Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Rahsia 'pelacur terhormat' didedah

Posted:

London: Di sebalik perwatakannya yang disegani, seorang wanita secara rahsia menjual dirinya melalui sebuah agensi pelacuran ekslusif dengan bayaran £100 (RM500) sejam.

Menduduki jawatan pengerusi di satu daripada pusat akademi terbaik di Britain, Marie-Louise Couzens-Abbott juga sering mendengar pelbagai isu disiplin membabitkan pelajar dan kakitangan institusi berkenaan.


Pada masa sama, ibu kepada seorang anak itu juga menjalani hidup yang berbeza di luar pengetahuan ramai.

Untuk mencari pelanggan, Marie mengiklankan dirinya di banyak laman sesawang lucah dan memuat naik gambar bogel dengan mengaburkan wajahnya bagi mengelak dikenali. Wanita berusia 48 tahun itu berkunjung ke seluruh Britain untuk memenuhi tempahan di kalangan pelanggan lelaki atau wanita.


Menurut sumber, Marie memberikan khidmatnya melalui kamera komputer. Dalam satu daripada iklan mengenai dirinya, Marie menyatakan, dia suka menemani lelaki, wanita atau mana-mana pasangan yang berminat.


"Saya ada ramai kawan yang mahu menyertai kita semua," katanya. Marie juga menganggap dirinya sebagai "ghairah, intim, seksi dan erotik." Sumber berkata, Marie membahagikan masanya untuk memenuhi keperluan dua dunia yang berbeza itu.

Foto

MARIE

"Marie menyewa sebuah rumah pangsa di Leeds bersama dua wanita lain untuk menawarkan khidmat seks, selain menetap di rumahnya di Huddersfield dan dikenali sebagai pegawai kanan Akademi Moor End.


Kegiatan Marie itu dibongkar selepas seorang wartawan menyamar untuk mendapatkan khidmatnya.

Ekoran pendedahan itu, Marie dipercayai menyerahkan surat peletakan jawatan di sekolah berkenaan. Apabila dihubungi wartawan, Marie menafikan dia pernah menjadi pelacur. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Anonymous ajak penggodam sedunia 'serang' Israel

Posted:

Tel Aviv: Sekumpulan penggodam dikenali sebagai Anonymous didakwa bakal melancarkan serangan terancang terhadap Israel mulai 7 April ini.

Untuk menjayakannya, Anonymous meminta penggodam di seluruh dunia bergabung dan menyertai gerakan #OpIsrael itu.


Menurut Anonymous, misi mereka ialah 'menghapuskan Israel dari dunia Internet'.

Kenyataan dikeluarkan oleh Anonymous menyebut, penggodam bersetuju bersatu untuk menentang Israel dan rejim Zionis itu dinasihat supaya bersedia untuk 'lenyap' dari dunia maya. "Ini bukan dilakukan seorang atau sepasukan penggodam, sebaliknya diusahakan pelbagai gerakan penggodam seluruh dunia," kata kumpulan itu. Anonymous berkata, operasi #OpIsrael itu akan mencatat sejarah sebagai serangan siber terbesar pernah dilakukan ke atas sesebuah negara. Menurut mereka, berdasarkan senarai yang dikumpulkan, sebahagian besar daripada penggodam terbabit berasal dari Timur Tengah. Sementara itu, akhbar Haaretz melaporkan, kerajaan memandang serius ancaman berkenaan.


Pegawai kanan hal ehwal Internet Israel, Ofir Ben Avi berkata, kerajaan sedang mempersiapkan pertahanan bagi menghadapi serangan berkenaan. "Ia berbeza daripada serangan siber sebelum ini kerana penggodam di seluruh dunia bergabung menyerang kami," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

6 suspek mengaku

Posted:

New Delhi: Enam penduduk kampung mengaku merogol seorang wanita Switzerland bergilir-gilir selepas mereka membelasah suami mangsa, kata polis semalam.

Pegawai polis Madhya Pradesh, M S Dhodee berkata, enam lelaki terbabit yang bekerja sebagai pekebun ditahan kerana merompak dan merogol.


"Mereka tinggal di sebuah kampung berhampiran hutan tempat pasangan suami isteri itu berkhemah sementara," katanya.

Menurut Dhodee, lelaki terbabit melintas di kawasan berkenaan dan ternampak mangsa memasang khemah untuk bermalam sebelum menyambung perjalanan ke Agra keesokan harinya.


"Mereka melihat keadaan itu sebagai peluang dan menyerang pasangan terbabit sebelum merogol bergilir-gilir wanita berkenaan," katanya.


