Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Rajagobal bakal didakwa

Posted:

Kelana Jaya: Kritikan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya menjerat dirinya sendiri apabila beliau bakal didakwa atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dengan kedudukannya mula goyah berikutan aksi kurang memberangsangkan Harimau Malaya sejak akhir-akhir ini, jurulatih berusia 56 tahun itu berdepan satu lagi tekanan apabila surat pertuduhan ke atasnya akan dihantar minggu depan sebelum beliau menghadap Jawatankuasa Tatatertib.


Keputusan untuk membuat pendakwaan itu diumum Datuk Taufek Abd Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang berlangsung lebih empat jam semalam.

"Kita sudah berbincang dengan panjang lebar untuk menentukan sama ada ia ada merit atau tiada merit. Merit bukan bermakna Rajagobal bersalah tapi kita buat keputusan kertas pertuduhan akan dihantar kepada Rajagobal.


"Ini bermakna kami mempunyai kes untuk mendakwa Rajagobal di bawah Artikel 88," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM semalam.


Siasatan Jawatankuasa Tatatertib ke atas Rajagobal bermula selepas jurulatih kebangsaan itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pemain penyerang negara apabila tumpas kepada Arab Saudi 1-4 pada aksi persahabatan pada 17 Mac lalu.

Dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam itu, beliau didakwa menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan teratas Liga Super yang mengakibatkan negara ketandusan penyerang semulajadi.


Sebelum ini, B Sathianathan dipecat FAM pada Februari 2009 gara-gara kenyataan pedasnya 'Liga-M bukan bola sepak' selepas menyaksikan skuad kebangsaan kendaliannya tumpas 0-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Asia 2011.

"Ya, pertuduhan ini dikeluarkan kerana beliau didakwa mengkritik dasar FAM, ini berdasarkan laporan akhbar," kata Taufek. Beliau berkata, Rajagobal perlu menjawab surat pertuduhan terlebih dulu sebelum dibicarakan dalam tempoh terdekat ini.


Rajagobal yang mempunyai kontrak hingga Disember ini membimbing skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA Laos pada tahun pertama dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada 2009 sebelum menjuarai Piala AFF pada 2010.


Sementara itu, Jawatankuasa Tatatertib turut membuat keputusan untuk mendakwa beberapa pemain Selangor atas insiden pergaduhan dengan pemain ATM selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA Januari lalu.


Taufek bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain terbabit namun kemungkinan jumlahnya sama dengan pemain ATM yang dihukum minggu lalu.


"Kita bersetuju membuat pendakwaan ke atas pemain tertentu (Selangor), saya tidak boleh dedahkan nama pemain terbabit. Tunggu surat pertuduhan dibuat," katanya yang memanggil jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim dan ATM Sathianathan untuk memberikan keterangan.


Walaupun Sathianathan hadir memberikan keterangan, jawatankuasa itu menetapkan tidak akan menilai semula keputusan dikenakan ke atas pemain ATM sebelum ini.


Empat pemain ATM, Mohd Fitri Omar digantung empat perlawanan dan denda RM1,000, G Jeevanthan dan R Surendran masing-masing digantung tiga perlawanan, denda RM1,000 dan RM1,500 manakala Mohd Shukor Adan yang tidak mengaku salah digantung dua perlawanan selain denda RM1,500.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Haas singkir Djokovic

Posted:

Miami: Pemain veteran Jerman Tommy Haas melakar kejutan apabila menyingkirkan juara dua kali Novak Djokovic 6-2, 6-4 pada pusingan keempat Terbuka Sony di Miami, semalam.

Haas, 35 tahun minggu depan, memerlukan hanya 80 minit untuk menamatkan rentetan kemenangan 14 perlawanan Djokovic pada kejohanan itu sekali gus kekalahan kedua pemain nombor satu dunia dari Serbia itu musim ini.


"Bermain menentang seseorang seperti Novak dan menang pada peringkat ini dalam karier saya, sesuatu yang menakjubkan," kata Haas.

"Ini adalah saat paling saya hargai, beraksi di stadium yang besar, pentas utama, bermain menentang pemain terbaik dunia." Kemenangan Haas yang kedua buatnya ke atas pemain nombor satu dunia, hampir 14 tahun selepas menumbangkan Andre Agassi pada suku akhir Piala Grand Slam 1999.


"Pujian buatnya. Dia bermain dengan hebat dan pemain yang lebih bagus," kata Djokovic yang memenangi Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut Januari lalu.


"Yang pasti, ia perlawanan paling buruk pernah saya lalui buat sekian lama." Kejayaan itu membolehkan Haas layak ke suku akhir buat julung kali di Miami selain memperbaiki rekod pertemuannya menentang Djokovic kepada 3-4.

