Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Mustang digelar Spider-man sebenar

Posted:

Seorang bekas penasihat undang-undang warga Ukraine mengambil gambar mencemaskan ini ketika mendaki bangunan dan bergayut dari menara di Kiev dan Moscow.

Tanpa menggunakan alat keselamatan, pemuda berusia 26 tahun itu yang menggelar dirinya "Mustang Wanted" mempertaruh nyawa menerusi hobinya di peringkat ekstrem. Aksi lagak ngerinya yang membuatkan orang gementar termasuk bergayut di bangunan hanya dengan sebelah tangan dan mengimbangkan diri secara menjinjit di atas batang logam yang tergantung tinggi.


Aksi berbahaya dilakukannya itu membolehkan dia mendapat jolokan nama samaran "Spider-Man sebenar" Dia menulis dalam laman Facebooknya: "Ketakutan tidak wujud. Kadang-kadang saya rasa macam robot. Saya tidak merasakan apa-apa.

"Kematian bukan perkara terburuk yang boleh terjadi. Setiap orang akan mati, tetapi tidak semua orang dapat hidup sebagaimana yang mereka inginkan.


"Jika anda takut dengan semua perkara, anda perlu hidup dalam makmal yang telah disteril." Mustang menegaskan dia lebih rela mati daripada mengalami kecederaan yang akan menamatkan kariernya. "Jangan cuba meniru aksi yang saya lakukan kerana ia benar-benar berbahaya. "Saya sudah melakukan aksi ini selama bertahun-tahun, hanya untuk kepuasan diri. Jaga kehidupan dan kesihatan anda!" Mustang masih mencari peluang penajaan dengan menawarkan untuk dirakam bergambar bersama logo syarikat sambil bergayut dari bangunan pencakar langit setinggi 213 meter.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Tolak tuntutan

Posted:

Pihak berkuasa Thai menolak tuntutan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membebaskan semua tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Nasional, Lt Jeneral Paradorn Pattanatabut memberitahu demikian kepada wartawan semalam selepas berunding dengan wakil BRN di Kuala Lumpur kelmarin.


Menurutnya, dalam rundingan itu, Ketua Perhubungan BRN, Hassan Taib mengemukakan tuntutan pengampunan beramai-ramai untuk pejuang pemisah yang tertumpu kepada empat perkara iaitu menarik balik waran tangkap terhadap suspek pejuang, membebaskan tahanan yang didapati bersalah dalam keganasan di selatan negara itu, menarik balik kes yang tertunda terhadap suspek pejuang dan membatalkan senarai hitam suspek pejuang.

Paradorn berkata, beliau menolak tuntutan membebaskan tahanan sementara tiga lagi tuntutan akan dibincangkan dengan Kementerian Kehakiman dan agensi berkaitan yang lain.


Mengenai gesaannya supaya pejuang pemisah itu mengecualikan orang awam sebagai sasaran, Hassan berikrar untuk cuba meyakinkan kumpulan pemisah lain supaya mengekang keganasan.


Wakil BRN itu bagaimanapun mengaku sukar untuk memujuk kumpulan lain yang menentang rundingan damai itu untuk mengurangkan serangan mereka, kata Paradorn yang mengetuai sembilan wakil kerajaan ke rundingan itu.

Kumpulan pemisah pula diwakili enam anggota daripada Penyelaras BRN, Kongres BRN dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (Pulo).


Kedua-dua pihak sebelum ini dikatakan akan menghantar masing-masing 15 wakil, termasuk perwakilan daripada sembilan kumpulan pemisah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Penulis terkenal rogol 5 wanita larikan diri

Posted:

New Delhi: Seorang penulis yang pernah memenangi anugerah kini melarikan diri selepas lima wanita yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah amal menuduhnya merogol mereka, kata polis semalam.

Laxman Mane, 63, gagal dikesan sejak wanita terbabit membuat aduan pada awal minggu ini.