Pasangan dari Switzerland itu berbasikal untuk melawat pelbagai destinasi pelancongan menarik di India. Mereka sepatutnya berbasikal ke Agra yang terkenal dengan mercu tanda Taj Mahal apabila berhenti seketika di kampung itu untuk bermalam. Mereka diserang antara lima hingga enam lelaki pada malam Jumaat lalu. Selepas mengikat suami mangsa, mereka merogol wanita berkenaan dan melarikan sebuah telefon bimbit serta wang bernilai hampir RM600.

Pasangan berusia 40-an itu dibantu seorang penduduk kampung yang menunggang motosikal untuk membuat aduan di balai polis.


Dhodee berkata, polis sedang berusaha mengesan semua barang yang dilarikan suspek. "Pasangan itu pergi ke New Delhi apabila doktor berkata, tiada keperluan untuk mereka terus dirawat di hospital," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Bas amfibia Tokyo dilancar

Posted:

Tokyo: Bas amfibia pelancong pertama di Tokyo mula beroperasi semalam membawa 40 penumpang mengitari jalan raya di kawasan timur bandar raya itu sebelum menyusuri Sungai Naka untuk sesi 'Perjalanan Air Tokyo' selama 100 minit.

Dua bas berkenaan yang bergelar 'Sky Ducks' berlepas dari mercu tanda baru Tokyo iaitu Skytree, menara komunikasi tertinggi di dunia dengan ketinggian 634 meter. Bas pesiaran amfibia yang sama sudah pun beroperasi di bandar raya Osaka di barat negara itu dan beberapa pusat tarikan pelancong lain di Jepun. Tokyo akhirnya menyertai bandar raya utama lain di dunia menyediakan khidmat seumpamanya, 10 bulan selepas Skytree dibuka kepada orang ramai.


Harga tiket adalah 2,800 yen (RM91) untuk dewasa dan 1,400 yen (RM45) untuk kanak-kanak bawah 12 tahun.

Bas yang berukuran 12 meter panjang dan 2.5 meter lebar itu bergerak selaju 100 kilometer sejam di daratan dan hingga 13 kilometer sejam di permukaan air. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Tiada pelan naikkan Yaowapa

Posted:

Bangkok: Parti Pheu Thai yang memerintah Thailand semalam menolak khabar angin bahawa mereka berhasrat melatih seorang lagi adik Thaksin Shinawatra, Yaowapa Wongsawat menduduki jawatan perdana menteri.

Jurucakap Pheu Thai, Prompong Nopparit berkata, peletakan jawatan pembantu Yaowapa, Kasem Nimmonrat, sebagai Ahli Parlimen Chiang Mai tidak ada kena-mengena dengan cubaan mereka menaikkan wanita itu.


"Kasem memberitahu jawatankuasa eksekutif Pheu Thai, alasan dia meletak jawatan adalah atas faktor sebab kesihatan," katanya.

Menuru Prompong, Kasem mahu berkhidmat kepada rakyat di peringkat tempatan berbanding di peringkat nasional.


Katanya, Kasem tidak dipaksa meletakkan jawatan oleh tokoh kanan dalam parti.


Khabar angin itu tercetus apabila Parti Demokrat mendakwa, Kasem berundur mungkin untuk memberi laluan kepada Yaowapa juga isteri bekas Perdana Menteri Thailand, Somchai Wongsawat menceburi politik. Yaowapa baru saja bebas daripada larangan menyertai politik selama lima tahun. Parti Demokrat berkata, Yaowapa mungkin mengambil alih jawatan perdana menteri jika pemimpin Thailand, Yingluck Shinawatra, hilang kelayakan akibat siasatan Suruhanjaya Antirasuah Nasional (NACC).

Prompong berkata, Pheu Thai tidak mencalonkan Yaowapa bertanding dalam pilihan raya kecil menggantikan tempat Kasem.


"Yingluck mendapat pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa sebagai perdana menteri dan kes terhadapnya tidak menjejaskan kewibawaan beliau sebagai perdana menteri," katanya. Yingluck disiasat NACC ekoran tuduhan bahawa dia meminjamkan 30 juta baht (RM3.1 juta) kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan suaminya, Anusorn Amornchat. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

UNHCR minta sahkan laporan penembakan bot Rohingya

Posted:

Ban Hit Lat (Thailand): Suruhanjaya Tinggi Untuk Pelarian PBB (UNHCR) meminta kerajaan Thailand mengesahkan laporan bahawa pihak berkuasa negara itu menembak bot yang membawa 133 pelarian Rohingya bulan lalu dan menyebabkan dua orang maut.

