Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sekretariat FAM tidak terbabit

Posted:

"Mungkin ada komplot untuk menjatuhkan Datuk K Rajagobal (gambar) dan media digunakan sebagai alat oleh pihak terbabit". Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad ketika ditanya mengenai kemungkinan ketua jurulatih kebangsaan itu bakal dikenakan tindakan apabila dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut FAM.

Pengendali berusia 56 tahun itu didakwa mengkritik dasar FAM kerana menyatakan kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) menyumbang kepada masalah ketandusan penyerang skuad negara.


Rajagobal didakwa mengeluarkan komen itu pada sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan skuad Harimau Malaya tumpas 1-4 di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 17 Mac lalu.

"Saya mengesahkan sekretariat FAM tidak terbabit namun mungkin ada plot dalam keluarga (FAM) untuk menyingkirkan Rajagobal," kata Azzuddin.


Azzuddin yang dilantik sebagai Setiausaha Agung pada 2007 menyatakan Rajagobal masih mempunyai hak untuk mempertahankan diri apabila dipanggil menghadap Jawatankuasa Tatatertib.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Fokus baru United

Posted:

Selepas Manchester City mengaku kalah dalam perebutan takhta Liga Perdana, pendahulu Manchester United kini mengalih fokus memburu rekod dan memastikan semua pemain cergas.

United mengunjungi Sunderland hari ini dan kemenangan memberikan kelebihan 18 mata ke atas pasukan tempat kedua, City selepas pengurus Roberto Mancini mengaku United sudah tidak boleh dikejar sebelum melayan kunjungan Newcastle United.


Perbezaan itu adalah rekod julat yang pernah menyaksikan United merampas takhta milik Arsenal pada 2000 namun kini pengurus Alex Ferguson ingin mengatasi pencapaian 95 mata dilakar Chelsea ketika menjulang gelaran musim 2004-05.

United turut mengintai untuk membalas dendam terhadap penyokong Sunderland yang bersorak kegembiraan ketika anak buah Ferguson tewas dalam perebutan takhta kepada City di Stadium of Light pada hari terakhir liga musim lalu.


Bagaimanapun, segala niat untuk membalas dendam dan mencipta sejarah harus dipertimbangkan dengan kerana mereka perlu kekal fokus bagi perlawanan ulangan suku akhir Piala FA menentang Chelsea, Isnin ini.


Berikutan tempoh rehat pendek antara perlawanan serta aksi antarabangsa, Ferguson turut membayangkan akan melakukan perubahan ketika bertemu pasukan bimbingan Martin O'Neill.

"Setiap jurulatih mendoakan pemain cergas selepas pulang daripada tugasan antarabangsa," kata Ferguson. "Saya perlu pastikan pemain cergas kerana kami juga bakal turun menentang Chelsea pada Isnin.


"Cabaran begitu tinggi buat skuad ini dan kami harus memberi tumpuan selain saya juga perlu memilih pemain yang tepat." Aksi Liga Perdana yang disambung semula menyaksikan City, Chelsea, Tottenham Hotspur, Arsenal dan Everton menyambung semula pertarungan lima penjuru untuk tiga tempat Liga Juara-Juara di belakang United.

Chelsea, ketinggalan empat mata kepada City berada di tempat ketiga, akan berkunjung ke Southampton hari ini, manakala Spurs, tempat keempat mengunjungi Swansea City dan tempat kelima Arsenal menerima kunjungan pasukan kedua tercorot Reading.


Everton, dua mata di belakang Arsenal, di tempat keenam, akan bertemu Stoke City.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

'Kami masih mampu'

Posted:

Rafael Benitez (gambar) yakin Chelsea masih mampu merebut kedudukan kedua Liga Perdana jika menewaskan Southampton awal pagi ini, perlawanan yang bakal menjadi penanda aras kemajuan Blues.

Kemenangan di St Mary's akan membantu skuad bimbingan Benitez kini di tangga ketiga dan akan meningkatkan tekanan ke atas pasukan tangga kedua, Manchester City yang memiliki kelebihan lima mata. Perlawanan ini yang pertama daripada enam perlawanan dalam tempoh 16 hari buat Chelsea dan mereka kemudian turun pada aksi ulangan pusingan keenam Piala FA menentang Manchester United, 48 jam selepas bertemu Southampton.


