Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kaji sambung kontrak F1

Posted:

Sepang: Kerajaan masih mengkaji kemungkinan untuk menyambung kontrak Formula Satu selepas kontrak itu tamat pada 2015, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

"Kami akan menimbangnya dengan serius (mengenai pembaharuan kontrak itu) kerana kami perlu meneliti terma dan syarat dan sebagainya...dan kami akan membuat keputusan apabila tiba masanya," katanya selepas perlumbaan Grand Prix Petronas Malaysia 2013 di Litar Sepang.


Najib menegaskan Malaysia mempunyai rekod yang terbukti dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

"Penganjuran Formula Satu meletakkan Malaysia di peta dunia. Ia membuktikan Malaysia boleh menganjurkan acara bertaraf antarabangsa yang penting ini. Kami mendapat sokongan daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Jadi, keseluruhannya adalah positif," katanya.


Mengenai perlumbaan semalam, Najib berkata beliau gembira dengan pencapaian pasukan yang disokong Malaysia, Mercedes AMG Petronas F1 Team, apabila kedua-dua pemandu pasukan itu, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg, masing-masing berkesudahan di tempat ketiga dan keempat.


Perlumbaan itu dimenangi pemandu Jerman, Sebastian Vettel dari Red Bull Racing.

Foto

NAJIB melambai kepada penonton di Litar Sepang.

Sementara itu, Pengerusi Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) Datuk Mokhzani Mahathir berkata pihaknya berkemungkinan besar akan menyambung semula kontrak Formula Satu yang bakal tamat pada 2015.


"Kita kena berbincang dengan pihak SIC, kemudian akan membuat tinjauan terhadap penonton dan pihak penaja...kita akan tengok sama ada pihak penganjur akan meneruskan ataupun tidak.

"Keputusan ini masih belum lagi diambil buat masa sekarang," katanya, sambil menambah sambutan pada tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu walaupun tidak mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu 90,000 penonton pada hari perlumbaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Sri Kasih A cemerlang

Posted:

Seremban: Persefahaman dan gandingan mantap pemain Sri Kasih A membolehkan mereka menewaskan Kilat FC 5-1 untuk menjuarai Kejohanan Futsal 1Malaysia TNB Negeri Sembilan 2013 di Pusat Sukan Paroi, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan Sri Kasih A membawa pulang hadiah piala dan wang tunai RM5,000 manakala Kilat FC, RM3,000 dan piala.


Tempat ketiga diraih Mafiq FC yang menewaskan Saka Biru 4-2 untuk masing-masing membawa pulang RM1,000 dan RM500.

Bagi kategori wanita, pasukan PBNS B muncul juara selepas menang tipis ke atas Kirana FC 3-2 untuk meraih trofi dan RM1,000 manakala Kirana FC, RM800 dan ketiga PBNS A, RM500.


Penyelaras kejohanan, Syahiruddin Anuar berkata, sebanyak 91 pasukan lelaki dan sembilan wanita dari seluruh negeri itu menyertai kejohanan yang julung kali diadakan dengan hadiah keseluruhan RM16,000.


"Kejohanan bertujuan membantu Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) mendapatkan pemain berbakat membentuk pasukan futsal negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

STAR Ipoh ungguli Kejohanan Balapan

Posted:

Ipoh: Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh muncul juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang 2013 Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kinta Utara baru-baru ini.

STAR meraih 14 emas, sembilan perak dan empat gangsa untuk mengatasi SMK Seri Keledang yang mengutip 10 emas, enam perak dan enam gangsa.


SMK Convent Ave Maria yang mengutip tujuh emas, tujuh perak dan enam gangsa menduduki tempat ketiga.

Sementara itu eEnam rekod baru dicipta manakala satu catatan lama disamai dalam kejohanan empat hari itu.


S Manihselvam dan Shereen Samson Vallbouy atlet B-15 lelaki dan perempuan mencuri tumpuan apabila beraksi hebat untuk memadam catatan lama dalam acara masing-masing. Satu lagi rekod baru dicatat oleh R Meeveqhen.


Manihselvam dari SMK Seri Keledang mencipta rekod baru acara 800, 1,500 dan 2000 meter lari berhalangan.

Sementara Shereen dari SMK Convent mengatasi catatan lama acara 100 dan 400m serta menyamai catatan acara 200m. Meeveqhen dari Sekolah St Michael Ipoh (SMI) memperbaharui catatan acara lontar peluru lelaki B-18.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Kuantan pamer belang

Posted:

Temerloh: Membariskan pemain berpengalaman di peringkat negeri menjadi kelebihan kepada pasukan Kuantan untuk muncul juara Kejohanan Bola Jaring Sukan Remaja Pahang 2013 di Padang Awam Mentakab, baru-baru ini.

