Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Apa yang tak kena?

Posted:

Kuala Lumpur: Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkembangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ketika ini selepas terus terkandas, yang terbaru di Seluruh England minggu lalu.

Meskipun pelbagai 'gertakan' diberi terhadap mereka sejak beberapa tahun lalu, apa yang diharapkan masih gagal diubah.


Apatah lagi, kejohanan itu satu daripada dua pengukur ditetapkan terhadap mereka selain Kejohanan Dunia yang berlangsung di Guangzhou, China pada Ogos.

Justeru, sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tegas terhadap kedua-dua pemain andai keadaan masih tidak berubah.


"Mereka sudah diberi masa, tunggu saja hingga Kejohanan Dunia," kata bekas beregu kebangsaan, Cheah Soon Kit.


Soon Kit yang bergandingan dengan Yap Kim Hock pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat perak Olimpik Atlanta 1996, pencapaian yang masih gagal diulangi beregu terbabit biarpun pernah mencuba pada Olimpik 2008 dan 2012.

Foto

KIEN Keat (kiri), Boon Heong masih lagi pamer aksi buruk walau sudah diberi amaran.

Satu lagi beregu negara yang pernah melakar kejayaan di Olimpik, pasangan adik beradik, Razif dan Jalani Sidek memenangi gangsa Olimpik 1992.


Soon Kit yang kini menggalas tugas di Akademi Badminton Looi menegaskan, selepas tempoh itu berakhir, biarlah BAM menentukan nasib mereka sama ada masih terus dikekalkan atau sebaliknya.

"Jika gagal, BAM harus melakukan sesuatu memandangkan mereka sudah diletakkan dua kejohanan sebagai penanda aras.


"Apapun BAM perlu tegas dengan tindakan mereka, tidak kira sama ada beregu itu bermain dengan baik atau sebaliknya." Realitinya, menurut beliau, gandingan itu masih beregu terbaik negara ketika ini dan masih sukar untuk gandingan lain mengejar kedudukan mereka.


"Menurut analisis saya, beregu kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong juga masih belum mencapai tahap terbaik mereka meskipun sudah sekian lama digandingkan.


"Mungkin ada perkara tidak kena yang kita tidak ketahui dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasinya. Kien Keat-Boon Heong berada dalam kelompok lima terbaik dunia ketika ini dan sukar untuk beregu tempatan lain mengatasi mereka.


"Biarpun ada muka baru yang mula menunjukkan potensi, pencapaian mereka juga masih jauh untuk menyamai kedudukan Kien Keat-Boon Heong dan saya fikir ia sesuatu yang sukar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Usah pindah!

Posted:

London: Pengurus Fulham Martin Jol menggesa Gareth Bale untuk terus kekal di Tottenham dan menjadi legenda di White Hart Lane.

Jol mengendalikan Spurs ketika Bale menyertai kelab itu dari Southampton dan mereka kembali bersatu apabila dia membawa pasukannya, Fulham untuk berdepan anak buah Andre Villas-Boas di utara London, malam ini.


Bale yang kembali menyertai barisan pemain Spurs tidak beraksi sewaktu pasukannya tewas kepada Inter Milan pada aksi Liga Europa dijangka menerima tawaran lumayan daripada kelab ternama Eropah sebaik musim ini berakhir.

Begitupun bekas pengurusnya percaya pemain tengah Wales itu lebih baik jika terus bersama Spurs.


"Saya lihat Bale di Southampton ketika dia berusia 15 tahun, kami memantaunya dan pasukan lain cuba mendapatkannya tapi saya memberi kata dua kepada ibunya untuk meyakinkan pemain itu datang menyertai Spurs," kata Jol.


"Apa yang saya jangkakan memang benar, dia pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris ketika ini dan membuktikannya setiap minggu.

"Saya menurunkannya pada perlawanan pertama menentang Manchester United dan statistik ditunjukkannya lebih baik daripada pemain lain biarpun ketika itu dia baru berusia 17 tahun.


"Saya harap dia terus kekal demi Spurs dan liga ini kerana kelab itu yang terbaik untuknya. Dia menjadi semakin kuat dan lebih baik sebagai seorang penyerang.

