Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Wanita ketagih minum darah

Posted:

Seorang wanita mengaku, dia memerlukan 36 liter darah babi setiap minggu untuk memuaskan dirinya yang sentiasa dahagakan darah.

Dikenali hanya sebagai Michelle, wanita itu berkata, sejak 10 tahun lalu, dia meminum darah - termasuk darah manusia - setiap minggu dan jumlah itu jika dikumpulkan boleh memenuhi 23 tab mandi.


"Saya ketagih darah sama seperti seseorang perokok ketagih rokok.

"Darah itu diminum ketika saya membaca, berehat atau melukis," katanya.


Bekerja sebagai pelukis tatu, Michelle, 29, berkata kadang-kadang darah itu dicampur dengan sup atau ditumis.


"Jika saya meminum Bloody Mary (sejenis minuman bercampur darah), hakikatnya saya minum darah sebenar," katanya.

Michelle berkata, dia lebih gemar meminum darah babi berbanding lembu kerana rasanya yang keras serta lebih masin.


Pada masa sama, kata Michelle, dia mencuba darah manusia - sama ada lelaki atau wanita.

"Darah lelaki berbeza daripada darah wanita," katanya. Walaupun ketagih, Michelle tidak menganggap dirinya sebagai 'pontianak' sebaliknya manusia biasa yang sangat menikmati kesedapan darah.


Katanya, dia menghisap darah terus dari tangan kawan lelakinya, Johnny, seminggu sekali.


Setiap hisapan, katanya, boleh berlangsung antara 30 saat hingga lima minit.


Kata Michelle, dia juga pernah menghisap darah daripada orang lain sebelum ini.


"Ia tidak membahayakan sesiapa kerana hanya orang yang rapat dengan saya diambil darahnya.


"Setiap daripada mereka juga disahkan bebas daripada sebarang penyakit, termasuk HIV," katanya. Ketagihan kepada darah itu bermula sejak Michelle di usia remaja lagi.


Katanya, jika tertekan, dia menoreh tangannya dan tertarik melihat darah itu mengalir. Sejak itu, kata Michelle, dia sudah meminum kira-kira 4,500 liter darah.


Ibunya juga diberi tahu mengenai tabiat aneh itu.


"Ibu saya menangis sebaik saja saya memberitahunya dan menganggap saya pelik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Komuniti Bollywood sokong Sanjay Dutt

Posted:

New Delhi: Komuniti perfileman India terkejut dengan keputusan mahkamah yang mengekalkan keputusan bersalah terhadap aktor popular Bollywood, Sanjay Dutt (gambar) berhubung kes senjata api.

Mereka semalam menyuarakan sokongan terhadap pelakon berkenaan yang diarah oleh hakim mahkamah tinggi supaya melapor diri di penjara dalam masa sebulan untuk menjalani hukuman jel selama lima tahun.


Bintang dan pengarah ternama Bollywood menulis dalam laman Twitter untuk menyuarakan sokongan kepada Dutt selepas hakim berkenaan membuat keputusannya. Dutt didapati bersalah kerana memiliki senjata api secara haram. Senjata berkenaan dibekalkan kepadanya oleh ketua penjenayah yang bertanggungjawab terhadap serangan yang mengorbankan 257 orang.

Pelakon terkenal Ranbir Kapoor dan Vidya Balan adalah antara selebriti kelas A Bollywood yang mengunjungi Dutt di kediamannya untuk menawarkan simpati dan sokongan kepada aktor itu dan keluarganya.


Penganalisis industri perfileman berkata, tempoh penahanan Dutt itu akan memberi tamparan teruk kepada sektor perfileman India. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Golongan kaya Russia guna ambulans

Posted:

Moscow: Polis menjalankan siasatan khas selepas ada laporan mendakwa, beberapa ambulans diubah suai dengan hiasan mewah untuk disewa tokoh tertentu yang ingin mengelak kesesakan lalu lintas.

