Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


7 lelaki dibunuh dengan kejam

Posted:

Mexico: Foto mengejutkan ini menunjukkan bagaimana mayat tujuh lelaki yang ditemui atas kerusi plastik ditembak di kepala dengan mesej ancaman dipaku pada dada mereka menggunakan alat pemecah ais.

Satu pelekat pada satu mayat berkenaan yang ditemui pagi semalam di Uruapan, negeri Michoacan berbunyi: "Amaran! Inilah yang berlaku kepada pencuri, penculik, penyerang seks dan pemeras ugut." Tujuh mayat yang mempunyai kesan kecederaan ditembak didudukkan di atas kerusi dekat bulatan jalan raya, kata pihak berkuasa tempatan. Pejabat pendakwa raya tidak memberikan motif pembunuhan itu.


Mayat berkenaan ditemui dengan kaki dan tangan terikat di luar kilang air minuman Pepsi. Kumpulan lelaki terbabit dipercayai berusia antara 15 hingga 40 tahun. Mayat ditemui kira-kira jam 5.30 pagi waktu tempatan. Sementara itu, tujuh lagi orang dibunuh di bandar berjiran Guerrero, Mereka terdiri daripada empat orang awam dan tiga ejen persekutuan yang bercuti daripada bertugas.

Tiga ejen itu dikejar oleh kumpulan lelaki bersenjata ketika berjalan menuju ke sebuah bank dan dibunuh selepas cuba berlindung di hotel berhampiran, kata polis.


Kedua-dua negeri di pantai barat Mexico itu menyaksikan peningkatan keganasan sejak beberapa tahun kebelakangan ekoran kegiatan kartel dadah. Kira-kira 70,000 orang terbunuh dalam kejadian keganasan dikaitkan dengan dadah di Mexico sejak tujuh tahun lalu.


President Enrique Pena Nieto yang mula memerintah Disember lalu berikrar membendung keganasan yang mencemar imej negara itu sebagai destinasi pelancongan dan menghalang kehadiran pelabur asing. - Agensi

Foto

MAYAT tujuh lelaki yang dibunuh dengan kejam diletakkan di atas kerusi plastik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

330 kali bedah untuk cantik

Posted:

London: Dia menjalani lebih 330 prosedur dan pembedahan kosmetik lebih jauh mengatasi Cindy Jackson dari Amerika Syarikat yang diiktiraf wanita paling banyak melakukan pembedahan kosmetik di dunia.

Bekas model glamor Inggeris Alicia Douvall yang terkenal kerana pendedahan hubungan sulitnya dengan selebriti termasuk mogul muzik Simon Cowell mendakwa membelanjakan lebih 1 juta pound (RM4.7 juta) untuk membesarkan payudara, menegangkan muka hingga kepada pembedahan mengecilkan jari kaki.

Alicia mendakwa perbuatannya itu menyebabkan dia ketagih untuk melakukan pembedahan hingga terpaksa menerima rawatan pemulihan sebanyak tiga kali.

Alicia yang dikaitkan dengan beberapa selebriti termasuk aktor Rourke dan bekas penyanyi Simply Red, Mick Hucknall berkata, dia sudah menjalani banyak pembedahan kerana yakin dia kelihatan hodoh.


Alicia memberitahu alasan utamanya menjalani pembedahan kosmetik ialah untuk kelihatan seperti Barbie dan ia cukup membimbangkan.


Namun, pakar bedah yang tidak berhati perut bersetuju membedahnya hanya kerana alasan tidak wajar itu.

Dia mendakwa membelanjakan hingga RM4.7 juta terhadap pembedahan kosmetik dan prosedur lain seperti suntikan Botox dengan hanya memberitahu pakar bedah dia mahu kelihatan sempurna.

"Saya sering gunakan istilah itu. Saya membawa anak patung Barbie ketika berjumpa dengan seorang perunding kecantikan untuk menunjukkan kepada mereka apa sebenarnya yang saya inginkan.

"Saya tidak sihat kerana ketagih dengan pembedahan. Tetapi tiada seorang pun doktor ditemui cuba untuk menghentikan hasrat saya. Saya fikir mereka hanya mahukan wang saya," katanya.

Alicia bercakap demikian dalam kempen "Hentikan Pembedahan Kosmetik Koboi."

Pada satu peringkat, dia terdesak untuk mengubah tubuhnya hinggakan menjalani satu pembedahan setiap minggu.

"Selain pendidikan anak perempuan, saya tidak membelanjakan wang untuk perkara lain kecuali pembedahan.

"Saya makan kacang panggang saja dan tidak pernah pergi bercuti. Malah, saya memujuk teman lelaki untuk membayar kos pembedahan saya."

Apabila ditanya adakah dia berpuas hati sekarang, dia menjawab: "Saya sudah menjalani terlalu banyak pembedahan hingga muka saya tidak dapat bergerak. Saya tidak boleh senyum dengan betul dan tidak dapat bernafas melalui hidung.