Pada saingan akhir, juara bertahan Kuantan dipaksa berhempas-pulas sebelum menjinakkan Temerloh 28-26 untuk membawa pulang piala pusingan dan sijil penyertaan.


Tempat ketiga berpihak kepada Bera, sementara pemain terbaik kejohanan milik penjaring Kuantan Siti Nur Ilani Omar. Hadiah disampaikan Yang Dipertua Persatuan Bola Jaring Negeri Pahang (PBJNP) Datuk Shahaniza Samsuddin.

Bagi Siti Nur Ilani, kejohanan kali ini ternyata lebih mencabar dengan penyertaan sembilan pasukan daerah yang mempamerkan prestasi lebih baik berbanding sebelum ini.


Menurutnya, pengalaman luas pemain menjadi kelebihan kepada Kuantan meraih kejayaan membanggakan kali ini.


"Kejayaan ini diharap memberi peluang kepada saya untuk terpilih mewakili Pahang pada saingan mini Sukan Malaysia (SUKMA) XV1 Kuala Lumpur, Jun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Peluang kanak-kanak pamer bakat bolasepak

Posted:

Melaka: Kanak-kanak bawah 12 tahun mempamerkan bakat dengan menyertai Karnival Bolasepak Perpaduan 7 Sebelah Bawah 12 tahun merebut Piala Datuk Soh Chin Aun 2013.

Program edisi kedua anjuran Kelab Sukan SportsUnite dengan kerjasama Kelab Bolasepak Bekas Pemain Negeri Melaka (KBBPM) serta The Malacca Club akan berlangsung pada 14 April depan di Padang Rotunda Malacca Club, Tanjong Kling, Melaka.


Sementara itu, Chin Aun menyifatkan karnival ini sebagai peluang keemasan kepada kanak kanak khususnya di peringkat akar umbi bertanding dengan semangat kesukanan. "Karnival seperti ini dapat memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman perlawanan sebenar. Kita patut memberi peluang kepada mereka mempamerkan bakat masing-masing kerana mereka adalah masa depan bolasepak kita," katanya yang juga pengerusi KBBPM pada majlis pelancaran program baru-baru ini.

Pengerusi Kelab Sukan SportsUnite Datuk Dina Rizal berkata, program itu membawa erti cukup besar apatah lagi ia mengenang jasa legenda bolasepak negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan bolasepak negara era 1970-80 an. Maklumat lanjut boleh gubungi Setiausaha KBBPM, Melvin Tan ditalian 019-6662171.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Fokus tingkat karier

Posted:

Kuala Lumpur: "Gaji yang ditawarkan tidak lumayan namun cukup untuk saya meneruskan kerjaya dan kehidupan di Jepun".

Itu penjelasan pertahanan Harimau Muda A Nazirul Naim Che Hashim yang akan terbang ke Jepun malam ini untuk menyertai kelab divisyen tiga negara itu, FC Ryukyu dengan seorang lagi pemain negara, Wan Zack Haikal Wan Nor (gambar) turut memikat hati kelab terbabit seperti yang diumumkan pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee baru-baru ini.


"Saya sudah menandatangani dokumen persetujuan bersama wakil kelab terbabit pagi tadi (semalam). Fokus saya adalah untuk meningkatkan karier di pentas yang lebih tinggi, saya tidak memandang bayaran yang diberikan mereka kerana bagi saya, buat masa sekarang bayarannya adalah mencukupi," katanya yang bakal menandatangani kontrak sebenar selama setahun apabila tiba di kelab berpangkalan di Okinawa itu.

Menurut Nazirul misinya kini adalah untuk meningkatkan lagi kariernya dan memantapkan lagi persembahan bagi membantu skuad bawah 23 tahun negara selepas ini terutamanya dalam mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.


"Saya tidak mahu hadir ke kelab terbabit untuk memanaskan bangku simpanan kerana peluang untuk berada dalam kesebelasan utama memang ada kerana FC Ryukyu tidak mempunyai pertahanan kiri yang tetap," kata pemain kelahiran Perak berusia 20 tahun itu. Kelab itu sudah memulakan saingan divisyen tiga dengan mengharungi tiga perlawanan dan berada di tangga kedua mencatatkan dua kemenangan serta satu keputusan seri bagi menghambat pendahulu liga Nagano Parceiro yang mengumpul sembilan mata.


