Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kekalahan bukan pilihan

Posted:

Shah Alam: Pertemuan menentang Yaman hari ini menjadi detik penting dalam menentukan peluang skuad negara mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia dengan anak didik Datuk K Rajagobal dilihat tidak mampu menerima satu lagi kekalahan.

Kegagalan menggunakan kesempatan untuk meraih tiga mata di laman sendiri bakal mengundang padah kerana Yaman dianggap lawan paling lemah dalam saingan peringkat Kumpulan D selepas skuad negara kecundang 0-2 kepada Qatar pada aksi pertama bulan lalu dengan saingan turut menampilkan Bahrain yang kini turut mengumpul tiga mata.

Saingan peringkat kumpulan akan berlangsung secara timbal balik dengan juara dan naib juara kumpulan A hingga E termasuk satu pasukan tempat ketiga terbaik akan mara ke Australia.

Malah kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih kebangsaan pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan yang sememangnya dahagakan kemenangan dan kejayaan.

Foto

PEMAIN negara menjalani latihan terakhir menjelang perlawanan malam ini.


"Sama ada menang atau tidak, kita masih mempunyai tiga perlawanan. Sebagai jurulatih, kami perlu melihatnya secara positif kerana kami mempunyai mempunyai tiga perlawanan dan apabila ia sudah berakhir kami akan membuat keputusan.


"Anda boleh tewas dua atau tiga perlawanan namun perlu melihat secara positif. Sebagai jurulatih memang sasaran (skuad negara) untuk layak ke pusingan akhir iaitu satu tahap yang lebih tinggi selepas Piala AFF, namun ia bukanlah satu jaminan (dapat mara ke pusingan akhir)," kata pengendali berusia 57 tahun itu yang kontraknya berakhir hujung tahun ini.

Malaysia akan menentang Bahrain pada Oktober di Kuala Lumpur diikuti aksi timbal balik menentang Bahrain dan Qatar, pada November manakala perlawanan terakhir bertemu Yaman pada Mac tahun depan.

Namun Rajagobal mengakui penting sebagai tuan rumah untuk mendapatkan keputusan positif dengan menganggap kemenangan sesuatu yang tidak mustahil untuk dicapai.

Mengenai kelekaan pemain negara terutamanya di babak akhir perlawanan, Rajagobal berkata beliau hanya boleh memberi ingatan kepada pemain agar tidak mengulanginya kerana ia memberikan impak yang merugikan walaupun secara keseluruhannya mereka bermain dengan baik.

"Saya sudah mengingatkan pemain agar fokus dalam situasi terbabit termasuk pada peringkat awal permulaan namun ia boleh berlaku kepada mana-mana pasukan di dunia. Pasukan terbaik dunia juga melepaskan gol pada saat genting. Kita hanya boleh memberitahu kepada pemain, selebihnya terpulang kepada mereka," katanya.

Malaysia sememangnya perlu berwaspada dan segera menemui rentak dalam aksi di Stadium Shah Alam nanti seandainya tidak mahu insiden kekalahan 1-4 kepada Arab Saudi berulang dengan gawang negara dibolosi seawal minit ketujuh perlawanan dan dua biji gol lagi ketika aksi berbaki beberapa minit.

Menyedari kemenangan diperlukan, Rajagobal dijangka terus mempertaruhkan penyerang berbisa negara, Norshahrul Idlan Talaha mengetuai jentera serangan dengan bantuan Mohd Amri Yahyah selain Safiq Rahim dan K Gurusamy mengemudi bahagian tengah selain Wan Zack Haikal Wan Nor serta Azzamuddin Md Akil di bahagian sayap manakala Norazlan Razali dijangka diberikan kepercayaan untuk mengawal gawang negara.

"Memang lawan mempunyai kelebihan fizikal selain beberapa pemain yang mempunyai kemahiran individu yang baik dan berbahaya apabila melakukan serangan balas namun saya akan mengarahkan pemain menggunakan pendekatan yang sesuai apabila berdepan dengan situasi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Laluan mudah

Posted:

Miami: Novak Djokovic mengintai peluang untuk bangkit pada kejohanan Masters Miami ATP selepas rentetan 22 kemenangan berturut-turutnya berakhir minggu lalu di Indian Wells tanpa kehadiran Rafael Nadal serta Roger Federer.

Nadal mahu berehat seketika selepas kemunculan semulanya menyaksikan dia memenangi tiga kejuaraan, termasuk pada final di Indian Wells Ahad lalu, dan juara 17 acara Grand Slam Federer tidak bertanding di Miami.


