Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Josiah masih berbisa

Posted:

Sepang: Kejayaan pelumba veteran, Josiah Ng memenangi dua pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) memastikan dirinya kini membayangi kelibat jaguh trek negara, Azizulhasni Awang di temasya yang berlangsung di India baru-baru ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu memenangi emas acara keirin selain menyingkirkan Azizulhasni dalam laluan ke final untuk menjuarai acara pecut individu sekali gus memahat namanya sebagai jaguh Asia ketika ini dan boleh dinobat pelumba terbaik Malaysia.


"Ketika ini memang saya (pelumba terbaik negara), namun dalam sukan, situasi cepat berubah, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang dicapai. Tidak boleh biar kejayaan menguasai kita kerana pasti ada pelumba muda yang bakal tampil. Justeru beberapa tahun mendatang bakal lebih mencabar," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi semalam.

Katanya, kejayaan dua emas terutamanya dalam 200 meter pecut amat menggembirakan kerana dia pernah membuat keputusan berhenti daripada menjalani latihan dalam acara terbabit kerana berasa ia sudah dikuasai Azizulhasni dan kecewa dengan catatan masanya walaupun sudah lama mencuba.


Bagaimanapun Josiah percaya Azizulhasni akan mempamerkan kebangkitan selepas berdepan situasi sukar sebelum ini sehingga menyebabkan pelumba Olimpik 2012 itu mempunyai masa terhad untuk membuat persediaan bertanding di New Delhi.


Turut cemerlang di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi adalah Fatehah Mustapa yang meraih emas acara pecut individu selain satu perak (keirin) dan satu gangsa (500 meter ujian masa) Lebih membanggakan, Fatehah memecahkan rekod kebangsaan 500 meter ujian masa dengan catatan 35.581 saat "Kejayaan ini menguatkan semangat saya untuk memenangi pingat di sirkit Piala Dunia yang menjadi sasaran utama tahun ini. "Mungkin akan memberikan perhatian yang lebih kepada keirin kerana dalam acara pecut saingannya amat sukar namun saya tetap memberikan aksi terbaik sekiranya berpeluang," katanya. Pelumba berusia 24 tahun itu turut tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan dicapai kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki selain tindakan China yang hanya menghantar pelumba berstatus 'B' sekali gus tidak membuka peluang kepada dirinya untuk mengukur tahap sebenar keupayaannya.

Foto

ZOLKPLES melihat emas diraih Josiah (kiri) dan Fatehah pada Kejohanan ACC di KLIA semalam.

Tiga emas diraih Josiah dan Fatehah memastikan Malaysia berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul tujuh emas, tiga perak dan enam gangsa, ketinggalan kepada Korea Selatan yang mengumpul 12 emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.


Namun pelumba elit dan pelapis tetap menerima ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dijangka mendapat RM10,000 bagi sebutir emas, RM5,000 perak dan RM3,000 gangsa dengan atlet pelapis menerima RM7,500 bagi setiap emas, RM4,000 perak dan RM2,000 gangsa sekali gus menyaksikan Mohammad Firdaus Mohd Zonis dijangka menerima RM22,500 kerana memenangi tiga emas selain RM4,000 selepas memenangi perak pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

PKS IPT tiada tandingan

Posted:

Kangar: Pusat Kecemerlangan Sukan Institut Pengajian Tinggi (PKS IPT) dinobat juara wanita terbuka Kejohanan Bola Jaring Piala Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2013 di D'Futsal Centre, baru-baru ini.

Kejohanan Bola Jaring kali ketiga itu turut mempertandingkan dua kategori utama iaitu Terbuka Wanita yang membabitkan 14 pasukan, manakala Terbuka Lelaki, disertai 17 pasukan.


Pasukan PKS IPT menewaskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 12-9 pada perlawanan akhir selepas mengetepikan cabaran TIGRA and NSEC 13-8 di separuh akhir.

Wakil pasukan PKS IPT Rozliana Mohd Ridwan, 23, berkata, latihan berterusan dilakukan secara tidak langsung berjaya memastikan semua pemain berada dalam prestasi terbaik.


"Kekuatan dan semangat berpasukan amat penting bagi mengekalkan prestasi pemain mengharungi setiap peringkat perlawanan hingga pusingan akhir dan memenangi kejohanan ini selepas menewaskan MBPJ," katanya yang juga Pemain Terbaik Wanita kejohanan itu.


