Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Yakin bangkit

Posted:

Kuala Lumpur: Meskipun prestasi semasa jentera Mercedes AMG Petronas dilihat gagal bersaing dengan pasukan elit lain, prinsipal pasukan Ross Brawn tetap optimis kedua-dua pemandunya mampu menyambar enam petak teratas pada sesi kelayakan, Sabtu ini.

Saingan di Australia minggu lalu menyaksikan kedua-dua jentera Mercedes itu mempamerkan prestasi kurang memuaskan dengan bekas juara dunia Lewis Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima manakala Nico Rosberg lebih malang gagal menamatkan perlumbaan.


Bagaimanapun, kedua-dua pemandu bermula baik apabila Hamilton menyambar petak ketiga dan Rosberg, keenam pada sesi kelayakan.

"Saya akui di Australia kami tidak begitu kompetitif apabila berdepan masalah strategi pit stop manakala Rosberg lebih malang kerana jenteranya mengalami masalah teknikal.


"Saya rasa tidak banyak bezanya dengan cabaran di Sepang hujung minggu ini.


"Cuaca di sini amat sukar diramal tapi jika kami dapat mengatasi semua masalah pada sesi latihan dan kelayakan, kedua-dua jentera akan lebih kompetitif pada perlumbaan sebenar, Ahad ini," katanya.

Foto

AKSI Hamilton (kiri) di Litar Albert Park, Australia, minggu lalu.

Brawn berkata, Mercedes perlu mendapatkan keputusan lebih baik di Sepang kerana selain beraksi di halaman sendiri, keputusan positif kedua-dua jentera membenarkan mekanik mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi enjin pada perlumbaan akan datang. "Terdapat sedikit jurang antara catatan masa kami dengan beberapa pasukan elit. Sebab itu kami perlu mendapatkan keputusan lebih meyakinkan di Sepang.


"Yang penting perlumbaan sebenar. Tayar, pit stop, cuaca semuanya memainkan peranan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Ruang pelajar pamer kebolehan

Posted:

Kuantan: Seramai 30 peserta terpilih mengikuti bengkel sukan petanque sempena Karnival Kokurikulum Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, Kuantan, baru-baru ini.

Mereka membabitkan pelajar dan kakitangan POLISAS yang sebelum ini mendapat pendedahan awal menerusi program pembangunan sukan.


Bengkel sehari itu mendapat sentuhan jurulatih Ibrahim Huri dan dibantu dua pemain petanque negara, Noor Musfirah Jefri dan Mohd Intidzam Mohd Noor yang juga pelajar POLISAS.

Selain bengkel petanque turut diadakan pertandingan bola sepak sembilan sepasukan, bola jaring dan bola tampar.


Pengarah Program Mat Roof Jalil berkata, karnival itu yang julung kali diadakan bertujuan menarik minat golongan pelajar terbabit dalam aktiviti sukan.


Menurutnya, dengan adanya program seperti itu pelajar turut berpeluang mempamerkan kebolehan serta kemahiran dalam acara sukan diminati seterusnya terpilih mewakili POLISAS.

"Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini mewajibkan setiap Politeknik berusaha mencatat kejayaan dalam bidang akademik dan sukan dalam usaha meletakkan mereka di kedudukan lebih baik. "Antara usaha dilakukan, termasuk mengadakan karnival kokurikulum membabitkan aktiviti sukan dan bengkel," katanya yang akan mewajibkan semua pelajar POLISAS terbabit dalam sukan.


Beliau berkata, pencapaian membanggakan Noor Musfirah dan Mohd Intidzam yang mewakili Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 menjadi landasan kepada pengurusan POLISAS untuk terus berusaha menggilap kebolehan pelajar.

Mat Roof berkata, pihaknya akan terus berusaha mencungkil seterusnya menggilap bakat pemain dalam beberapa acara sukan seperti memanah dan petanque.