Jurucakap polis berkata, pemeriksaan rawak akan dilakukan ke atas ambulans di Moscow ekoran beberapa syarikat mengiklankan "perkhidmatan teksi ambulans" dengan sewaan RM605 sejam di Internet.


Sumber berkata, pemandu kenderaan itu akan memasang siren kecemasan untuk melepasi kesesakan lalu lintas di bandar raya Moscow.

Ketika pengguna jalan raya memberi laluan kerana menyangka ambulans berkenaan membawa orang sakit, kenderaan itu sebenarnya mengangkut ahli perniagaan yang ingin pergi ke mana-mana lokasi dengan segera. Seorang sumber pihak berkuasa berkata, sebuah ambulans sudah dikenal pasti. "Pemandu itu nampak mencurigakan dan tidak kelihatan seperti pemandu ambulans.


"Ketika kenderaan itu diperiksa, polis mendapati bahagian dalamnya dihias seperti limosin untuk digunakan penumpang berkemampuan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Susilo selar pejabat cukai Indonesia

Posted:

Jakarta: Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam menyelar pejabat cukai Indonesia kerana tidak merahsiakan perisytiharan pendapatan keluarganya dan mendakwa beliau menjadi mangsa.

"Jika kita tidak bertindak, jika kita tidak menghalang ini daripada berlaku, isu pendapatan akan digunakan untuk memeras ugut pembayar cukai," katanya ketika menyerahkan borang cukai pendapatannya untuk 2012 di Kementerian Kewangan di Jakarta, semalam.


"Saya menjadi mangsa dalam isu ini," kata pemimpin Indonesia itu kepada wartawan.

Susilo berkata, pendedahan dokumen cukai adalah jenayah memandangkan kerahsiaan pembayar cukai dilindungi undang-undang negara berkenaan.


Beliau menggesa Ketua Pengarah Cukai di kementerian berkenaan menyiasat dan mengenakan tindakan ke atas mereka yang membocorkan maklumat pendapatannya.


"Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang. Jika ia berlaku lagi, pejabat cukai mesti bertindak dan menjelaskan serta-merta," kata Susilo.

Beliau mengulas mengenai dokumen yang diterima oleh akhbar Jakarta Post yang mendedahkan secara terperinci pendapatannya sepanjang 2011.


Dokumen itu menunjukkan Susilo memperoleh pendapatan Rp1.37 nilion (RM122,400) selaku presiden dan Rp107 juta (RM34,195) lagi dalam bentuk royalti.

Maklumat itu yang disahkan oleh sumber di pejabat cukai juga menunjukkan simpanan dalam akaun bank Susilo berjumlah Rp4.98 bilion (RM1.6 juta) dan AS$589,188 (RM1.8 juta) pada 2011. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Jangan main isu Kudeta!

Posted:

Menteri Pertahanan Purnomo Yusgiantoro semalam memberi amaran kepada rakyat Indonesia supaya tidak bermain dengan isu rampasan kuasa terhadap kerajaan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas khabar angin kononnya akan ada tunjuk perasaan besar-besaran pada 25 Mac depan untuk mendesak penggulingan kerajaan Susilo.


"Siapa yang hendak merampas kuasa. Pihak mana yang menguasai senjata? "TNI (Tentera Nasional Indonesia) bukan. Tetapi TNI tidak akan berbuat demikian," kata Menteri Pertahanan itu selepas menyaksikan perlepasan pasukan Aerobatik Jupiter ke Langkawi di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur.

Menurut Purnomo, rampasan kuasa tidak akan berlaku ke atas kerajaan Susilo.


"Tidak akan ada rampasan kuasa. Jika terjadi atau ada pihak yang mahu bertindak menggulingkan kerajaan, kita akan serbu mereka.


"Jangan main-main dengan kedaulatan Negara Kesatuan Republik Indonesia," kata Menteri Pertahanan Indonesia itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Jumlah kematian meningkat

Posted:

Kerajaan Myanmar semalam mengisytiharkan perintah berkurung di bandar raya ini selepas kekacauan antara penduduk Islam dengan Buddha mencetuskan kebimbangan kemungkinan pertumpahan darah akibat sengketa agama tahun lalu kini merebak ke tengah negara itu.

