Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Hidup dalam dunia 'terbalik'

Posted:

Belgrade: Tidak seperti manusia lain, Bojana Danilovic amat unik kerana dunianya boleh dianggap 'terbalik' secara keseluruhan dan keadaan itu membingungkan pakar perubatan.

Bagi Bojana, setiap sesuatu yang disaksikannya dilihat terbalik disebabkan perhubungan ganjil bagi otaknya memproses sesuatu imej.


Disebabkan masalah itu, Bojana, 28, dilengkapi skrin komputer dan papan kekunci khas di pejabatnya, selain membaca dari bawah ke atas.

Sesuai dengan tugasnya sebagai pekerja majlis perbandaran di Uzice, barat Serbia, dia juga diberikan borang rasmi khas.


Apabila pulang, dia menonton televisyen dengan cara terbalik juga.


Kata Bojana, orang lain mungkin melihatnya sebagai luar biasa, tetapi dia sendiri hidup normal sepenuhnya. "Saya dilahirkan begitu.

Foto

BOJANA memegang akhbar secara terbalik bagi membolehkan dia membaca 'secara normal.'

"Ia cuma cara saya melihat dunia berbeza berbanding orang lain," katanya. Bojana berkata, pakar neurologi di Institut Teknologi Massachusetts dan Universiti Harvard di AS berpendapat, dia menghidap masalah 'fenomena orientasi ruang' menyebabkan imej dilihat menjadi terbalik. - The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Wanita pernah pindah 5 organ berjaya lahirkan anak

Posted:

Qatar: Seorang wanita yang pernah menjalani lima pemindahan organ melahirkan seorang bayi sihat, menjadikannya orang pertama berjaya berbuat demikian.

Fatema Al-Ansari melahirkan bayi perempuannya, Alkadi Alhayal dua minggu lalu di Miami.


Enam tahun lalu, Fatema yang ketika itu berusia 19 tahun dan menetap di Qatar disahkan menghadapi masalah darah beku di salur darah utamanya ke usus menyebabkan organnya gagal berfungsi.

Fatema mengimpikan sebuah keluarga dan laporan mengenai keadaannya menjadi tamparan hebat kepadanya.


Dia yang hamil dua bulan ketika itu, terpaksa menggugurkan kandungan.


Pada 2007 dia menjalani pemindahan organ yang menyelamatkan nyawanya di hospital Jackson Memorial di Miami dan diberi perut, usus besar dan kecil, pankreas dan hati baru.

Meskipun berbahaya, Fatema mengambil keputusan untuk meneruskan hasrat mempunyai anak. Pakar sakit puan, Dr Salih Yasin berkata, dia membantu Fatema hamil menerusi permanian berhadas dan menyifatkan kejayaan wanita itu melahirkan anak sebagai satu keajaiban. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Bala tentera 'hantu' makan gaji buta

Posted:

Sao Paulo: Seorang doktor di hospital di sini menggunakan 'jari palsu' yang dibuat daripada silikon untuk mencatatkan kehadiran rakan sekerja apabila mereka tidak datang bekerja.

Pegawai merampas enam 'jari' daripada doktor berkenaan, Thauane Nunes Ferreira, 29, apabila menahannya kelmarin.


Pembongkaran kegiatan itu mendorong kepada siasatan di Ferraz de Vasconcelos berhampiran Sao Paulo mengenai jumlah 'pekerja hantu' di bandar itu.

Datuk Bandar Acir Fillo berkata, kira-kira 300 kakitangan kerajaan mengambil gaji tanpa perlu bekerja. "Kita ada bala tentera hantu. Ia perkara yang memalukan. Kita akan pasang kamera mengawasi mesin kedatangan bagi memastikan ia tidak berulang," katanya Menurut Fillo, dia percaya 'pekerja hantu' berada di semua pejabat awam, termasuk kesihatan, keselamatan dan pelajaran.


Ferreira yang diawasi pihak berkuasa mengaku memalsukan dokumen awam selepas ditangkap penggunakan jari palsu menipu mesin biometrik untuk mencatatkan kedatangan rakannya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

BRN arah pejuang kurangkan serangan

Posted:

Yala: Ketua Pejabat Perhubungan Barisan Revolusi Nasional (BRN) Hassan Taib menggesa anggota kumpulan itu mengurangkan serangan bagi mewujudkan suasana sesuai bagi rundingan damai.