"Ia sama buat saya," kata pemain nombor satu dunia dari Serbia itu. "Saya pasti sekalipun tanpa mereka, anda akan menyaksikan satu kejohanan hebat." Djokovic akan cuba merangkul kejuaraan Miami keempat manakala Serena Williams berusaha memburu kejuaraan keenam pada kejohanan ATP dan WTA bernilai AS$8.5 juta (RM26.5 juta) yang bermula kelmarin dengan pemain pilihan mendapat bye pada pusingan pertama.

"Saya tidak sabar menanti kejohanan ini dan sudah banyak kali berjaya," kata Djokovic. "Ia memberikan saya keyakinan mampu bertindak cemerlang sekali lagi." Hari ini Djokovic memulakan kempen menentang pemain Republik Czech Lukas Rosol yang mengejutkan Nadal pada Wimbledon tahun lalu manakala Serena berdepan pemain Itali Flavia Pennetta bagi kejohanan pertama pemain Amerika Syarikat (AS) itu sejak merampas ranking nombor satu dunia.


"Saya berasa bagus untuk berada di puncak, terutamanya selepas apa yang berlaku, bekerja keras dan tidak terlalu mengharap, terutama di peringkat ini dalam karier saya," katanya. "Menarik untuk berada di sini sekali lagi." Pemain Argentina Juan Martin del Potro menamatkan rentetan kemenangan Djokovic apabila menang 4-6, 6-4, 6-4 pada separuh akhir Indian Wells Sabtu lalu. Djokovic tidak kalah sejak kecundang di tangan pemain AS Sam Querrey di kejohanan Masters Paris pada 31 Oktober lalu.


Kemenangannya dalam 17 perlawanan tahun ini termasuk kejuaraan keempat Terbuka Australia dan kejayaan pada acara ATP di Dubai.

"Bukan mudah, lebih mudah berkata daripada melakukannya, untuk keluar ke sana dan kekal fokus dan bertarung bagi setiap mata tidak kira siapa yang ditemui," kata Djokovic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Woods temui semula sentuhan

Posted:

Orlando, Florida: Bintang golf Amerika Syarikat Tiger Woods kembali menemui sentuhannya selepas merangkul dua trofi dalam empat kejohanan terakhir, mendapat teman wanita baru dan hujung minggu ini berpeluang kembali ke puncak ranking golf dunia.

Pastinya Woods hadir pada kejohanan Jemputan Arnold Palmer bermula hari ini dengan rangsangan tambahan berikutan kemenangan Kejohanan Cadillac-WGC dan bermain di lapangan Bay Hill yang menjadi gelanggang kegemaran juara 14 kejohanan utama itu.


Tujuh kali, termasuk tahun lalu, Woods berjaya muncul juara pada kejohanan itu dan satu lagi kejuaraan Ahad ini menyamai rekod Sam Snead dalam Jelajah PGA bagi kemenangan terbanyak satu kejohanan.

Namun di sebalik menghampiri kemuncak prestasi, kehidupan peribadi Woods sekali lagi menjadi tajuk utama akhbar selepas mengesahkan dia kini bercinta dengan peluncur ski Piala Dunia Lindsey Vonn.


"Kami amat gembira tapi pada masa sama mahu mengelakkan stalk-a-rassi dan semua laman web jelek yang mengikuti kami ke mana saja," kata Woods menjelaskan alasan pengumuman mengejutnya awal minggu ini.


Berikutan kejatuhan Woods selepas skandal seksnya terbongkar dituruti perceraian, pemain itu kini membina semula kehidupan dan imejnya.

Selepas mengatasi Rory McIlroy dan teman wanitanya bintang tenis Caroline Wozniacki sebagai pasangan paling hebat dunia sukan, Woods juga mungkin boleh mengetepikan pemain Ireland Utara itu daripada kedudukan nombor satu Ahad ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Dua lagi sekolah sukan dibina

Posted:

Kuantan: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan membina dua sekolah sukan baru di Perlis dan Terengganu yang dijangka siap pada 2015 serta mampu menempatkan lebih 500 pelajar.

Pada masa ini, ada empat sekolah sukan di negara ini, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Selangor, Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) Johor, Sekolah Sukan Gambang (SSG), Pahang dan Sekolah Sukan Sabah (SSS). Pengarah Bahagian Sukan KPM Ee Hong berkata, usaha menambah sekolah sukan di negara ini perlu dilakukan apabila permintaan untuk belajar di sekolah itu sentiasa bertambah setiap tahun.