Sementara itu, bagi kategori Terbuka Lelaki, pasukan Akademi Bola Jaring Lelaki Royale muncul juara selepas menewaskan cabaran Legend Blacks, 16-15.

Ketua pasukan Leftenan Kolonel Dr Mohd Firdaus Ahmad, 34, berkata, saingan sengit diberikan lawan memberikan kekuatan kepada pasukan untuk berusaha mencapai kemenangan.


"Lawan peringkat akhir memberikan saingan sengit namun semangat kental pemain sepanjang perlawanan memberikan kami kemenangan," katanya.

Juara kategori Terbuka Wanita dan Lelaki membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat, manakala naib juara, RM2,000 dan pingat. Tempat ketiga menerima RM1,000 dan pingat. Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Tadbir Pusat Sukan UniMAP Nazmizan Muhamad dan Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan UniMAP Syeamersyela Ahamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Sukan Sempadan erat hubungan dua negara

Posted:

Sintok: Program Sukan Sempadan Malaysia-Thailand di Stadium Pusat Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

Program sukan anjuran Jawatankuasa Wilayah Sempadan (RBC) Malaysia-Thailand sejak 10 tahun lalu diadakan bergilir-gilir membabitkan agensi dan masyarakat setempat yang bertugas dan menetap di sempadan kedua-dua negara.


Panglima Medan Tentera Darat merangkap Pengerusi Bersama Malaysia RBC Leftenan Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata, penganjuran sukan seperti ini memberi peluang rakyat kedua-dua negara berinteraksi dan bekerjasama.

"Program ini dilaksanakan bagi mengeratkan lagi hubungan penduduk dan juga agensi yang beroperasi di sempadan," katanya.


"Saya harap program yang menumpukan pembabitan masyarakat di sempadan kedua-dua negara dapat diteruskan supaya jalinan muhibah yang dipupuk sekian lama tidak akan terputus." Sementara itu, Komander Wilayah Keempat Tentera Thailand Leftenan Jeneral Udomchai Thamsarorat menghargai pihak UUM kerana menyediakan kemudahan sepanjang kejohanan ini.


Acara tarik tali menyaksikan Malaysia mengalahkan pasukan Thailand dan kejohanan turut membabitkan bola sepak, bola tampar, sepak takraw dan golf.

Pasukan Malaysia diwakili kakitangan UUM, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah, Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan wakil Batalion kelima, Rejimen Sempadan manakala Thailand oleh tentera dan rakyat penduduk Sadao, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

PMM kekal juara kali ketiga

Posted:

Melaka: Politeknik Merlimau Melaka (PMM) melakar sejarah tersendiri apabila mengekalkan kejuaraan kali ketiga berturut-turut Kejohanan Ragbi Segamat 10'S Canterbury UiTM 2013 anjuran UiTM Johor di Pusat Sukan UiTM Johor, minggu lalu.

Lebih membanggakan apabila PMM meraih kejuaraan tanpa bolos hingga tamat perlawanan akhir pada kejohanan disertai 28 pasukan IPTA/IPTS seluruh negara. PMM yang turun sebagai juara bertahan cemerlang sejak pusingan awal dan menguasai takhta kumpulan selepas mengalahkan pasukan UniKL MITEC (44-0), UiTM Melaka (36-0) dan UiTM Kelantan (36-0).


Di suku akhir acara cup/plate PMM mengalahkan UniKL MMIT, 12-0 dan menewaskan UiTM Sarawak, 17-0 pada separuh akhir.

PMM menundukkan UiTM Pahang, 27-0 pada perlawanan akhir untuk membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi kejuaraan. Kemenangan itu satu lagi sejarah dan pencapaian terbaik PMM. Hadiah pemenang disampaikan wakil ADUN Kawasan Jementah, Segamat Ali Affindi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Nazirul pilihan Ryukyu

Posted:

Kuala Lumpur: Kejutan digambarkan pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee mengenai dua pemain muda negara yang bakal mengikat kontrak bersama kelab Jepun, FC Ryukyu menjadi kenyataan apabila pemain pertahanan, Nazirul Naim Che Hashim menjadi pilihan.

Pemain berusia 20 tahun dari Perak itu akan bersama Wan Zack Haikal Wan Nor beraksi di divisyen tiga Liga Jepun selama dua tahun.