Menurut mereka, Mane merogol mereka berkali-kali antara 2003 hingga 2010 dan kebanyakan insiden itu berlaku di premis sekolah berkenaan di Maharashtra.

Pegawai polis daerah Satara, Amol Tambe berkata, Mane melarikan diri sejak kes pertama difailkan pada tengah malam Isnin lalu. "Aduan baru difailkan pada Rabu dan sepasukan polis diarah mengesan penulis terbabit," katanya. Mane adalah presiden eksekutif sebuah yayasan yang menguruskan sekolah untuk kanak-kanak tidak bernasib baik itu. - AFP Mane menerima Anugerah Padma Shri - dianggap antara pengiktirafan tertinggi di India - atas sumbangannya kepada kesusasteraan pada 2009. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Pyongyang sudah sedia serang

Posted:

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un semalam memberi amaran bahawa roket negara itu bersedia "menyelesaikan masalah dengan AS" selepas pesawat pengebom B-2 menggugurkan bom palsu dalam latihan tentera di Korea Selatan.

Menurut Kim, masanya telah tiba untuk Pyongyang menghadapi imperialis Amerika Syarikat (AS) berdasarkan keadaan semasa.


Agensi Berita Pusat melaporkan, Kim mengadakan mesyuarat tergempar dengan pegawai kanan tentera sejurus selepas tengah malam kelmarin.

Kim kemudian menandatangani pelan persediaan pelancaran roket dan mengarahkan tentera negara itu bersedia menyerang AS, Korea Selatan, Guam dan Hawaii.


Semalam juga, dataran utama di Pyongyang dipenuhi puluhan ribu warga Korea Utara yang mengadakan rapat umum selama 90 minit bagi menyokong seruan Kim.


Dengan berbaris sambil menjulang penumbuk melaungkan slogan mengecam AS serta Korea Selatan. Biasanya, ancaman dan retorik Kim dibuat bukan untuk berperang, sebaliknya cuba memaksa Seoul melembutkan dasarnya terhadap Korea Utara. Di samping itu, ia juga meningkatkan imej Kim di negara berkenaan.

Bagaimanapun, ancaman Pyongyang dan permusuhan yang kian meningkat ekoran sekatan PBB pada 12 Februari lalu menambahkan lagi kebimbangan terhadap kemungkinan meletus peperangan. Sementara itu, Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, kapal perang bersaiz kecil milik Korea Utara, termasuk bot peronda, melakukan latihan maritim di perairan berhampiran Korea Selatan kelmarin.


Jurucakapnya berkata, latihan itu mungkin membawa kepada aksi provokasi sebenar dan perkembangan itu dipantau dengan teliti bersama AS.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

100 penduduk Islam Myanmar hilang

Posted:

Sit Kwin (Myanmar): Keganasan agama menyebabkan sebahagian daripada kira-kira 100 penduduk Islam di perkampungan Sit Kwin dilaporkan hilang.

Selain rumah, kedai dan masjid dimusnahkan, sesetengah daripada mereka terpaksa berlindung di kem pelarian atau berlindung di rumah rakan atau saudara-mara.


Berpuluh-puluh lagi dibunuh penganut Buddha. Pemandu teksi, Aung Ko Myint, 24, berkata dia tidak tahu ke mana penduduk Islam berada ketika ini.

Katanya, dia menyaksikan penganut Buddha menyelongkar sebuah kedai milik seorang daripada penduduk Islam yang masih tingal di Sit Kwin.


"Pemilik kedai itu melarikan diri sejurus sebelum penyangak tiba," katanya. Sejak 42 orang terbunuh dalam keganasan di bandar Meikhtila pada 20 Mac lalu, kekacauan berpunca daripada pelampau Buddha merebak ke sekurang-kurangnya 10 bandar dan kampung lain di tengah Myanmar.


Pelampau mengganas ekoran seruan anti-Islam yang disebar melalui telefon dan rangkaian media sosial seperti Facebook.

