Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Pemain import punca longlai

Posted:

Shah Alam: Adakah tepat langkah membenarkan pemain import kembali mewarnai kancah bolasepak tempatan?

Persoalan terbabit timbul selepas menyaksikan skuad negara dibelasah 1-4 oleh Arab Saudi dalam aksi persahabatan malam kelmarin dengan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Safiq Rahim menjaringkan gol tunggal Harimau Malaya pada minit ke-70 pada pertemuan di Stadium Shah Alam itu.


"Anda boleh lihat kita tidak mempunyai penyerang yang mampu menjaringkan gol dengan jaringan skuad negara dilakukan Safiq yang bukannya penyerang. Kita perlu sedar dengan situasi ini berbanding lawan (Arab Saudi) yang mempunyai penyerang berkaliber," kata pengendali negara, Datuk K Rajagobal selepas tamat perlawanan itu, malam kelmarin.

Menurut Rajagobal, skuad negara hanya mempunyai Norshahrul Idlan Talaha sebagai penyerang semula jadi selain Abdul Hadi Yahya yang tersenarai dalam kem latihan pusat kali ini.


"Pemain lain seperti Mohd Amri (Yahyah) lebih kepada posisi di belakang dan bukannya penyerang semula jadi. Kita tidak mempunyai Safee Sali (gambar) ketika ini (akibat kecederaan) yang boleh disifatkan seorang pemain yang kuat untuk membolehkan kita mengamalkan corak permainan diamalkan sejak dua tahun lalu. Sekarang dia tidak ada dalam skuad kebangsaan.


"Anda boleh lihat liga (domestik) sekarang. Pasukan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Kelantan... siapa penyerang mereka? Kita kena menerima hakikat ini. Tapi, tiada apa yang boleh dilakukan, ini yang berlaku dalam liga, semua pihak boleh memberikan pandangan, namun bukan senang untuk pemain beraksi di pentas berbeza," katanya.

Foto

SAFIQ (kiri) jaring gol tunggal negara di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Selain Norsharul, kem latihan pusat kali ini juga tidak mempunyai penyerang yang mampu memenuhi hasrat pengendali negara itu untuk menggegar kubu lawan menjelang aksi penting menentang Yaman untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2015 yang dijadual berlangsung Jumaat ini.


Penjaring tempatan terbanyak Liga Super ketika ini, Mohd Fauzi Roslan dari Pahang yang sudah menjaringkan enam gol diletakkan dalam senarai pemain simpanan selain Muhammad Ramzul Zahini Adenan (Selangor) dan A Thamil Arasu (Harimau Muda A).

Penyerang import ATM, Marlon Alex James mendahului senarai penjaring keseluruhan ketika ini dengan meledak tujuh gol selain penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Jean-Emmanuel Effa Owona yang kini bersama Terengganu, meledak empat gol.


Bagaimanapun Rajagobal melihat sesuatu yang positif dalam aksi bertemu Arab Saudi itu apabila menjelaskan ia memberikan gambaran lebih jelas terhadap pemain yang akan diturunkan apabila menentang Yaman di Stadium Shah Alam nanti.


Beliau turut puas hati dengan persembahan kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang pertama kali menyarung jersi negara.


"Saya akan fikirkan (peluang untuknya tersenarai), namun dengan tempoh 45 minit dia diturunkan, saya puas hati dengan persembahannya. Saya turut puas hati dengan aksi penjaga gol Selangor, Norazlan (Razali)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Peserta Kenya sapu bersih

Posted:

Dungun: Peserta Kenya menyapu bersih tempat pertama hingga keempat kategori Antarabangsa Lelaki dan Wanita Cabaran Gunung Berembun Antarabangsa Terengganu 2013 di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong, kelmarin.

Thomas Kipkosaei muncul juara antarabangsa Lelaki untuk menggondol wang tunai RM1,500 selepas menamatkan larian dengan catatan masa 2 jam 14 minit dan 10 saat manakala rakan senegara Geoffrey Birgen, kedua, 2:17.21s, menerima RM1,200. Mohamed Temam Hussien, ketiga dan Ale Munene Njue, keempat.