"Kelab terbabit hanya mempunyai seorang pertahanan yang mampu beraksi di posisi pertahanan kiri dan kanan. Ia membuka peluang untuk Nazirul beraksi sekerap mungkin, jadi mereka bersetuju dengan cadangan saya untuk mendapatkan dia.

"Wan Zack pula sememangnya sudah lama dalam pemerhatian mereka dan dia pemain yang hebat di mata kelab itu," katanya mengenai dua pemain terbaru bimbingannya yang bakal beraksi di liga luar negara.


Delegasi Ryukyu berada di Malaysia sejak beberapa hari lalu bagi menjalankan rundingan dan pemerhatian terhadap beberapa pemain namun jelas Nazirul berjaya menarik perhatian mereka walaupun sebelum ini tidak berada dalam senarai pemain yang dijangka terpilih.


Antara pemain yang kuat dikaitkan untuk beraksi di Jepun sebelum ini adalah Wan Zaharulnizam Wan Zakaria namun menurut Kim Swee kekerapan untuk pemain terbabit beraksi tipis kerana FC Ryukyu masih mempunyai pemain lain pada posisi sayap.

Kim Swee turut menjelaskan kontrak kedua-dua pemain yang terpilih akan ditandatangani dalam masa terdekat selepas segala kertas kerja dan urusan yang berkaitan selesai dengan Wan Zack dijangka terbang ke Okinawa selepas menjalani kem latihan skuad kebangsaan dan kemudian disusuli Nazirul.


"Ingin saya tekankan antara yang terkandung dalam syarat kontrak mereka adalah kedua-duanya perlu kembali ke Harimau Muda A sekiranya menamatkan kontrak lebih awal dan tidak boleh kembali ke pasukan tempatan bagi memastikan 'pisang tidak berbuah dua kali'," katanya merujuk kepada insiden kepulangan mengejut pemain berbakat negara, Mohd Nazmi Faiz Mansor dari Portugal.

Selain itu menurut Kim Swee, kelab terbabit juga setuju memastikan kedua-dua pemain terbabit bermain sekerap mungkin dan tidak hanya memanaskan bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Semangat juang Tampines ikat Selangor

Posted:

Shah Alam: Persembahan cemerlang Selangor dalam kancah saingan domestik gagal diterjemahkan dalam saingan Piala AFC apabila diikat gergasi Singapura, Tampines Rovers 3-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Manakala Kelantan beraksi cemerlang di Yangon untuk menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady United 3-1.


Selangor yang bersaing dalam Kumpulan H terpaksa gigit jari walaupun membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi penyerang import Francis Forkey Doe (minit-53).

Dia bijak memanfaatkan hantaran jauh kapten pasukan Mohd Asraruddin Putra Omar dengan melepasi barisan pertahanan sebelum melepaskan rembatan menggegar gawang lawan.


Tampines jelas mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit menyamakan kedudukan walaupun tiga kali ketinggalan kepada skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim yang memburu kemenangan pertama dalam kancah Piala AFC musim ini.


Jaringan Mohd Amri Yahyah dan penalti Forkey Doe pada babak kedua turut gagal dipertahankan Selangor yang kelihatan rapuh di barisan pertahanan yang dikemudi Peter Chrappan dan Mohd Nasriq Baharom sehingga membenarkan lawan yang diketuai penyerang veteran berusia 43 tahun, Aleksandar Duric kerap kali mengancam kubu yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Dua lagi jaringan pelawat disumbangkan Imran Sahib dua minit selepas Amri menjaringkan gol kedua Selangor manakala tandukan pemain import dari Jepun, Yamashita Kunihiro m-72 memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati mengutip satu mata.


Keputusan itu menyebabkan Selangor terus menghuni tangga terbawah dengan satu mata, terikat dengan Tampines Rovers yang berada di kedudukan ketiga selepas mempunyai kelebihan jaringan ketika kelab Vietnam, Saigon Xuan Thanh dan East Bengal dari India mengumpul empat mata.

Sementara itu juara tiga piala liga domestik musim lalu, Kelantan beraksi cemerlang dalam saingan Kumpulan G di Youth Training Centre, Yangon.


Kelantan dibayangi persembahan kurang konsisten dalam kancah Liga Super musim ini membuka jaringan menerusi kapten Mohd Badhri Radzi seawal minit kedua perlawanan bagi memastikan skuad kendalian Bojan Hodak itu selesa mendahului sehingga tamat separuh masa pertama.


