Majlis Belia FELDA Wilayah Jengka (MBFWJ) keempat.


Sebanyak 10 pasukan mewakili Majlis Belia FELDA (MBF) seluruh negara bersaing membabitkan FELDA Wilayah Kuantan, Jengka, Mempaga, Terengganu, Gua Musang, Trolak, Alor Setar, Raja Alias, Segamat dan Johor Bahru.

Majlis penyampaian hadiah dilakukan Pengarah Besar FELDA Datuk Faizoull Ahmad. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Abu Bakar Harun serta Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) Anuar Abd Manap.


Kejohanan dua hari itu menawarkan wang tunai keseluruhan RM4,300, piala pusingan dan hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Buru gelaran CP130

Posted:

Kuala Lumpur: Selepas muncul juara kategori CP115 Kejuaraan AAM Malaysia Cub Prix Petronas musim lalu, pasukan Givi Pachie Yuzy Honda Racing kini memburu gelaran CP130.

Pasukan yang menampilkan empat pelumba itu juga bakal memberi cabaran dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2013. Ketua pasukan Givi Pachie Yuzy Honda Racing Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, pasukannya bersedia mencabar penguasaan beberapa pasukan utama lain dalam kejohanan itu. "Sasaran utama tahun ini sudah tentu mempertahankan gelaran 115cc dimenangi tahun lalu menerusi Mohd Amirul Ariff Musa. Sudah tentu cabaran baru musim ini adalah memburu gelaran kategori CP130 menerusi dua pelumba, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Wan Mohd Hadri Wan Mukhtar," katanya.


Cabaran kategori 115cc pasukan itu akan diterajui juara bertahan, Mohd Amirul yang bergandingan dengan Mohd Rozaliman Zakaria.

Menjelang perlumbaan pembukaan Cub Prix 2013 di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 6 dan 7 April, Yuzy berkata: "Perkembangan terbaru pasukan ini menampakkan banyak peningkatan dan semangat setiap pelumba berada pada tahap terbaik.


"Dengan pemburuan tiga kategori menerusi dua acara perlumbaan berbeza, sudah tentu persiapan rapi jawapan terbaik buat kami.


"Motivasi terbaik pelumba pasukan ini adalah menimba pengalaman bersaing dengan beberapa pasukan menampilkan pelumba berpengalaman. Sudah tentu pasukan kendalian Soong Chee Kieong iaitu Harian Metro Y-Teq SCK Honda Racing antara pencabar terkuat selain beberapa pasukan Yamaha yang juga mampu menggugat." Perlumbaan Cub Prix musim 2013 akan menampilkan saingan 20 pasukan seperti Petronas Syntium Motor Yamaha AHM, Petronas Syntium Motor Yamaha Raceline, Suzuki Fortyone Racing, Yamaha Maju Motor Racing serta beberapa lagi yang bersaing dalam kalendar perlumbaan 10 pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Skuad pingpong timba ilmu di China

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad ping pong negara akan beraksi dalam tiga kejohanan bertaraf antarabangsa tahun ini, kata Setiausaha Persatuan Ping Pong Malaysia Chan Foong Keong.

Tiga kejohanan itu ialah Kejohanan Pingpong Komanwel di New Delhi pada 5-10 Mei, Kejohanan Ping Pong Dunia di Paris (13-20 Mei) dan Sukan SEA di Myanmar (11-22 Disember).


Lapan pemain akan menggalas cabaran negara di New Delhi manakala tiga pemain beraksi di Paris.

Antara pemain yang beraksi pada tiga kejohanan itu adalah pemain berpengalaman Beh Lee Wei, Ng Sock Khim, Mohd Shakirin Ibrahim dan Chai Kian Beng.


Chan berkata, skuad negara kini menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil dan dijangka menimba pengalaman selama tiga minggu di China sebelum menghadapi Kejohanan Ping Pong Komanwel dan Kejohanan Ping Pong Dunia.


"Bagaimanapun tarikh skuad negara berlepas ke China belum ditetapkan kerana kita masih menunggu jawapan dari negara itu," katanya.

Beliau berkata, latihan di negara Tembok Besar itu bagi memperbaiki kemahiran individu setiap pemain yang bakal menghadapi saingan getir pada tiga kejohanan itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Saingan sengit rebut Anugerah Sukan UiTM 2013

Posted:

Seremban: Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2012 sempena Majlis Anugerah Sukan UiTM 2013 bakal menyaksikan saingan sengit beberapa atlet kebangsaan yang dicalonkan merebut penghormatan tertinggi bidang sukan di pusat pengajian tinggi awam itu.

Majlis yang akan diadakan Pusat Konvensyen Shah Alam, esok akan disempurnakan Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.


Pegawai Sukan UiTM Shah Alam Shahrin Ismail berkata, seramai 500 atlet dan pegawai menghadiri majlis itu.

Katanya, anugerah tahunan ini bertujuan mengiktiraf sumbangan dan komitmen atlet serta pegawai hingga berjaya mengharumkan nama UiTM dalam arena sukan, sama ada di peringkat universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.


"Sebanyak 13 kategori anugerah bakal diberikan kepada atlet dan pegawai yang mempamerkan kecemerlangan dalam bidang sukan masing-masing sepanjang 2012.