Dua puluh lima orang, hampir semuanya penduduk Islam terbunuh dan puluhan lagi cedera apabila penduduk beragama Buddha merusuh berikutan satu perkelahian di sebuah kedai emas milik seorang lelaki Islam.


Beberapa buah masjid dibakar oleh perusuh terbabit Ratusan penduduk Islam terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk mencari perlindungan di sebuah stadium, kata pegawai tempatan. "Apabila saya keluar dari kereta, sekumpulan lelaki menyerang saya dengan pedang dan pisau," kata seorang lelaki Islam yang diserang ketika dalam perjalanan ke stadium itu.

Dalam pada itu, beberapa mayat mangsa yang terbunuh dalam keganasan dua hari lalu masih dilihat bergelimpangan di sekitar jalan raya.


Kekacauan itu menyusuli keganasan penduduk Buddha di Rakhine tahun lalu yang meragut 180 nyawa kaum Rohingya dan menyebabkan lebih 120,000 orang hilang tempat tinggal.'

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Bashar berang ulama terbunuh

Posted:

Presiden Syria semalam berikrar menghapuskan golongan pelampau yang dipersalahkan atas insiden pengebom berani mati yang membunuh ramai orang, termasuk ulama terkenal, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Bouti.

Sambil memberi amaran kepada pejuang antikerajaan yang cuba menggulingnya, Bashar al-Assad berkata, tentera Syria akan "menghapuskan" serta membersihkan negara itu daripada "kuasa kegelapan." "Mohammad Said adalah tokoh mewakili kehendak sebenar Islam dalam menghadapi kuasa kegelapan dan ideologi ekstrem.


"Darah anda dan cucu anda, serta semua rakyat Syria yang syahid tidak akan dipersia-siakan kerana kami akan meneruskan pemikiran anda untuk menghapuskan kegelapan mereka dan membersihkan negara ini daripada mereka," katanya. Kenyataan itu dibuat ketika Kementerian Kesihatan Syria mengesahkan, jumlah korban akibat serangan pengebom berani mati di dalam masjid itu meningkat kepada 49 orang.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki meletupkan dirinya di sebuah masjid di tengah Damsyik, sekali gus mengorbankan Mohammad Said, 84, yang ketika itu sedang menyampaikan kuliah agama.


Turut terkorban, cucu Mohammad Said dan 84 yang lain cedera.


Sejak sekian lama, Mohammad Said - yang dikenali di seluruh dunia kerana banyak buku tulisannya - adalah penyokong kuat Bashar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Kereta lasak enam roda pertama Mercedes Benz

Posted:

Mercedes Benz semalam mendedahkan keluaran terbaru - kereta lasak enam roda, yang pertama sejak model sama dikeluarkan untuk pemimpin Nazi di Jerman pada 1930-an.

Mercedes G63 AMG 6x6 ini adalah model edisi terhad berdasarkan G-Wagon.


Ia direka untuk memiliki keupayaan lasak seperti sebuah kereta kebal, memacu seperti sebuah kereta lumba dan memiliki ciri-ciri mewah seperti sebuah limosin.

Bagaimanapun, pengeluaran kereta 6x6 itu dihadkan kepada 30 unit saja setahun. Harganya pula, kira-kira RM1.7 juta, menjadikannya model paling mahal syarikat berkenaan dan tiga kali ganda lebih tinggi berbanding G-Wagon.


Kereta ini dijangka mendapat sambutan hangat di kalangan pembeli di Asia Barat. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

4 bulan RM2 bilion

Posted:

SP Setia Berhad mencatatkan jualan keseluruhan RM2.02 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2013 dan ia meningkat 64 peratus berbanding tempoh sama pada tahun kewangan lalu.