Kategori antarabangsa Wanita pula milik Alganesh Mohammed Kemal selepas mencatat 2:42.31s untuk memenangi RM1,500 manakala Carolin Kigen di tempat kedua 2:48.29s menerima RM1,200 dan Grace Wayua Kitgnga, ketiga, RM800.

Bagi kategori Terbuka Lelaki, peserta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhaizar Mohamad muncul juara untuk menerima RM1,500 manakala pelari Terengganu, Mohamad Afendi Nudin, kedua, RM1,200.


Kategori Terbuka Wanita pula diungguli dua peserta Kuala Lumpur apabila Azlinawati Hussain dan Foo Kam Miew muncul juara dan naib juara untuk membawa pulang RM1,200 dan RM1,000.


Dua peserta Terengganu, Rusli Sulong dan Rozmi Yunus muncul juara dan naib juara Veteran Lelaki untuk membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM800.

Seramai 681 peserta dari seluruh negara, termasuk dari Singapura, Thailand, Kenya, Jerman serta Britain mengambil bahagian dan hadiah disampaikan Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun Mohd Razif Abd Majid serta Presiden Persatuan Kembara Negara Datuk Mohd Khalid Mohd Yunus.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Balok Maju jaguh bolasepak pantai

Posted:

Kuantan: Gol tunggal hujung babak pertama membantu pasukan Balok Maju muncul juara Kejohanan Bolasepak Pantai Pergerakan Pemuda UMNO Indera Mahkota (PPUIM) di Pusat Rekreasi Air Pantai Balok, kelmarin.

Pada aksi akhir itu, pasukan bimbingan Kamaruzaman Mat Ali menewaskan Balok Baru, 1-0 untuk merangkul wang tunai RM1,000, piala pusingan dan hamper. Naib juara membawa pulang RM500 dan hadiah iringan.


Tempat ketiga milik Mawilla A yang meraih RM300 dan hamper, keempat OCBC C yang menerima RM200 dan hamper.

Kejohanan kali pertama itu disertai 40 pasukan. Majlis penyampaian hadiah dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang Datuk Wan Adnan Wan Mamat.


Kamaruzaman berkata, pengalaman pemain memberi sedikit kelebihan kepada Balok Maju merangkul kejuaraan itu.


"Saya puas hati selepas mengadakan persiapan singkat, kami masih mampu muncul juara, pencapaian yang tidak diduga semua pihak.

"Kejayaan ini menjadi landasan untuk kami menyertai lebih banyak kejohanan bolasepak pantai selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Sagil C juara takraw

Posted:

Ledang: Pasukan Sagil C berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 selepas menjuarai Pertandingan Sepak Takraw Tertutup 2013 anjuran Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Naib juara disandang pasukan 1Malaysia Bukit Gambir A yang menerima RM800 manakala 1Malaysia Bukit Gambir B, ketiga, RM500 dan MTSC Sengkang, keempat, RM300.


Pengerusi JPMM DUN Gambir M Asojan berkata, 17 pasukan menyertai pertandingan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir itu.

"Pertandingan ini memberi peluang kepada peminat sepak takraw mengembangkan bakat di samping menghidupkan semula permainan itu yang mula ditinggalkan golongan muda," kata Asojan yang juga ADUN Gambir.


"Setiap pemain memiliki kepakaran dan kebolehan tersendiri. JPMM DUN Gambir bercadang menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Tertutup Ledang pada Ogos dengan hadiah lebih lumayan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Cungkil bakat muda olahraga

Posted:

Kuantan: Lebih 1,000 atlet yang mewakili 16 kontinjen akan bersaing pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-55 Pahang 2013 di Stadium Darulmakmur pada 19 hingga 23 Mei.

Kejohanan anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan dikelolakan Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP) mempertandingkan 21 acara membabitkan tiga kategori iaitu bawah 12, 15 dan 18 tahun.