Menurutnya, impian melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa seperti atlet terjun negara, Pandelela Rinong akan menjadi kenyataan dengan adanya sekolah sukan di beberapa negeri.

"Selain sekolah sukan kini terdapat kira-kira 800 sekolah yang bertaraf pusat latihan seluruh negara yang menumpukan kepada lapan jenis sukan teras seperti olahraga, hoki, bola sepak, gimnastik jaring dan badminton.


"Kita juga kini mempunyai 15 sekolah sukan negeri yang bertanggungjawab mencungkil seterusnya menggilap bakat atlet untuk diketengahkan bagi mewakili negeri dan negara," katanya.


Beliau berkata, kementerian menetapkan setiap sekolah sukan yang ada menumpukan kepada sukan tertentu saja untuk mengimbangi kemudahan yang ada termasuk jurulatih.

Ee Hong berkata, sebagai contoh, SSG hanya menumpukan kepada acara bola sepak, kemudahan stadium mini yang dilengkapi lampu limpah, trek dan gimnasium melayakkan sekolah itu memikul tugas itu. Katanya, untuk menilai prestasi setiap sekolah sukan yang ada KPM mengadakan liga sejak 2008 membabitkan acara seperti bola sepak, sepak takraw, bola jaring, olahraga, hoki dan badminton.


"Dasar satu murid satu sukan yang diperkenalkan KPM turut diharap menjadi pentas mencungkil bakat baru di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Penyertaan atlet pada kejohanan peringkat Asean dan Asia menjadi kayu pengukur menilai pencapaian program pembangunan sukan yang dilaksanakan.


"Kementerian kini menggunakan sepenuhnya khidmat jurulatih tempatan termasuk di kalangan guru."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Massa sasar podium

Posted:

Kuala Lumpur: Permulaan baik pada perlumbaan pembuka tirai di Australia minggu lalu mendorong pemandu veteran Ferrari Felipe Massa meletakkan sasaran untuk menaiki podium pada perlumbaan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.

Massa terus dibayangi Fernando Alonso apabila meraih penamat keempat di Australia berbanding podium kedua rakan sepasukannya itu, namun pemandu sensasi dari Brazil itu tetap optimis dengan sasaran podium di Sepang.


"Bagi saya perlumbaan di Australia permulaan yang bagus untuk saya dan Ferrari kerana kami mendapat keputusan disasarkan. Kini lebih yakin dengan kemampuan jentera dan tidak mustahil untuk cuba meraih podium di Sepang," katanya.

Seperti pelumba lain, Massa juga bimbang dengan faktor cuaca tidak menentu di Sepang namun yakin, pengalaman dilalui Ferrari sebelum ini mampu membantu mereka mengatasi segala halangan.


"Banyak faktor menentukan kejayaan, antaranya penggunaan tayar, strategi tepat dan paling penting, kestabilan jentera hingga tamat perlumbaan," katanya ketika ditemui pada sesi demonstrasi petrol V Power semalam.


Musim lalu, Massa melalui kempen paling buruk dalam kariernya bersama Ferrari apabila sekadar menaiki podium dua kali dan sering dibayangi Alonso yang nyata lebih pantas.

Prestasi hambar itu mencetuskan khabar angin dia bakal disingkirkan Ferrari namun pasukan berpangkalan di Itali itu masih mempercayai kemampuan Massa untuk memacu jentera merah Ferrari pada musim ini.


"Cabaran yang diterima sebelum ini menaikkan semangat saya untuk terus kekal memberikan yang terbaik.

"Saya perlu terus konsisten dan sedar ramai pelumba muda berbakat mahu menyambar tempat saya dalam pasukan Ferrari.


"Tetapi selagi mampu membuktikan sesuatu, saya akan terus berlumba dan cuba mencapai impian meraih keputusan terbaik."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Rosberg utamakan taktikal

Posted:

Kuala Lumpur: Strategi hentian pit menjadi fokus utama Nico Rosberg pada saingan Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini dalam usaha mengembalikan semula reputasi Mercedes AMG Petronas.

Rosberg berkata, sekiranya pasukan dapat melakukan keputusan tepat memilih sama ada untuk melakukan dua atau tiga hentian pit, dia pasti Mercedes mampu meraih penamat lebih baik berbanding Albert Park, minggu lalu.


"Apa yang berlaku di Australia pasti tidak banyak bezanya dengan perlumbaan di Sepang," katanya merujuk kepada beberapa masalah dialami jenteranya dan rakan sepasukan, Lewis Hamilton.

"Bagi saya strategi hentian pit penting. Kami perlu memanfaatkannya pada sesi latihan sebelum melakukan perkara sama pada perlumbaan sebenar.