Pemain Jerman itu kini berdepan Gilles Simon selepas pilihan ke-11 dari Perancis itu bangkit mengatasi seorang lagi pemain Serbia Janko Tipsarevic 5-7, 6-2, 6-2.


Kekalahan Djokovic membuka peluang buat pilihan kedua Andy Murray yang mudah ke suku akhir dengan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemain Itali Andrea Seppi untuk menggantikan Roger Federer sebagai pemain nombor dua dunia jika dia menang di Miami.

Bagi kategori wanita, Serena Williams meneruskan usahanya menjuarai Terbuka Sony kali keenam apabila menang 6-3, 7-6 ke atas Li Na untuk meraih tempat ke separuh akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Webber, Vettel bakal berpisah

Posted:

London: Mark Webber dan Sebastian Vettel tidak akan kekal bersama dengan juara Formula Satu, Red Bull selepas musim ini, menurut bekas pengurus dari Itali Flavio Briatore.

Briatore, bekas bos pasukan Renault yang menjadi sebahagian pengurusan Webber sepanjang kariernya dalam Grand Prix berkata, beliau menghubungi pemandu Australia itu Isnin lalu selepas GP Malaysia.


Beliau berkata, Webber masih marah dengan kemenangan juara dunia tiga kali Vettel di Sepang selepas mengingkari arahan pasukan dan memintasnya pada beberapa pusingan terakhir.

"Saya tidak fikir hubungan ini dapat dipulihkan," kata Briatore.


Ditanya jika beliau menjangkakan kedua-duanya akan meninggalkan pasukan hujung tahun ini, warga Itali itu berkata: "Sudah tentu. Tahun lalu sudah wujud banyak masalah." Kontrak Webber berakhir hujung musim ini manakala Vettel terikat dengan Red Bull hingga sekurang-kurangnya hujung 2014.


Dia dan Vettel beberapa kali bertelagah sejak kedua-duanya berganding pada 2009, termasuk perlanggaran pada GP Turki 2010 yang menafikan kemenangan Webber dan menyebabkan pemandu Jerman itu terkeluar daripada perlumbaan.

Webber beberapa kali mendakwa pasukannya lebih menyebelahi Vettel, sekalipun mereka berkeras menyatakan kedua-duanya memiliki status sama rata.


Briatore berkata, Malaysia membuktikan Vettel berkuasa di Red Bull bukannya prinsipal pasukan Christian Horner. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

KPT lahir atlet wakili negara

Posted:

Mersing: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mensasarkan 30 peratus atlet yang mewakili negara menjelang 2015 terdiri daripada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sasaran itu mampu dicapai kerana pada Sukan SEA terakhir, penyertaan atlet IPT sudah mencapai 27 peratus dan menyumbang 51 peratus pungutan pingat emas keseluruhan kontinjen negara.


Setiausaha Bahagian Sukan KPT Dr Saharudin Ismail berkata, KPT memberi ruang kepada atlet negara dengan menyokong pembabitan mereka dalam bidang sukan di peringkat tertinggi selain mengembangkan bakat tanpa mengabaikan pelajaran masing-masing.

"Ia juga sebagai tuntutan masa depan atlet bagi memenuhi pasaran kerjaya mereka kelak," katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Politeknik Mersing bagi meninjau perkembangan latihan dan kursus penggunaan 'Protective Scanning System' (PSS) atlet taekwondo IPT dari seluruh negara yang turut dihadiri Pengarah Politeknik Mersing Mohd Pauzi Ibrahim serta ketua jurulatih negara Moi Chee Keong.


"KPT menjalinkan kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyediakan jalinan dan ruang terbaik untuk atlet IPT meneruskan karier sukan mereka.

"Selain itu kami juga menyediakan Pusat Kecemerlangan Atlet (PIKAT) di beberapa IPT dengan memfokuskan sukan tertentu yang turut berperanan sebagai medan mengesan bakat, penyediaan alatan serta membantu mengembangkan beberapa jenis sukan bukan tumpuan," katanya.


Beliau menyatakan, atlet yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa akan ditawarkan biasiswa sukan oleh KPT dan hingga kini lebih 200 atlet IPT sudah ditawarkan pembiayaan itu.

"Penawaran biasiswa ini jumlah terbesar sejak diperkenal pada 2006. Setiap atlet mendapat manfaat sekali gus membantu menaikkan semangat kesukanan di kalangan mereka.


"Usaha ini dapat meningkatkan mutu atlet sekali gus mengharumkan negara dalam acara yang disertai." Dr Saharudin berkata, usaha KPT ini juga salah satu insentif menggalakkan pembangunan sukan negara di kalangan penuntut IPT awam mahupun swasta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Kolej Risda tempat ketiga

Posted:

Melaka: Pasukan bola sepak Kolej Risda, Alor Gajah tetap ceria walaupun sekadar menduduki tangga ketiga daripada 25 pasukan pada Kejohanan Bola Sepak IPTS 2013 (MASISWA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor baru-baru ini.