Pencapaian itu direkodkan atas sumbangan beberapa projek yang kini dibangunkan antaranya Setia Alam dan Setia Eco Park di Shah Alam, SetiaWalk di Pusat Bandar Puchong, Setia Sky Residences di Jalan Tun Razak, KL Eco City di Jalan Bangsar, Bukit Indah, Setia Indah, Setia Tropika, Setia Eco Cascadia, Setia Business Park II dan Setia Eco Gardens di Johor Bahru dan Setia Pearl Island, Setia Vista dan Setia Greens di Pulau Pinang.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Liew Kee Sin berkata, pihak melihat pembangunan di kawasan berkenaan boleh menyumbang kepada pencapaian lebih tinggi kepada RM5.5 bilion pada tahun kewangan 2013.

Beliau berkata, selain itu, SP Setia juga semakin kukuh di kalangan pemain industri hartanah di negara ini dengan mempunyai catatan RM70 bilion nilai pembangunan kasar (GDV) setakat Januari lalu bagi membangunkan pelbagai projek terkini dan akan datang.


"Syarikat melihat tahun ini sangat mencabar kerana kami perlu melaksanakan pelbagai projek di dalam dan luar negara antaranya pelancaran Stesen Kuasa Battersea di London yang mana SP Setia mempunyai 40 peratus kepentingan.


"Kami juga melancarkan dua projek baru di Malaysia dan satu di Singapura dalam tempoh empat bulan pertama tahun kewangan ini iaitu Setia Eco Glades di Cyberjaya, Setia EcoHill di Semenyih dan Eco Sanctuary di Singapura," katanya. dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Liew berkata, pihaknya juga agresif membangunkan projek akan datang seperti Kompleks 1NIH di Setia Alam, Setia Bukit Persekutuan di Bangsar, Setia Eco Hutan di Pulau Pinang dan Parque Melbourne di Australia yang akan dilancarkan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Anak makan, muntah kondom

Posted:

Seorang ibu menyaman restoran makanan segera McDonald's selepas anak lelakinya yang berusia dua tahun memakan kondom yang sudah digunakan yang ditemui di kawasan permainan kanak-kanak restoran terbabit.

Anishi Spencer memfailkan tuntutan ganti rugi sebanyak AS$50,000 (RM150,000). Anishi mendakwa dia mengunjungi cawangan restoran itu di Chicago dengan anak lelakinya, Jonathan, tiga, dan Jacquel, dua, pada 4 Februari tahun lalu apabila kanak-kanak itu menemui kondom terpakai di lantai ruang permainan restoran berkenaan di Kezie Avenue.


Dia berkata, anak lelakinya Jacquel kemudian memuntahkan kondom itu dan kedua-dua mereka terpaksa dirawat di hospital. Dalam kes saman itu, Anishi menuduh McDonald's Corporation di Illinois gagal membersihkan 'bahan berbahaya' di kawasan permainan kanak-kanak, lapor akhbar Chicago Sun Times. Ia juga mendakwa rangkaian restoran itu tidak menggunakan alat pengawasan untuk mengesan kegiatan 'kurang sopan' di kawasan sekelilingnya.

Seorang jurucakap McDonald's berkata: "Menyediakan persekitaran yang selamat dan bersih menjadi keutamaan kami. Restoran di Kezie Avenue juga tidak terkecuali.


"Kami memandang serius hal ini dan mula menyiasat semua dakwaan dikemukakan untuk mengumpulkan bukti. Menurut jurucakap itu, ketika saman itu difailkan, syarikat itu belum menyelesaikan siasatan mereka.


Dia juga berkata, syarikat itu sukar untuk menjalankan siasatan kerana Anishi tidak menyerahkan kondom yang didakwanya ditemui di perkarangan restoran berkenaan.

"Ini hanya dakwaan dan kami meminta orang ramai agar tidak membuat kesimpulan tanpa fakta yang kukuh," kata jurucakap itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

No comments:

Post a Comment