"Apapun saya yakin kami mempunyai strategi terbaik pada perlumbaan Ahad ini." Rosberg melalui perlumbaan pembuka tirai di Australia yang agak memalukan apabila Mercedes, antara jentera elit yang dipandunya, gagal menamatkan perlumbaan akibat masalah teknikal.


Pernah melalui kenangan manis di Sepang apabila menaiki podium tempat ketiga pada 2010, Rosberg berharap kejayaan sama dapat diraih, Ahad ini.

"Kami agak pantas ketika sesi kelayakan di Australia dan berharap keadaan sama berlaku sewaktu sesi kelayakan Sabtu ini (esok)."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Hulkenberg yakin pungut mata

Posted:

Kuala Lumpur: Bintang baru Formula Satu yang meningkat naik Nico Hulkenberg berkata, dia pasti masalah jentera Sauber yang dipandunya sudah diatasi selepas terpaksa berhenti awal perlumbaan Grand Prix Australia, minggu lalu.

Penampilan pertama Hulkenberg bersama pasukan berpangkalan di Switzerland itu bertukar menjadi mimpi ngeri selepas pemandu Jerman itu yang menyambar petak ke-11 sesi kelayakan, gagal memulakan perlumbaan kerana masalah tangki minyak.


Pemandu berusia 25 tahun itu percaya dapat menamatkan perlumbaan dengan meraih mata, Ahad ini.

Bagaimanapun, Hulkenberg yang akan memulakan saingan Grand Prix Malaysia dengan casis baru berkata, masalah sama tidak akan berulang kembali.


"Memang ia agak mengecewakan," katanya. "Mekanik kami sudah bekerja keras mengenal pasti masalah yang timbul ketika di litar dan kembali ke England dan mereka sudah mengenal pasti punca masalah itu." Saingan pembuka tirai di Albert Park begitu mengecewakan Hulkenberg selepas beraksi cemerlang ketika penamat musim lalu apabila mendahului perlumbaan di Grand Prix Brazil sebelum menamatkan saingan di tempat kelima sekali gus menyaksikannya menduduki tempat ke-11 senarai pemandu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Cuaca cabar kewibawaan

Posted:

Sepang: Pemandu Lotus Kimi Raikkonen akur kejayaan muncul juara di Grand Prix (GP) Australia, minggu lalu belum menjamin penamat podium sekali lagi untuknya serta pasukan pada saingan kedua di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada nama-nama besar seperti juara dunia tiga kali Sebastian Vettel serta Fernando Alonso, Raikkonen mencuri tumpuan apabila memenangi GP Australia dengan penamat meyakinkan.


Jentera Lotus dilihat lebih pantas serta mampu bersaing dengan Red Bull dan Ferrari tapi Raikkonen menegaskan, prestasi mereka tidak boleh dinilai hanya menerusi pencapaian pertama itu.

"Sudah tentu kami gembira dengan kejayaan di Australia tapi banyak lagi perlu dilakukan dalam usaha untuk memenangi kejuaraan.


"Jentera kami nampak pantas di Albert Park. Harap prestasi sama dapat dipamerkan pada perlumbaan di Sepang.


"Malaysia sentiasa menjanjikan cabaran berbeza dengan cuaca panas sekali gus sukar menjangkakan keadaan jentera kami.

"Saya rasa, kami perlukan dua atau tiga perlumbaan lagi sebelum mengetahui kedudukan sebenar jentera kami," katanya pada sidang media di SIC semalam.


Juara dunia 2007 itu juga meramalkan cuaca tidak menentu di Sepang tetapi lebih memilih memandu dalam cuaca panas.

"Mungkin akan hujan lagi di Malaysia tapi apapun situasi tidak sama dengan perlumbaan lalu.


"Biasanya dalam cuaca panas, segala-galanya berjalan lancar untuk kami. Harap begitu juga keadaan cuaca pada hujung minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

9 pemain berguru di Thailand

Posted:

Kuala Lumpur: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) akan menghantar sembilan pemain kebangsaan menjalani latihan dan bersaing di Liga Takraw Thailand pada bulan depan bagi memastikan sasaran meraih pingat emas di Sukan Asia tahun depan tercapai.

Langkah terbabit diambil selepas melihat barisan skuad negara yang sering kali gugup dan 'kecut perut' apabila menentang Thailand di pentas antarabangsa dan PSM tidak mahu ia berterusan.


