Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lelaki bakar diri

Posted:

Kuala Lumpur: Akibat tekanan perasaan, seorang lelaki berusia 40-an dipercayai cuba mengambil nyawa sendiri dengan menyimbah petrol ke badan sebelum membakar dirinya dalam kejadian di Blok B, PPR Seri Semarak, Setapak, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang dipercayai mengalami tekanan perasaan diselamatkan orang ramai bagaimanapun mengalami kesan melecur di keseluruhan badannya.


Sumber berkata, lelaki terbabit yang tinggal berseorangan mengalami tekanan perasaan sebelum mengambil keputusan untuk membunuh diri.

"Orang ramai menyedari kejadian itu selepas tubuhnya terbakar namun sempat menyelamatkannya," katanya.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.07 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba Setapak tiba di tempat kejadian empat minit kemudian.


Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian pihaknya nampak seorang lelaki berusia 40-an yang terbakar seluruh badannya terbaring di lantai dan api sudah dipadamkan orang ramai sebelum bomba sampai.

Foto

BANTAL yang terbakar di tempat kejadian.

Foto

ANGGOTA polis memeriksa kawasan kejadian, malam tadi.

"Lelaki berkenaan mengalami kesan melecur di seluruh badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan kecemasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Mayat celah batu

Posted:

Subang Jaya: Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemui tersangkut di celah batu di Sungai Klang, berhampiran Plaza Tol Sunway, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), dekat sini, semalam.

Mayat Malin Maulana, 32, ditemui jam 3.30 petang lengkap berpakaian seluar jean, baju hitam putih dan berstoking.


Selain itu, dokumen pengenalan diri turut ditemui pada mayat lelaki terbabit.

Mayat tidak mempunyai sebarang kecederaan luar selain calar di kedua-dua lengan dan lehernya.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.


"Kami masih menyiasat punca kematian mangsa dan menolak kemungkinan dia dibunuh," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan.


Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Tempah dadah guna telefon

Posted:

Kajang: Berselindung di sebalik pekerjaan sebagai tukang urut dan bomoh, seorang lelaki yang bersekongkol dengan isterinya mengaut keuntungan mudah dengan mengedar dadah di sekitar daerah ini dan Lembah Klang sejak lebih dua tahun lalu.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan bersama isterinya warga Indonesia berusia 43 tahun di dalam sebuah kereta di simpang tiga Kampung Padang Jalan Sungai Congkak, Batu 18, Hulu Langat jam 2.52 pagi, Sabtu lalu.


Difahamkan, suspek menjalankan perniagaan jual beli dadah melalui telefon yang memerlukan pelanggan membuat tempahan terlebih dulu sebelum menghantar dadah yang dipesan kepada pembeli.

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dihidu anggota polis yang menyamar menjadi pelanggan sebelum menahan kedua-dua suspek yang dalam perjalanan untuk menghantar pesanan.


Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki pasangan itu menemui satu ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja berat 300 gram bersama 40 peket kecil ganja berat 400 gram.


"Susulan daripada tangkapan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menyerbu rumah suspek di Taman Jasmin di sini, dan merampas enam ketulan mampat ganja dengan berat 3,130 gram menjadikan jumlah keseluruhan ganja yang dirampas ialah 3,830 gram bernilai lebih RM12,000.

"Selain itu, polis juga menemui pelbagai peralatan yang digunakan dan merampas wang tunai RM12,250 dipercayai hasil jualan dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

'Terus buru, tiada gencatan senjata'

Posted:

Lahad Datu: Tiada gencatan senjata. Itu amaran dilaungkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib menegaskan tiada gencatan senjata sebaliknya usaha terus dilakukan bagi memburu pengganas yang masih bersembunyi di ladang kelapa sawit sekitar Tanjung Batu.

"Jamalul Kiram III tidak pernah mengotakan janji, tetapi meminta gencatan senjata dan pasukan keselamatan tidak percaya kepadanya.


"Dia boleh kata apa saja, tetapi kita tak percaya dia. Kita akan melakukan serangan habis-habisan terhadap musuh," katanya pada sidang media di FELDA Sahabat 16, di sini, semalam, yang dihadiri Panglima 1 Divisyen Infantri Datuk Mohd Zaki Mokhtar.

Menurut Hamza, sehari sebelum dua anggota keselamatan terbunuh pada 1 Mac lalu, dia (Jamalul Kiram) mengeluarkan kenyataan kononnya mahu mengadakan gencatan senjata, namun memungkirinya.


"Sehari selepas Jamalul Kiram mengumumkan gencatan senjata, dua anggota keselamatan kita ditembak pengganas.


"Sekiranya mereka (pengganas) tidak meletakkan senjata dan menyerah diri, kita akan meneruskan operasi membersih dan menggeledah serta memburu mereka sehingga ke lubang cacing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

15 kereta kebal tiba

Posted:

Lahad Datu: Lebih 15 kereta kebal jenis Adnan tiba di Felda Sahabat yang mampu mengharungi kawasan berpaya, berbukit-bukau dan tanah lembut dalam usaha memburu saki-baki pengganas Sulu yang masih bersembunyi di sekitar Tanjung Batu.

Panglima 1 Divisyen Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Zaki Mokhtar berkata, kehadiran kenderaan perisai roda berantai itu mampu mempertingkatkan kekuatan pasukan keselamatan.


"Kenderaan ini membantu memperkukuh dan seterusnya mendominasi Op Daulat yang dilancarkan sejak 5 Mac lalu.

"Kehadiran kenderaan perlu kerana fizikalnya yang mampu mengharungi sebarang bentuk muka bumi," katanya pada sidang media di FELDA Sahabat 16, di sini, semalam.


Menurutnya, tahap keselamatan anggota keselamatan lebih terjamin dengan adanya kenderaan perisai ini ketika mengahadapi sebarang pertempuran dengan musuh.


Difahamkan jentera berkenaan dibawa menggunakan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan berlabuh di Pelabuhan Tawau, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

No comments:

Post a Comment