Program itu akan menilai kemampuan skuad Benitez tapi pengurus dari Sepanyol itu berkata: "Lebih baik berdepan jadual seperti ini kerana ia secara tidak langsung menunjukkan anda masih kekal bersaing.

"Bagi pasukan terbaik, bulan terakhir detik mereka merebut trofi dan kami masih ada peluang dan ia satu senario positif.


"Pada peringkat ini, kami mesti menang banyak perlawanan untuk memenangi trofi. Kemenangan mesti dicipta bermula sekarang." Chelsea kini mengatasi Tottenham dengan kelebihan satu mata manakala Arsenal ketinggalan empat mata di kedudukan kelima.


Perebutan tempat ke Liga Juara-Juara dijangka semakin sengit pada hujung musim. Meskipun Benitez sedar cabaran dua kelab utara London itu, mereka tetap fokus untuk memintas City.

"Saya mahu lihat sama ada kami mampu mengurangkan jurang dan saya yakin City juga bimbang, sama seperti kami bimbangkan cabaran Tottenham, Arsenal dan Everton.


"Kami menjalani latihan dengan bagus sejak beberapa minggu lalu dan pemain mempamerkan permainan yang menarik.

"Jika kami boleh kekalkan momentum, saya tidak bimbangkan pasukan lain. Perhatian saya pastinya hanya tertumpu kepada City." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Tumpu Liga Juara-Juara

Posted:

Sekalipun jadual perlawanan Liga Primera Sepanyol begitu padat minggu ini namun beberapa pasukan utama negara itu kelihatan lebih fokus membuat persiapan menghadapi saingan suku akhir Liga Juara-Juara, minggu depan.

Meskipun pendahulu liga, Barcelona bertandang ke Celta Vigo manakala juara bertahan, Real Madrid, berada di Aragon berdepan Real Zaragoza, perhatian dua pasukan terbabit lebih tertumpu kepada komitmen Eropah.


Pemain tengah Real, Xabi Alonso akan bertemu peminat untuk sesi menandatangani autograf minggu ini, mendapati penyokong juara Eropah sembilan kali itu lebih memberi tumpuan pada pertembungan pertengahan minggu.

"Majoriti peminat mahu kami membawa pulang kejuaraan ke-10 Eropah," katanya.


"Liga Juara-Juara begitu dekat di hati kami terutamanya Madridistas (peminat Real) dan kami mahu meneruskan cabaran hingga final.


"Bagaimanapun, terdapat beberapa langkah perlu diambil sebelum itu dan sudah tentu keutamaan pada perlawanan Rabu beraksi di gelanggang sendiri.

"Kami mahu mencipta keputusan yang baik kerana ia pasti menjadi perlawanan yang bagus dan hebat." Real menanti kunjungan Galatasaray pada suku akhir pertama di Santiago Bernabeu dalam misi merealisasi buruan tiket separuh akhir kali ketiga berturut-turut.


Real tidak pernah mara ke final sejak bergelar juara menewaskan Bayer Leverkusen 2-1 pada 2002 dan kegagalan mengulangi pencapaian itu sejak sekian lama turut dicemuh sesetengah peminat kelab itu yang sudah biasa melihat pasukan itu mencapai kejayaan.

Musim ini lebih kritikal selepas Real ketinggalan 13 mata berbanding musuh ketat, Barca dalam saingan La Liga dan kini tidak lagi yakin untuk mengekalkan kejuaraan.


"Situasi liga tidak memuaskan tapi kami masih mahu meneruskan tindakan sama, mempamerkan aksi terbaik dan cuba menang setiap perlawanan," kata Alonso.


"Zaragoza berdepan masalah selepas mencatatkan beberapa keputusan buruk tapi setiap perlawanan di tempat lawan rumit dan saya yakin ia tidak mudah." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Tak ambil mudah jumpa Inter

Posted:

MILAN: Penyerang Juventus Mirko Vucinic menegaskan juara bertahan Serie A itu tidak akan memandang mudah perlawanan 'derby' d'Italia menentang Inter Milan, hari ini.

Juve menguasai takhta Serie A dengan kelebihan sembilan mata di depan Napoli dengan Milan di tangga ketiga, tercicir dua mata ketika saingan musim ini berbaki sembilan perlawanan.