Sementara itu skuad Bawah 23 tahun negara kendalian Kim Swee yang berkelana hampir lima bulan di Eropah mencatatkan keputusan seri pada aksi pertama menentang skuad Bawah 19 Tahun Slovakia di Vion kelmarin.

Lawan terlebih dulu membuka jaringan namun semangat kental pemain muda negara menyaksikan mereka mengikat kedudukan sebelum memasuki tempoh rehat menerusi penyerang tinggi lampai Izzaq Faris Ramlan untuk keputusan akhir 1-1.


Skuad yang dipersiapkan untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 itu akan meneruskan aksi persahabatan yang kompetitif apabila dijadualkan menentang skuad Bawah 21 Tahun Georgia yang berlangsung di Vienna, Austria esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Balaban sertai sesi latihan bersama T-Team

Posted:

Kuala Terengganu: Kelibat bekas penyerang Selangor Bosko Balaban menyarung jersi T-Team atau sebaliknya akan terjawab apabila sesi pemilihan akan diadakan di Padang Kompleks Sukan Gong Badak, petang ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Abd Rasid Jusoh berkata, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya lima penyerang antaranya dari Brazil, Portugal, Nigeria dan Cameroon akan diuji.


"Kita terpaksa mengambil keputusan menggugurkan Caleb (Folan) kerana pemain ini gagal menyumbang sebarang gol sepanjang 10 perlawanan. "Jadi, kita bercadang mencari pengganti Caleb dan pemain itu mesti lebih baik serta mempunyai ciri-ciri penyerang berkaliber. Seorang pemain yang kita rasakan sesuai dengan pasukan ini adalah Bosko (Balaban) dan apa pun dia perlu menjalani sesi pemilihan," katanya.

Beliau berkata, kehebatan Balaban sudah terbukti ketika menyarung jersi Selangor musim lalu, tetapi pihak pengurusan tidak mahu terburu-buru mengikatnya tanpa melihat prestasi dan kecergasannya di atas padang.


"Kali ini kita mahu memilih pemain mengikut prestasi permainannya dan bukannya gah pada nama. Pemain import yang bakal diuji Peter Butler petang ini berusia antara 19 hingga 35 tahun," katanya.


Abd Rasid berkata, aksi terakhir Caleb yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama T-Team pada 30 Mac ini bertemu Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Kita terpaksa mengambil keputusan ini dan Caleb juga mesti bersikap profesional dan perlu menerima hakikat ini," katanya.


Balaban yang pernah mewakili beberapa kelab ternama dunia seperti Dinamo Zagreb, Club Brugge dan Aston Villa pernah menjadi igauan barisan pertahanan ketika menyarung jersi Selangor apabila menyumbat 12 gol musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Belum selamat

Posted:

Kuala Lumpur: Walaupun seakan mendapat 'nafas' baru hasil kemenangan pertama skuad kebangsaan pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 ke atas Yaman 2-1 Jumaat lalu, ia belum cukup menjamin kedudukan pengendali Datuk K Rajagobal kerana sasaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap sama, mahu melihat kejayaan Harimau Malaya menempah tiket ke pusingan akhir kejohanan itu di Australia.

Kedudukan Rajagobal mula dipertikaikan pelbagai pihak selepas kegagalan mempertahankan kejuaraan Piala AFF tahun lalu malah tekanan semakin dirasai apabila tewas dalam beberapa aksi persahabatan selepas itu serta kecundang pada perlawanan pertama kelayakan Piala Asia 2015 0-2 kepada Qatar Februari lalu.


Bagaimanapun barisan pemain Harimau Malaya meredakan tekanan jurulatih berusia 56 tahun itu apabila meraih tiga mata penuh biarpun terpaksa bergelut dengan pasukan kerdil Yaman dalam aksi Kumpulan D di Stadium Shah Alam.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang sebelum ini menegur Rajagobal supaya tidak memberikan alasan selepas kekalahan 1-4 kepada Arab Saudi dalam perlawanan persahabatan berkata, pengendali itu masih diberikan kepercayaan untuk meneruskan misi Piala Asia kali ini.


Ketika ditanya mengenai kemungkinan kontrak jurulatih itu tidak akan disambung selepas tamat hujung tahun ini, beliau berkata: "Saya tidak mahu membuat kenyataan mengenai perkara ini, biarlah beliau fokus kepada kempen kelayakan Piala Asia 2015. "FAM ada penilaian atau perancangan untuk beliau, saya tidak boleh menyatakan bila atau siapa (pengganti Rajagobal) lagi, biarlah beliau fokus kepada misinya. Semua orang perlu menyokongnya. Saya berharap beliau tahu apa yang perlu dilakukan untuk membawa pasukan ini ke peringkat seterusnya." Beliau mengakui tugas untuk Harimau Malaya meraih salah satu daripada dua slot automatik dalam Kumpulan D bukan mudah kerana terpaksa bersaing hebat dengan dua lagi pasukan handalan Qatar dan Bahrain.