Sementara itu, Mohd Intidzam berazam untuk menarik minat lebih ramai pelajar POLISAS terbabit dalam acara petanque yang kini turut dipertandingkan di peringkat SUKMA dan Sukan SEA.


"Sukan petanque tidak memerlukan perbelanjaan tinggi berbanding sukan lain, ia sesuai untuk diceburi golongan pelajar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Raikkonen berbahang

Posted:

Kuala Lumpur: Kimi Raikkonen menyemarakkan musim Formula Satu dengan kemenangan menakjubkan di Australia namun pemandu digelar Iceman itu mula merasai bahang tentangan pesaingnya pada Grand Prix F1 Malaysia di Sepang hujung minggu ini.

Pengendalian tayar secara bijak dan kepantasan Lotus yang mengejutkan ramai membolehkan pemandu Finland itu menguasai podium di Melbourne dengan Fernando Alonso dari Ferrari di tangga kedua manakala Sebastian Vettel, yang memburu kejuaraan dunia keempat berturut-turut, di tangga ketiga.


'Finntastic' menjadi tajuk utama akhbar Australia dan "Pemandu Finland kembali menyemarakkan Formula 1", ketika media menyambut baik cabaran terhadap pemandu utama pada permulaan musim baru.

Tiga kejuaraan dalam tiga tahun sudah cukup meletakkan pemandu Red Bull dari Jerman Vettel, 25, antara atlet hebat sukan itu namun kehadiran semula Raikkonen yang suka berparti dan juara dunia bersama Ferrari pada 2007, nyata menceriakan.


Selepas hujan ribut menangguhkan sesi kelayakan Sabtu lalu di Australia, pasukan sekali lagi berdepan minggu mencabar di litar Sepang, dengan hujan tropika mencetus huru-hara tahun lalu dan 2009.


Tahun lalu, Raikkonen pulang ke Malaysia selepas dua tahun berlumba rali dengan memberikan ais krim, mengembalikan semula episod kunjungan terakhirnya pada 2009, apabila dia mengunyah ais krim Magnum ketika perlumbaan tertangguh akibat hujan.

Pemandu berusia 33 tahun itu pernah dua kali muncul juara di Litar Antarabangsa sepang namun turut gagal menamatkan perlumbaan empat kali serta menduduki tangga kelima tahun lalu.


Keupayaannya mengendalikan tayar baru Pirelli yang memang dibuat untuk cepat haus amat kritikal di Melbourne, namun dia berdepan ujian berbeza dalam cuaca panas dan berbahang Malaysia serta kemungkinan hujan pada perlumbaan Ahad ini.

"Saya berasa kami akan OK dengan tayar selepas latihan," kata Raikkonen selepas perlumbaan di Australia.


"Pasukan melakukan strategi yang sempurna. Selain pasukan Force India, pasukan lain tidak mampu melakukan perkara sama." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

McLaren minta maaf kepada Red Bull

Posted:

London: McLaren memohon maaf kepada pencabar Formula Satu, Red Bull, semalam, gara-gara unit kawalan enjin standard (ECU) dibekalkan kepada semua pasukan menyumbang kepada permulaan buruk Mark Webber pada perlumbaan di tempat sendiri pada Grand Prix Australia.

"Ada masalah berkaitan perisian menyebabkan Mark Webber serta sistem data garaj digunakan terpaksa diatur semula sewaktu pusingan pemanas enjin," kata kumpulan McLaren.


"Masalah itu menjejaskan persiapannya pada permulaan perlumbaan dan kami memohon maaf kepada Mark dan pasukannya. Kami bekerjasama dengan mereka untuk memastikan kejadian sama tidak berulang." Webber menduduki barisan depan bersama rakan sepasukan dan juara dunia tiga kali, Sebastian Vettel tetapi masalah itu meletakkannya pada kedudukan ketujuh selepas satu pusingan pada perlumbaan pembuka musim itu.

Dia menamatkan perlumbaan di tempat keenam.


