Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sorok diesel dalam bot tunda

Posted:

Pelabuhan Klang: Taktik tekong bot bersama tiga awak-awak menyeludup masuk 12,000 liter minyak diesel yang disembunyikan dalam bot tunda gagal apabila dikesan Polis Marin dalam serbuan di Kuala Sungai Labuhan Gurap, di sini, pagi semalam.

Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan pada jam 6.45 pagi oleh sepasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pelabuhan Klang diketuai Koperal Zamzuri Ahmad bersama tiga anggota penguat kuasa yang melakukan Op Pensura di kawasan perairan berkenaan.


Pegawai Pemerintah Markas Operasi Polis Marin Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan sebuah bot tunda dan hasil pemeriksaan mendapati tekong bot lelaki berusia 43 tahun terbabit gagal mengemukakan dokumen berkaitan diesel yang terdapat dalam bot berkenaan.

"Berikutan itu, lelaki warga Indonesia terbabit ditahan bersama tiga awak-awak bot kerana didapati memiliki barang kawalan (diesel) dengan niat melakukan kesalahan.


"Mereka ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)," katanya.


Nilai rampasan termasuk bot dan minyak diesel dianggarkan RM151,000.

Foto

ANGGOTA Polis Marin Wilayah Satu Pelabuhan Klang memeriksa bot tunda terbabit.

Norzaid berkata, Polis Marin akan meningkatkan rondaan selain mengadakan kawalan ketat di setiap pintu masuk perairan Malaysia bagi mengelakkan kemasukan tekong bot secara haram.


Katanya, pihaknya juga terus menjejaki dan membuat serbuan atau tangkapan terhadap individu yang didapati terbabit aktiviti penyeludupan haram bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Peragut toreh tangan

Posted:

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 23 tahun cedera di tangan selepas ditoreh peragut yang melarikan beg tangannya dalam kejadian di sebuah stesen transit aliran ringan (LRT) di Cheras, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian lebih RM500 selepas beg tangannya dilarikan suspek, malah turut menerima lima jahitan di pergelangan tangan kirinya akibat ditoreh suspek menggunakan pisau.


Menurut sumber, mangsa berjalan seorang diri selepas menaiki tren LRT dari tempat kerja untuk pulang ke rumah sebelum dihampiri seorang lelaki menunggang motosikal.

"Mangsa terkejut sebaik beg tangannya direntap dari belakang. Mangsa cuba menarik balik beg tangannya itu namun lelaki terbabit menoreh pergelangan tangan kirinya.


"Mangsa yang kesakitan akibat ditoreh terpaksa melepaskan beg tangannya itu. Beberapa orang awam yang menyedari kejadian itu cuba menghulurkan bantuan," katanya. Sumber berkata, mangsa dibawa orang awam ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan dan menerima lima jahitan.


Beliau berkata, ekoran itu mangsa mengalami kerugian lebih RM500 membabitkan wang tunai dan telefon bimbit selain beberapa dokumen peribadi dilarikan suspek.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran bagi siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

2 beradik kembar disyaki didera ibu tiri

Posted:

Kajang: Sepasang kanak-kanak kembar lelaki berusia lapan tahun disyaki menjadi mangsa dera ibu tiri mereka selepas guru kelas kanak-kanak itu menemui beberapa kesan kecederaan pada anggota badan mangsa.

Difahamkan, kejadian itu berlaku jam 11 pagi Jumaat minggu lalu di rumah mereka di Sungai Long apabila wanita berusia 30-an itu merotan kanak-kanak terbabit ketika kedua-duanya mandi.


Menurut sumber, ibu tiri kanak-kanak itu berang selepas kedua-duanya bermain air hingga bilik tidur yang terletak bersebelahannya basah dan kotor.

"Mangsa disyaki dirotan wanita terbabit menyebabkan kecederaan pada kaki, lengan, telinga dan pipi selain kesan calar pada perut," katanya.


Sumber berkata, kanak-kanak itu tidak memaklumkan kejadian itu kepada bapa dan dua kakak mereka yang tinggal bersama kerana bimbang akan dimarahi wanita terbabit.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu petang kelmarin daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Langat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Siti berdebar duet dengan Babyface

Posted:

Kuala Lumpur: "Siti berbesar hati dengan peluang keemasan ini tetapi pada masa sama, ia memang mendebarkan," kata Datuk Siti Nurhaliza ketika diminta komen mengenai persembahan duetnya bersama penyanyi antarabangsa popular, Babyface pada majlis amal sempena Grand Prix Formula One 2013.

Menurut penyanyi Cindai itu, ini peluang kedua beliau menyanyi bersama artis antarabangsa selepas Gareth Gates ketika majlis MTV Asia Awards di Singapura beberapa tahun lalu. Sebelum ini, Siti pernah merakamkan lagu duet bersama Sean Kingston tetapi belum berpeluang menyanyi bersama di atas pentas.


Bagi acara bertujuan mengutip dana Yayasan Institut Jantung Negara dan akan berlangsung pada 21 Mac 2013 ini, Siti ada menerima beberapa lagu nyanyian Babyface dicadangkan pihak penganjur dan akan memilih yang bersesuaian.

"Bagaimanapun, Siti belum buat keputusan untuk lagu pilihan tetapi yang penting, ia lagu popular Babyface. Apapun Siti berjanji akan membuat persembahan terbaik bersama komposer hebat itu," katanya ketika dihubungi semalam.


Siti turut berterima kasih kepada penganjur kerana mengundangnya dalam persembahan bersama Babyface.


Babyface yang popular dengan lagu Everytime I Close My Eyes secara dasarnya bersetuju untuk berpadu suara bersama Siti.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Minta SKMM siasat

Posted:

Cyberjaya: Pergerakan Hak Belia Malaysia, semalam membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya menjalankan siasatan dan mengambil tindakan, selepas seorang pelajar perempuan menerima ribuan ancaman bunuh dan rogol daripada pemilik akaun Facebook (FB) dipercayai penyokong pembangkang.

Presiden Pergerakan Hak Belia Malaysia Shen Yee Aun mendakwa, mangsa berusia 22 tahun yang juga pelajar ijazah sarjana di sebuah kolej swasta menerima ancaman selepas berlakon dalam video menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Menurutnya, video itu dibuat tahun lalu serta dimuat naik ke YouTube dan FB, namun mendapat reaksi dan komen berbaur ancaman serta ugutan pengguna Internet sejak tiga hari lalu. "Pelajar terbabit berlakon sebagai maklum balas kepada satu video dibuat pihak pembangkang. Video dilakonkan pelajar itu tidaklah keterlaluan dan tidak menggunakan ayat maki-hamun yang menyakitkan hati. "Bagaimanapun, mangsa terus menerima banyak kecaman, ugutan, maki-hamun serta perkataan tidak senonoh daripada pemilik akaun FB dipercayai penyokong pembangkang," katanya ketika ditemui di SKMM, di sini, semalam. Identiti mangsa bagaimanapun tidak dapat didedahkan atas aspek keselamatan.


Shen yang juga penulis blog berkata, sekiranya tidak berpuas hati dengan kenyataan mangsa dalam video itu, pihak terbabit tidak sepatutnya melakukan ugutan dan ancaman sehingga mengundang kebimbangan mangsa. "Jika tidak suka atau tidak berpuas hati, jangan keterlaluan mengeluarkan kata-kata kesat memaki-hamun pelajar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

No comments:

Post a Comment