"Anugerah dipertandingkan adalah Olahragawan, Olahragawati, Emas, Perak dan Gangsa Universiti, Khas Universiti, Sijil Penghargaan, Pasukan Cemerlang, Kelab Cemerlang, Pengurus Cemerlang, Jurulatih Cemerlang, Tokoh Sukan UiTM dan Tokoh Sukan Alumni serta Penghargaan Khas Universiti," katanya.

Menurutnya, calon Olahragawan membabitkan Mohd Faiz Putra Abd Razak (bola tampar), Saiful Ridzwan Selamat (bola sepak), Jonathan Ding Sagan (boling), Saifurizan Mohd Ali (bola keranjang), Muhammad Nur Afiq Johari (kayak/mendayung), Shahrir Aizat Abdul Ghani (memanah), Mohamad Arif Zulhilmi (olahraga), Anwarul Hafiz Ahmad (ragbi), Zubair Asyraf Norazmi (kriket) dan Khairulnizam Mohd Afendy (perahu layar) Anugerah Olahragawati pula bakal menjadi rebutan antara Muslifah Zulkifli (menembak), Fatin Nurfatehah Mat Salleh (memanah), Fazila Slyvester Silin (hoki), Khairunnisa Mohd Afendy (perahu lyar), Hanis Farhana Shamsul Azizan (futsal) dan Faizah Firdaus Fauzi (kayak/mendayung).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Raja berhak beri pandangan: Subahan

Posted:

Kelana Jaya: "Sebagai jurulatih, beliau (Datuk K Rajagobal) berhak untuk beri pandangan. Saya rasa beliau tidak melanggar Artikel 88. Beliau kena lebih berterus-terang supaya jurulatih di peringkat negeri boleh sama-sama membantu memberikan yang terbaik."

Itu kenyataan diberikan pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal mengenai kedudukan Rajagobal yang kini dilihat dalam bahaya berikutan kenyataannya mengenai ketandusan penyerang tempatan kerana kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) baru-baru ini.


Menurut Subahan, beliau menyokong sepenuhnya kenyataan pengendali Harimau Malaya itu kerana ia menceritakan situasi sebenar yang berlaku dalam kancah bola sepak negara ketika ini.

"Sebagai Naib Presiden (FAM), saya rasa kenyataannya itu tidak ada kena mengena langsung (Artikel 88). Sebagai jurulatih beliau berhak memberikan pandangan. Kalau tak boleh komen macam mana beliau nak menguruskan pasukan kebangsaan. Memang benar kita perlu mencari penyerang berbakat ketika ini," katanya.


Dalam laporan Arena Metro semalam, Rajagobal menyuarakan rasa kurang senang dengan masalah ketiadaan penyerang semula jadi dalam skuad kebangsaan dan menganggap kehadiran penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan utama Liga-M.


Apa yang diluahkan Rajagobal itu susulan kepada kekalahan terbaru Harimau Malaya kepada Arab Saudi 4-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Kenyataan terbuka itu dilihat menyentuh polisi badan induk bola sepak tanah air dan Rajagobal boleh didakwa di bawah Artikel 88 Statut FAM seperti yang pernah dialami bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan sebelum ini.


Kerana kenyataan "M-League is not football" selepas pasukan kebangsaan dibelasah 5-0 oleh Emiriah Arab Bersatu pada aksi kelayakan Piala Asia pada 2009, Sathianathan dipecat FAM.

Bagaimanapun Subahan mahu semua pihak lebih fokus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan menentang Yaman pada aksi kelayakan Piala Asia 2015, Jumaat ini daripada membincangkan isu itu.


"Jangan risau kalau kita tak 'deliver', kita akan beri laluan kepada orang lain. Kontrak Rajagobal sampai hujung tahun ini, sama ada disambung atau tidak, itu bukan kuasa saya, ia ditentukan Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah) dan ahli Exco. Kita akan tengok keputusan dalam Piala Asia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Terap strategi khusus atasi taktik Yaman

Posted:

Kelana Jaya: Di sebalik masalah kepincangan bahagian serangan yang menghantui skuad kebangsaan ketika ini, ketua jurulatih Datuk K Rajagobal tetap positif mereka mampu mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri menentang Yaman pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Baginya beliau sudah mengkaji corak permainan Yaman dan berharap semua pemain dapat mengikut segala strategi yang bakal diterapkan dalam perlawanan yang dianggap mesti menang untuk Harimau Malaya terus bersaing merebut tempat terbaik dalam saingan Kumpulan D.


"Kita perlu ada keyakinan ketika bermain dengan Yaman, perlu ambil peluang terbaik ini. Masih ada tanda-tanda positif dalam perlawanan dengan Arab Saudi sebelum ini, kita jangan terlalu negatif.

"Saya pergi ke Bahrain sebelum ini dan melihat Yaman beraksi tiga perlawanan. Mereka menggunakan satu formasi saja dalam kesemua perlawanan itu. Dalam perlawanan pertama Piala Asia menentang Bahrain, mereka kalah 0-2 tapi mereka bermain baik. Saya sudah memberikan maklumat mengenai cara Yaman bermain kepada pemain dan terpulang kepada mereka untuk menggunakannya di atas padang," kata Rajagobal yang ditemui pemberita pada sesi latihan semalam.


Harimau Malaya menerima tamparan hebat menjelang pertemuan dengan Yaman pada aksi kedua kelayakan Piala Asia apabila tumpas 1-4 di tangan Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

No comments:

Post a Comment