Prinsipal pasukan Red Bull Christian Horner menyalahkan McLaren selepas perlumbaan apabila sistem bekalan elektronik ECU McLaren menyaksikan Vettel sekadar melintasi garisan penamat di tempat ketiga.


"Kami kehilangan semua telemetri pada pusingan pemanas badan yang menyebabkan Webber tidak nampak apa-apa pada petak permulaan dan turut timbul isu ECU menutup KERS (sistem pengembalian semula kuasa) kerana ia juga tidak berfungsi," katanya. "Sewaktu kami cuba mengatur semula keseluruhan sistem, dia sudah kehilangan tempat pada permulaan.

"Ia sesuatu yang mereka perlu utamakan kerana wujud terlalu banyak masalah sejak sesi ujian lagi." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Danny tekad baiki aksi

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain golf profesional negara, Danny Chia menanam tekad memperbaiki persembahan buruk tahun lalu apabila Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank, membuka cabaran hari ini.

Pemain berusia 39 tahun itu yang menjadi pro pada 1996 berjanji akan bermain mati-matian untuk membuatkan peminat tempatan ceria ketika beraksi di Kelab Golf & Resort Kuala Lumpur di Bukit Kiara sepanjang saingan tiga hari itu.


"Saya harap nasib menyebelahi saya kali ini selepas aksi buruk tahun lalu," kata Danny yang gagal menempatkan diri dalam kelompok 72 pemain teratas.

Bercakap kepada wartawan menjelang kejohanan yang menawarkan wang hadiah keseluruhan RM8.5 juta, Danny turut memberi pujian kepada jurulatih peribadinya, Steven Giuliano yang membimbingnya untuk meningkatkan permainan.


"Sejak lima tahun lalu, persembahan saya meningkat di bawah Steven," kata Danny yang juga Duta Golf Maybank.


Selain Danny, Malaysia turut menaruh harapan terhadap beberapa pemain veteran dan muda seperti Airil Rizman Zahari, Shaaban Hussin dan Sukree Othman.

Sementara itu, lapan daripada pelanggan korporat Maybank merealisasikan impian seumur hidup apabila beraksi di samping pemain bertaraf bintang seperti Luke Donald, Padraig Harrington, Matteo Manassero dan Charl Schwartzel dalam pertandingan 'Star Experience for Charity' yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kebajikan untuk Terbuka Malaysia Maybank 2013.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Hamilton nafi kurang selesa

Posted:

Kuala Lumpur: Bintang baru Mercedes AMG Petronas Lewis Hamilton menafikan kurang selesa bersama pasukan barunya itu selepas mempamer aksi hambar pada perlumbaan pertama di Australia, minggu lalu.

Bekas pemandu McLaren itu dikritik hebat termasuk bekas rakan sepasukannya Jenson Button yang menganggap Hamilton melakukan keputusan yang salah apabila memilih untuk bersama Mercedes musim ini. "Saya tidak mahu memikirkan apa yang diperkatakan orang ramai termasuk Button.


"Yang penting ketika ini saya mahu fokus bersama pasukan baru dan cuba meraih keputusan terbaik pada setiap perlumbaan," katanya.

Mengulas perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini, Hamilton optimis mampu meraih keputusan lebih baik berbanding Australia.


Hamilton juga menafikan dia lebih tertumpu untuk memfokuskan saingan kepada satu-satu pelumba sepanjang saingan musim ini.


"Anda mungkin kata (Fernando) Alonso pencabar utama saya tapi semua pemandu termasuk Sebastian Vettel dan Rosberg juga kompetitif."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Maldonado tekad lupa detik hitam GP Australia

Posted:

Kuala Lumpur: Walaupun keupayaan jentera Williams Renault diragui selepas keputusan hambar di Grand Prix Australia minggu lalu, Pastor Maldonado yakin mampu memacu jenteranya dengan sasaran penamat 10 terbaik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad ini.

