Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Lima beradik kongsi satu isteri

Posted:

New Delhi: Seorang ibu muda semalam mendedahkan dia mempunyai lima suami.

Lebih menarik lagi, kelima-limanya adalah adik-beradik.


Rajo Verma, 21, tinggal dalam sebuah rumah satu bilik dengan kelima-lima suaminya dan tidur bersama suami berbeza setiap malam mengikut giliran.

Suri rumah itu juga tidak tahu siapa bapa bayi lelakinya.


Rajo berkata: "Pada awalnya, ia rasa agak pelik. Dan saya tidak mempunyai suami kegemaran." Suami pertamanya, Guddu, 21, menegaskan: "Kami semua melakukan seks dengannya tetapi saya tidak cemburu. Kami sebuah keluarga besar yang bahagia." Pasangan itu berkahwin mengikut istiadat Hindu yang diatur keluarga mereka empat tahun lalu dan dia menjadi satu-satunya suami Rajo yang sah. Tetapi adat di kampung mereka mewajibkan Rajo turut mengambil adik-beradik suaminya sebagai suami. Mereka ialah Bajju, 32, Sant Ram, 28, Gopal, 26, dan Dinesh — yang dikahwininya tahun lalu ketika pemuda itu mencecah usia 18 tahun.


Abang sulung Bajju berkata: "Saya menganggap Rajo sebagai isteri saya dan tidur bersamanya sebagaimana adik saya yang lain." Rajo memasak, mengemas dan menjaga bayinya, Jay yang berusia 18 bulan ketika semua suaminya pergi bekerja di Dehradun, utara India.

Foto

RAJO Verma mendukung bayinya Jay bersama lima suaminya (dari kiri) Sant Ram, Bajju, Gopal, Guddu dan Dinesh di depan rumah mereka.

Foto

RAJO memasak, mengemas rumah dan menjaga anak ketika kelima-lima suaminya pergi bekerja.

Rajo berkata mengenai tradisi purba bergelar poliyandri: "Ibu saya turut berkahwin dengan tiga beradik. Bila saya berkahwin saya tahu saya terpaksa menerima semua lelaki itu sebagai suami." "Saya tidur dengan mereka mengikut giliran. Kami tiada katil, kecuali beberapa selimut. "Yang menariknya, saya mendapat lebih perhatian dan kasih sayang daripada kebanyakan isteri lain." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Keinginan Kate, William berbeza

Posted:

London: Duchess of Cambridge semalam berkata, dia berharap anak dalam kandungannya ialah lelaki.

Namun, Kate yang hamil lima bulan berkata, suaminya, Putera William lebih suka bayi perempuan.


Kate membuat pendedahan itu ketika bercakap kepada seorang anggota tentera ketika lawatan pasangan terbabit ke berek Mons di Aldershot, Hampshire untuk perarakan Hari St Patrick, kelmarin.

Selepas perarakan, pasangan terbabit bersembang dengan beberapa tentera dari batalion pertama Pengawal Irish.


Seorang anggota, Lee Wheeler, 29, berkata: "Saya bercakap dengan Kate mengenai bayinya.


"Saya bertanya kepadanya, 'Adakah anda tahu sama ada dia lelaki atau perempuan?'. Puteri itu menjawab, 'Belum tahun lagi.' "Kate berkata, 'saya mahu anak lelaki tetapi William inginkan anak perempuan.' "Saya bertanya lagi sama ada dia sudah mempunyai nama dan Kate sekali lagi berkata, 'belum lagi'".

Jason Perry, 33, juga bersembang dengan Duchess of Cambridge itu mengenai kehamilannya.


Perry berkata: "Saya ucapkan tahniah kepadanya dan berharap semuanya berjalan baik. Dia menjawab, 'Ya, sudah tentu.'" "Saya bertanya kepadanya sama ada dia teruja untuk menimang cahaya mata pertama. Dia menjawab, 'Sudah tentu.'" - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

Kepala dalam peti sejuk

Posted:

Hong Kong: Polis semalam mendakwa dua lelaki berhubung dengan pembunuhan sepasang suami isteri tua yang kepala mereka ditemui dalam peti sejuk.

Dalam pada itu usaha mencari baki mayat kedua-dua mangsa masih diteruskan.


Anak pasangan berkenaan berusia 29 tahun dan seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai rakannya, berdepan dengan tuduhan membunuh, kata seorang jurucakap polis.

Kedua-dua suspek dihadapkan ke mahkamah semalam. Mereka akan ditahan sehingga dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 13 Mei depan.


Televisyen tempatan menunjukkan seorang suspek dengan wajahnya dilindungi sarung hitam.


"Kami masih meneruskan siasatan berhubung motif pembunuhan," kata jurucakap itu.

Dia juga mengakui pihaknya masih belum menemui baki mayat pasangan suami isteri itu.


Kepala mereka dilapor ditemui dalam peti sejuk di apartmen mereka di pinggir Hong Kong Jumaat lalu sementara sebahagian kaki dan tangan dijumpai di beberapa kawasan sekitar kediaman mereka.

Usaha polis untuk mencari baki mayat mereka di laut berhampiran apartmen berkenaan gagal.


Jurucakap polis itu memberitahu, pasangan berkenaan dilapor hilang oleh anak sulung mereka pada 9 Mac lalu.


Suspek, anak kedua pasangan itu memberitahu polis, ibu bapanya berada di tanah besar China kerana melancong.


Bagaimanapun, polis mengesyaki dia berbohong selepas gagal mengesan rekod yang menunjukkan pasangan itu meninggalkan Hong Kong. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

6 suspek rogol pelancong dihadap ke mahkamah

Posted:

New Delhi: Enam lelaki dihadapkan ke mahkamah semalam berkait dengan kes samun dan rogol berkumpulan terhadap pelancong rakyat Switzerland yang bercuti di India.

"Kami telah menahan semua enam suspek dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Kami akan meminta mereka direman selama lima hari," kata pegawai polis tempatan, ML Dhody di negeri Madhya Pradesh kepada media.

Lima daripada suspek ditahan ialah peladang berusia 20-an. Mereka yang berpakaian jeans dan kemeja dibariskan di depan wartawan dengan wajah ditutup dengan kain hitam.

Suspek keenam ditahan di negeri bersebelahan dan dibawa ke Datia, kira-kira 400 kilometer ke selatan New Delhi.


Hanya empat daripada mereka akan didakwa dengan tuduhan rogol berkumpulan yang membawa hukuman minimum 10 tahun penjara.


Berdasarkan kepada keterangan mangsa yang berusia 39 tahun, 'dua daripada suspek hanya hadir di tempat kejadian'.

Bagaimanapun, keenam-enam mereka akan berdepan tuduhan samun.

Menurut polis, mereka mencuri komputer riba dan wang tunai 10,000 rupee (RM579) daripada mangsa dan suaminya yang berusia 30 tahun yang diikat sebelum merogol wanita itu.

"Keenam-enam suspek mengaku melakukan jenayah itu," kata polis.

Bagaimanapun, pengakuan itu tidak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah kerana tidak diterima oleh undang-undang India.

Pasangan suami isteri itu tiba di India bulan lalu dengan mengayuh basikal dalam perjalanan menerusi utara negara berkenaan untuk ke bandar Agra, tempat terletaknya Taj Mahal. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/19

No comments:

Post a Comment