"Jika saya tidak pernah menjalani pembedahan, saya jauh lebih cantik dari sekarang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Cincang ibu kerana tak suka

Posted:

Tokyo: Seorang remaja yang didakwa membunuh ibunya dan mencincang mayat wanita itu kepada beberapa bahagian berkata, dia berbuat demikian semata-mata kerana tidak sukakan mangsa.

Remaja berusia 19 tahun itu memberitahu polis, dia juga melakukan kekejaman itu kerana ingin tahu lebih lanjut mengenai 'pembedahan anatomi'.


Dia didakwa mencincang mayat ibunya di bilik mandi rumah mereka, memotong mangsa kepada 15 bahagian mengguna pisau, lapor akhbar Sankei, semalam. Remaja itu yang tinggal bersama-sama ibunya di sebuah apartmen kecil berhampiran Tokyo kemudian menyimpan bahagian tubuh mangsa dalam tab mandi dipenuhi air sebelum memasukkannya satu persatu ke dalam karung plastik.

Remaja itu memberitahu polis dia 'tidak suka ibunya' kerana 'mangsa orang biasa.' Dia juga memberitahu mengenai minatnya untuk melakukan pembedahan terhadap tubuh manusia. Suspek yang namanya tidak boleh disiarkan kerana masih dianggap bawah umur menurut undang-undang Jepun, ditangkap minggu lalu selepas seorang anggota keluarga melawat apartmen itu dan menemui beberapa tubuh mangsa. Pembunuhan itu dipercayai dilakukan dua minggu sebelum itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Polis PNG buru banduan kanibal

Posted:

Sydney: Pihak berkuasa Papua New Guinea sedang memburu 49 banduan, termasuk pemimpin ajaran sesat, Black Jesus yang melarikan diri dari sebuah penjara negara itu.

Black Jesus atau Stephen Tari dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 2010 kerana kesalahan merogol. Dia juga disyaki memakan daging mangsa. Jurucakap penjara di Madang berkata, penjenayah itu bersama banduan lain melarikan diri kelmarin ketika pertukaran pengawal.


Ketika zaman kemuncaknya, Black Jesus mempunyai askar sendiri dan antara ajarannya, wanita muda perlu berkahwin dengannya. Ketika ditangkap pada 2007, dia mengaku turut makan daging manusia. Bagaimanapun polis hanya mendakwa dia atas tuduhan merogol. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Suami, 8, isteri, 61

Posted:

Johannesburg: Murid sekolah, Sanele Masilela, 8 berkata, perkahwinan adalah permainan kanak-kanak.

Masilela yang mengejutkan dunia apabila berkahwin dengan wanita berusia 61 tahun, Helen Shabangu di Tshwane baru-baru ini, berkata demikian ketika ditemui di kediamannya bersama-sama isterinya.


Dia mendakwa, datuknya yang sudah mati memintanya berkahwin dengan wanita berusia beranak lima itu yang sudah mempunyai suami.

Meskipun ikatan itu tidak sah mengikut undang-undang Afrika Selatan, Masilela tetap berkata, dia merasakan dirinya sudah berkahwin dan menjadi suami.


"Setiap hari berlalu dengan begitu baik, seperti yang saya bayangkan. Rakan saya berkata saya kelakar kerana berkahwin. Tetapi saya merasakan diri saya seperti seorang suami," katanya. -TS

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Parti Demokrat paling rasuah

Posted:

Jakarta: Kajian terbaru yang dijalankan oleh Lembaga Survei Nasional (LSN) menunjukkan Parti Demokrat paling rasuah antara parti yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2014.

Penganalisis LSN, Dopa Pradipta berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kajian yang dilakukan pada 26 Februari hingga 15 Mac lalu dengan membabitkan 1,230 responden di seluruh Indonesia yang berhak mengundi.


Menurutnya, 70.4 peratus responden berpendapat Demokrat paling rasuah, diikuti oleh Golkar (5.7 peratus dan PKS (4.4 peratus).

Dalam pada itu, kata Dopa, hasil kajian juga mendapati 13.5 peratus responden memilih Parti Hanura sebagai yang paling bersih, disusuli oleh Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDIP) (9.2 peratus) dan Parti Gerindra (8.5 peratus).


Pengarah Eksekutif LSN, Umar S Bakry berkata, rasuah yang melanda Parti Demokrat mencemar imej Presiden Susilo Bambang Yudhoyono hingga menyebabkan populariti pemimpin itu dan partinya terjejas teruk.


Sementara itu, imej PDIP pula meningkat dengan 20.5 peratus responden percaya parti itu mampu memimpin.

Ini diikuti dengan Parti Golkar (19.2 peratus), Gerindra (11.9 peratus), Hanura (6.2 peratus), Nasdem (5.3 peratus) Demokrat (4.3 peratus) dan Parti Amanat Nasional (4.1 peratus). - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Tanam mayat dalam rumah

Posted:

Surabaya: Seorang lelaki yang dilapor hilang sejak 14 hari lalu dikatakan mati dibunuh dan dikuburkan di sebuah rumah.