"Saya nak mengingatkan kita kena kekal kemenangan di tempat sendiri, itu paling penting. Saya perhatikan Piala Asia kejohanan tahap lain berbanding Piala AFF, corak permainan, corak latihan dan corak pemikiran perlu dipertingkatkan, bukan sekadar menyediakan untuk satu perlawanan saja, tapi untuk persiapan menyeluruh.

"Pemain sama juga yang beraksi dari dulu, sekarang sepatutnya lebih matang dan mantap, seharusnya beraksi lebih baik. Kita tak tahu sama ada kita boleh pergi jauh dalam kumpulan ini, kita lihat selepas ini," katanya.


Skuad kebangsaan kini menduduki tangga ketiga kumpulan berkongsi tiga mata dengan Qatar dan akan meneruskan kempen kelayakan menentang Bahrain dan Qatar hujung tahun ini sebelum perlawanan terakhir dengan Yaman Mac tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Palestin asah taring Harimau

Posted:

Kuantan: Selepas menang tipis ke atas Yaman 2-1 pada kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, skuad Harimau Malaya akan berdepan Palestin di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Perlawanan persahabatan amal antarabangsa itu bertujuan mengutip dana bagi tabung kemanusiaan Palestin dan membantu keluarga wira negara yang terkorban atau cedera dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.


Penolong Setiausaha Agung FAM Datuk Ahmad Fuad Daud berkata perlawanan amal itu anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) serta FAM dengan tema 'Suara Malaysia, Perlawanan untuk Harapan'.

"Tiket perlawanan RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak berusia bawah 12 tahun), manakala RM150 untuk tempat duduk kenamaan atau VIP," katanya.


Ahmad Fuad berkata, ketiadaan tonggak dari Kelantan dan PKNS itu tidak akan mengganggu persembahan pasukan kebangsaan.


Seramai 24 pemain dan pegawai pasukan Palestin tiba di Kuantan petang semalam dan akan turun berlatih di Stadium Darul Makmur petang ini.

Kali akhir skuad negara bertemu Palestin adalah pada kelayakan Piala Dunia 2002 di Doha, Qatar yang menyaksikan Malaysia tewas 3-4.


Perlawanan amal itu akan disaksikan Presiden FAM Sultan Ahmad Shah, Duta Besar Palestin ke Malaysia Abd Elaziz Abu Ghoush dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

Manfaat peluang di laman sendiri

Posted:

Kuala Lumpur: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan skuad hoki negara memanfaatkan sepenuhnya dua peluang beraksi di laman sendiri untuk menempah tiket ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague Belanda.

Katanya, Kejohanan Kelayakan Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga di Johor Bahru Jun depan serta Kejohanan Piala Asia 2013 di Ipoh pada Ogos ini menyediakan pentas terbaik untuk Malaysia menebus kekecewaan gagal ke pentas dunia pada dua edisi sebelum ini.


"Peluang pasukan kita di Johor ada, saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan kita, saya harap jurulatih (Paul Revington) akan memberikan segala pengalaman untuk memastikan kejayaan kita.

"Piala Asia juga beri peluang kepada kita untuk layak ke Piala Dunia. Dengan bermain di Malaysia, kita mempunyai dua peluang untuk ke Piala Dunia. Bagi saya inilah masanya, saya harap pemain-pemain beri tumpuan dari segi kecergasan, kemahiran dan disiplin," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco MHC semalam.


Skuad kendalian Revington akan memulakan buruan tiket ke Piala Dunia apabila beraksi dalam Kejohanan Kelayakan Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini yang bakal membabitkan lapan pasukan rata-ratanya dari Eropah.


Tiga pasukan terbaik kejohanan itu akan layak ke Piala Dunia dan jika Malaysia yang menduduki tangga kedua di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah minggu lalu gagal melakukannya mereka perlu menang kejohanan Piala Asia di Ipoh pada 23 hingga 31 Ogos depan jika tidak mahu tercicir.

Kali terakhir skuad kebangsaan bersaing di pentas dunia itu adalah pada 2002 dan menamatkan saingan di tangga kelapan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/25

No comments:

Post a Comment