Golongan sami menyeru mengenai 'gerakan 969' - merujuk kepada ajaran dalam agama Buddha. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Penentang kuasai Dael

Posted:

Pejuang antikerajaan Syria menawah sebuah bandar penting di pinggir lebuh raya utama di antara Damsyik dan wilayah Daraa yang bersempadan dengan Jordan, kata Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia, semalam.

Pegawai pertubuhan berkenaan berkata, Dael dikuasai pejuang antikerajaan selepas mereka memusnahkan tiga pos pemeriksaan tentera di laluan masuk bandar itu.


"Seorang kanak-kanak adalah antara 10 orang yang terbunuh di kalangan orang awam dalam pertempuran itu," katanya. Turut terbunuh, katanya, sekurang-kurangnya 15 pejuang dan seorang aktivis media yang bekerja dengan pertubuhan berkenaan. Pegawai berkenaan berkata, sebahagian besar wilayah Daraa kini dalam kawasan pejuang antikerajaan dan mereka juga semakin mara dari arah selatan menghampiri Damsyik.

Katanya, beberapa bandar dan perkampungan juga tidak lagi berada dalam kawalan tentera. "Daraa hampir terputus hubungan sepenuhnya dari Damsyik," katanya. Penguasaan Dael berlaku sehari selepas seorang ahli Parlimen yang setia kepada rejim Presiden Bashar al-Assad memberi amaran kepada kerajaan. Walid al-Zohbi berkata, pejuang antikerajaan semakin mara di Daraa walaupun membuat beberapa pengunduran atas alasan taktikal. "Namun, pengganas Barisan al-Nusra telah mendapat kedudukan di wilayah itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Dubai mahu kalahkan Heathrow

Posted:

Dubai: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai bersedia menjadi lapangan terbang paling sibuk di dunia pada 2015.

Lapangan terbang itu buat masa ini disahkan sebagai lapangan terbang kedua tersibuk dunia untuk penumpang antarabangsa, mengatasi Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris.


Sejak awal tahun ini lapangan terbang itu melonjak dua anak tangga dalam senarai dunia dan kini bersaing untuk merampas gelaran sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk dunia daripada Lapangan Heathrow London.

Lonjakan dalam senarai dunia itu disahkan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa. Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai mengekalkan pertumbuhan penumpang pada 2013, dengan jumlah penumpang meningkat 13 peratus kepada 10,640,120 dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini. "Kami berpuas hati dengan pencapaian yang dilakukan. Ia adalah petanda jelas bahawa lebih ramai memilih Dubai sebagai hab pilihan mereka bukan saja kerana rangkaian global yang meluas tetapi kemudahan yang hebat," kata Ketua Pengarah Eksekutif Dubai Airports, Paul Griffiths.


"Berdasarkan kadar pertumbuhan yang subur dan kekangan kapasiti Heathrow London, kami berazam mengambil alih gelaran sebagai lapangan terbang tersibuk dunia untuk laluan antarabangsa menjelang 2015," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Obama tidak lagi pro-Palestin

Posted:

Hanya segelintir rakyat Israel kini melihat Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama sebagai pro-Palestin sejak lawatannya ke negara Yahudi itu dan wilayah Tebing Barat minggu lalu.

Tinjauan yang dilakukan akhbar Jerusalem Post mendapati hanya 16 peratus responden berpendapat Obama pro-Palestin berbanding 36 peratus sebelum lawatan pemimpin Amerika Syarikat itu pada 20 hingga 22 Mac lalu.


Golongan yang mengatakan Obama pro-Israel meningkat daripada 26 peratus kepada 27 peratus, tetapi mereka yang berpendapat dia 'berkecuali' melonjak dengan ketara, daripada 26 peratus kepada 39 peratus. Dalam lawatannya yang pertama ke Israel selaku presiden, Obama berikrar untuk terus menyokong negara Yahudi itu ekoran ancaman yang dihadapinya dari Iran.