Pemain pinjaman berusia 21 dari Australia, Dimitri Petratos akhirnya menemui sentuhan penyudah bersama The Red Warriors apabila meledak dua gol m-59 dan 80 bagi membolehkan Kelantan kini mengumpul empat mata menerusi dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Harimau Malaya perlu garang

Posted:

Kuala Lumpur: Aksi persahabatan menentang Arab Saudi pada Ahad ini dilihat kritikal buat skuad negara bagi menarik kembali sokongan peminat tempatan untuk memenuhi Stadium Shah Alam yang menjadi gelanggang perlawanan kedua kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman pada 22 Mac ini.

Selepas kegagalan mempertahankan Piala AFF penghujung tahun lalu dan tewas aksi pertama kempen kelayakan kepada Qatar bulan lalu, skuad kendalian Datuk K Rajagobal perlu mempamerkan persembahan yang positif bagi membuktikan kepada peminat tempatan bahawa Harimau Malaya masih berbisa.


Hakikat itu diakui penyerang kebangsaan Azamuddin Mohd Akil yang memandang serius aksi persahabatan menentang Arab Saudi apabila mengharapkan keputusan yang positif menambah keyakinannya andai diturunkan pada perlawanan itu.

"Memang persahabatan ini penting bagi kami mempamerkan sesuatu kepada peminat. Sebenarnya aksi ketika menentang Qatar (tewas 0-2), permainan kami boleh dianggap baik, bagaimanapun kami akan cuba meningkatkan lagi corak persembahan selepas mendapat pengalaman berharga menentang pasukan dari negara Arab sebelum ini," kata penyerang Pahang yang turut beraksi dalam perlawanan di Doha itu.


Menurut pemain berusia 27 tahun itu, pasukan negara Arab memiliki fizikal lebih besar namun ia tidak boleh dianggap sebagai penghalang kerana dia turut melihat pemain negara mampu mengimbangi menerusi aspek kemahiran individu. "Cuma kali ini kami perlu menggunakan kelebihan dimiliki iaitu kepantasan dalam permainan bagi memerangkap lawan," katanya yang turut mengharapkan pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat kali ini mampu menghasilkan keputusan baik kepada skuad negara yang perlu meraih tiga mata berharga bagi menghidupkan peluang.


Kem latihan skuad negara bagaimanapun masih belum lengkap apabila sejumlah pemain yang mewakili Kelantan dan Selangor hanya melaporkan diri hari ini selepas mengharungi saingan Piala AFC manakala Wan Zack Haikal Wan Nor menjadi pemain terbaru dalam senarai kecederaan selepas tiga pemain pertahanan iaitu Amir Ridzwan Taj Tajudin, K Reuben dan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak.

Harga tiket bagi perlawanan skuad negara menentang Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada Ahad ini RM20 bagi dewasa dan RM5, kanak-kanak bawah 12 tahun dengan tiket mula dijual pada 4.30 petang.


Tiket aksi kelayakan menentang Yaman berharga RM30 untuk dewasa dan RM5, kanak-kanak bawah 12 tahun turut boleh dibeli secara online di www.tickethotline.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

'Saya tak bacapun'

Posted:

Kangar: Bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan sudah menerima surat hukuman dihantar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui emel ke pejabatnya, di sini, awal bulan lalu.

"Memang sudah terima tapi saya tidak membelek (melihat). Saya minta surat itu diserahkan kepada peguam saya bagi tindakan lanjut," katanya.


Sumber Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang membaca kandungan emel itu berkata, FAM mengarahkan Shahidan melunaskan bayaran denda berjumlah RM39,000, selewat-lewatnya 12 tengah hari esok.

Katanya, emel badan induk bola sepak negara itu juga menyebut sekiranya Shahidan gagal melunaskan bayaran denda itu, PFA perlu menjelaskannya dalam tempoh tujuh hari selepas tarikh terakhir itu.


"Jika beliau (Shahidan) gagal membayar denda sebelum tarikh ditetapkan, PFA perlu melunaskan bayaran sebelum jam 12 tengah hari pada 22 Mac ini," katanya ketika dihubungi, semalam.


Difahamkan, PFA hingga kini belum mengambil sebarang tindakan untuk mempunyai presiden baru bagi menggantikan Shahidan yang digantung 30 bulan dan didenda RM39,000.

Selain hukuman itu, Shahidan juga tidak dibenarkan terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak dan hilang status sebagai Presiden PFA selepas menerima surat hukuman yang dihantar dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dijatuhkan pada 20 Februari lalu.