Walaupun tewas 0-2 kepada naib juara, Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) pada separuh akhir, pasukan terbabit mengaku kejayaan itu amat membanggakan.


Ketua Jurulatih Kolej Risda Zulkapri Harun berkata, sokongan pengurus pasukan Khairul Haszezy Asni dan pengurusan kolej membakar semangat pemain untuk mencipta kejayaan.

Beliau berkata, Kolej Risda yang menjuarai peringkat kumpulan layak ke kelayakan Zon Selatan dan seterusnya antara zon sebelum mara ke peringkat liga IPT 2014.


Katanya, fokus pasukan pastinya mengharungi pusingan kelayakan Liga IPT bermula hujung bulan ini dengan misi muncul tiga pasukan terbaik di Stadium Hang Tuah, Melaka.


Kolej Risda seri 1-1 dengan MITEC Johor Baru, Kolej Universiti Nilai (2-2) dan menewaskan Kolej Universiti Inti (3-2) serta Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) 2-0 untuk mara ke suku akhir.

Mereka mengecewakan Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU), 2-0 sebelum tewas di tangan KLIUC di separuh akhir.


"Latihan kini giat diadakan di Kampus Air Paabas, Alor Gajah dan kami turut mengadakan perlawanan persahabatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Skuad IPGKSAH asah ketajaman

Posted:

Sungai Petani: Pasukan bola jaring Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPGKSAH) mengorak langkah menjadi pesaing kental apabila mengadakan perlawanan persahabatan di Gelanggang Futsal 1Malaysia, Taman Semarak, Sungai Petani, Kedah.

Baru-baru ini, skuad guru pelatih itu gah menewaskan Persatuan Bola Jaring Daerah Kuala Muda/Yan (PBJDKMY), 12-6.


Ketua pasukan IPGKSAH Anis Sofea Ahmad Sufi berkata, perlawanan itu sebagai persediaan skuadnya menghadapi kejohanan IPG Zon Utara tidak lama lagi.

"Kami mengadakan perlawanan dengan pasukan agensi kerajaan atau swasta, pihak industri atau sekolah berdekatan.


"Hasilnya kami mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki demi memberi saingan kental pada kejohanan sebenar," katanya.


Sejak awal Februari lalu, IPGKSAH menang sembilan, seri sekali dan tewas dua kali aksi persahabatan yang diadakan.

"Pencapaian itu satu lonjakan semangat dan memberi kesan psikologi terhadap semua pemain sekali gus menyuntik elemen positif.


"Setiap keputusan penting buat kami. Walaupun ia perlawanan persahabatan namun kami bermain seolah-olah berada dalam gelanggang saingan sebenar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Disiplin tonik kejayaan

Posted:

Pulau Pinang: Jaringan tunggal Mohamad Shahfaif Shabani cukup buat pasukan Shark Boys B muncul juara Karnival Futsal Milo Hidup Bola (KFMHB) 2013 Bawah 16 Tahun selepas menewaskan Tiak FC dari Kupang, Kedah 1-0 pada aksi final di Safira Sports Planet, Pulau Pinang.

Sebelum itu Shark Boys B layak ke final selepas memadam impian Penang Free School, 3-1 manakala Tiak FC mengecewakan Akademi AUCMS, 2-0 melalui penentuan sepakan penalti. Shark Boys B dan Tiak FC akan mewakili Pulau Pinang ke grand final pada 7 Julai ini di Ampang Sports Planet.


Pengurus Tiak FC Khairil Anwar Hanafi akur dengan kekalahan tipis pasukannya namun tetap bangga serta memuji kesungguhan anak buah hingga layak ke final.

"Pada awal saya tidak meletak harapan tinggi untuk melangkah lebih jauh hingga ke final apatah lagi layak ke grand final. Pemain mempamer aksi menakjubkan.


"Komitmen, disiplin tinggi pemain menjadi tanda aras kekuatan pasukan ini, saya cukup teruja dengan kejayaan ini," katanya.


Sementara itu, Akademi Bola Sepak Selatan (ABS) dari Johor turut mencipta nama selaku juara kategori Bawah 12 Tahun selepas mengalahkan Kelab Futsal Kota dari Kelantan, 2-0.

Pada separuh akhir, ABS menewaskan Remaja Semangat Pejuang (RSP) Smart Kids dari Kelang, Selangor, 2-1 manakala Kelab Futsal Kota tidak menghadapi masalah menyingkirkan Putera AIMS Junior, 3-0.


