Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Bas terhumban dari jambatan, 14 terbunuh

Posted:

Beijing: Empat belas orang terbunuh selepas sebuah bas dua tingkat terhumban dari sebuah jambatan di wilayah Hubei, tengah China, semalam.

Polis Lebuh Raya Hubei berkata, bas terbabit terjatuh jambatan yang merentasi Sungai Yangtze di bandar Joghzhou dan terhempas di tebing sungai.


Lapan penumpang turut cedera, empat daripadanya parah.

Polis berkata, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku selepas pemandu bas cuba mengelak sebuah motosikal dan hilang kawalan terus terjatuh dari jambatan. Tiada butir lanjut diberikan.


Bas berkenaan membawa 22 penumpang ketika kejadian.


Kemalangan jalan raya di China adalah perkara biasa kerana penyelenggaraan jalan yang buruk dan tabiat buruk pemandu.

Foto

PASUKAN penyelamat dan polis di tempat kejadian kemalangan.

Angka kematian biasanya tinggi kerana penggunaan bas secara berleluasa memandangkan ia pilihan paling murah bagi kebanyakan rakyat negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Air mani atas biskut

Posted:

Los Angeles: Bayaran pampasan berjumlah berjuta-juta dolar akan dibayar kepada beberapa pelajar sebuah sekolah menengah rendah tempat seorang guru dituduh mencabul kanak-kanak dan menyuapkan mereka air maninya.

Mark Berndt memaksa pelajarnya mengambil bahagian dalam permainan 'rasa' apabila dia memberikan air maninya yang disapu pada biskut dan sudu. Pendakwa raya berkata, guru itu kadang kala menutup mata pelajar dengan kain dan merakam aksi mereka.


Tindakan undang-undang juga difailkan selepas seorang lagi guru dituduh melakukan aksi lucah terhadap seorang kanak-kanak yang menurut pihak berkuasa diraba di dalam kelas.

Pendakwa raya, Raymond Boucher berkata semalam, setiap pelajar itu mungkin diberi pampasan berjumlah $470,000 (RM1.4 juta), Berndt yang mengajar selama 32 tahun di Sekolah Rendah Miramonte di Los Angeles mengaku tidak bersalah dalam kes jenayah itu.


Springer juga mengaku tidak bersalah. Berndt guru gred tiga dan mengajar murid berusia tujuh hingga lapan tahun ditahan selepas seorang pengasas web foto menemui berpuluh-puluh foto kanak-kanak dengan mata mereka ditutup sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Polis berkata, mereka kemudian menemui sudu plastik dalam bakul sampah di bilik darjah Berndt dengan kesan air mani. Peguam Brian Claypool melebel penderaan itu sebagai "drama yang telah lama berlangsung".


Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa berjuta-juta dakwaan mungkin memusnahkan daerah itu. Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana penderaan seksual di daerah persekolahan kedua terbesar di Amerika Syarikat itu boleh berlaku begitu lama tanpa dapat dikesan? Sejurus selepas penahanan Berndt, semua 76 guru sekolah itu dipindahkan sementara kakitangan dan pentadbir diberi cuti.

Enam bulan kemudian pada awal tahun persekolahan, 43 daripada guru terbabit kembali ke sekolah Miramonte yang distruktur semula dengan guru besar baru. Manakala selebihnya bersara atau dipindahkan ke sekolah lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Gaga guna kerusi roda bersalut emas

Posted:

Los Angeles: Diva pop Lady Gaga nyata tidak mensia-siakan kekayaannya apabila menggunakan sebuah kerusi roda bersalut emas.

Penyanyi lagu Poker Face berusia 26 tahun itu menggunakan kerusi roda emas 24 karat itu selepas menjalani pembedahan pinggul.


Kerusi roda itu dilengkapi tempat duduk kulit dan kanopi mudah alih, juga daripada kulit serta boleh diturunkan jika penyanyi itu ingin baring.

Gaga meminta Ken Borochov dari syarikat pembuat barang berjenama Modekai untuk menghasilkan kerusi roda unik itu.


"Saya gembira dapat mencipta apa yang saya gelar 'The Chariot' - kerusi roda sesuai untuk seorang permaisuri," kata Borochov.


Gaga menjalani pembedahan bulan lalu untuk merawat pinggulnya yang cedera, menyebabkan dia membatalkan konsert jelajahan dunianya.- The Sun

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Tinggalkan Thaksin!

Posted:

Bangkok: Pemerintah tentera, Prayuth Chan-ocha dan pemimpin pembangkang dari Parti Demokrat, Abhisit Vejjajiva semalam menggesa kerajaan Thai keluar dari bayang-bayang bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Gesaan itu dibuat selepas laporan menyatakan Thaksin mengarahkan kerajaan Thai yang diketuai parti Pheu Thai meneruskan dasarnya, khususnya mengenai rang undang-undang pengampunan beramai-ramai dan pindaan perlembagaan.