Persembahan mantap Inter pada separuh pertama musim ini tergugat berikutan aksi tidak konsisten sejak beberapa bulan lalu sekalipun skuad kendalian Andrea Stramaccioni berada di tangga kelima, ketinggalan tujuh mata berbanding Milan di tempat ketiga yang kini menduduki slot terakhir kelayakan Liga Juara-Juara.

Mereka menanti kunjungan Juventus di San Siro tanpa beberapa pemain Amerika Latin yang tersekat akibat penerbangan ditunda selepas beraksi pada perlawanan antarabangsa pertengahan minggu ini.


Vucinic bagaimanapun berkata, Juve tetap serius menghadapi perlawanan itu dan perlawanan itu ibarat pertemuan terakhir dalam hidup mereka. Dia yakin Inter mampu mempamerkan keberanian dan kesungguhan seperti dilakukan ketika bangkit daripada ketinggalan 3-0 pada perlawanan pertama Liga Europa dan menewaskan Tottenham, 4-1 di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua tapi tersingkir akibat gol di tempat lawan.


"Kami bermain menentang Inter dan nama itu menceritakan segala-galanya," kata Vucinic kepada juventus.com. "Mereka mantap dan saya tidak percaya jika ada yang mendakwa mereka bermasalah." Penyerang Montenegro itu yang membantu negaranya seri 1-1 dengan England pada perlawanan kelayakan Piala Dunia pertengahan minggu ini turut memuji semangat dipamer pemain Inter pada perlawanan kedua menentang Tottenham.

"Mereka hampir layak ke pusingan seterusnya selepas mempamerkan aksi membanggakan.


"Kami perlu memberi tumpuan penuh dan menghadapinya seolah-olah ia perlawanan terakhir kami." Inter melenyapkan keraguan selepas membenam Juventus 3-1 di Turin pada awal November.

Pada perlawanan itu, pemain Argentina, Diego Milito menjaringkan dua gol manakala Rodrigo Palacio menjaringkan gol ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Serena, Maria tentu juara

Posted:

Juara lima kali Serena Williams tidak perlu mengerah keringat untuk menempah tiket ke perlawanan akhir WTA Miami apabila mudah menewaskan Agnieszka Radwanska 6-0, 6-3 bagi membuat perhitungan dengan pemain pilihan ketiga Maria Sharapova.

Bintang Russia Sharapova, naib juara empat kali Miami yang baru saja menjuarai Indian Wells membelasah Jelena Jankovic 6-2, 6-1 pada satu lagi aksi separuh akhir semalam.


"Permainan saya hari ini (semalam) tidak begitu baik tapi saya terus mencuba," kata Serena. "Saya teruja kerana akan beraksi di final.

"Keluarga dan rakan-rakan ada di sini dan saya harus bermain dengan baik. Saya tidak boleh mengecewakan mereka." Serena, 31, melakukan 12 pukulan ace, memenangi 83 peratus servis pertamanya dan mengambil masa 65 minit untuk mengatasi pemain pilihan keempat Agnieszka dari Poland.


Serena kini berpeluang menjadi pemain wanita keempat dalam era moden memenangi kejohanan ini enam kali bersama Chris Evert, Steffi Graf dan Martina Navratilova. Chris satu-satunya pemain berusia lebih 30 tahun memenangi gelaran itu ketika berusia 31 tahun, dua bulan pada 1986.


"Maria bermain dengan baik. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik. Kami selalu bersaing hebat," kata Serena mengenai pertembungan dengan Sharapova.

Maria yang beraksi pada final kali kelima memburu kejuaraan pertama di Miami.


"Ia sangat bermakna buat saya," kata Maria. "Peminat memberikan sokongan kepada saya di sini. Saya suka bandar ini. Ini bandar pertama saya datang ke negara ini ketika masih kecil dan saya mahukan kemenangan." Maria, juara empat kali Grand Slam tewas kepada Kim Clijster pada final Miami 2005, Svetlana Kuznetsova (2006), Victoria Azarenka (2011) dan Agnieszka tahun lalu, semuanya dalam perlawanan dua set. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Kadi Mersing jagoan badminton

Posted:

Pejabat Kadi Daerah Mersing muncul juara selepas menewaskan Pejabat Kadi Daerah Kluang, 2-0 pada Kejohanan Tertutup Badminton Piala Kadi Kluang 2013 di Dewan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor (SMAKJ), baru-baru ini.