Skuad ABS dan Kelab Futsal Kota turut layak ke grand final bagi kategori B-12 mewakili Pulau Pinang.

Hadiah disampaikan Pengurus Acara dan Sampling Cawangan Utara Nestle Mohd Hanif Harun dan Eksekutif Pemasaran Sukan Nestle Products Sdn Bhd Kerwin Lim.


Juara grand final bakal membawa pulang RM15,000, pingat, barangan Figos manakala naib juara (RM10,000) dan ketiga bersama RM7,000.


Siri keempat KFMHB berlangsung di Sports Planet Senawang, Negeri Sembilan, Sabtu ini dan siri kelima berlangsung di A Sports Arena Klebang, Melaka pada 13 April.


Borang penyertaan serta info kejohanan layari www.syoknyasukan.com atau hubungi Nik Muhd Radzi 019-3519934 dan Zack 019-9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Karnival DUN Sikamat meriah

Posted:

Seremban: Tiga pasukan yang dibarisi pemain berpengalaman mendominasi Karnival Sukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat 2013 di padang awam Taman College Height, Sikamat, baru-baru ini.

Pasukan Warisan PU3 muncul juara sepak takraw selepas menewaskan Desaru, 2-0, manakala tempat ketiga dan keempat milik Taman Sri Pulai dan Taman College Height.


Sikamat FC pula muncul juara futsal selepas menewaskan Desaru, 10-4 untuk dinobat juara manakala tempat ketiga milik Pulau Impian yang menewaskan Taman Sri Pulai, 4-2.

Acara bola jaring pula diungguli pasukan Freedom yang menewaskan Desaru, 8-2 manakala pasukan TPI Team menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Taman College, 6-4.


Juara dan naib juara setiap acara membawa pulang hadiah wang tunai, RM300 dan RM200 manakala tempat ketiga dan keempat meraih RM100 dan RM70.


Ketua Puteri UMNO Seremban Wan Salwati Abdullah berkata, pihaknya puas hati sambutan orang ramai walaupun tidak menawarkan hadiah lumayan.

"Kami rancang menjadikan karnival ini acara tahunan dan medan mencungkil bakat baru ahli sukan berwibawa," katanya.


Majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

SEMSAS rangkul kejuaraan ketiga

Posted:

Kuantan: Kehebatan pasukan bola keranjang lelaki Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) Kuantan begitu terserlah apabila muncul juara Kejohanan Bola Keranjang Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Zon Timur Ke-40 di Stadium SUKPA, baru-baru ini.

Pada saingan akhir, SEMSAS yang mendapat sentuhan jurulatih Ahmad Hamdany Ahmad Halimy berjaya menewaskan Sekolah Menengah Sains Dungun (SEMERDU), Terengganu, 59-49. Kejayaan di gelanggang sendiri itu adalah kejuaraan ketiga berturut-turut sejak 2011 yang juga terbaik pernah dilakar.


Ahmad Hamdany berkata, pada separuh akhir, SEMSAS dipaksa berhempas pulas sebelum mengecewakan SMS Tengku Muhammad Faris Petra (SMSTMFP), 32-24.

"Kejayaan ini hasil semangat dan kesungguhan semua pemain yang turun dengan satu matlamat iaitu menjulang kejuaraan di gelanggang sendiri.


"Ahmad Shahrizal muncul pemain terbaik perlawanan akhir manakala Wan Mohd Asyraf Wan Azman dinobat penjaring terbanyak dengan 83 mata," katanya.


Ahmad Hamdany berkata, impian seterusnya adalah meneruskan kecemerlangan pada beberapa pertandingan peringkat daerah dan negeri akan datang.

Sementara itu, Wan Mohd Asyraf berkata, impian menjulang trofi penjaring terbanyak kejohanan akhirnya menjadi kenyataan.


"Kejayaan ini hasil sokongan rakan sepasukan membentuk persembahan mantap terutama selepas bersama lebih setahun."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Cabaran getir Harimau Muda

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Muda A akan membawa cabaran Malaysia pada saingan Pestabola Merdeka 2013 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 15 September ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata, perkara itu diputuskan kerana dalam tempoh itu skuad Harimau Malaya akan berdepan Uzbekistan dan India dalam aksi perlawanan persahabatan.


"Pasukan Harimau Malaya akan diganti skuad Harimau Muda Bawah 23 Tahun pimpinan jurulatih Ong Kim Swee untuk saingan Pestabola Merdeka," katanya.

Selain Malaysia, beliau berkata, Indonesia, Singapura dan Jordan dijangka menyertai kejohanan itu.


"Kita masih menunggu maklum balas daripada tiga pasukan ini, saya jangka kita akan ketahui minggu depan," katanya sambil memberitahu venue kejohanan akan diumum tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

No comments:

Post a Comment