Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sembilan wanita diselamatkan

Posted:

Melaka: Sembilan wanita asing yang bekerja di sebuah restoran di Banda Hilir, di sini, mendakwa dikurung dalam sebuah bilik dan tidak dibenarkan keluar selepas waktu bekerja, sejak sembilan bulan lalu.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mendakwa dipukul majikan.


"Hanya kerana melakukan kesalahan kecil seperti tersalah meletak barang, saya ditampar dan dimaki hamun serta pernah dikurung di dalam bilik," kata Pita, 25, warga Indonesia.

Dia antara sembilan wanita warga asing yang diselamatkan Jabatan Imigresen negeri selepas satu serbuan ke atas premis berkenaan, jam 12 tengah hari semalam.


Difahamkan, semua wanita masing-masing tujuh warga Indonesia dan dua warga Myanmar berusia 22 hingga 31 tahun itu terkurung di kedai dan tidak sesekali dibenarkan keluar.


Mereka yang ditempatkan dalam sebuah bilik mendakwa turut dikasari majikan dengan menampar dan memukul, selain dipercayai mengugut mengenakan denda serta memotong gaji.

Foto

SEMUA wanita asing yang berjaya diselamatkan.

Dakwa Pita dari Jawa Tengah, dia beberapa kali dilempang sepanjang sembilan bulan bekerja di restoran.


"Dalam kejadian terbaru pagi tadi (semalam), saya yang ditugaskan memasak nasi terkejut apabila ditampar seorang ahli keluarga majikan hanya kerana tersalah meletakkan barang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail dan timbalannya, Mohammad Azlan Jawawi.


Menurut Pita, tidak tahan didera, rakan sekerjanya, Anie, 23, menghubungi seorang kenalan di Kuala Lumpur untuk memohon bantuan.


Seorang lagi mangsa, Eka, 22, yang berasal dari Jawa Timur mendakwa, sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, lebih 20 kali dia ditampar, ditendang dan dibaling dengan kasut hanya kerana melakukan kesalahan kecil, antaranya lambat membersihkan lantai.


"Sebaik menyedari Jabatan Imigresen melakukan serbuan, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya diselamatkan. Saya sudah serik dan mahu pulang ke Indonesia," katanya sebak.


Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai wujud pekerja asing yang dikurung majikan di premis berkenaan.


"Hasil pemeriksaan mendapati majikan dan pekerja asing itu tidak melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana mempunyai permit sah.


"Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan mengikut Anti Pemerdagangan Orang kerana semua wanita itu mendakwa didera dan tidak diberi kebebasan selain berkaitan soal bayaran gaji," katanya.


Menurut beliau, perkara itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan majikan berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan.


"Semua wanita berkenaan kini berada di bawah pengawasan kami sebelum tindakan susulan dijalankan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Hidangan enak terakhir chef

Posted:

Bukit Beruntung: "Kami dihidangkan masakan tomyam yang sungguh sedap malam tadi (kelmarin). Tidak sangka itu kenangan terakhir bersama arwah," kata Noriah Abdullah, 26, menceritakan kenangan terakhir bersama rakannya, Rossdy Mustaffa, 24, yang maut dalam kemalangan ngeri di simpang tiga Jalan Bunga Kertas, di sini, semalam.

Kemalangan berlaku jam 9.20 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha RXZ dari rumahnya di Taman Melur ke Bandar Bukit Sentosa bersendirian.


Katanya, mangsa maut di tempat kejadian selepas berlanggar dengan sebuah kereta ketika membelok masuk dari jalan utama Bukit Beruntung ke Rawang untuk pergi ke Bandar Bukit Sentosa.

"Arwah tukang masak di restoran masakan Thailand yang bersikap periang, baik hati dan mesra sepanjang masa.


"Malam tadi (kelmarin) dia masak beberapa lauk yang enak kepada kami. Tidak sangka dia pergi buat selama-lamanya," katanya kepada Metro Ahad ketika ditemui di sini, semalam.


Katanya, Rossdy yang berasal dari Bukit Bunga, Jeli, Kelantan mempunyai dua anak.

Saksi kejadian, Roshairizad Roslan, 28, berkata, dia bergegas ke tempat kejadian selepas terdengar bunyi dentuman kuat ketika berada di rumahnya.