Prayuth berkata, kerajaan sepatutnya mendengar suara rakyat dan membuat keputusan berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

"Kita perlu mendengar suara rakyat di negara ini dan jangan hiraukan orang yang menetap di luar negara," katanya.


Satu sumber tentera berkata, pengaruh Thaksin menyebabkan Prayuth rasa kurang selesa kerana ia mencetuskan keraguan berkait dengan kepimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.


Ketua Pembangkang, Abhisit Shinawatra pula berkata, semakin banyak campur tangan Thaksin, semakin banyak huru-hara akan berlaku.

"Jika kerajaan serius mengenai memulihkan keadaan, ia perlu berhenti berfikir untuk kepentingan sendiri.

"Jika Thaksin yang terus memberi arahan, negara akan terus diancam dengan konflik," katanya.

Yingluck bagaimanapun menafikan abangnya memberi tekanan kepada kerajaan berhubung rang undang-undang pengampunan beramai-ramai. - Bangkok Post

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Thailand nafi tembak mati pelarian Rohingya

Posted:

Bangkok: Thailand semalam menafikan dakwaan anggota tenteranya menembak mati dua pelarian Rohingya.

Penafian itu dibuat selepas kumpulan hak asasi manusia mendesak supaya siasatan dilakukan berkait dengan kematian pelarian berkenaan berhampiran daerah Kuraburi di selatan Phang Nga.


"Komander tentera laut Thai di kawasan itu menyangkal tuduhan itu. Kami tidak mempunyai sebarang alasan untuk menembak mereka," kata jurucakap Kementerian Luar, Manasvi Srisodapol.

Mereka yang terselamat daripada kejadian yang didakwa berlaku pada 22 Februari lalu sebelum ini memberitahu Human Rights Watch bahawa tentera laut Thai menembak kira-kira 20 pendatang Rohingya ketika mereka terjun ke laut untuk mengelak daripada ditangkap setelah masuk ke perairan Thai.


Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan, Kolonel Thanathip Sawangsang berkata, pihaknya sebaliknya bertindak mengikut prinsip kemanusiaan dengan membekalkan pelarian itu makanan dan air sebelum membenarkan mereka meneruskan pelayaran ke Malaysia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Jual buah pinggang untuk ubat bapa

Posted:

Tangerang: Seorang pemuda Fahmi Rahardiansyah, 19, menawarkan buah pinggangnya dengan harga Rp50 juta (RM16,037) dalam usaha untuk membiayai kos perubatan bapanya.

"Saya terdesak. Untuk mengubati bapa yang sakit teruk," katanya dalam tawaran itu yang diiklankannya di Internet.


Ketika dihubungi wartawan, pemuda berkenaan berkata, bapanya, Muhammad Dicky Ahmadi, 60, menghidap penyakit darah tinggi yang teruk dan semakin tenat.

"Saya mahukan dia sihat semula. Tetapi kos perubatan sungguh mahal," katanya. - Detik Menurutnya, pendapatan keluarganya tidak cukup untuk menampung kos berkenaan.


Pemuda itu yang menamatkan pengajian sekolah menengah di Bandung tahun lalu dan kini bekerja di sebuah kilang kain berkata: "Gaji saya hanya Rp1 juta sebulan. Pencen bapa pula Rp800,000. Tidak cukup untuk membiayai ubat bapa." Sehingga ini dia masih belum menerima sebarang tawaran untuk membeli buah pinggangnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Maut dibaham harimau

Posted:

Medan: Seorang petani mati selepas dibaham seekor harimau Sumatera di barat Indonesia semalam.

Susulan kejadian itu, penduduk kampung yang ketakutan mendesak pihak berkuasa menjejaki dan membunuh sang belang berkenaan.


Pegawai di Taman Negara Batang Gadis, Yudi Santoso berkata, petani terbabit, Karman Lubis, 32, diserang harimau itu Isnin lalu ketika menoreh di ladang getah berhampiran taman itu di wilayah Sumatera Utara.

Mayatnya ditemui kelmarin, kira-kira satu kilometer dari ladang berkenaan.


Pihak berkuasa digesa menembak harimau itu meskipun haiwan berkenaan dilindungi undang-undang. Pihak berkuasa tempatan merancang memerangkap harimau itu dan menempatkannya semula di tempat lain.


Harimau Sumatera berdepan dengan kepupusan kesan daripada pemusnahan hutan, pemburuan dan bersaing dengan manusia. Pihak berkuasa percaya hanya kira-kira 400 haiwan itu masih berkeliaran di hutan Sumatera. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

No comments:

Post a Comment