Pengarah Bahagian Sukan KPM Ee Hong berkata, kali terakhir Pahang menganjurkan kejohanan padang dan balapan MSSM itu 11 tahun lalu. Tahun lalu kejohanan diadakan di Perlis.

Menurutnya, KPM menyediakan peruntukan RM6 juta untuk menganjurkan 24 acara sukan MSSM seperti bola sepak, bola jaring, badminton, perahu layar dan ragbi yang diadakan mengikut negeri secara bergilir.


"Kejohanan MSSM diadakan bertujuan mencungkil bakat baru di kalangan pelajar untuk diketengahkan seterusnya berpeluang membawa cabaran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


"Selain itu, ia turut menjadi kayu pengukur kepada KPM menilai prestasi program pembangunan sukan di setiap negeri yang mempunyai sekolah sukan masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Logo, Lagu Rasmi, Laman Web dan Sidang Akhbar Kejohanan Balapan dan Padang MSSM di Bilik Gerakan JPNP, Kuantan, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan JPNP Mohd Raauf Jali dan Ketua Unit Sukan JPNP, Jalaluddin Ismail.


Ee Hong berkata, kejohanan itu dirasmikan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 18 Mei di Stadium Darulmakmur manakala majlis penutupan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah pada 23 Mei.

"Buat kali pertama kejohanan balapan dan padang MSSM diadakan pada waktu malam membabitkan beberapa acara, kemudahan terkini terdapat di Stadium Darulmakmur membolehkan kita berbuat demikian.


"Saya harap peminat sukan olahraga di negeri ini dapat beramai-ramai menyaksikan kejohanan yang dijangka lebih meriah dan menghiburkan," katanya.


Sementara itu, Mohd Raauf berkata, pihaknya mengadakan persiapan rapi untuk menjayakan kejohanan itu terutama membabitkan gelanggang pertandingan, pengadil dan kemudahan penginapan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

'Saya tak macam Nazmi'

Posted:

Kota Bharu: "Kepulangan saya tidak sama dengan Mohd Nazmi (Faiz Mansor) kerana kontrak saya dengan Atletico SC sudah tamat," kata Ahmad Fakri Saarani.

Penyerang kebangsaan dan Kelantan itu membuat penjelasan itu bagi menjawab persoalan punca kepulangannya untuk beraksi di Liga M dengan menyarung jersi The Red Warriors (TRW).


Penjelasan itu sekali gus menafikan khabar angin mengatakan kepulangannya sama seperti Nazmi yang hanya beraksi enam bulan bersama SC Beira Mar di Portugal selepas dikaitkan dengan masalah kewangan termasuk bayaran gaji murah.

Anak kelahiran Kota Bharu itu berkata, kepulangannya juga tiada kaitan dengan isu bayaran gaji rendah, malah mengaku menandatangani kontrak bersama Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) kerana pengurusan Atletico SC belum membuat keputusan untuk menyambung kontraknya bersama kelab divisyen tiga Portugal itu.


Katanya, penyertaannya dengan Atletico SC di penghujung musim menyebabkan dia tidak dapat beraksi meskipun sempat menjalani latihan kira-kira tiga bulan.


"Ia langsung tiada kena-mengena dengan bayaran gaji rendah. Saya menerima tawaran KAFA kerana Atletico belum membuat keputusan untuk menyambung kontrak saya.

"Kelantan pasukan kuat dan berada dalam kelas tersendiri dan saya patut bersama pasukan ini selepas menerima tawaran," katanya pada sidang media Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa.


Sementara itu, Annuar berkata, kehadiran Ahmad Fakri dijangka dapat mengatasi masalah ketumpulan jentera serangan juara tiga piala musim lalu itu selain memberi banyak pilihan kepada jurulatih Bojan Hodak untuk membuat pertukaran pemain.

Annuar yang tidak menyatakan jumlah pelaburan untuk mendapatkan Ahmad Fakri berharap Kelantan mampu bangkit untuk memberi cabaran dalam pusingan kedua Liga Super.