Minggu lalu, Maldonado melalui mimpi ngeri apabila terpaksa bersara pada pusingan ke-24 kerana hilang kawalan manakala rakan sepasukan, Valtteri Bottas sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14.


Pemandu dilabel antara yang paling berpotensi dalam saingan Formula Satu (F1) itu ingin melupakan detik hitam itu dan yakin mampu memungut mata pertama untuk Williams di Sepang, Ahad ini.

"Saya perlu segera lupakan kekecewaan minggu lalu. Jentera tidak begitu memuaskan, begitu juga strategi perlumbaan.


"Hakikatnya kami memiliki jentera yang bagus andai dapat disesuaikan dengan keadaan semasa termasuk pemilihan tayar dan faktor cuaca," katanya.


Mengulas mengenai Sepang yang dilabel antara litar paling sukar dan begitu teknikal berbanding 18 litar lain, juara di Barcelona musim lalu itu mengaku cabaran di litar sepanjang 5.543 kilometer itu sentiasa menjanjikan pengalaman baru.

"Litar ini agak lebar dengan beberapa selekoh tajam yang memerlukan ketajaman pemanduan. Ia juga menawarkan laluan lurus yang panjang dan di sini, keupayaan jentera bakal teruji.


"Apapun, seperti yang saya katakan tadi, sama ada kami berlumba ketika cuaca panas atau hujan, saya sudah bersedia berdepan cabaran di Sepang."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Der Garde tak gusar

Posted:

Kuala Lumpur: Ketika barisan pelumba lain gusar dengan cuaca tidak menentu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bintang baru Caterham Geido Van Der Garde tegas tidak terganggu tentang perkara itu.

Berbanding 18 litar lain, Sepang sentiasa menawarkan cabaran tidak dijangka pelumba dengan kemungkinan cuaca panas atau hujan lebat pada perlumbaan sebenar.


Contohnya, pada edisi 2009, perlumbaan terpaksa dihentikan pada separuh saingan akibat hujan lebat yang menyaksikan Jenson Button muncul juara bersama pasukan Brawn.

"Kami tidak boleh jangka keadaan cuaca di Sepang kerana litar ini kadangkala cukup panas dan tiba-tiba hujan lebat.


"Secara peribadi, saya tidak kisah sama ada panas atau sebaliknya sebab saya sudah biasa beraksi dalam cuaca lembab di negara saya," katanya yang berasal dari Belanda.


Meskipun bakal beraksi di halaman sendiri Der Garde meminta peminat tempatan supaya lebih realistik terhadap kemampuan jentera Caterham.

"Secara jujur kami memang tidak puas hati dengan penamat di Australia dan mengharapkan keputusan lebih baik di Sepang.


"Perkara pertama yang kami perlu capai ialah mengatasi pesaing terdekat kami iaitu Marussia. Mereka nampak lebih pantas daripada kami di Australia.

"Kami perlukan antara tiga hingga empat perlumbaan untuk lebih konsisten, mungkin selepas saingan bermula di Eropah."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Mat Yo nekad pulih sentuhan

Posted:

Kelana Jaya: Penyerang utama negara Norshahrul Idlan Talaha berharap dapat mengembalikan sentuhan pemusnahnya apabila berdepan Yaman pada perlawanan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, esok selepas aksinya di pentas antarabangsa dilihat kurang menjadi sejak akhir-akhir ini.

Pemain paling bernilai kebangsaan itu hanya menyumbat satu gol sepanjang kempen Piala AFF tahun lalu dan diketepikan ketika skuad kendalian Datuk K Rajagobal tumpas 0-2 di tangan Qatar di Doha akibat kecederaan pada aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Asia awal Februari lalu.


Biarpun gagal menyerlah ketika beraksi menentang Arab Saudi yang menyaksikan Harimau Malaya kalah 1-4 pada perlawanan persahabatan Ahad lalu, Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo dianggap satu-satunya penyerang semula jadi yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini.