"Kita akan lihat sama ada serangan akan berkurangan. Hassan sudah berusaha untuk memberi jaminan bahawa dia boleh menguasai keadaan," kata satu sumber Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC).


Menurut sumber berkenaan, Hassan memberitahu Ketua NSC, Paradorn Pattanatabut mengenai arahannya kepada anggota pejuang.

Sementara itu, Hassan dikatakan akan membawa bersama pemimpin kumpulan pejuang lain, termasuk Pulo Bersatu dalam rundingan damai yang akan bermula 28 Mac ini di Kuala Lumpur.


Pada persidangan itu kelak, perwakilan Thai yang diketuai sendiri oleh Paradorn akan menandatangani terma rujukan untuk rundingan damai, selari dengan perlembagaan dan mengelak daripada persetujuan kepada pemisahan.


Sementara itu, Paradorn ketika mendedahkan rancangan pertemuan di Kuala Lumpur itu berkata, beliau akan mewakili perwakilan 15 anggota yang akan memberi tumpuan terhadap langkah mengurangkan keganasan di tiga wilayah selatan Thai - Yala, Narathiwat dan Pattani.

Beliau juga berkata, kerajaan Thai yakin mereka berada di landasan betul bagi menghapuskan keganasan memandangkan BRN ialah kumpulan terbesar yang beroperasi di wilayah berkenaan.


Dalam pada itu, Agensi Berita Isara melaporkan, rundingan damai itu mungkin berdepan dengan masalah kerana generasi baru pejuang pemisah tidak berminat untuk berdamai dan tidak mengenal Hassan. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Filipina kekalkan askar di Bukit Golan

Posted:

Manila: Filipina semalam berkata, ia akan mengekalkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) negara itu di Bukit Golan selepas penentang Syria menahan 21 petugas mereka sebagai tebusan selama tiga hari minggu lalu.

"Pasukan pengaman Filipina ke UNDOF (Tentera Pemantau Pembebasan PBB) akan kekal ditugaskan di Bukit Golan untuk melaksanakan tanggungjawab mengekalkan keamanan.


"Filipina sebagai anggota PBB kekal komited kepada mandat PBB untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan," kata jurucakap Jabatan Luar, Raul Hernandez kepada wartawan.

UNDOF berada di Bukit Golan sejak 1974 untuk memantau gencatan senjata antara Syria dan Israel.


Tetapi diplomat kanan yang enggan dikenali berkata, terdapat kebimbangan bahawa perang saudara Syria akan mendorong PBB mengundurkan pasukan pengamannya dari kawasan itu.


Selain tentera Filipina, tentera asing yang turut ditugaskan di kawasan berkenaan ialah dari Austria dan India.

Filipina menempatkan 300 anggotanya dalam pasukan yang terdiri daripada kira-kira 1,000 orang itu. Sebelum ini pasukan itu turut disertai tentera Kanada, Jepun dan Croatia.


PBB sejak akhir-akhir ini mengurangkan rondaan petugasnya dan menutup beberapa pusat pemerhati di zon gencatan senjata Bukit Golan selepas pertempuran baru berlaku di situ. PBB sudah mengemukakan aduan kepada kerajaan Syria mengenai serangan mendadak tentera Presiden Bashar al-Assad di zon Bukit Golan dan kehadiran kumpulan penentang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Pejabat Susilo tak mewah

Posted:

Jakarta: Presien Susilo Bambang Yudhoyono semalam membuat kenyataan secara spontan mengenai keadaan tempat kerjanya yang sederhana di Istana Negara.

"Pejabat saya tidak mewah," katanya kepada wartawan sebelum bertemu dengan beberapa jeneral bersara negara itu.