Sebelum ini Shahidan didapati bersalah membuat kenyataan menyentuh pentadbiran FAM sekali gus dianggap melanggar Artikel Statut 88. Dalam hukuman itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Ednan Othman berkata, Shahidan tidak boleh membuat rayuan terhadap hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Hapuskan gejala rasuah di setiap liga

Posted:

Arau: Kancah bola sepak negara yang sering dilabel pembabitan 'bookie' terus dikecam dan mendapat reaksi negatif daripada semua pihak apabila kebanyakan mereka mahu ia segera berakhir di semua peringkat liga.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis Prof Datuk Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman berkata, gejala menjual perlawanan tidak dinafikan berlaku dan jika tidak segera ditangani, dikhuatiri akan merebak ke kancah bola sepak Divisyen 1 Liga Bola Sepak IPT Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Beliau yang juga Presiden Pasukan Bola Sepak UiTM Perlis berkata, semua pemain termasuk pengurusan pasukan sudah sedia maklum perkara itu dan mereka acap kali diingatkan mengelak daripada terjebak.

"Jika ada pemain didapati terbabit menjual perlawanan dan mempunyai laporan mengenainya, pengurusan UiTM tidak akan teragak-agak menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.


"Biar perkara ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan di peringkat universiti jika laporan yang dibuat itu benar, mereka akan digugurkan daripada pasukan selain menghadapi tindakan disiplin," katanya pada sidang media majlis memperkenalkan pemain Liga IPT UiTM Perlis bagi saingan musim 2013, semalam.


Katanya, pihaknya berharap pemain yang juga graduan dan mewakili UiTM Perlis pada saingan musim ini dapat bertindak seperti seorang yang mempunyai ilmu dan tidak mengikut nafsu.

"Semua pemain mempunyai didikan dan pengetahuan luas, maka kita tidak mahu mereka bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan kesannya kelak." Menurut Ahmad Redzuan, barisan 25 pemain skuad UiTM Perlis turut dibarisi seorang bekas pemain negeri, Mustafa Amini Ismail selain sembilan bekas pemain Piala Presiden dari seluruh negara.


"UiTM juga mendapatkan khidmat ketua jurulatih Manja Man yang juga bekas pemain kebangsaan bagi membimbing pasukan ini. Kami akan bersaing dengan tujuh pasukan universiti lain termasuk juara tahun lalu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

ATM lakukan persediaan awal

Posted:

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia lebih awal bagi menghadapi saingan pusingan kedua bola sepak Liga Super bermula awal bulan depan.

Pada masa ini semua pasukan diberi rehat panjang hingga hujung bulan ini bagi membolehkan pasukan kebangsaan menghadapi saingan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman.


"Dengan masa rehat yang diberikan itu, saya boleh merancang pelbagai kegiatan bagi memastikan pasukan bersedia menghadapi pusingan kedua pula.

"Saya akan menggilap semua bahagian sama ada di bahagian pertahanan, tengah dan serangan yang goyah berdasarkan pemerhatian sejak kempen bermula awal musim ini," kata jurulatih dan pengurus pasukan B Sathianathan. Katanya, tempoh rehat itu juga memberi ruang kepada pemain yang cedera untuk pulih agar dapat diturunkan.


Sekurang-kurangnya tiga pemain utama, termasuk ketua pasukan Hairuddin Omar, pemain bahagian pertahanan Irwan Fadzly dan pemain tengah Fitri Omar berada dalam senarai kecederaan dan perlu berehat panjang sebelum pulih sepenuhnya.


Bagaimanapun dua tonggak pasukan, pertahanan Amirzdwan Taj Tajuddin dan Christee Jayaseelan tidak turut serta pada sesi latihan kerana bersama pasukan kebangsaan bagi menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2015.

"Saya tidak risau dengan kemampuan mereka kerana kedua-dua pemain memang aset utama kami," kata Sathianathan.


Mengulas pencapaian keseluruhan pasukan pada pusingan pertama, beliau berkata, belum masanya untuk memberi penilaian kerana masih ada lagi satu baki perlawanan menentang Kelantan pada 29 Mac ini.

"Kami membuat persiapan bagi perlawanan itu dan menganggap ia amat penting kerana mahukan kemenangan untuk mengekalkan kedudukan di persada liga."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

No comments:

Post a Comment