Dan itu menyebabkan penyerang Johor Darul Takzim itu bakal menjadi sandaran utama skuad kebangsaan untuk merobek gawang Yaman.


"Saya tetap fikir positif walaupun kurang menjaringkan gol di peringkat antarabangsa. Saya tetap menerapkan mentaliti mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan.


"Saya tidak kisah jika jurulatih meletakkan saya sebagai penyerang tunggal kerana sebelum ini ketika Safee (Sali) tidak beraksi dalam Piala AFF, saya sudah beraksi di posisi itu ketika menentang Thailand dan Indonesia," katanya yang bergandingan bersama Mohd Amri Yahyah dalam aksi menentang Arab Saudi.

Selain Norshahrul, pada kem latihan kali ini Rajagobal yang mengetepikan Safee akibat kecederaan buku lali hanya memanggil Amri, Abd Hadi Yahya, Mohd Khyrill Muhymeen Zambri bagi posisi penyerang.


Bagi Norshahrul, beliau tidak tertekan dengan tugas yang bakal digalasnya kerana yakin rakan sepasukan turut dapat membantu.

"Kami perlu menang dan tak semestinya saya seorang saja yang boleh menjaringkan gol, pemain lain juga boleh melakukannya," kata penyerang berusia 26 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

Saintfiet bawa misi pungut tiga mata

Posted:

Sepang: Persiapan skuad Yaman tidak sebagus Malaysia namun skuad kendalian Tom Saintfiet itu tetap hadir dengan misi mahu membawa pulang tiga mata penuh pada aksi kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, esok.

Tanpa sebarang perlawanan persahabatan antarabangsa selepas tumpas kepada Bahrain 0-2 pada aksi pertama kelayakan awal bulan lalu, pasukan di ranking ke-170 dunia itu hanya sempat menjalani latihan selama empat hari sebelum tiba di Kuala Lumpur pagi semalam.


Ini kerana liga negara itu hanya kembali bermula dua minggu lalu selepas berhenti selama enam bulan dan Saintfiet membuat keputusan membenarkan pemain beraksi dalam empat perlawanan liga sebelum dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

Jurulatih kelahiran Belgium itu berharap semua pemain dapat menyesuaikan diri dengan cepat selepas rancangan mereka untuk tiba lebih awal ke sini bagi persiapan menghadapi Harimau Malaya tidak menjadi kenyataan.


"Ini perlawanan penting untuk kedua-dua pasukan selepas kalah perlawanan pertama. Kami tidak mempunyai perlawanan persahabatan sedangkan Malaysia pula berpeluang menentang Arab Saudi baru-baru ini.


"Saya tidak boleh memanggil pemain lebih awal kerana liga baru bermula. Mereka sudah lama tidak bermain dalam liga dan lebih baik saya memberi peluang kepada mereka bermain kerana skuad kebangsaan juga tidak ada perlawanan persahabatan.

"Kami ada memohon untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Indonesia, Brunei dan Singapura sebelum datang ke Malaysia tapi tidak berjaya. Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan jarak masa yang berbeza di sini," katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.


Biarpun berdepan segala kepincangan itu, ia tidak melemahkan semangat Saintfiet, bekas pengarah teknikal Nigeria yang tetap menganggap beliau memiliki barisan terbaik untuk mengejutkan skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

Meskipun tersingkir awal pada kejohanan Piala Negara-Negara Teluk Januari lalu, Yaman dilihat mampu memberikan tentangan apabila hanya tewas 2-0 dalam tiga perlawanan menentang pasukan handalan Iraq, Kuwait dan Arab Saudi.


"Kami datang ke sini untuk mendapatkan mata kerana saya tahu ini satu perlawanan yang sukar. Kemampuan kedua-dua pasukan hampir sama dan kita akan lihat siapa lebih hebat," katanya yang mengaku mengenali Rajagobal ketika menjadi jurulatih skuad bawah 17 tahun Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/21

No comments:

Post a Comment