"Spurs sebuah kelab besar dengan kumpulan penyokong yang besar dan dia boleh menjadi legenda di sana. Jika dia mahu melakukan perkara lebih hebat di negara lain, ia mendatangkan risiko. Tidak semuanya membawa tuah." Spurs turun menentang Fulham selepas mempamerkan aksi tidak meyakinkan di San Siro yang hampir menjejaskan peluang ke suku akhir Liga Europa.


Skuad Villas-Boas kembali memiliki jentera serangan lebih hebat berbanding di Itali dengan kepulangan Bale dan bekas penyerang Fulham Clint Dempsey yang turut pulih daripada kecederaan. Dimitar Berbatov akan mengetuai serangan Fulham ke atas bekas kelabnya manakala Steve Sidwell disahkan cergas selepas mengalami kecederaan di Sunderland.


Tottenham kini berada di tangga ketiga liga, dua mata di depan Chelsea di tempat keempat dan memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas gagal tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Hazard yakin Blues cemerlang

Posted:

LONDON: Eden Hazard mengaku Chelsea tidak boleh melakukan kesilapan demi terus mengekalkan misi layak ke Liga Juara-Juara.

Skuad Rafael Benitez yang menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris, turun menentang West Ham malam ini dan kemenangan mampu melebarkan jurang dengan Arsenal di tangga kelima selain menghampiri Tottenham di tangga ketiga.


Sebaik Chelsea melakukan sepak mula, mereka mungkin dua mata di depan Arsenal jika Gunners menewaskan Swansea dan Hazard sedar tekanan pasti memuncak jika pasukannya tewas di tangan Hammers.

"Kami perlu mengutip tiga mata Ahad ini, kami perlu menang perlawanan ini," kata Hazard.


"Chelsea sebuah kelab yang besar. Kami mahu menang gelaran dan layak ke Liga Juara-Juara. Banyak yang perlu dilakukan tapi kami cuba lakukan semuanya." Selepas dikecam penyokong Chelsea sejak awal musim, pengurus sementara Benitez masih gagal meraih keyakinan penyokong setia Stamford Bridge jika dilihat kepada tempat duduk kosong dan suasana hambar yang menghiasi kemenangan ke atas Steaua Bucharest dalam aksi Liga Europa, Khamis lalu.


Biarpun suasana tegang menyelubungi Chelsea, pasukan itu masih berpeluang menjuarai Liga Europa dan Pial FA.

Mereka menentang Manchester United pada perlawanan ulangan suku akhir Piala FA dan menentang Rubin Kazan di suku akhir Liga Europa. Ini bermakna anak buah Benitez akan melalui enam perlawanan dalam tempoh 16 hari. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Nafas baru hoki negara

Posted:

Ipoh: Apa saja keputusan diraih skuad negara pada hari terakhir saingan Piala Sultan Azlan Shah hari ini, pujian wajar diberikan kepada mereka kerana terus berjaya mempamer perkembangan positif sejak Paul Revington membimbing pasukan, Ogos tahun lalu.

Prestasi skuad negara juga boleh dianggap sebagai kebangkitan semula hoki negara selepas mencatat keputusan hambar sejak beberapa tahun lalu, termasuk gagal layak ke temasya Sukan Olimpik di London buat kali ketiga berturut-turut.


Kali terakhir skuad negara layak ke temasya sukan terbesar itu pada 2000 ketika disertai nama besar seperti Mirnawan Nawawi.

"Mereka mula faham tentang sikap untuk terus memberikan saingan hingga minit akhir. Mentaliti seperti inilah yang diperlukan andai bertemu pasukan yang menduduki ranking 10 terbaik dunia.


"Perubahan ini bukan hasil sumbangan saya sahaja tetapi ia adalah kerjasama semua anggota pengurusan skuad negara.


"Cuma seperti yang saya sering ingatkan sebelum ini, saya mahu pemain mempunyai corak pemikiran yang sentiasa positif dan cuba menang setiap perlawanan," kata Revington.

Bermula dengan tugasan pertamanya pada Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina, Revington terus berjaya memberi impak positif dalam skuad negara apabila mereka berjaya mempertahankan kedudukan ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Doha hujung tahun lalu, mengulangi kejayaan di Ordos setahun sebelum itu di bawah kendalian Tai Beng Hai.