"Saya hanya mencari pemain. Tiada rombakan namun hanya ada pengubahsuaian yang akan dilakukan bagi mendapatkan kombinasi pemain terbaik dan urusan itu saya serahkan kepada jurulatih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Tok Gajah idam ubah nasib buruk

Posted:

Kuantan: Badi lima perlawanan berturut-turut tanpa kemenangan sebelum Liga Super berehat diharap dapat dipadamkan apabila bertemu T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu, 30 Mac ini.

Namun, kelab dari Terengganu itu diakui sebuah pasukan yang mantap dan pemain Pahang perlu bijak memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Tok Gajah.


Pengurus pasukan Datuk Che Nasir Salleh berkata, badi lima perlawanan itu tidak harus berpanjangan apabila saingan bersambung kerana semua pasukan mahu memperbaiki kedudukan.

"Saya harap semua pemain meningkatkan kualiti permainan dan tempoh rehat ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya terutama membentuk sebuah pasukan lebih mantap," katanya.


Justeru, Che Nasir berkata, pemainnya perlu lebih komited sepanjang sesi latihan jika mahu merampas kembali takhta Liga Super yang pernah dikuasai pada awal saingan liga.


Menurutnya, tidak mustahil skuad kendalian Dollah Salleh itu melakukannya kerana dari segi prestasi pasukan, tiada sebarang masalah jika pemain beraksi dalam satu pasukan.

"Saya lihat pemain berada pada prestasi terbaik cuma kegagalan menjaringkan gol menyebabkan kita sedikit ketinggalan berbanding pasukan lain.


"Bagaimanapun, kedudukan itu tidak jauh. Sebab itu, saya mahu pemain fokus dan menerapkan semangat serta persefahaman lebih baik apabila liga bersambung."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Perlis hantar pulang Ayaah, Agyare

Posted:

Kangar: Khidmat dua awang import Perlis yang dipinjam dari Kelantan bagi menggalas cabaran pada kempen Liga Malaysia musim ini bakal ditamatkan, akhir bulan ini.

Pengurus Perlis Shahruddin Ismail ketika mengesahkan tindakan menamatkan khidmat kedua-dua pemain Ghana itu, pertahanan tengah, Okinne Emmanuel Ayaah dan penyerang, Antwi Dennis Agyare itu berkata, keputusan itu terpaksa diambil berikutan aksi kurang memberangsangkan sepanjang kempen Liga Malaysia, setakat ini.


"Tindakan itu bertujuan untuk membawa masuk dan mendaftar dua tenaga import baru bagi memantapkan baki cabaran musim ini," katanya.

Shahruddin berkata, bagi mengisi kekosongan itu beberapa pemain luar negara termasuk sebuah negara Eropah dijangka menjadi pilihan untuk didaftarkan.


"Bagaimanapun, kita tidak akan terburu-buru sebaliknya mereka akan diuji terlebih dulu sebelum didaftarkan.


"Selain itu, sekurang-kurangnya dua pemain tempatan sedia ada juga bakal ditamatkan kontrak bagi memberi laluan kepada dua pemain lain."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Reformasi skuad Raja

Posted:

Kuala Lumpur: Kekalahan 1-4 kepada Arab Saudi pada aksi persahabatan yang dianggap tidak penting untuk ranking skuad kebangsaan oleh pengendali Datuk K Rajagobal perlu diambil serius jika mereka mahu mengelak aib lebih besar menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman, Jumaat ini.

Biarpun Yaman dianggap 'lubuk' terbaik untuk Harimau Malaya mengaut tiga mata di laman sendiri berbanding dua lagi pasukan pilihan, Qatar dan Bahrain dalam saingan Kumpulan D, berdasarkan aksi longlai ketika berdepan Arab Saudi di Stadium Shah Alam kelmarin, ternyata ia belum cukup meyakinkan.