Kejohanan yang menggunakan konsep pengadilan berpasukan itu menyaksikan Pejabat Kadi Daerah Muar dan Johor Bahru masing-masing menduduki tempat ketiga dan keempat. Kejohanan julung kali diadakan itu bertujuan merapatkan silaturahim antara pejabat kadi daerah di negeri ini.


Selaku penganjur dan tuan rumah, Kadi Daerah Kluang Mohd Khalil Mohd Noor berkata, walaupun baru pertama kali kejohanan itu diadakan, ia mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 48 peserta bertanding mewakili enam pejabat kadi daerah.

"Ia membabitkan Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru, Kulaijaya, Muar, Mersing, Kluang dan Ibu Pejabat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).


"Ia akan diteruskan pada masa depan dengan pembabitan lebih ramai peserta," katanya.


Menurutnya, selain seminar dan tugasan rutin, bersukan juga penting untuk membina akal cerdas serta badan cergas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Misi Johor DT buru tiga mata

Posted:

Gandingan Daniel Guiza dan Norshahrul Idlan Talaha ditagih Johor Darul Takzim bagi memburu tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Terengganu pada saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam ini.

Meskipun penyerang sensasi Safee Sali sudah pulih daripada kecederaan, pengendali skuad Harimau Selatan itu Fandi Ahmad belum mahu mengesahkan sama ada akan menurunkan penyerang kebangsaan itu.


Beliau berkata, Safee sudah mampu berlari pantas dan mengawal bola namun apa yang merisaukannya tahap kecergasan pemain itu perlu dipertingkatkan bagi memastikan dia bersedia diturunkan sepanjang 90 minit perlawanan.

"Saya tidak mahu ambil risiko menurunkan Safee jika dia belum cergas. Apapun sepanjang latihan tiga minggu ketika saingan Liga M berehat, sudah ada perkembangan positif ditunjukkannya ketika latihan dan perlawanan persahabatan.


"Siapa yang berada dalam kesebelasan utama hanya akan ditentukan pada saat akhir kerana saya sebenarnya sudah ada pilihan untuk menurunkan barisan terbaik selepas kesemua pemain bebas daripada kecederaan.


"Sudah pasti kita mahukan kemenangan kerana ketika ini hanya dibezakan dua mata saja dengan Tentera. Jika raih tiga mata, peluang terbuka buat kami merampas kembali kedudukan teratas liga, namun saya tidak mahu pemain terlalu memburu kemenangan, sebaliknya fokus terhadap Terengganu, malam ini," katanya.

Di benteng pertahanan, bagi menguatkan skuad Harimau Selatan untuk menghalang kelicikan pemain import skuad Peteh, Effa Owana yang memiliki sentuhan penyudah berbisa, Fandi pastinya meletakkan gandingan Aidil Zafuan Abd Radzak, Kamarul Afiq Kamaruddin atau Muslim Ahmad yang kekal bersama pasukan berstatus bintang itu walaupun pada awalnya cuba dipancing Felda United.


Penampilan Simone Del Nero yang akan beraksi bagi dua baki perlawanan sebelum 'berpisah' kerana tidak mahu beraksi bersama Johor dalam kancah Liga Perdana, bakal menyaksikan persembahan terbaik pemain Itali itu. Harimau Selatan mengambil Andre Francisco Da Silva sebagai penggantinya bagi mengharungi saingan pusingan kedua Liga Super.

"Simone (Del Nero) akan diturunkan dan saya harap dia dapat membantu kita menang sebelum turun sekali lagi menentang Selangor pada suku akhir Piala FA, 6 April ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Amri penyelamat!

Posted:

Selangor hampir dikejutkan Felda United dalam aksi Liga Super petang semalam namun pemain veteran Mohd Amri Yahyah menyelamatkan maruah Merah Kuning untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata pada pertemuan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya itu.

Jentera serangan Selangor nyata tumpul tanpa kehadiran penyerang import dari Liberia Francis Forkey Doe yang mengalami masalah penerbangan sekali gus menyaksikan anak buah Irfan Bakti beraksi sepenuhnya dengan pemain tempatan apabila turut kehilangan Peter Chrappan akibat penggantungan.