Prinsip pengendali dari Afrika Selatan itu mudah, beliau mahukan peningkatan daripada anak buahnya pada setiap perlawanan dan lebih penting ialah Revington sentiasa mensasarkan kemenangan tidak kira apa saja saingan yang dilalui skuad negara.

Buktinya, skuad negara mencatat kemenangan pada tiga siri perlawanan persahabatan dengan Ireland serta satu kemenangan ke atas juara bertahan Piala Sultan Azlan Shah, New Zealand sebelum bermulanya saingan edisi ke-22 itu.


Revington juga seorang yang begitu menghargai sumbangan setiap pemainnya dan antara yang mendapat pujian setakat ini ialah penjaga gawang, S Kumar dan penyerang veteran, Chua Boon Huat.


"Kumar melalui saat yang mengecewakan di Liga Hoki India tapi dia kembali bersama skuad negara dengan prestasi yang cukup bagus. Begitu juga dengan Boon Huat, saya tidak pernah meragui keupayaannya," katanya.


Mentaliti sentiasa mahukan kemenangan itu sebenarnya agak berat untuk dipikul setiap pemain, tetapi itulah juga yang berjaya membawa perubahan besar dalam skuad negara ketika ini.


Namun ia tidak bermakna Revington mengamalkan corak latihan yang keras dan teruk, sebaliknya beliau lebih bersikap terbuka dan sentiasa meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada setiap barisan pemainnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Tekad majukan sukan

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain bola sepak Harimau Muda A, Saiful Ridzuwan Selamat ingin merealisasikan impian menjadi pegawai sukan andai tidak bergelar atlet.

Soalan (S): Jika anda bukan atlet, anda seorang...

Jawapan (J): Saya ingin menjadi pegawai sukan untuk terus membangunkan mutu sukan negara.

S: Apakah bidang pekerjaan yang anda maksudkan itu?

J: Tugas ini diklasifikasikan dalam kumpulan profesional dan pengurusan. Setiap pengurusan perlukan satu badan induk yang merangka dasar, merancang program serta aktiviti berkaitan kegiatan sukan di peringkat kementerian atau jabatan. Maka, itu adalah tugas seorang pegawai sukan.

S: Mengapa memilih bidang ini?

J: Kerana ia mempunyai hubung kait dengan atlet dan saya cintakan sukan. Tugas ini juga perlukan saya memberi khidmat nasihat kepakaran serta penyeliaan berterusan bagi mengembangkan program sukan. Saya akan gunakan pengalaman sebagai atlet serta ilmu menerusi pengajian yang saya ikuti ketika ini untuk menaikkan sukan Malaysia.

S: Ini cita-cita sejak kecil?

J: Saya memang gemar bersukan dari kecil. Saya kini menuntut pengajian Diploma Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang berbaki tiga subjek saja lagi. Jika tiada aral melintang, saya dijangka tamat pengajian hujung tahun depan.

S: Bagaimana anda menguruskan masa antara kerjaya sebagai pemain bola sepak negara dan mahasiswa?

J: Agak sukar kerana saya terpaksa tangguhkan pengajian. Sabtu (semalam) saya bersama skuad negara berlepas menjalani latihan di Slovakia. Lantaran itu, saya terpaksa tangguhkan lagi pengajian selama dua semester. Jika tidak, mungkin saya menjadi graduan tahun ini. Namun, ia pengorbanan saya buat negara.

S: Adakah keluarga memahami?

J: Mujur keluarga saya amat memahami. Memang dari kecil saya aktif bersukan terutama bola sepak dan mereka memberi sokongan padu. Tetapi ada syaratnya, saya kena bijak seimbangkan antara bersukan dan pelajaran. Kerana itu, saya tetap meneruskan pengajian dan pada masa sama bermain untuk Harimau Muda A.

S: Apakah fokus terdekat anda buat masa ini?

J: Yang pasti saya ingin membantu negara mempertahankan pingat emas negara di Sukan SEA Myanmar tahun ini. Apapun, terlebih dulu saya perlu menempah kelayakan ke temasya itu dan ketika ini saya mengekalkan aksi konsisten dan prestasi yang baik untuk diberi kepercayaan ke Myanmar.

S: Selain bola sepak, mungkin ada keistimewaan lain?

J: Saya agak pandai memasak tapi bukan yang sukar, goreng-menggoreng saja.

S: Ciri wanita idaman anda?