Bekas pemain bolasepak kebangsaan Reduan Abdullah berpendapat Rajagobal perlu melakukan perubahan dalam skuadnya jika mahu mencipta kebangkitan dalam kempen kelayakan selepas tumpas 0-2 pada perlawanan pembukaan dengan Qatar bulan lalu.

"Banyak kelemahan yang dapat dilihat khususnya benteng pertahanan dan bahagian serangan. Bagi saya kita melepaskan empat gol yang boleh kita elakkan jika kita mempunyai disiplin taktikal.


"Dalam tempoh beberapa hari ini Rajagobal perlu melakukan sesuatu dan membuat rombakan kesebelasan utamanya. Mungkin Yaman berada di ranking lebih rendah berbanding Malaysia namun kita tidak boleh mengetepikan kemampuan pasukan Timur Tengah ini.


"Memang perlawanan dengan Arab Saudi bagus untuk Rajagobal menilai pemain namun jika mereka tetap tidak berubah ia pasti menyukarkan kita untuk mengutip mata menentang Yaman di laman sendiri," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Aksi menentang Arab Saudi menjadi medan eksperimen pemain oleh Rajagobal apabila beliau membuat pertukaran lebih enam pemain sekali gus meragut status A perlawanan itu yang boleh memberi mata kepada ranking Malaysia yang kini menduduki tangga ke-164 dunia.


Menurut Reduan yang turut memiliki pengalaman sebagai jurulatih dan kini lebih banyak menghabiskan masa sebagai pengulas bola sepak, peminat bukan hanya mahukan keputusan baik namun mahu melihat gaya permainan menarik daripada Harimau Malaya apabila berdepan Yaman yang enam anak tangga di belakang Malaysia.

"Pemain kita cepat sangat hilang bola, baru tiga kali hantaran bola sudah berjaya dirampas lawan. Saya tidak nampak kita mempunyai gaya permainan kerana itulah kita gagal mengatur gerakan dengan baik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Kelantan sedia pinjamkan pemain kepada pasukan lain

Posted:

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Amatur Kelantan (KAFA) bersedia meminjamkan pemainnya, malah menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang memberi ruang kepada setiap pasukan mendapatkan tiga pemain tempatan dan dua pemain import menjelang sesi pendaftaran semula bermula 8 April ini.

Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa berkata, mereka tidak mahu ketinggalan dan akan mengambil kesempatan menerusi peraturan baru yang dibuat FAM itu dan bersedia meminjamkan lebihan pemainnya kepada pasukan berminat.


Katanya, peraturan baru itu membuka peluang kepada semua pasukan termasuk Kelantan menukar pemain untuk memperkuatkan lagi pasukan masing-masing.

"Kami menyambut baik peraturan baru ini dan akan menggunakan peluang sebaik mungkin dalam usaha memperbaiki segala kelemahan yang ada.


"Kita bersedia meminjamkan pemain kepada pasukan lain termasuk pemain import. Kelantan kini mempunyai lebihan pemain import dan jika ada pasukan lain yang berminat, ia boleh dipertimbangkan," katanya pada sidang media memperkenalkan penyerang baru, Ahmad Fakri Saarani, semalam.


Sebelum ini FAM mengumumkan peraturan baru untuk pendaftaran semula pemain bulan depan, iaitu mengehadkan hanya dua pemain import dan tiga pemain tempatan boleh didaftarkan dalam saingan Liga Super sama ada secara pinjaman atau secara perpindahan.

Selain itu, Annuar berkata, Kelantan kemungkinan besar akan mengambil satu atau dua pemain lagi.


"Kita masih dalam proses mengambil pemain lain selain Ahmad Fakri dan mungkin satu atau dua lagi pemain akan kita bawa masuk.

"Kita perlu kekal 25 pemain dalam saingan liga dan dengan kehadiran pemain baru, kita perlu meminjamkan beberapa pemain kepada pasukan lain. Bagaimanapun, ia masih dalam proses penilaian dan terlalu awal untuk kita umumkan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

No comments:

Post a Comment