Katanya, selepas dilanggar kereta, Rossdy kelihatan tenat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Helah warga asing tak menjadi

Posted:

Kuala Lumpur: Seorang warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan membonceng motosikal rakannya berpura-pura berjalan ke kedai serbaneka selepas kawannya diperiksa polis dalam sekatan jalan raya di Dataran Merdeka, semalam.

Bagaimanapun, anggota polis lain yang mengawal sekatan menyedari taktik lelaki berusia 20-an dari Indonesia itu lalu menahannya 100 meter dari lokasi rakannya ditahan.


Difahamkan, selepas ditahan, lelaki warga asing itu memberi alasan hendak membeli air sementara menunggu rakannya disaman, namun kelakuannya yang mencurigakan membuatkan anggota membuat pemeriksaan lanjut.

Siasatan lanjut mendapati lelaki warga asing itu tidak memiliki sebarang dokumen dan cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.


Pegawai Turus Kuatkuasa dan Operasi Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi itu, seorang lelaki warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen.


"Kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen didapati masih di tahap tinggi apabila 57 kes membabitkan kesalahan itu daripada 350 kenderaan yang diperiksa.

"Secara keseluruhan, sebanyak 124 saman dikeluarkan anggota trafik, 40 saman dan 30 notis arah periksa Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan 11 saman ekzos bising oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya.


Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menunda lima kereta, manakala 46 motosikal disita atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi itu turut memberi fokus kepada pemandu teksi berikutan banyak kesalahan jenayah membabitkan pemandu kenderaan itu sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Kepala terkena lebihan kayu terjulur

Posted:

Seremban: "Saya tengok dia (mangsa) teragak-agak memotong treler itu sebelum tiba-tiba terpelanting jatuh, dipercayai kepalanya terkena kayu yang terjulur keluar," kata Muhammad Zulfadhli Zulkifli, 19, mengenai rakannya, Henry John Anthony, 26, yang maut dalam kemalangan di sini, semalam.

Mangsa bersama 29 rakannya berkonvoi menaiki 30 motosikal Honda Wave Dash dari Melaka menuju ke Klang, Selangor untuk menghadiri majlis perasmian sebuah kedai motosikal Honda di sana sebelum kemalangan.


Dalam kejadian jam 9.30 pagi di Kilometer 244.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, mangsa yang menetap di Taman Muzaffar Shah, Ayer Keroh, Melaka, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Menurut Muhammad Zulfadhli, mereka bertolak dari Melaka jam 8 pagi dan menunggang dalam kelajuan sederhana antara 70 hingga 80 kilometer sejam.


Katanya, mangsa berada di tengah konvoi dan beberapa rakan lain sempat memintas treler sarat muatan kayu itu yang tidak berhenti sejurus selepas kejadian.


"Kejadian berlaku sekelip mata dan kami sungguh terkejut. Sejurus mangsa jatuh di lorong tengah, motosikalnya terseret ke lorong paling kanan.

"Kami berhenti dan segera mendapatkan Henry dan mendapati dia tidak bergerak, selain muka berdarah dan tangannya patah. Seorang rakan menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian," katanya.


Katanya, susulan kejadian itu, mereka membatalkan hasrat berkonvoi ke Klang yang dirancang sejak seminggu lalu apabila menerima jemputan daripada penganjur.

"Saya berkawan dengan Henry sejak Oktober tahun lalu. Orangnya baik dan berperangai kebudak-budakan sedikit, menyebabkan dia mudah mesra dengan sesiapa saja.


"Saya tidak pasti dia memberitahu keluarganya mengenai rancangan kami berkonvoi, tetapi saya difahamkan ini pengalaman pertama dia berkonvoi sejauh ini," katanya.


Sementara itu, pemandu Proton Waja, Safiq Azwan Aris, 24, berkata, ketika kejadian dia mengikuti bapa saudaranya, Yunus Sarpah, 42, ke Puncak Alam, Selangor untuk menghantar sepupu mendaftar ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menaiki kereta berasingan.


"Saya bersama anak saudara, Hakim Yunus, 10, menaiki kereta Waja, manakala bapa saudara memandu kereta Honda. Kami bertolak dari Tangkak, Johor jam 8.30 pagi.


"Setiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah treler memasuki lorong kanan menyebabkan bapa saudara membrek mengejut dan saya yang mengekori di belakang melanggar belakang keretanya.


"Bapa saudara terus ke Puncak Alam kerana urusan pendaftaran anaknya," katanya yang bersyukur tidak cedera.


Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban ketika dihubungi berkata, siasatan awal pihaknya mengesyaki kemalangan berlaku apabila motosikal atau mangsa bergesel dengan treler terbabit, menyebabkannya terpelanting jatuh di lorong tengah, manakala motosikal terseret ke lorong kanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Mesti makan darah

Posted:

Kota Kinabalu: Tidak kira sama ada lawan masih hidup atau sudah mati, barung atau badung iaitu senjata tradisional masyarakat Suluk dari kepulauan selatan Filipina yang sentiasa terselit di pinggang perlu 'makan darah'.

Sehubungan itu, tidak hairan kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu dan Semporna di Sabah tergamak menetak dan mencencang tubuh, malah memenggal kepala anggota keselamatan yang mati disebabkan terkena tembakan, semata-mata kerana mahu 'menjamu' barung mereka dengan darah.


Tindakan tidak berperikemanusiaan pengganas terbabit yang disifatkan lebih kejam daripada komunis, didakwa dilakukan kerana terlalu taksub dengan kepercayaan kuno masyarakat itu kononnya barung berkenaan mempunyai kuasa mistik.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Suluk Bajau Tawau Abdul Ali Erilis berkata, mengikut sejarah nenek moyang yang diceritakan bapa saudaranya yang berasal dari kepulauan Sulu, pahlawan Suluk akan tetap 'membunuh' mangsa menggunakan barung walaupun musuh tidak bernyawa lagi.


"Perbuatan kejam, termasuk menyeksa sebelum membunuh lawan, dilakukan kerana mewarisi sejarah perjuangan nenek moyang kononnya ia lambang 'pahlawan Suluk' sejati.


"Tindakan memenggal kepala musuh yang tidak bernyawa dilakukan sebagai bukti mereka pejuang kuat dan ganas di mata dunia," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Suluk di Filipina masih mempercayai kononnya barung mempunyai kuasa mistik tersendiri. Sehubungan itu, sebelum diasah, senjata itu akan ditangas terlebih dulu supaya 'kekuasaan dan ketajamannya' cukup untuk membunuh mangsa.


"Jika mangsa dibunuh menggunakan barung, mereka akan diangkat sebagai pahlawan oleh masyarakat Suluk pada zaman dulu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, dalam peperangan dulu kala, tidak sah kematian musuh jika barung tidak menjamah darah mangsa.


"Mungkin penceroboh terbabit masih memegang prinsip perjuangan dulu kala sehingga sanggup berlaku kejam terhadap mayat pasukan keselamatan kita yang terkorban.


"Prinsip mereka, tidak sah jika barung tidak melekat pada badan musuh dan mungkin sebab itu mereka bertindak kejam walaupun mangsa tidak bernyawa lagi," katanya.


Menurut Ali, berbanding zaman dulu dengan situasi sekarang, jelas pengganas terbabit sengaja mahu menunjukkan kekuatan selain menakutkan pasukan keselamatan.


"Pengganas terbabit mungkin sengaja melakukan kekejaman terhadap anggota keselamatan kita sebagai satu peringatan kononnya mereka sangat kuat.


"Namun, saya tidak tahu mengenai kekebalan mereka. Walaupun mendakwa mempunyai kuasa mistik, ramai juga terbunuh kerana terkena peluru pasukan keselamatan," katanya.


Berbeza pula dengan pendapat disuarakan Setiausaha Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS), Mohd Zaki Herry Susanto yang mendakwa kumpulan pengganas yang menceroboh Lahad Datu berkemungkinan dipengaruhi dadah jenis syabu.


"Saya pernah dimaklumkan bahawa pengganas terbabit menggunakan syabu supaya sentiasa bertenaga dan mampu bertahan ketika berperang meskipun berhari-hari tidak menjamah makanan.


"Selain itu, pengaruh penggunaan dadah menjadikan pengganas hilang pertimbangan, termasuk bertindak kejam terhadap mayat lawan," katanya.


Katanya, kebanyakan pengganas menyasarkan kepala kerana menyedari satu das tembakan saja mampu menumbangkan lawan.


"Pengganas lebih gemar menembak kepala kerana mengetahui pasukan keselamatan memakai baju kalis peluru. Bagi saya, ia tiada kaitan dengan ilmu mistik seperti memiliki ilmu kebal atau ghaib," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

No comments:

Post a Comment