J: Usia saya baru 21 tahun, mungkin masih muda untuk memikirkan hal teman wanita. Buat masa ini hanya bola sepak serta pelajaran menjadi tumpuan utama.

S: Jika orang tidak mengenali anda, mereka menganggap anda seorang yang...

J: Pemalu atau mungkin sombong. Jika sudah mengenali saya, mereka mengatakan saya seorang yang peramah pula.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

'Abang, adik' main ragbi

Posted:

Kuala Lumpur: Sukan ragbi mungkin luaran nampak ganas namun bagi naib kapten The Combined Old Boys Rugby Association (Cobra), Mohd Hafiizh Zainal menganggap ia sukan gentleman (lelaki sejati).

Pandangan itu disokong 'adiknya' di Akademi Remaja Cobra, Hanif Ridwan Mohd Taufiq dan kedua-duanya memiliki misi sama, membangunkan lagi sukan ragbi Malaysia.

Bagi Hanif, sikap orang ramai yang sentiasa menganggap ragbi sukan ganas mungkin lebih cenderung untuk meminati sukan lain sedangkan ragbi penuh dengan rasa hormat yang tinggi.

Dengan memasang misi mewakili negara suatu hari nanti, Hanif Ridwan bertuah menerima nasihat Mohd Hafiizh yang juga pemain skuad kebangsaan. Sesi temu bual secara dekat bersama Metro Ahad baru-baru ini nyata menjadi kenangan manis buat Hanif lantaran pertama kali berpeluang bersembang secara dekat bukan saja mengenai ragbi malah peribadi bersama 'abangnya'.

Soalan (S): Saya bercita-cita besar untuk mewakili Malaysia suatu hari nanti. Apakah nasihat untuk menjadi pemain yang baik sekali gus membangunkan lagi sukan ragbi tempatan.

Jawapan (J): Perkara paling utama dalam ragbi adalah disiplin. Ia merangkumi disiplin semua perkara, menepati masa, mendengar kata jurulatih, ketika latihan dan di perlawanan. Mental juga perlu kuat serta bijak mengawal perasaan sepanjang perlawanan.

S: Selain sukan ragbi mungkin ada meminati sukan lain?

J: Jujurnya, tiada. Hanya ragbi saja.

S: Bagaimana boleh cenderung memilih ragbi?

J: Minat pada sukan ragbi hadir di bangku sekolah rendah sekitar 1990-an. Waktu itu, pakcik, Abdul Rahman Hassan tersenarai menyertai skuad ragbi Terengganu. Saya sering melihat beliau beraksi dan lama-kelamaan jatuh cinta dengan sukan ini. Sejak detik itu, pakcik mula membimbing saya hinggalah berjaya mewakili skuad negara.

S: Disebabkan pakcik juga pemain ragbi, pasti anda mendapat sokongan padu keluarga dalam sukan ini?

J: Tidak juga. Pada peringkat awal, ibu tidak menyokong saya aktif dalam sukan ragbi. Tetapi, kini perlahan-lahan ibu sudah mula menerimanya dan memahami minat mendalam saya.

S: Sukan ragbi menjadi tumpuan utama anda, tetapi setiap individu mempunyai minat lain di masa lapang. Anda bagaimana?

J: Jadual agak padat dengan sesi latihan. Tetapi kini saya mempunyai lebih banyak masa selepas baru tamat pengajian jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Jika ada masa biasanya menonton wayang.

S: Sudah ada teman istimewa?

J: Tumpukan pada sukan ragbi dan misi mencari kerjaya terlebih dulu.

S: Apa pilihan kerjaya anda?

J: Dalam bidang sukan juga. Menuntut pun dalam pengajian sukan serta aktif bersukan dan ingin terus menabur bakti dalam pembangunan sukan negara.

S: Kembali kepada sukan ragbi, apa tumpuan utama tahun ini?

J: Untuk cemerlang dalam perlawanan Liga Super dan Piala Super.

S: Jangkaan masa untuk terus aktif dalam sukan ragbi?