Menurut laporan detiksurabaya.com, pembunuhan lelaki itu, Rudy Gunawan, ada kaitan dengan hutang.


Akhbar itu memetik seorang jiran sebagai berkata, polis menahan dua suspek, termasuk seorang anggota tentera Indonesia berhubung pembunuhan itu.

"Edy (anggota tentera) ditahan polis pagi tadi (semalam)," kata jiran berkenaan. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Bayar RM312,000 untuk bebas tebusan Abu Sayyaf

Posted:

Zamboanga: Keluarga warga Australia, Warren Rodwell yang menjadi tebusan selama 15 bulan di selatan Filipina membayar kumpulan militan hampir AS$100,000 (RM311,120).

Timbalan Gabenor Pulau Basilan Al Rashid Sakalahul yang menjadi perunding untuk mendapatkan pembebasan itu berkata, dia memujuk kumpulan Abu Sayyaf mengurangkan jumlah wang tebusan yang diminta mereka sebelum ini.

"Ia satu rundingan yang rumit tetapi akhirnya dengan bantuan Tuhan, kami mencapai persetujuan dan berjaya membebaskan Rodwell," katanya kepada wartawan.

Rodwell, 54, yang kelihatan lesu dibebaskan di Pagadian, bandar pelabuhan di Pulau Mindanao kira-kira 100 kilometer ke timur tempat dia diculik pada 5 Disember 2011.


Polis memetik Rodwell sebagai berkata, dia ditinggalkan dalam sebuah bot oleh mereka yang menawannya di perairan antara Basilan dan Pagadian serta diberitahu agar mendayung ke tempat selamat. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Petugas penyelamat akhiri operasi

Posted:

Mae Surin: Petugas penyelamat semalam mengakhiri operasi mencari mangsa kebakaran yang memusnahkan khemah pelarian Myanmar di utara Thailand.

Seramai 36 orang, termasuk 10 kanak-kanak mati dalam kebakaran malam Sabtu lalu yang memusnahkan khemah pelarian Mae Surin, di wilayah Hong Son, kata Gabenor Narumol Paravat kepada media.

"Operasi mencari sudah selesai hari ini (semalam). Petugas penyelamat menemui 36 mayat termasuk kanak-kanak," katanya.

Beliau juga berkata, 13 mayat masih belum dikenal pasti.


"Siasatan polis masih dilakukan bagi mengetahui punca kebakaran," katanya.


Sementara itu, pelarian yang terdesak mengerat buluh dan mengumpulkan daun dari hutan berhampiran untuk membina khemah sementara selepas khemah yang menempatkan mereka musnah sama sekali.

Kebakaran itu dipercayai memusnahkan 400 kediaman menyebabkan lebih 2,000 orang hilang tempat tinggal di kawasan pergunungan pedalaman itu.

Kerajaan Thai menggesa siasatan dibuat terhadap kejadian kebakaran itu.
Kem berkenaan dibina pada 1982 dan menempatkan kira-kira 3,500 rakyat kaum minoriti Myanmar yang melarikan diri dari tentera kerajaan.

Kerajaan Thai membenarkan mereka menumpang di situ dan hanya akan menghantar mereka pulang apabila keadaan dijamin selamat.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

PM Singapura kekal berpendapatan paling tinggi

Posted:

Singapura: Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong mengekalkan kedudukannya sebagai ketua negara dengan pendapatan tertinggi di dunia.

Menurut data yang dikeluarkan Yahoo Singapura, Lee yang menjadi perdana menteri sejak 2004 memperoleh gaji sebanyak S$2.2 juta (RM5.48 juta) setahun. Jumlah itu sudah termasuk pengurangan sebanyak 36 peratus yang dilakukan tahun lalu.


Pemimpin Singapura memang diketahui berpendapatan tinggi dengan alasan untuk mengelak rasuah dan menarik minat mereka yang berbakat supaya menyertai politik.

Tempat kedua ialah Ketua Esekutif Hong Kong, Leung Chun Ying yang berpendapatan S$642,173 setahun (RM1.6 juta).


Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berada di tempat ketiga dengan purata pendapatan S$500,720 (RM1.2 juta). Pemimpin Ireland, Michael Higgins menduduki tempat keempat. Kenya tidak ketinggalan dalam membayar gaji yang tinggi kepada ketua negaranya. Presiden Uhuru Kenyatta yang terpilih menjadi memimpin negara itu dalam pilihan raya minggu lalu akan menerima gaji sebanyak S$390.561 (RM 973,219) setahun, menjadikannya ketua kerajaan kelima berpendapatan paling tinggi.


Beliau diikuti oleh Perdana Menteri Kanada Stephen dan Presiden Perancis, Francois Hollande yang berpendapatan S$291,680 (RM726,822).

Jika dilihat kepada pendapatan mereka, gaji bulanan Presiden Perancis itu tidak cukup untuk membeli kereta di Singapura sementara gaji bulanan Perdana Menteri Kanada hanya cukup membayar wang pendahuluan sebuah apartmen lima bilik di Singapura. - Agensi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

No comments:

Post a Comment