"Dia (Doe) sepatutnya kembali pagi tadi (semalam) namun penerbangannya dari Perancis ditunda. Permainan kami mungkin berubah dengan kehadiran dia namun tiada apa yang boleh dilakukan," kata Irfan selepas menyaksikan perlawanan itu yang tamat dengan 1-1.

Doe yang menjadi peledak utama Selangor musim ini bersama skuad kebangsaan negaranya menentang Uganda untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2014 beberapa hari lalu.


Bagaimanapun Amri yang bertindak sebagai kapten berjaya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-27 untuk menewaskan penjaga gol lawan Mohd Helmi Eliza Elias selepas tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan. Pemain import Carlos Junior menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum itu selepas pertahanan Selangor Adib Aizuddin Ab Latif menjatuhkan Mohd Syazwan Zainon dalam kotak penalti.


Usaha Selangor memburu gol kemenangan tidak kesampaian apabila Adib dilayang kad kuning kedua pada minit ke-63 kerana mengasari Amar Rohidan sekali gus menyaksikan Felda United menguasai perlawanan dan memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan.

Bagaimanapun ketumpulan jentera serangan skuad kendalian K Devan itu menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dengan satu mata dan kekal tiga pasukan terbawah liga ketika ini.


"Ketumpulan jentera serangan memusnahkan harapan kami. Saya terpaksa memasukkan Mohammed Ghaddar pada hujung babak kedua meskipun dia mengalami kecederaan belakang," katanya.

Situasi terbabit menyebabkan Felda United kini memburu penyerang import yang lebih baik bagi menggantikan pemain Lubnan itu selain memasukkan tiga pemain tempatan baru termasuk pemain Johor Darul Takzim Azmi Muslim pada jendela perpindahan pemain yang bermula minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

Gladiators gigit jari

Posted:

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) gagal mengekalkan kedudukan teratas Liga Super apabila tumpas 2-3 kepada Kelantan di laman sendiri malam tadi dengan pemain penyerang Mohd Nor Farhan Muhammad muncul wira Red Warriors apabila menyumbat gol kemenangan pada lewat permainan.

Anak buah B Sathianathan itu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila kesilapan pemain pertahanan membenarkan Kelantan mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.


Bagaimanapun sebelum dua gol itu dijaringkan ATM yang sepatutnya di depan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas penyerang import Marlon Alex James dijatuhkan penjaga gol pasukan pelawat Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kedua.

Tapi malangnya James gagal melaksanakan tugas itu apabila sepakan ke kanan pintu gol berjaya ditangkap Khairul Fahmi.


Kelantan, juara tiga gelaran musim lalu dan menduduki tangga kelapan sebelum perlawanan ini membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi sepakan jarak jauh Indra Putra Mahyuddin selepas pintu gol ATM terbuka luas apabila Farizal Harun bertindak keluar meninggalkan gawang bagi menyekat kemaraan Keita Mandjou.


Pasukan pelawat yang dibimbing jurulatih Bojan Hodak menambah jaringan pada minit ke-34 selepas tolakan bola ke belakang pemain pertahanan ATM, Irwan Fadzly Idrus mengelirukan Farizal dan memberi peluang Madjou menjaringkan gol.

Pada separuh masa kedua, skuad Gladiators bangkit menyamakan kedudukan menerusi penjaring terbanyak liga setakat ini, James yang meledak kedua-dua gol.


Gol pertama penyerang kelahiran St Vincent & Grenadines itu diperoleh hasil sepakan percuma pada minit ke-54 yang melepasi benteng pertahanan Kelantan lalu menewaskan Khairul Fahmi.

James kemudian menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-64 yang juga gol ke-11 peribadi musim ini apabila pantas menolak masuk bola muntah tangkapan Khairul Fahmi ketika cuba menyelamatkan tandukan kapten ATM Hairuddin Omar.


Bagaimanapun pemain gantian Nor Farhan mencuri tumpuan apabila bijak menyempurnakan peluang dalam kotak penalti dengan melambungkan bola menewaskan Farizal pada masa kecederaan bagi memastikan Kelantan membawa pulang tiga mata penuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/30

No comments:

Post a Comment