Beliau juga berusaha memulihkan hubungannya dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu setelah renggang kerana perselisihan pendapat tahun lalu.


Kira-kira 500 responden mengambil bahagian dalam tinjauan pendapat yang dilakukan akhbar itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Wanita ketagih minum darah

Posted:

Seorang wanita mengaku, dia memerlukan 36 liter darah babi setiap minggu untuk memuaskan dirinya yang sentiasa dahagakan darah.

Dikenali hanya sebagai Michelle, wanita itu berkata, sejak 10 tahun lalu, dia meminum darah - termasuk darah manusia - setiap minggu dan jumlah itu jika dikumpulkan boleh memenuhi 23 tab mandi.


"Saya ketagih darah sama seperti seseorang perokok ketagih rokok.

"Darah itu diminum ketika saya membaca, berehat atau melukis," katanya.


Bekerja sebagai pelukis tatu, Michelle, 29, berkata kadang-kadang darah itu dicampur dengan sup atau ditumis.


"Jika saya meminum Bloody Mary (sejenis minuman bercampur darah), hakikatnya saya minum darah sebenar," katanya.

Michelle berkata, dia lebih gemar meminum darah babi berbanding lembu kerana rasanya yang keras serta lebih masin.


Pada masa sama, kata Michelle, dia mencuba darah manusia - sama ada lelaki atau wanita.

"Darah lelaki berbeza daripada darah wanita," katanya. Walaupun ketagih, Michelle tidak menganggap dirinya sebagai 'pontianak' sebaliknya manusia biasa yang sangat menikmati kesedapan darah.


Katanya, dia menghisap darah terus dari tangan kawan lelakinya, Johnny, seminggu sekali.


Setiap hisapan, katanya, boleh berlangsung antara 30 saat hingga lima minit.


Kata Michelle, dia juga pernah menghisap darah daripada orang lain sebelum ini.


"Ia tidak membahayakan sesiapa kerana hanya orang yang rapat dengan saya diambil darahnya.


"Setiap daripada mereka juga disahkan bebas daripada sebarang penyakit, termasuk HIV," katanya. Ketagihan kepada darah itu bermula sejak Michelle di usia remaja lagi.


Katanya, jika tertekan, dia menoreh tangannya dan tertarik melihat darah itu mengalir. Sejak itu, kata Michelle, dia sudah meminum kira-kira 4,500 liter darah.


Ibunya juga diberi tahu mengenai tabiat aneh itu.


"Ibu saya menangis sebaik saja saya memberitahunya dan menganggap saya pelik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

Komuniti Bollywood sokong Sanjay Dutt

Posted:

New Delhi: Komuniti perfileman India terkejut dengan keputusan mahkamah yang mengekalkan keputusan bersalah terhadap aktor popular Bollywood, Sanjay Dutt (gambar) berhubung kes senjata api.

Mereka semalam menyuarakan sokongan terhadap pelakon berkenaan yang diarah oleh hakim mahkamah tinggi supaya melapor diri di penjara dalam masa sebulan untuk menjalani hukuman jel selama lima tahun.


Bintang dan pengarah ternama Bollywood menulis dalam laman Twitter untuk menyuarakan sokongan kepada Dutt selepas hakim berkenaan membuat keputusannya. Dutt didapati bersalah kerana memiliki senjata api secara haram. Senjata berkenaan dibekalkan kepadanya oleh ketua penjenayah yang bertanggungjawab terhadap serangan yang mengorbankan 257 orang.

Pelakon terkenal Ranbir Kapoor dan Vidya Balan adalah antara selebriti kelas A Bollywood yang mengunjungi Dutt di kediamannya untuk menawarkan simpati dan sokongan kepada aktor itu dan keluarganya.


Penganalisis industri perfileman berkata, tempoh penahanan Dutt itu akan memberi tamparan teruk kepada sektor perfileman India. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/23

No comments:

Post a Comment