J: Tidak pasti, selagi mampu akan teruskan. Malah jika sudah bekerja kelak, saya tetap akan teruskan. Sukan ini mengikut kemampuan fizikal dan mental masing-masing, ada pemain yang sudah mencecah usia 30-an tetapi masih gagah bermain ragbi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Rangka strategi baru

Posted:

Kuala Lumpur: Mereka pernah bergelar beregu lelaki nombor satu dunia pada 2010 dan merangkul pelbagai kejayaan, antaranya pingat emas Sukan Asia Doha 2006 dan Sukan Komanwel New Delhi 2010, tetapi liputan mengenai kombinasi Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sejak beberapa tahun lalu hanya tertumpu kepada kemerosotan prestasi masing-masing.

Lebih memburukkan keadaan, hubungan mereka yang dikatakan keruh dengan beberapa jurulatih sebelum ini mengundang spekulasi mengenai keserasian mereka di gelanggang apabila tidak memenangi sebarang kejuaraan Siri Super sejak 2009.


Episod kegagalan terus melanda kedua-dua pemain itu tahun ini apabila gagal di Terbuka Malaysia, awal tahun ini sebelum tersingkir di pusingan kedua Seluruh England yang dikatakan medan ujian pertama kepada mereka dengan matlamat utama untuk berjaya di Kejohanan Dunia di Guangzhou, pada Ogos.

Menariknya, itulah sasaran yang ditetapkan ke atas jurulatih baru mereka, Paulus Firman mengisi kekosongan ditinggalkan Rexy Mainaky dan Pang Cheh Chang yang gagal mencari jawapan punca kemerosotan kedua-dua pemain itu.


"Saya mempunyai perancangan untuk mereka tapi perlu mendengar apa yang diperkatakan ketua jurulatih (Tan Kim Her) terlebih dulu mengenai persembahan mereka di Seluruh England, memandangkan saya tidak ke sana," katanya.


Menurutnya, dia bertanggungjawab memastikan kedua-dua pemain yang masih menghuni ranking kedua dunia itu mempamerkan kekuatan fizikal, teknikal dan mental terbaik untuk Kejohanan Dunia tetapi tidak menjanjikan apa-apa kejutan dalam masa terdekat.

"Mereka sudah memulakan latihan sebaik kembali dari Birmingham," kata Paulus.


"Kien Keat dan Boon Heong akan menyertai Kejohanan Axiata di Surabaya pada 21 Mac ini tapi kita tidak cukup masa untuk memastikan mereka berada di tahap terbaik." Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Shapawi Ismail namun tetap yakin kombinasi Kien Keat-Boon Heong belum hilang rentak tapi perlu menyesuaikan permainan seiring peningkatan usia.

"Saya tidak fikir mereka mempunyai masalah berhubung skil atau mental tapi rentak permainan perlu diberi perhatian kerana tidak lagi setanding pemain antarabangsa lain lantaran usia yang semakin meningkat.


"Mungkin tahap kecergasan tidak seperti beberapa tahun lalu justeru kedua-duanya perlu menyesuaikan diri dengan corak permainan yang sesuai dengan usia," katanya.


"Begitupun jika ia membabitkan soal persefahaman, terpulang kepada pemain dan jurulatih. Ia di luar bidang kuasa ISN.


"Tiada siapa ingin kalah, terutama selepas menempuh perjalanan jauh serta berjuang untuk negara dan itulah yang saya rasa mereka rasakan." Begitupun faktor usia sama sekali tidak boleh dijadikan alasan kemerosotan prestasi. Lihat saja beregu China, Cai Yun-Fu Haifeng yang sering menjadi ranjau perjalanan karier mereka beberapa tahun lalu. Cai Yun berusia 33 tahun manakala Fu Haifeng, 29. Kien Keat dan Boon Heong pula masing-masing berusia 27 dan 25 tahun.


Shapawi berkata, pihaknya belum mendapat laporan rasmi mengenai kekalahan mereka di Seluruh England tapi perkara itu akan dibincangkan bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan jurulatih untuk mengenal pasti masalah dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.


Menurutnya ISN sedia memberi apa saja bantuan untuk membantu mereka tapi pada akhirnya terpulang kepada kedua-dua pemain memanfaatkan apa saja kemudahan disediakan agensi sokongan sukan itu demi meningkatkan pencapaian mereka.


"Malah Pasukan Berprestasi Tinggi (HPT) sudah ditempatkan di Stadium Juara membabitkan pakar fisioterapi, pemulihan, psikologi dan pemakanan untuk kemudahan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

No comments:

Post a Comment