Susilo membandingkan pejabatnya dengan pejabat komander tentera daerah dan wilayah di seluruh negara itu yang disifatkannya lebih besar dan mewah. "Pejabat panglima tentera daerah biasanya jauh lebih mewah daripada pejabat saya. "Pejabat saya ini ini seperti umpama bilik komander batalion saja," katanya. Sementara itu, Jakarta Post melaporkan, dokumen cukai pendapatan Susilo yang diperoleh media menunjukkan pemimpin Indonesia itu memperoleh pendapatan sebanyak 1.37 bilion rupiah (RM 439,983) pada 2011 sebagai Presiden.

Beliau juga menerima sebanyak 107 juta rupiah (RM34,363) lagi daripada pelbagai royalti. - Jakarta Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Dibakar kerana hutang

Posted:

Medan: Seorang mangsa kebakaran yang dikenali sebagai Nimo, 46, meninggal dunia semalam selepas seminggu menjalani rawatan di unit rawatan rapi hospital Mitra Sejati di sini.

Mangsa dikatakan dibakar oleh adik sepupunya sendiri, Roki, 28, di daerah Karang Sari selepas bergaduh kerana soal hutang.


"Ibu meninggal dunia jam 11 pagi dan telah selamat dikebumikan," kata Sanjay, anak keduanya.

Sanjay memberitahu pada hari kejadian ibunya dimaki oleh suspek di telefon mengenai soal hutang yang belum lunas.


"Dia meminta ibu datang ke rumahnya di Karang Sari untuk membincangkan soal hutang," katanya.


Sejurus tiba di kediaman suspek, mangsa kemudian berbincang mengenai perkara itu tetapi keadaan menjadi lebih buruk kerana tiada persetujuan dicapai.

Suspek yang tidak puas hati kemudian melemparkan tuala yang sudah direndam dengan minyak tanah ke arah mangsa sebelum menyalakan api dan mencampakkannya pada mangsa.


Tindakan itu menyebabkan mangsa terbakar dan melecur 70 peratus di seluruh tubuhnya. Sehubungan itu keluarga mangsa menuntut pihak berkuasa menjatuhkan hukuman mati ke atas Roki. - Detik

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

119 warga Indonesia hadapi hukuman mati

Posted:

Jakarta: Seramai 119 tenaga kerja Indonesia di luar negara berdepan dengan hukuman mati.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia di Kementerian Luar Negeri, Tatang Budie Utama Razak.


Menurutnya, kerajaan menyediakan peruntukan khas berjumlah Rp1.2 trilion untuk membantu mereka dari segi guaman dan untuk membawa mereka pulang.

Tatang berkata, jumlah pekerja negara itu yang dibebaskan daripada hukuman berkenaan sepanjang 2011 hingga 1 Mac lalu ialah 39 orang. Mereka adalah sebahagian daripada 116 warga Indonesia yang berdepan dengan hukuman itu di Arab Saudi.


Katanya, pihaknya berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pembebasan mereka yang menghadapi hukuman itu di negara berkenaan kerana ia membabitkan keluarga mangsa pembunuhan.


"Raja Arab Saudi tidak ada kuasa untuk mengampunkan pesalah. Yang berhak ialah keluarga mangsa," katanya. - Republika

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

Kesal iklan jual buah pinggang

Posted:

Jakarta: Seorang remaja, Fahmi Rahadiansyah, 19, semalam menyuarakan rasa kesalnya kerana mengiklankan hasrat untuk menjual buah pinggangnya di Internet.

"Saya meminta maaf kepada semua pihak. Saya sudah menarik balik iklan saya di laman web. "Apa yang saya lakukan memang mengejutkan keluarga," katanya kepada wartawan di kediamannya semalam.


Fahmi mengakui dimarahi ibu bapa selepas mereka mengetahui rancangannya itu dan mereka juga malu dengan tindakannya.

"Kami tidak akan menjual organ demi wang walaupun kami miskin," kata ibu Fahmi, Rohaeni Jasmin.


Bapa Fahmi, Diki Akhmadi yang juga pesara kerajaan menghidap angin ahmar membuatkan dia sukar bercakap dan turut menghidap tekanan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.


Fahmi yang juga anak tunggal pasangan itu berkata, kos untuk merawat penyakit darah tinggi bapanya mendorong dia memuat naik iklan itu di Internet. Dia menawarkan 50 juta rupiah (RM16,057) untuk menjual organnya itu.- JP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/15

No comments:

Post a Comment