"Pada Sukan Asia 2010, ada pemain negara demam pada malam sebelum turun bertemu Thailand. Mungkin mereka gerun apabila jumpa pemain Thailand sekali gus menyebabkan kita merancang untuk terus menghantar mereka beraksi di negara terbabit selepas menghantar empat pemain pada tahun lalu.

"Saya pernah melakukan langkah sama pada 2005 apabila membawa pemain beberapa daerah dari Thailand seperti Pattani untuk menentang skuad negara bagi memastikan mereka dapat membiasakan diri dan mencari keyakinan. Saya harap langkah ini mampu membuahkan hasil, kalau tidak kami terpaksa memikirkan langkah lain," kata Presiden PSM Datuk Ahmad Ismail.


Prestasi sepak takraw negara sememangnya menjadi tumpuan apabila gagal menyaingi Thailand pada kejohanan antarabangsa dan kali terakhir bergelar juara Sukan SEA adalah pada 2005 di Filipina dan Sukan Asia 1994.


"Sasaran kita semestinya Sukan Asia tahun depan dan bukannya Sukan SEA tahun ini, namun temasya dwitahunan di Myanmar boleh menjadi kayu pengukur untuk melihat sama ada pemain kita berada pada landasan tepat atau sebaliknya," katanya yang turut bercadang melantik pakar psikologi buat skuad negara.

Mengenai dakwaan penyalahgunaan peruntukan kewangan oleh PSM, Ahmad enggan mengulas lebih lanjut dan menjelaskan ia akan diselesaikan dengan baik.


Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) Datuk Abdul Halim Kader berkata, saingan Siri Super akan bermula pada Mei dengan Malaysia dipilih tuan rumah untuk pusingan pertama dan penutup di Sabah pada Oktober.

Saingan edisi kedua membabitkan 12 negara terbaik menerusi ranking ISTAF membabitkan lelaki dan wanita itu kekal menggunakan format regu dengan Thailand menjadi tuan rumah pusingan kedua pada Jun diikuti India, Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

Yaman buat ulang kaji

Posted:

Shah Alam: Pengendali Yaman Tom Saintfiet jelas sudah mengkaji dengan mendalam corak permainan skuad negara apabila menjadikan pertemuan Harimau Malaya menentang Arab Saudi dan Qatar sebelum ini sebagai panduan utama untuk memasang jerat buat anak buah Datuk K Rajagobal, malam ini.

Malah jurulatih dari Belgium itu sudah meramalkan skuad negara kendalian Rajagobal bakal memberikan fokus kepada bahagian tengah pada pertemuan getir di Stadium Shah Alam ketika kedua-dua pasukan memerlukan kemenangan bagi mencerahkan peluang melangkah lebih jauh saingan kelayakan Piala Asia 2015.


Menurutnya, andai perlawanan terdahulu skuad negara (menentang Arab Saudi) diambil kira, terdapat banyak perubahan dan pergerakan posisi pemain yang berlaku dalam pasukan seperti pertahanan, Mahalli Jasuli yang banyak memberikan bantuan di bahagian sayap dan sebagainya.

"Namun saya tidak mahu memberikan tumpuan lebih kepada lawan kerana keutamaan pastinya pasukan saya. Walaupun pernah menjelaskan pemain tertentu seperti Safiq Rahim menyerlah, namun saya tidak akan memberikan tumpuan khusus," katanya yang mengenali Rajagobal sejak sembilan tahun lalu apabila kedua-duanya pernah menjadi jurulatih skuad remaja kedua-dua negara.


Saintfiet bagaimanapun menegaskan, sekiranya barisan pemain Yaman beraksi seperti yang diarah dan dipamerkan dalam sesi latihan, mereka mampu menewaskan mana-mana pasukan.


"Memang kami kehilangan beberapa pemain kerana kecederaan dan masalah peribadi namun saya tetap puas hati dengan barisan pemain yang dibawa ke sini kerana mereka berada di tahap terbaik untuk mendapatkan keputusan positif," katanya yang melihat halangan terbesar bagi Yaman adalah tempoh singkat menyesuaikan diri dengan cuaca negara ini.

Seperti Malaysia, Yaman turut hadir di Stadium Shah Alam dengan masalah ketumpulan jentera serangan yang gagal menggegar gawang lawan dalam 11 perlawanan namun Saintfiet tidak mahu terlalu memikirkannya.


"Kalau penjaga gol mampu menjaringkan gol sekalipun saya tidak kisah selagi penyerang melakukan apa yang saya arahkan," katanya. Yaman kecundang 0-2 kepada Bahrain pada perlawanan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22

No comments:

Post a Comment