UNHCR mahu Thailand mengesahkan bot itu ditunda dua kali ke perairan antarabangsa selepas ia dikesan di Koh Surin, dekat Phangnga pada 20 Februari lalu. Pegawai UNHCR berkata, selepas pihaknya menyoal siasat pelarian yang terselamat termasuk wanita dan kanak-kanak percaya bot itu tiba di Aceh, Indonesia pada 26 Februari dengan 121 orang di atasnya. Mereka meninggalkan negeri Rakhine di Myanmar pada 5 Februari lalu dan kehabisan makanan dan air minuman ketika mendarat di Koh Surin. Sekurang-kurangnya tiga das tembakan dilepaskan pihak berkuasa Thailand walaupun tidak dipastikan sama ada mereka menyasarkannya ke arah penumpang atau sekadar amaran. Siasatan khas oleh media semalam membongkarkan dakwaan bahawa penduduk Islam di Phangnga yang membantu beberapa pelarian Rohingya terbabit yang jumlah kematiannya adalah lebih tinggi.


Seorang penduduk Muslim yang bekerja di sebuah pusat peranginan di Koh Surin berkata, dia melihat bot pelarian Rohingya terapung di pulau itu pada 20 Februari lalu dan meminta rakannya menggunakan bot laju untuk menarik bot terbabit ke pantai.

"Sebaik saja mereka tiba di pantai, kami memasak makanan untuk mereka dan menghubungi pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah mereka," katanya. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Kecewa dengan ahli politik Amerika

Posted:

Singapura: Kerajaan Singapura semalam berkata, 'sangat kecewa' dengan cubaan dua ahli politik Amerika Syarikat untuk menyekat sumbangan dana dari negara terbabit kepada sebuah institut penyelidikan di republik itu.

Ahli politik berkenaan, Senator Max Baucus dan Jon Tester telah memperkenalkan undang-undang sedemikian pada 14 Mac lalu ketika Singapura sedang menyiasat kematian Dr Shane Todd, bekas kakitangan Institut Mikroelektronik Singapura (IME) warga Amerika.


Dua senator terbabit berkata, mereka tidak mahu dana AS disumbang ke IME hingga ketua hakim negara AS mengesahkan bahawa Biro Siasatan Persekutuan mempunyai semua akses bahan bukti dan rekod mengenai siasatan itu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Singapura berkata, isu memberi tekanan tidak patut timbul antara negara yang mempunyai hubungan kerjasama terbuka dan lama terjalin berdasarkan saling menghormati antara satu sama lain.


Singapura sudah melakukan yang terbaik untuk mengamalkan dasar terbuka dalam siasatan kematian Todd dan projek IME. - The Sunday Times

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

Dua pengawal cedera diserang remaja

Posted:

Jakarta: Dua pengawal keselamatan cedera selepas sekumpulan remaja merosakkan pejabat penerbitan Tempo di Kebayoran Lama, Jakarta Selatan malam kelmarin.

Serangan itu menyebabkan tingkap kaca dan lobi pejabat itu rosak.


Insiden itu mencetuskan spekulasi bahawa wujud motif politik di sebalik serangan itu kerana kumpulan media terbabit dikenali dengan laporan yang tepat dan kontroversi.

Bagaimanapun, Ketua Editor Tempo, Daru Priyambodo yang berada di tempat kejadian ketika insiden itu berlaku, menolak spekulasi itu.


Kata Daru, serangan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab sekumpulan remaja. "Mata mereka kelihatan merah dan mereka juga sangat agresif.


"Saya rasa mereka mabuk ketika melakukan serangan itu," katanya.

Daru berkata, insiden bermula apabila sebutir batu dibaling ke arah kantin yang terletak dekat bangunan pejabat itu kira-kira jam 11 malam.


Menurutnya, beberapa kakitangan Tempo yang sedang makan malam terkejut dan segera melihat apa yang berlaku di balik tembok yang memisahkan kantin dan bangunan pejabat itu.

"Mereka meminta sekumpulan remaja terbabit agar tidak membuat kecoh," katanya.


Daru berkata, kumpulan remaja terbabit mula berang dan mengancam untuk menceroboh masuk ke dalam bangunan pejabat media itu.


Sejurus kemudian lapan remaja membawa pedang samurai, parang dan batang kayu menceroboh masuk ke bangunan pejabat dan mula merosakkan motosikal serta memecahkan tingkap kaca serta lobi pejabat itu. Berikutan kejadian itu, pejabat itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak 2 juta rupiah (RM643). - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18

No comments:

Post a Comment